Penulis: Tony Buzan Penerbit: PTS Publishing House Tahun Terbit: 2018 Muka surat: 232 Beli di: Book Cafe Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
Potensi kita untuk memperbaiki kadar kepantasan membaca kepada dua kali ganda lebih pantas berbanding sekarang, dan kemudian mencapai kadar 1000 perkataan seminit, sama sahaja dengan mereka yang berada pada tempat 10 teratas dunia.
Setiap orang daripada mereka adalah pembaca, yang sama seperti pembaca dan saya, yang pada mulanya tidak berpuas hati dengan kadar kecepatan membaca biasa mereka dan membuat keputusan memperuntukkan masa dan usaha bagi membangunkan kemahiran manusia yang paling berkuasa ini.
Buku The Speed Reading Book memberi pembaca peluang baik untuk mengikuti jejak langkah mata mereka. Ia adalah hasil latihan dan kajian selama lebih 50 tahun dalam bidang ini.
Sumber: Bookcafe.com
Sewaktu mula baca buku ni, saya cuba buat ujian kepantasan membaca di internet dan juga dalam buku ini. Amat mengecewakan kerana kepantasan saya hanya di tahap sederhana.
Selepas baca beberapa bab awal, barulah saya sedar, ada beberapa benda yang saya salah faham sebelum ini tentang cara membaca. Salah satunya ialah penggunaan penunjuk ketika membaca (macam mengaji pakai lidi tu). Sangkaan saya ia mengganggu proses membaca, tetapi sebaliknya. Pakai penunjuk bukan sahaja boleh bantu membaca lebih pantas, tetapi juga kurangkan potensi berpatah balik/terpaksa ulang-ulang baca gara-gara ‘lost’ atau berangan, dan juga lebih fokus kepada isi bacaan.
Fakta menarik yang ada dalam buku ini, juara dunia enam kali pembaca cepat, Anne Jones membaca Harry Potter and the Deathly Hollows dalam masa 47 minit 1 saat, dengan kelajuan 4,251 perkataan seminit. Rasa tak logik langsung , entah masuk kepala ke tidak kan? Tapi kebolehan macam ni rupanya memang ada.
Setiap fakta dalam buku ini mudah difahami dan diterjemah dengan baik. Saya sebenarnya sangsi betul ke teknik yang ada mampu bantu membaca pantas, tapi lepas betul-betul disiplin buat latihan yang ada, untuk latihan terakhir, bacaan saya bertambah 60 perkataan seminit.
Disebabkan ini buku terjemahan, jadi dalam bahagian latihan kosa kata tu ada rasa macam “something off” sebab latihan dan kosa kata semuanya dalam Bahasa Inggeris. Tak feel sangat.
Tips berkesan baca buku ini:
1. Pastikan duduk dalam suasana yang kita betul-betul dapat fokus, terutamanya sewaktu buat latihan sebab nak kena catat masa bacaan. Kalau ada gangguan sampai kita terhenti ke apa, mestilah kiraan tu sebenarnya tak tepat. 2. Jangan mengelat, buat semua latihan yang ada. “Practice makes perfect” 3. Sasaran kita nak membaca cepat, tapi janganlah kelam kabut, kalau hari ini mampu baca 240 perkataan seminit, takkanlah esok dah boleh baca 4000 perkataan. Konsisten itu lebih penting.
Matlamat saya untuk menjadi pembaca pantas, tak berakhir di sini, malah baru bermula. Untuk yang mahu menjadi pembaca pantas, selamat membaca buku ini!
Penulis: Andrea Hirata Penerbit: Bentang Pustaka Tahun Terbit: 2019 Muka surat: 262 Beli di: Jejak Tarbiah Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
Sebatang kapur dan penghapus tergeletak di bawah papan tulis itu. Tampak benar telah sangat lama tak dipakai. Demikian minim angka-angka itu sehingga tak bisa dijadikan diagram batang, diagram kue cucur atau diagram naik-naik ke puncak bukit. Rupanya di kota ini, penduduknya telah lupa cara berbuat jahat.
Mata Inspektur semakin sendu menatap papan tulis itu. Keadaan yang tenteram ini perlahan-lahan membuat polisi di dalam dirinya terlena, lalu terbaring, lalu pingsan, lalu mati. Inspektur sungguh khawatir. Wahai kaum maling, ke manakah gerangan kalian?
Untuk pertama kalinya, Andrea Hirata menulis novel dalam genre kejahatan. Pembaca akan berjumpa tokoh-tokoh unik dengan pikiran menakjubkan, yang mudah bahagia dengan hal-hal sederhana.
Sumber: Goodreads
Buku ini bermula agak perlahan, dan saya sebenarnya pernah mengabaikan bacaan selama hampir dua tahun sebelum membaca semula. Saya ambil sedikit masa untuk memahami tentang kumpulan-kumpulan watak yang ada seperti geng polis iaitu Inspektor Abdul Rojali, 10 sekawan, Boron dan Bandar, serta Trio Bastardin.
Andrea Hirata memang terkenal dengan tema pendidikan dalam tulisan beliau, buku ini sendiri terhasil daripada kekecewaan mengetahui seorang siswi kedoktoran gagal menyambung pelajaran akibat kemiskinan.
10 sekawan ini dari sekolah lagi terkenal dengan reputasi mereka yang dalam kedudukan tercorot dan berhenti sekolah lebih awal dari waktu yang sepatutnya. Mereka langsung tidak berbakat dalam pelajaran. Dinah, salah seorang anggota 10 sekawan contohnya, pasti automatik menjadi sakit perut saat waktu pelajaran matematik bermula.
