Review Buku: Winner Take Nothing (Ernest Hemingway)

Winner Take Nothing adalah himpunan cerpen oleh Ernest Hemingway yang diterbitkan pada tahun 1933. Sesetengah daripada cerita pendek ini pernah disiarkan dalam majalah namun kebanyakannya belum pernah diterbitkan. Buku terbitan asal sebenarnya hanya ada 14 cerita di dalamnya, tetapi versi terbitan Arrow Books ini mengandungi tambahan lagi tiga buah cerita (dalam senarai nombor satu hingga tiga di bawah):

1. The Short Happy Life of Francis Macomber
2. The Capital of The World
3. Old Man at the Bridge
4. After The Storm
5. A Clean, Well-Lighted Place
6. The Light of The Place
7. God Rest You Merry, Gentlemen
8. The Sea Change
9. A Way You’ll Never Be
10. The Mother of a Queen
11. One Reader Writes
12. Homage to Switzerland
13. A Day’s Wait
14. A Natural History of the Dead
15. Wine of Wyoming
16. The Gambler, the Nun, and the Radio
17. Fathers and Sons

Sejujurnya, saya membaca buku ini bukan kerana kemahuan sendiri tetapi atas tuntutan kerja, namun ia tidak menjadi masalah kerana saya terbuka untuk cuba membaca buku yang tidak pernah terlintas untuk dibaca pun. Saya sendiri baru mengenal penulis dan baru tahu yang beliau adalah pemenang Anugerah Nobel Sastera. Cerita Ernest tidak berlebih-lebih dan kelihatan biasa-biasa sahaja. Ernest seorang yang pernah menyertai perang, terlibat dengan permainan laga lembu, memburu haiwan dan sering pergi memancing di kawasan laut dalam.Maka, kebanyakan tulisannya mencerminkan kehidupan ini.

Sebagai contoh, dalam One Reader Writes, ia berkenaan seorang wanita yang menulis surat kepada doktor yang menjawab persoalan dalam ruangan surat khabar. Dia bimbang kerana suaminya dijangkiti penyakit sifilis tetapi suaminya meyakinkan bahawa penyakit itu tidak akan membawa masalah. Perang bukan sahaja merampas nyawa dan adakala jiwa manusia (walaupun orang hanya peduli pada Post Traumatic Stress Disorder agak lewat), tetapi akibatnya kesunyian, mereka berhubungan dengan orang lain sehingga terkena penyakit. Jadi, karyanya sedikit mengingatkan saya kepada Salina dan Sungai Mengalir Lesu tulisan SN A Samad Said kerana dua cerita ini adalah gambaran kepada betapa teruknya kesan perang kepada penduduk di negara yang terlibat.

Bahasa dan tulisan Hemingway agak sukar untuk saya hadamkan, terpaksa diulang berkali-kali. Tatkala saya suarakan kepada kakak ipar saya, rupa-rupanya beliau berpendapat yang sama kerana pernah cuba membaca karya penulis ini. Usah mengharap sebarang penamat bahagia dalam setiap cerita kerana itu bukan gaya Hemingway. Ia cerita biasa yang tiada penamat dan jika ada, jarang sekali penamat yang bahagia, tetapi lebih kepada tragedi.

Ada satu persoalan yang masih sedang cari jawapannya. Mengapa tajuknya Winner Take Nothing? Tiada satu pun cerita yang mempunyai tajuk ini dan siapakah Winner yang dimaksudkan?

Ah sudah, bagaimana mahu diterjemah?

Review Buku: Profesor (Faisal Tehrani)

Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Buku Fixi
Tahun Terbit: 2018
Muka surat: 370
Beli di: Gerak Budaya (versi BI)
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda

.

Suliza, seorang profesor yang feminis menyedari seksualitinya tidak normal ketika bersekolah di sebuah sekolah agama. Selepas tragedi buruk menimpa insan yang disayangi, Wan Ros, dia berpindah ke Amerika untuk meneruskan pengajian. Di sana dia mula mengkaji dan menyokong gerakan hak asasi manusia, sebuah perjalanan yang membawanya dari Cornell ke Geneva dan Stockholm.

