Ulasan Buku: Psikologi Si Kecil – 50 Pesan Psikologi Anak-anak untuk Ibu Bapa

“Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2019 mendapati 9.5% kanak-kanak berusia 5-15 tahun mengalami masalah berkait dengan kesihatan mental. Kajian yang sama pada 2017 pula mendapat 2 dripada 3 remaja melaporkan ibu bapa mereka tidak memahami mereka.

Mendidik anak-anak zaman ini tidak semudah seperti mengulang kitaran cara ibu bapa kita mendidik kita. Anak-anak generasi ini lebih mencabar dengan pelbagai isu yang rumit.

Oleh kerana itu, Ibu bapa hari ini perlu mempersiapkan diri dengan ilmu asas tentang psikologi anak-anak supaya pendekatan kita kepada mereka bukan lagi berdasarkan percubaan, tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman.”

Dalam perjalanan mendidik anak, saya teringat satu situasi. Ada tempoh masa yang anak saya sangat kemaruk bermain air. Jika dibawa ke bilik air untuk mandi atau menukar lampin, pastinya saya akan menghadapi masalah untuk memujuk anak saya keluar semula. Sebagai ibu yang tidak punyai banyak kesabaran, ada masanya saya akan menggunakan jeritan sebagai jalan penyelesaian, seperti mahu tunjukkan kuasa. Sekali dua mungkin berjaya, tapi lama kelamaan anak saya tidak lagi takut, tetapi dia tidak sukakannya. Jika saya menjerit, dia akan menunjukkan ketidaksenangan dengan menyembur air kepada saya, membalas kemarahan.

Akhirnya, saya mengambil jalan lain. Saya memberi anak peluang untuk bermain air dalam suatu tempoh dan meminta dia keluar apabila masa tamat (meskipun kebiasaanya pasti terlajak). Keinginan anak memang ingin bermain dan explore. Itu adalah perkara yang tidak boleh saya halang, tetapi boleh dikawal. Saya memberi dia besen untuk bermain air dan beberapa bekas plastik sebagai permainan. Saya pula perlu menunggu sehinggalah dia selesai. Perkara yang saya sedari, dengan pengucapan dan kata-kata yang baik atau nada rendah, anak saya lebih mudah bertoleransi dan mendengar cakap walaupun perlu bersabar menunggu.

Adakalanya dalam mendidik anak-anak, kita (saya) terlepas pandang hal berkaitan emosi atau psikologi. Saya menganggap anak perlu mendengar kata-kata saya tanpa mempedulikan perasaan atau keinginan mereka, walhal mereka adalah makhluk yang sedang membesar, yang perlu saya fahami sebab mereka lakukan sesuatu.

Pesan Psikologi adalah buku tulisan Dr Rozanizam Zakaria, seorang pakar psikiatri, pensyarah dan pendidik kesihatan mental. Beliau banyak berdepan dengan pesakit mental dalam kalangan kanak-kanak. Kebanyakan kajian kes yang disebut adalah kisah benar yang beliau jumpai di klinik sendiri.

Ini buku keibubapaan yang sangat bagus! Penulis memberi penerangan psikologi daripada segi sains dan agama dengan santai. Penerangan paling berharga yang saya rasakan adalah mengenai setiap perilaku anak-anak sebenarnya ada sebab tersendiri, bukan kerana mereka nakal atau degil atau tidak mendengar kata.

Contohnya, penerangan tentang egocentrism. Ia adalah komponen pada fasa mereka merasakan mereka adalah centre of the universe. Pandangan mereka terhad dan pandangan itu tidak boleh diubah suai mengikut pandangan orang lain. Ia tidak sama dengan sifat pentingkan diri. Dalam situasi anak suka menghalang orang lain menonton televisyen, pada anak itu, jika dia boleh nampak, tentu orang lain boleh nampak. Dia tidak tahu dia boleh menghalang pandangan orang lain.

“Beza melihat anak berbuat sesuatu kerana ‘nakal’ dan berbuat sesuatu kerana ‘sifat semula jadi kanak-kanak yang menjadi sebahagian daripada perkembangan mereka.”

Jadi, jika kita faham sebab anak berbuat sesuatu, tentulah tindak balas atau teguran kepada mereka akan jadi berbeza bukan? Tidak sesuka hati memikir yang bukan-bukan tentang anak.

Bagi saya sendiri, saya memang lebih sukakan buku yang bukan sekadar memberi tips atau perkongsian, tetapi juga sebab saintifik atau agama di sebalik sesuatu. Paling kurang, saya mahukan penulis buku yang saya baca punyai kredibiliti. Jika anda seperti saya, maka buku ini sangatlah sesuai.

Tetapi adakalanya bacaan menjadi perlahan juga kerana fakta adalah perkara yang mengambil masa untuk dihadam.

Penulis turut memberi cadangan aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak dan beberapa teknik seperti menghadapi perbalahan anak-anak dan bermacam-macam lagi. Ia sesuai untuk anak kecil sehingga yang sudah remaja.

Ada sedikit perkara yang kurang saya senangi, iaitu kesalahan tatabahasa yang jelas terutamanya penggunaan ‘dari’ atau ‘daripada’. Entah kenapa, saya rasa pada awalnya buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan sebelum terbit. Struktur ayatnya sedikit seperti dalam bahasa Inggeris. Ada juga kesalahan ejaan tapi saya kira itu memang biasa terjadi.

Kekurangan ini tidaklah terlalu mengganggu sehingga membantutkan pembacaan saya.

Semoga usaha kita menambah ilmu ini membantu mendidik anak menjadi lebih baik.