Dinah sangat runsing mengenangkan Aini, anaknya yang berjaya menempatkan diri dalam fakulti kedoktoran, namun hasrat menyambung pengajian tidak kesampaian kerana kemiskinan mereka sekeluarga.
Ternyata, sekolah dokter itu mahal sekali, But, baru aku tahu kalau orang miskin tak bisa masuk Fakultas Kedokteran
Lalu, jalan akhir demi merealisasikan impian Aini ialah rancangan merampok (merompak) bank oleh 10 sekawan. Aini mesti menyambung juga pengajian, tak kanlah dia mahu menjadi pembantu di kedai kopi sampai bila-bila.
Tangkap! Tangkaplah orang miskin yang berjuang agar anaknya bisa sekolah! Kita ini bukan merampok, Dinah! Kita ini melawan ketidakadilan!
Beberapa kali saya ketawa sendirian membaca gelagat 10 sekawan yang tidak tahu apa-apa tentang merompak ini berbincang tiap kali mesyuarat. Panduan terbaik mereka hanyalah filem-filem rompakan yang rupanya hanya ideal di dunia filem.
Ngomong-ngomong, apakah kau sudah hafal redaksi gertakan itu?" tanya Handai.
"Aih, tenanglah, Jun, hanya sedikit tambahan . Tengoklah, gertakanku nanti lebih bernuansa budaya lokal Melayu Belantik ni!"
Tidak dinafikan, di sebalik babak-babak kelakar yang ditulis, banyak sebenarnya sindiran oleh Andrea Hirata sendiri, seperti:
kurangnya akses kepada pendidikan oleh orang miskin.
Inequality disebabkan oleh penggubal wang-wang haram.
penguasa jawatan rendah tidak dipandang kata-katanya, hanya diberi perhatian saat terjadi kecelakaan.
Watak hero yang saya sangat kagumi ialah Inspektor Abdul Rojali, berintegriti dan tidak pernah sekali terlintas dalam pemikiran mahu mengambil walau sedikit wang penghargaan.
Walaubagaimanapun, oleh kerana saya membaca prekuel buku ini terlebih dahulu (Guru Aini) maka, saya sikit terganggu dengan ketidaksinambungan fakta yang ada tentang Aini, namun, tidaklah terlalu banyak dan mengganggu pembacaan.
Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan buku ini yang menyentuh pelbagai aspek, terutamanya pendidikan, dan sedikit sebanyak, politik, ekonomi dan sosial. Saya sangat menyarankan untuk anda mendapatkan buku ini. Bagi pembaca Malaysia, anda boleh dapatkan versi Bahasa Melayu daripada Jejak Tarbiah.
Penulis: Hamka
Penerbit: Gema Insani
Tahun Terbit: 2016
Muka surat: 90
Beli di: Jejak Tarbiah
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
PENGENALAN / BLURB
Ceritanya pendek sahaja tapi terkandung kritikan mendalam untuk golongan yang ‘berpendidikan tinggi agama’. Syamsiar selepas habis pengajian agama (diploma) selama setahun tidak dapat pekerjaan mengajar di mana-mana. Jika ada tawaran pun, dia tidak dibenarkan pergi oleh keluarganya sebab gaji rendah / hal-hal lain. Syamsiar tak rasa yang hal membuat kerja-kerja mengemas rumah atau memasak patut dilakukan oleh seorang lepasan sekolah tinggi. Jadi, dia sering berkurung dalam bilik mengaji ‘kitab’. Sebenarnya dia lebih sibuk membaca buku cinta dan mengenang cinta lama di sekolah. Tak padan langsung dengan status seorang cerdik pandai agama.
Hasan juga seorang lulusan sekolah agama tetapi ada pendapat yang berbeza dengan Syamsiar. Bukan mudah untuk dia mendapatkan kerja sebagai guru, kekosongan jawatan guru tak sebanyak lepasan sekolah. Hasan ambil keputusan untuk bekerja sebagai petani dan di malam hari mengajar agama kepada anak-anak kampung walaupun upah sedikit. Dia lebih mementingkan pembinaan bangsa. Ejekan tidak menjadi kudis pun dalam diri Hasan malah dia lebih berpuas hati dengan pilihannya.
Oleh kerana kedua-duanya sekufu pendidikan, Syamsiar dijodohkan dengan Hasan dan bahagialah mereka pada beberapa bulan sehinggalah…
REVIEW
Pak Hamka menulis dalam prakata bahawa kisah-kisah ini diperoleh melalui kisah-kisah benar yang beliau jumpai sepanjang bertugas di Kantor Buku.
Pak Hamka menegur golongan kelulusan agama yang merasakan mereka ini ‘up one level’ berbanding orang lain dan tidak mahu masuk ke dalam masyarakat. Lihat bagaimana Syamsiar yang langsung tak mahu mengotorkan tangannya sehingga lepas berkahwin pun, ibu dan adik Syamsiar terpaksa tinggal sekali bersamanya demi menyelesaikan tugas membasuh baju dan memasak. Dia hanya mahu bermesra-mesra dengan Hasan, padahal sebagai bijak pandai, jika tak mahu sibuk buat kerja rumah, dia patut ambil tahu isu pendidikan orang sekeliling.