Sekembalinya ke Malaysia, Suliza dan sahabat peguamnya Maria sering kali menjadi sasaran kumpulan konservatif kerana hak asasi yang mereka pertahankan serta seksualiti mereka. Suliza berkenalan dengan Hashimah, seorang tukang cuci di universiti dia mengajar. Suami Hashimah seorang ustaz yang merupakan seorang pengganas yang dikehendaki dan menyebabkan keadaan semakin berbahaya buat Suliza. Penahanan suami Hashimah menyebabkan kejadian pembunuhan tragis Suliza. Profesor tulisan Faisal Tehrani bukan sahaja memaparkan kisah cinta namun juga makna keadilan, seksualiti dan agama dalam masyarakat yang didominasi oleh golongan pelampau.

Sumber: Gerak Budaya

Sudah hampir seminggu saya mengkhatamkan buku ini, namun baru kini berkesempatan untuk membuat ulasan. Seperti biasa, seorang Aina menghabiskan buku yang sudah dibeli beberapa tahun lepas kemudian rasa menyesal tidak membaca lebih awal.

Selama tiga tahun ini, tak pernah pun saya nak ambil tahu atau cuba-cuba baca reviu tema apa yang dibawa dalam buku ini. Kalau lihat kulit buku pun, ia dijual sebanyak 1500 naskhah sahaja kerana kebimbangan ‘diban’. Sekarang masih ada namun versi Bahasa Inggeris yang diterjemah dan diterbitkan oleh Gerak Budaya.

Sewaktu beli dulu pun saya cuma berfikir, “ha ada 1500 sahaja buku ni dalam Malaysia, tak boleh terlepas, FT pula tu”. Nyata sekali buku ini membawa tema hak asasi manusia, namun ideanya pasti kurang menyenangkan pembaca di Malaysia terutamanya yang beragama Islam kerana kelompok yang diketengahkan ialah LGBTQ. Ia sarat dengan banyak fakta dan paling penting, sindiran kepada banyak pihak, terutamanya agamawan.

Banyak sekali petikan teks Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang diselitkan. Jujurnya memang sedikit membosankan buat saya, tapi kerana saya jenis pembaca yang tak akan langkau halaman, ku gagahkan jua membaca.

Profesor Suliza, Dalila, Wan Ros, Jebat, Ustaz Idrus, Dr Ali Taqi, Hashimah dan banyak lagi watak sangat menghidupkan kisah dalam cerita ini. Sesuatu perkara berlaku sememangnya berlaku dengan sebab. Suliza begitu lantang menentang agamawan dalam isu LQBTQ lantaran kekerasan yang diterimanya sewaktu zaman bersekolah. Ustaz Idrus dibunuh bukanlah kerana isterinya perempuan jahat, namun kerana kejahatan dan dirinya sendiri yang menyalahgunakan agama demi kepentingan sendiri.

Apabila diletakkan label Untuk Pembaca Matang di buku ini, maka ia memang terpakai untuk menentukan usia pembaca buku ini, kerana ada beberapa babak erotik...

Membaca buku ini juga umpama membawa saya mengelilingi dunia. Pada awalnya banyak babak berlangsung di Geneva, seterusnya India, Stockholm, Jerman, Paris, Jepun dan bermacam-macam lagi. Penulis juga banyak membuat cameo dalam bukunya sendiri.

Tidak semua idea yang diketengahkan saya persetujui, namun, perbincangan mesti terus berlaku. Bulat-bulat menerima pun tidak, bulat-bulat menolak pun jangan, pembacaan mesti terus dilakukan dan mesti terus berfikir.

Kesimpulannya, manusia perlulah dilayan seperti manusia, bukan haiwan. Kita tidak berhak menjadi Tuhan lalu menghukum manusia atas perkara yang tidak mampu kita halang/tukar.