Catatan Keibubapaan 1: Telatah Amir Akmal (2 Tahun 5 Bulan 22 Hari)

Sudah 4 bulan saya dan Amir 'terpenjara' di Johor. Pada awalnya saya pulang ke kampung kerana adik ketiga saya melangsungkan perkahwinan. Saya merancang untuk duduk di kampung selama dua minggu, kemudian barulah mencari jalan untuk memujuk 'abang polis' beri kebenaran untuk kami pulang semula ke Kajang. Namun, PKP pun terjadi dan kes semakin lama semakin mencanak menyebabkan saya dan Asnawi mengambil keputusan supaya kami duduk berasingan dahulu sehingga kes reda. Keadaan rumah pangsapuri kami dirasakan berbahaya dan tidak sesuai untuk keselamatan kami terutamanya Amir. Keluar sahaja dari pintu rumah, sudah terdedah kepada bahaya yang tidak dapat dilihat.

Meski sedih kerana tidak tinggal bersama, tetapi di suatu sudut dalam hati saya, tentulah saya gembira dapat tinggal di kampung, menjaga ibu saya yang beberapa minggu tidak sihat dan melihat Amir mempunyai lebih banyak ruang untuk diterokai.

Ketika baru pulang, kebanyakan masa Amir hanya bercakap dua hingga tiga ayat. Sekarang, selepas berbulan-bulan tinggal bersama empat orang dewasa, tentulah kosa katanya bertambah, malah idea untuk cuba memperdayakan orang lain turut sama berkembang.

Situasi 1:

Adakalanya saya memang tegas dengan pemberian coklat untuk dimakan oleh Amir kerana ini boleh mempengaruhi tenaganya terutama pada waktu malam. Jika pukul 10 malam makan coklat, pukul berapa pula mahu tidur? Walau bagaimanapun, saya bukanlah ibu yang diktator :P. Sering kali suami saya bercakap tentang pentingnya win-win situation, apakah yang terbaik boleh diperoleh dua pihak saat berbincang? Jadi saya merancang untuk beri juga sebiji, kerana saya tahu dia bakal mengamuk jika saya katakan tidak.

Tapi anak ini memang bijak, dia minta dahulu kebenaran kepada ibu saudaranya. Alia yang tahu pendirian saya berkata, "Amir tanya mommy dulu ok?"

Lalu dia pun berjalan ke arah depan pintu bilik (saya sedang bekerja di dalamnya), sedikit menjauh. "Mommy, amir nak makan coklat boleh?"

Tanpa menunggu saya menjawab, dia terus berpusing meminta coklat seolah-olah saya sudah pun berikan kebenaran.
..........

Situasi 2:

Amir punyai banyak pensel warna hasil pemberian Mak Long, nenek dan mommy sendiri. Saya letakkan sahaja dalam balang untuk memudahkan penggunaannya sendiri. Lagi pula, dia sendiri suka mewarna dalam versinya yang tersendiri sekarang.

Adakalanya, bukan digunakan untuk mewarna pun, tetapi lebih suka dibuat permainan sahaja.

Apabila disuruh kemas.... "Nenek jom kemas sama-sama."

Situasi 3:

Dapur kami ada dua meja makan. Satu adalah meja seperti meja makan lipat yang biasa dijumpai di mana-mana kedai makan. Satu lagi adalah meja pendek yang ketinggiannya tidak sampai pun semeter, sesuai dengan kerusi kayu berkusyen. Sudah tentulah meja ini dalam capaian Amir.

Terlalu banyak kejadian air teh dalam gelas abah saya menjadi tawar gara-gara anak ini entah bila menuang air masak ke dalamnya. Sehingga abah saya pun tidak lalu berkata apa-apa, senyum sahaja.

Baru sahaja kelmarin dia ulangi perbuatan ini tanpa sempat mak saya habis menjerit.

"Apa Amir buat dengan air atuk?"

Mendengar sahaja soalan saya ini, segera Amir baring dan berpura-pura tidur.

Aduhai, dari manalah idea secerdas ini datang?

Review Buku: Ada Apa Dengan Bermain – Sebuah Advokasi

Penulis: Dr Putri Afzan Maria Penerbit: EYTC Group & Resources Sdn. Bhd. Tahun Terbit: 2019 Muka surat: 158 Beli di: Imanshopee Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

PENGENALAN

Pernah saya terbaca yang enam tahun pertama dalam kehidupan kanak-kanak ialah fasa yang paling penting. Kerana itu, Dr Putri Afzan Maria, yang juga merupakan pengasas Kinder Kaizen Malaysia, memperkenalkan buku PLAY.

  1. Physical PLAY
  2. Puppet PLAY
  3. Read a Loud PLAY
  4. Loose Part PLAY
  5. Messy PLAY
  6. Block PLAY
  7. Doll House PLAY
  8. Makers PLAY
  9. Nature PLAY
  10. Pebbles PLAY
  11. Sensory PLAT
  12. Letter PLAY

REVIEW

Salah satu petikan dalam buku ini “PLAY is indeed a SERIOUS WORK for the child.” Cuma sedikit review pendek daripada saya, buku ini sangat informatif dan mudah difahami. Pelbagai gambar berwarna yang disertakan untuk bantuan visual dan supaya pembaca tidak bosan membaca buku ini.

Sebagai ibu bapa, kita boleh membaca banyak buku keibubapaan yang kita mahu, tetapi yang menjadi cabaran ialah bagaimana pengaplikasian bacaan kita itu.

Semoga dipermudahkan urusan kita untuk memastikan anak kita “PLAY”. Nota kaki: Ribuan terima kasih buat sahabat yang menghadiahkan saya buku ini.