Bagi saya keluarga Syamsiar pun patut memikirkan ‘way forward’ apa yang mesti dilakukan selepas menghantar anak gadis ke sekolah, bukan hanya menyimpan mereka di rumah (zaman itu, anak gadis ke sekolah sangat luar biasa). Jika upah sedikit / jauh dari rumah, itu lumrah biasa, mereka patut dibiasakan berdikari.
Hasan akhirnya selepas beberapa bulan merasa tak selesa dengan Syamsiar yang hanya mahu bermesra, susah untuk dia menyiapkan kerja-kerja yang tergendala dan bagi Hasan, berkahwin bukan sekadar bermesraan sahaja. Syamsiar yang rasa seperti ditolak bertindak mengutus surat kepada kenalan lelaki lamanya waktu sekolah dahulu. Bagaimana orang yang ‘ada agama’ boleh bertindak seperti ini?
Buku ini ringkas sahaja tetapi sarat dengan pengajaran. Kisah yang diceritakan masih relevan. Adakah kedudukan orang mengaji agama lebih tinggi daripada orang biasa? Apa yang terjadi kepada Syamsiar dan Hasan apabila Hasan terjumpa surat balasan kepada Syamsiar dari kenalan lamanya itu? Dapatkan jawapan dalam buku ini ya.
Selamat membaca!
Penulis: Fatini Yaacob
Penerbit: Penerbit UTM
Tahun Terbit: 2010
Muka surat: 474
Beli di: Ujana Ilmu
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
PENGENALAN
Akhbar propenjajah pada masa itu menghina Islam dengan memberi gambaran bahawa Natrah telah menukarkan agamanya kepada Kristian. Hal ini merupakan punca utama tragedi Rusuhan Natrah yang telah mengorbankan beberapa nyawa demi membela agama Natrah.
Natrah / Nadra / Huberdina Maria Hertogh seorang anak Belanda yang diambil sebagai anak angkat oleh wanita Melayu bernama Che Aminah binti Mohamad. Che Aminah ialah seorang peniaga yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Natrah diambil sebagai anak angkat, Che Aminah ketika itu bekerja sebegai jurubahasa di Pejabat Jepun sewaktu Jepun mengambil alih pemerintahan di Indonesia.
Natrah mula dikenali pada peringkat antarabangsa kerana perbicaraan perebutan hak penjagaan antara ibu bapanya dan ibu angkatnya sendiri. Kes Natrah semakin rumit dan menarik perhatian apabila Natrah yang waktu itu berumur 13 tahun, telah berkahwin dengan Mansor Adabi yang berusia 22 tahun. Perkahwinan mereka berasaskan undang-undang Islam tetapi diadili secara Inggeris.
Puan Fatini Yaacob pernah membuat liputan mengenai Natrah pada tahun 1989 dan tulisan beliau disiarkan dalam 4 keluaran majalah Dewan Masyarakat (Februari, Mac, April & Mei). Beliau sendiri telah pergi ke Lake Tahoe, Amerika Syarikat menemuramah Natrah bagi menyempurnakan tugasan kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu.
Setelah kematian Natrah pada tahun 2009, Puan Fatini mengambil keputusan untuk menulis buku ini atas beberapa faktor:
1. Melengkapkan biografi Natrah.
2. Memberi maklumat lengkap mengenai Natrah untuk pembaca baru.
3. Memberi penghargaan kepada para pejuang yang membela agama dan bangsa daripada penjajah di sebalik kisah cinta Natrah-Mansor.
4. Membangkitkan rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara.
REVIEW
Natrah: Satu Perjuangan Mempertahankan Agama
Pusingan pertama perbicaraan hak perebutan Natrah, dimenangi oleh pihak Che Aminah. Semasa menunggu perbicaraan kedua, Che Aminah bertemu dengan Mansor Adabi dan akhirnya mengahwinkan Natrah dengan beliau atas persetujuan Natrah sendiri. Perbicaraan kedua dimenangi oleh pihak Belanda dan bermula saat hakim menetapkan keputusan itu, Natrah tidak dibenarkan berjumpa dengan Che Aminah dan Mansor. Che Aminah dan Mansor memohon untuk rayuan di mahkamah, dan bermula dengan peristiwa inilah yang membangkitkan kemarahan umat Islam tidak kira bangsa apa. Sementara menunggu permohonan rayuan, ibu kandung Natrah, Adeline memohon supaya Natrah diletakkan di gereja Roman Katolik bagi tujuan ‘pendidikan semula’.
Beberapa gambar Natrah di gereja disiarkan dalam akhbar pro penjajah untuk menunjukkan yang Natrah gembira berada di gereja. Berita di bawah antara yang sangat dikecam apabila akhbar ini membuat headline bertajuk “Natrah melutut di hadapan patung Virgin Mary”
Dalam usaha mempertahankan aqidah ini, satu Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN) diwujudkan dan ia diketuai oleh Karim Ghani, editor akhbar Malayan Nanban yang juga merupakan Presiden Liga Islam Singapura dan Presiden Persatuan Dakwah Islam Semalaya. Karim Ghani yang merupakan keturunan India Muslim, bekerjasama dengan ramai pihak seperti Dr Burhanuddin al-Helmy (presiden PKMM) dan Mohd Taha Kalu (bekas anggota polis berketurunan Pakistan). Isu ini tidak hanya dijuarai parti berhaluan kiri, tetapi mana-mana individu yang sedar perlunya mereka bangkit dalam membela agama. Oleh kerana ini, ahli UMNO bangkit menyertai kumpulan ini walaupun Yang Dipertua UMNO ketika itu, Dato’ Onn Ja’afar bermati-matian menghalang mana-mana ahli UMNO untuk terlibat dalam isu Natrah. Bagi mereka, Islam dulu datang selepas parti. Sardon Jubir ketika itu mewakili UMNO. Sewaktu mahkamah hendak bersidang untuk permohonan rayuan, berduyun-duyun orang datang dari seluruh pelosok Tanah Melayu. Ada yang datang dari Pulang Pinang, Perlis dan banyak lagi, dalam keadaan berbasikal sehinggalah terjadinya tragedi rusuhan itu.
Meskipun begitu, tatkala begitu ramai orang-orang biasa ini begitu bersemangat hendak memastikan aqidah seorang Natrah dibela, pihak-pihak yang berkuasa seperti bisu sahaja dan tidak peduli, malah ada yang mengkritik tindakan orang ramai yang membuat rusuhan.
Rusuhan Natrah
‘Keluarkan Nadra dari Gereja’, ‘Nadra Perlu Diselamatkan’, inilah antara sepanduk yang dibawa dalam perhimpunan pada hari mahkamah bersidang untuk permohonan rayuan Che Aminah. Sebelum menghimpunkan beramai-ramai orang Islam, Karim Ghani membuat strategi dengan memberi surat terbuka kepada anggota polis Melayu sehingga berjaya menyebabkan mereka langsung tidak mengambil tindakan ketika berlakunya perhimpunan dan rusuhan. Meskipun keputusan sidang mahkamah yang pertama itu ditangguhkan, rasa terhina umat Islam ketika itu tiada ditangguh-tangguh lagi walaupun sudah diberitahu Karim Ghani untuk tidak membuat sebarang provokasi. Pihak British amat terkejut kerana tidak menyangka rakyat mampu bertindak sebegitu dalam hal ini dan mereka kehilangan kawalan. Mereka menyerang pegawai British dan semua orang berkulit ‘putih’ dan membakar kenderaan mereka.
Rusuhan ini mengorbankan 17 nyawa dan penjajah Inggeris menahan hampir 800 orang di bawah Unit Siasatan Rusuhan. Beberapa orang yang ditahan ini, ada antara mereka yang dikenakaan hukuman gantung, termasuklah pemilik restoran Jubilee, Othman Ghany. Kesalahan beliau ialah kerana memberi makanan percuma kepada orang ramai dan perusuh.
Oleh kerana Dato’ Onn langsung tak mahu masuk campur ketika itu, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Pegawai Tinggi kerajaan dan berusaha membantu pesalah yang dihukum gantung ini. Apabila Tunku mengambil alih jawatan Yang Dipertua UMNO selepas itu, dia memberi keutamaan dalam isu membela pesalah ini dan akhirnya Inggeris yang sedar akan kebangkitan nasionalisme kala itu, menggantikan hukuman gantung kepada hukuman penjara seumur hidup. Mereka semua dibebaskan selepas 13 tahun. Karim Ghani pula, namanya yang jarang kita dengari / baca dalam kalangan penentang penjajah dibuang negeri, tidak diterima di Tanah Melayu (masih dalam jajahan British), tidak diterima di negara asalnya India kerana ditakuti membawa ideologi beliau dan mengganggu pilihanraya terdekat, akhirnya menghabiskan sisa hidupnya di Karachi dan kekal menentang British sehingga akhir hayat beliau.
Kemenangan Belanda-Hertogh & Kesilapan Che Aminah
Penulis menyenaraikan beberapa perkara yang menyumbangkan kemenangan pihak Belanda:
1. Che Aminah tidak merujuk peguam beliau, Ahmad Ibrahim terlebih dahulu sebelum menikahkan Natrah kerana Natrah berusia 13 tahun ketika itu. Perkahwinan diadakan di Singapura, di bawah Common Law. Sekiranya dilakukan di negeri Tanah Melayu, masih boleh diselamatkan. Undang-undang Inggeris ketika itu, hak bapa adalah kuat terhadap anaknya. Persoalan domisil ialah yang paling utama dalam menentukan kes Natrah
2. Perkahwinan boleh diselamatkan sekiranya ia bukan nikah gantung dan Natrah hamil. (Walaupun saya tidak menyokong perkahwinan kanak-kanak, tetapi soal ketika itu lebih kepada mempertahankan aqidah).
3. Che Aminah gagal mengemukakan surat bertulis daripada Adeline Hunter, yang menyatakan dia menyerahkan Natrah untuk dijaga mengikut adat dan budaya Che Aminah.
Undang-Undang British menang pada masa itu. Dalam temuramah penulis dengan Ahmad Ibrahim, dia melihat aspek kebajikan anak dalam undang-undang masa kini.
“Kalau kes itu dalam keadaan undang-undang kini, Natrah tidak akan dibawa ke Belanda. Sekarang kebajikan anak diambil kira dan diberi perhatian berat. Natrah akan ditanya yang mana disukainya – balik ke Belanda atau tinggal dengan Che Aminah.
Penulis juga menemuramah Dr Tom Eames Hughes, Pegawai Kebajikan Masyarakat Singapura yang bertanggungjawab menjaga Natrah sewaktu Natrah ditempatkan sementara di Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapore.
“Sekiranya Dr Tom diberi pilihan dalam kes Natrah, apakah yang Dr putuskan?
‘Saya akan kembalikan Natrah kepada Che Aminah. Itulah kebahagiaan sebenar yang diperlukan Natrah.’ “Natrah bukan Perebutan Dua Keluarga, Tetapi Dua Negara dan Agama
Dalam salah satu wawancara penulis, maklumat yang diterima beliau menunjukkan yang Adeline tidaklah bersungguh-sungguh mahu merebut hak penjagaan Natrah. Adeline pernah berkata kepada Che Aminah yang dia hanya terpaksa!
Belanda ketika itu sudah malu benar kerana Indonesia sudah merdeka tahun 1945. Mereka sudah dihalau dari negara jajahan mereka sendiri. Cukuplah sekali mereka dimalukan, mereka tidak lagi mahu dimalukan dengan membiarkan kalah dalam perebutan hak penjagaan Natrah. Mana boleh orang ‘putih’ dikalahkan orang kulit ‘berwarna’.
Pihak gereja besar di Belanda turut memberi belanja besar bagi memastikan Natrah, anak katolik mereka kembali ke Belanda dan melupakan hidup sebagai Islam yang pernah dia jalani.
Derita Natrah
Mengapa saya katakan ibu Natrah, Adeline bukan mahu mendapatkan Natrah pun? Belanda menyangka dengan membawa pulang Natrah, ia satu kemenangan besar buat mereka, tetapi sebenarnya itulah permulaan derita seorang Natrah.
Jika di Kemaman, Natrah dilayan dengan baik, dimewahkan dengan memakai banyak barang kemas fesyen baru (Che Aminah berniaga barang kemas), ada pembantu rumah, dan banyak masa bermain, berlainan pula yang terjadi di Belanda. Kehidupan keluarga Natrah miskin, adik beradiknya ada 7 orang dan dia terpaksa berkongsi bilik dengan 2 orang kakak yang sering membulinya. Dia terpaksa membasuh baju ahli keluarganya menggunakan tangan dan yang paling menyedihkan, ketika musim sejuk, dia tidak dibenarkan menggunakan air panas, tetapi masih perlu membasuh baju menggunakan air sejuk, demi menjimatkan bil elektrik. Jika dengan Che Aminah, dia hanya perlu masuk ke dapur pada waktu makan, di Belanda, dia yang bertanggungjawab di dapur. Perubahan ini menimbulkan kemarahan dalam dirinya dan sehingga ke hari tua, Natrah tidak ada hubungan baik dengan ibu beliau.
Terdapat usaha seorang rakyat Belanda (J.G Vermeulen) yang cuba menyampaikan surat Mansor Adabi kepada Natrah, malangnya dapat dikesan oleh perisik Belanda dan mereka bertindak menulis surat palsu yang kononnya ditulis Natrah kepada Mansor hingga akhirnya Mansor menyangka tiada lagi masa depan untuk dia dan Natrah. Natrah langsung tidak tahu menahu tentang perkara ini kerana dikawal ketat di rumah. Mansor mengambil keputusan berkahwin dengan seorang anak muridnya, dan amat kasihan kerana Natrah perlu mengetahui perkara ini melalui surat khabar. Luluh hatinya dan dia mengambil keputusan berhenti sekolah dan bekerja.
Kebenaran tentang derita yang Natrah simpan ini membuatkan dia menghubungi J.G Vermeulen yang juga seorang wartawan untuk diwawancara. Pada masa inilah J.G Vermeulen mengetahui yang sebenarnya Natrah tidak pernah menerima surat daripada Mansor langsung. Sungguh kejam!
“Saya tidak pernah, walaupun sehari berasa seperti berada di rumah sendiri ketika tinggal dengan mereka. Saya lebih suka ke sekolah atau dilayani rahib.”
“Betapa kita mengalu-alukan beritanya. Kita telah melaporkan segala-galanya. Kita melaporkan kepulangan Maria yang tertawa keriangan.Kita melaporkan…beratus-ratus orang cuba menembusi sekatan polis … kita melaporkan bagaimana kasih sayang seorang ibu mendapat kemenangan.… tetapi kita gagal melaporkan Maria benar-benar menderita!
Natrah Pergi
Selepas berkahwin dan mempunyai 10 orang anak pun, Mansor Adabi masih dalam ingatan Natrah. Sukar untuk Natrah move on. Sebuah stesen televisyen pernah memanggil Natrah untuk wawancara untuk program dokumentari mereka. Sebelum sesi Natrah, Natrah sekeluarga diberi peluang untuk menonton sesi wawancara dengan Mansor Adabi. Melihatkan kehidupan Mansor yang mewah dan bahagian dengan keluarganya, ia seperti menjadi butang trigger kepada Natrah. Dia berasa dia yang patut berasa di sisi Mansor. Beza antara Mansor dan Natrah ialah penerimaan kenyataan masing-masing. Hingga bertahun pun Natrah masih tidak melupakan Mansor kerana perkahwinan Natrah hanya jalan untuk dia keluar daripada rumah ibu bapanya. Selepas wawancara itu, hidup Natrah tidak sama lagi dan permulaan kepada keretakan rumah tangga beliau dan kegagalan tiga perkahwinan seterusnya. Natrah sentiasa mencari bahagia tetapi tidak ditemui.
Implikasi terbesar ujian hidup Natrah ini ialah menyebabkan Natrah kehilangan keyakinan diri, sentiasa perlu pendapat orang lain dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Suami terakhir Natrah juga sering mengongkong Natrah dan hampir memaksa Natrah untuk sama-sama berpindah ke Indonesia.
Natrah sempat merawat hatinya dengan melawat semula ke Singapura dan Kemaman, pada tahun 1998, berjumpa dengan keluarga angkatnya semula dan mereka berhubung hingga akhir hayat Natrah.
Lawatan ini menjadi titik tolak kepada permulaan baru hidup Natrah. Natrah dapat menerima kenyataan nasib hidupnya dan tidak lagi bergantung dengan orang lain untuk bahagia. Dia sudah tidak lagi bergantung dengan masa lalunya. Natrah berpisah dengan suaminya dan mula mencari bantuan kesihatan mental. Natrah pergi dengan aman, malah menyumbangkan jasad beliau untuk kajian leukimia.
Keseluruhan
Saya berterima kasih kepada penulis atas usaha beliau melengkapkan riwayat hidup Natrah. Demi kepentingan nama sebuah negara dan agama, hidup seorang budak rosak dan membawa derita yang berpanjangan. Terima kasih juga buat pejuang-pejuang penting yang berperanan besar mempertahankan Natrah semasa perbicaraan itu.
Walaupun terdapat beberapa tulisan dalam internet yang membuat kenyataan terhadap kemurtadan Natrah (hingga akhir hayat Natrah, dia percaya Allah dan God itu sama), saya rasa sebagai orang yang tidak melalui ujian besar seperti ini, kita tidak boleh sesuka hati membuat penilaian. Natrah bukan sengaja mahu meninggalkan Islam, baru berusia 13 tahun sudah dilarikan ke Belanda dan di sana tiada orang Islam yang dapat membimbing Natrah. Sama-sama kita doakan pengakhiran baik buat Natrah. Bak kata penulis, dia percaya, Natrah berada dalam kasih sayang Allah.
Penulis: Jane Austen
Penerbit: MacMillan Popular Classics 2016
Tahun Pertama Terbit: 1811
Muka surat: 304
Beli di: Kinokuniya, Book Depository & MPH Online
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
SINOPSIS
Kisah bermula apabila seorang lelaki muda kaya yang bernama Mr Bingley berpindah ke Netherfield Park (penduduk di Longbourn memang tahu pemiliknya mesti kaya). Mrs Bennet merasakan inilah masa paling yang sesuai untuk menjodohkan anak perempuannya, Jane Bennet dengan Mr Bingley.
Sewaktu majlis tari menari di Meryton, Mrs Bennet mengambil peluang memperkenalkan Mr Bingley dengan Jane. Majlis tari menari ini jugalah tempat pertemuan pertama antara Elizabeth Bennet dan Mr Darcy. Elizabeth cuba memulakan perbualan tetapi Mr Darcy tak layan dan turut tidak disukai oleh Mrs Bennet.
Pertemuan demi pertemuan seterusnya antara Elizabeth & Mr Darcy menimbulkan beberapa konflik. Elizabeth duduk beberapa hari di Netherfield Park untuk menemani Jane yang sakit dan berpeluang berbual dengan Mr Darcy. Ketika melawat Charlotte Lucas di Hansford dia bertemu semula Mr Darcy dan saat itulah Mr Darcy meluahkan perasaan kepada Elizabeth. Elizabeth menolak atas dua sebab:
Mr Darcy bertanggungjawab memisahkan hubungan Mr Bingley dan kakaknya – Jane Bennet.
Sejarah perhubungan Mr Darcy yang membuang Mr Wickham daripada Derbyshire
Mr Darcy sangat marah dengan tuduhan Elizabeth dan berlalu pergi. Dia memberi Elizabeth surat untuk penjelasan sehingga Elizabeth rasa malu dengan dirinya sendiri.
Kembara Elizabeth seterusnya bersama ayah dan ibu saudaranya ke Pemberly menemukan semula dia dengan Mr Darcy yang membuat Mr Darcy terlibat dalam penyelesaian masalah adik Elizabeth, Lydia yang hendak kahwin lari dengan Mr Wickham.
REVIEW
Beberapa isi penting yang ditulis oleh Jane Austen ini membuatkan saya berfikir:
Wanita dan Perkahwinan
Kebanggaan dan pencapaian terbaik seseorang wanita ketika itu hanyalah ketika mereka dapat berkahwin. Mrs Bennet sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan anaknya berkahwin. Dia sanggup membiarkan Jane menaiki kereta kuda ketika hendak memenuhi jemputan ke Netherfield Park supaya jika Jane sakit, dia boleh bermalam di situ dan mula bercinta dengan Mr Bingley.
Memaksa Elizabeth berkahwin dengan Mr Collins walaupun Elizabeth tidak sedikit pun menyukai Collins.
Walaupun mengetahui Mr Wickham seorang yang tidak baik kerana melarikan Lydia, tetapi kesedihan kehilangan Lydia tiba-tiba bertukar menjadi kegembiraan apabila mengetahui Lydia telah berkahwin (walaupun mengetahui peribadi Wickham). Satu kebanggaan besar apabila Lydia telah berkahwin dalam usia 15 tahun dan mesti diuar-uarkan kepada seluruh penduduk.
Penafian Harta Kepada Wanita
Sikap Mrs Bennet berkemungkinan didorong oleh polisi penghujung abad ke-18 di England pada masa itu – perwarisan harta hanya kepada lelaki. Mrs Bennet tiada anak lelaki, dan sekiranya Mr Bennet mati, rumah yang mereka duduki akan jatuh ke tangan Mr Collins, anak saudara Mr Bennet.
Nilaian status sosial seseorang ketika itu diukur dengan harta benda. Hatta jika seseorang perempuan itu masak, diketahuilah taraf mereka rendah kerana tidak mampu mempunyai orang gaji / tukang masak.
Pride and Prejudice
Tajuk Pride ini sebenarnya ditujukan kepada Mr Darcy dan Prejudice pula ialah Elizabeth Bennet.
Pride / Angkuh / Sombong – sikap Mr Darcy pada awal pertemuan dia dengan Elizabeth sebab Darcy tak tahu macam mana nak bergaul dengan orang baru. Dia juga yang pada awalnya mempengaruhi Mr Bingley untuk tidak meneruskan hubungan dengan Jane sebab merasakan keluarga Bennet berniat tidak baik dan bermasalah.
Prejudice – Elizabeth yang bersikap prejudis terhadap Mr Darcy apabila dia dengan mudah mempercayai tuduhan Mr Wickham terhadap Mr Darcy bahawa Mr Darcy telah mengusir Mr Wickham kerana cemburu kepada kasih sayang ayah Mr Darcy terhadap Mr Wickham. Hal yang sebenar ialah Mr Wickham yang berundur diri sebab tidak lagi mahu berkhidmat dengan keluarga Darcy dan pernah cuba berkahwin lari dengan adik Mr Darcy saat mengetahui Georgiana Darcy mewarisi 30000 pound.
Elizabeth: “What made you so shy of me, when you first called, and afterwards dined
here? Why, espe- cially, when you called, did you look as if you did not care
about me?”
Darcy: “Because you were grave and silent, and gave me no encouragement.”
Elizabeth: “But I was embarrassed.”
Darcy: “And so was I.”
Elizabeth: “You might have talked to me more when you came to dinner.”
Darcy: “A man who had felt less, might.”
Keseluruhan
Tujuan awal saya baca buku ini sebenarnya untuk mengasah pembacaan saya dalam Bahasa Inggeris. Walaupun pada awalnya agak perlahan sebab terlalu banyak ayat kiasan yang perlu saya baca berulang kali untuk fahamkan maksud sebenar dan kadang kala saya keliru dengan siapa yang menuturkan dialog tapi saya berpuas hati sebab tulisan Austen sebenarnya simple English saja. Jalan cerita yang bagus dan tidak fokus kepada percintaan sahaja tetapi juga nilai kekeluargaan dan persahabatan.
Satu perkara yang lucu bagi saya, walaupun Lydia kononnya bahagia dengan lelaki yang dia cintai, lihat surat yang dia kirimkan kepada Elizabeth:
Selamat membaca!
Nota kaki:
Poster filem adaptasi Pride & Prejudice (2005)
Penulis: Dr Putri Afzan Maria
Penerbit: EYTC Group & Resources Sdn. Bhd.
Tahun Terbit: 2019
Muka surat: 158
Beli di: Imanshopee
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
PENGENALAN
Pernah saya terbaca yang enam tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak ialah fasa yang paling penting. Kerana itu, Dr Putri Afzan Maria, yang juga merupakan pengasas Kinder Kaizen Malaysia, memperkenalkan buku PLAY.
Physical PLAY
Puppet PLAY
Read a Loud PLAY
Loose Part PLAY
Messy PLAY
Block PLAY
Doll House PLAY
Makers PLAY
Nature PLAY
Pebbles PLAY
Sensory PLAT
Letter PLAY
REVIEW
Salah satu petikan dalam buku ini “PLAY is indeed a SERIOUS WORK for the child.” Cuma sedikit review pendek daripada saya, buku ini sangat informatif dan mudah difahami. Pelbagai gambar berwarna yang disertakan untuk bantuan visual dan supaya pembaca tidak bosan membaca buku ini.
Sebagai ibu bapa, kita boleh membaca banyak buku keibubapaan yang kita mahu, tetapi yang menjadi cabaran ialah bagaimana pengaplikasian bacaan kita itu.
Semoga dipermudahkan urusan kita untuk memastikan anak kita “PLAY”.
Nota kaki: Ribuan terima kasih buat sahabat yang menghadiahkan saya buku ini.
Ketika saya mula menulis draf review ini, sebenarnya saya masih lagi dalam proses membaca. Saya rasa isi buku ini amat berat untuk dihadam, maka saya pun segera meluahkan semula segala isi bacaan, sebelum terlupa apabila tamat pembacaan nanti.
Pertama kali membaca tajuk buku ini, saya menyangka isinya seperti travelog/pengalaman Pak Hamka ketika berada di Malaya. Oh, rupanya saya salah sama sekali. Pak Hamka lebih banyak menulis mengenai tanah air beliau sendiri berbanding Malaya. Cerita tentang Malaya oleh beliau lebih berupa kepada program yang beliau hadiri ketika itu dan juga negarawan Malaysia yang beliau kenali.
REVIEW
Ketika belajar subjek Sejarah di sekolah dulu, kita sudahpun mendapat pengajaran daripada sultan-sultan di Tanah Melayu yang diperdaya oleh penjajah untuk ditakluki dan diserahkan kuasa mereka. Sebenarnya, perkara yang lebih kurang sama sahaja terjadi di Indonesia. Bezanya kita merdeka dengan British, manakala Indonesia pula dengan Belanda. Kekuasaan sultan di sesebuah daerah di penghujungnya hanya tinggal untuk kes nikah dan rujuk sahaja. Faraid sendiri diuruskan oleh mahkamah pengadilan umum. Sultan Amaluddin al-Sani Perkasa Alamsyah Sultan Negeri Deli, pernah mengatakan kepada Pak Hamka.
“Nasib kami raja-raja ini, Tuan Hamka, adalah laksana burung balam saja, mata lepas badan terkurung. Hak kami kian lama kian dikurangi. Apa yang tuan rasai, dan yang dirasai oleh orang lain. Kami rasai juga. Lebih panaslah bagi orang yang terpegang daripada orang yang bersangi. Tetapi, apalah hendak kami buat.”
Nak tahu apa lagi memeranjatkan saya? Ada orang dari Malaya bertanyakan Pak Hamka, adalah pemimpin republik tidak sukakan sultan dan membunuh mereka. Benar, ada sultan yang dibunuh, tetapi bukan oleh pemimpin republik, mereka dibunuh oleh rakyat negeri mereka sendiri, akibat hanya mementingkan tembolok sendiri dan membiarkan rakyat sengsara.
Tulisan Pak Hamka dalam naskhah ini menonjolkan sisi Nasionalis yang amat tinggi dalam diri beliau, selain sisi Islamik yang ada. Beberapa isu besar di angkat dalam buku ini seperti, ulama yang berdiam diri tatkala menerima kesenangan dan kemewahan, isu pendidikan Belanda yang dirasakan lebih bagus daripada pendidikan Islam, dan pemerkasaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi negara itu.
Penceritaan Pak Hamka mengenai liku-liku Indonesia dalam mengejar kemerdekaan ini sangat sarat dengan fakta-fakta yang komprehensif dan menyeluruh. Itulah yang membuatkan saya mengambil masa lebih setengah bulan mahu menghabiskannya! Jangan risau, memang sedikit perlahan pada permulaan pembacaan, tetapi pasti tak habis nak sabarkan selepas lebih separuh buku dibaca.
Mengikut pembacaan, saya dapat simpulkan yang ketika Pak Hamka menulis buku ini, Malaya masih belum pun merdeka, tetapi mungkin ura-ura atau berita Malaya bakal merdeka sudah kedengaran. Sebagai bangsa serumpun di Nusantara ini, sudah tentu beliau tumpang gembira. Tulisan ini umpama seruan kepada rakyat Malaya ketika itu untuk bersedia dengan kemerdekaan dan mesti memerdekakan bukan hanya negara, tetapi juga pemikiran.
Buku Projek Bibliofil ditulis untuk mengajak semua orang supaya membaca dengan aktif. Antara caranya adalah dengan membuat catatan tentang buku yang dibaca.
Oleh itu, buku ini didatangkan dengan jurnal membaca yang ringkas. Pembaca juga digalakkan untuk berkongsi jurnal membaca mereka di laman sosial.
Pernah saya dibelikan buku tentang buku oleh sang belahan jiwa ( ketika itu kami masih belum ada ikatan sah), iaitu How to Read a Book oleh Mortimer Adler.
Memang seronok perasaan dihadiahkan buku tetapi seingat saya, saya tidak habis satu bab pun lagi (ops!). Buku itu terlalu tebal, tulisan yang kecil dan berbahasa Inggeris, yang selalunya boleh menjadi penghilang mood membaca (saya menulis ini sambil mencari buku itu di rak buku). Ah alasan saja bukan, walhal terlalu banyak review baik tentang buku ini.
Kenapa saya tiba-tiba bercerita tentang buku yang masih lagi belum saya habiskan? Ini kerana, buku ketiga saya untuk tahun 2020 ini juga buku tentang buku. Sebenarnya sekian lama saya memerhatikan buku ini di beberapa jualan buku, tetapi sebagai pembaca buku tegar yang sedar akan kemampuan kewangan, saya mengutamakan buku yang saya rasa utama (sambil mengenangkan To be Read Pile yang menggunung). Tapi saya tewas jua saat melihat buku ini tempoh hari di gerai jual Mug & Paper.
Sekiranya mahu menjadi pembaca tegar dan cintakan buku, buku ini wajib ada dalam simpanan anda dan habis dibaca. Buku ini juga saya kategorikan sebagai panduan menjadi Bibliofil yang berjaya.
Pernah tak anda rasa tidak bersemangat untuk menghabiskan sesuatu bacaan? Saya pun pernah. Rasa tidak semangat ini kadang kala bukanlah kerana kita malas atau apa, mungkin pilihan buku kita ketika itu tidak sesuai, atau masa kita membaca itu tidak sesuai. Penulis Zahrah Yunos merungkaikan sebab-sebab terjadinya reader’s block yang membuatkan proses membaca kita terhenti dengan begitu lama. Selain itu, ada juga tip-tip membeli buku supaya tidak kerugian wang membaca buku yang tidak sesuai dengan kita. Dalam buku ini turut dikongsikan turutan-turatan buku yang boleh dibaca dalam menjadikan diri pembaca tegar.
Akhir kata, initipati yang paling saya suka dalam buku ini ialah, buku yang kita suka tidak semestinya perlu disukai orang lain. Jika kita baca buku yang serius, tidak salah kawan kita mahu baca buku lawak. Bahan bacaan tidak seharusnya menjadi nilaian tahap kebijaksanaan kita sendiri.
Selamat menjadi Bibliofil.
Nota:
Bibliofil bermaksud pencinta buku atau orang yang suka mengumpul dan meminati buku.