Review Buku: Angkatan Baru

Penulis: Hamka Penerbit: Gema Insani Tahun Terbit: 2016 Muka surat: 90 Beli di: Jejak Tarbiah Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN / BLURB

Ceritanya pendek sahaja tapi terkandung kritikan mendalam untuk golongan yang ‘berpendidikan tinggi agama’. Syamsiar selepas habis pengajian agama (diploma) selama setahun tidak dapat pekerjaan mengajar di mana-mana. Jika ada tawaran pun, dia tidak dibenarkan pergi oleh keluarganya sebab gaji rendah / hal-hal lain. Syamsiar tak rasa yang hal membuat kerja-kerja mengemas rumah atau memasak patut dilakukan oleh seorang lepasan sekolah tinggi. Jadi, dia sering berkurung dalam bilik mengaji ‘kitab’. Sebenarnya dia lebih sibuk membaca buku cinta dan mengenang cinta lama di sekolah. Tak padan langsung dengan status seorang cerdik pandai agama.

Hasan juga seorang lulusan sekolah agama tetapi ada pendapat yang berbeza dengan Syamsiar. Bukan mudah untuk dia mendapatkan kerja sebagai guru, kekosongan jawatan guru tak sebanyak lepasan sekolah. Hasan ambil keputusan untuk bekerja sebagai petani dan di malam hari mengajar agama kepada anak-anak kampung walaupun upah sedikit. Dia lebih mementingkan pembinaan bangsa. Ejekan tidak menjadi kudis pun dalam diri Hasan malah dia lebih berpuas hati dengan pilihannya.

Oleh kerana kedua-duanya sekufu pendidikan, Syamsiar dijodohkan dengan Hasan dan bahagialah mereka pada beberapa bulan sehinggalah…

REVIEW

Pak Hamka menulis dalam prakata bahawa kisah-kisah ini diperoleh melalui kisah-kisah benar yang beliau jumpai sepanjang bertugas di Kantor Buku.

Pak Hamka menegur golongan kelulusan agama yang merasakan mereka ini ‘up one level’ berbanding orang lain dan tidak mahu masuk ke dalam masyarakat. Lihat bagaimana Syamsiar yang langsung tak mahu mengotorkan tangannya sehingga lepas berkahwin pun, ibu dan adik Syamsiar terpaksa tinggal sekali bersamanya demi menyelesaikan tugas membasuh baju dan memasak. Dia hanya mahu bermesra-mesra dengan Hasan, padahal sebagai bijak pandai, jika tak mahu sibuk buat kerja rumah, dia patut ambil tahu isu pendidikan orang sekeliling.

Bagi saya keluarga Syamsiar pun patut memikirkan ‘way forward’ apa yang mesti dilakukan selepas menghantar anak gadis ke sekolah, bukan hanya menyimpan mereka di rumah (zaman itu, anak gadis ke sekolah sangat luar biasa). Jika upah sedikit / jauh dari rumah, itu lumrah biasa, mereka patut dibiasakan berdikari. Hasan akhirnya selepas beberapa bulan merasa tak selesa dengan Syamsiar yang hanya mahu bermesra, susah untuk dia menyiapkan kerja-kerja yang tergendala dan bagi Hasan, berkahwin bukan sekadar bermesraan sahaja. Syamsiar yang rasa seperti ditolak bertindak mengutus surat kepada kenalan lelaki lamanya waktu sekolah dahulu. Bagaimana orang yang ‘ada agama’ boleh bertindak seperti ini? Buku ini ringkas sahaja tetapi sarat dengan pengajaran. Kisah yang diceritakan masih relevan. Adakah kedudukan orang mengaji agama lebih tinggi daripada orang biasa? Apa yang terjadi kepada Syamsiar dan Hasan apabila Hasan terjumpa surat balasan kepada Syamsiar dari kenalan lamanya itu? Dapatkan jawapan dalam buku ini ya. Selamat membaca!

Review Buku: Pride and Prejudice

This image has an empty alt attribute; its file name is pride-and-prejudice.jpg
Penulis: Jane Austen Penerbit: MacMillan Popular Classics 2016 Tahun Pertama Terbit: 1811 Muka surat: 304 Beli di: Kinokuniya, Book Depository & MPH Online Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS

Kisah bermula apabila seorang lelaki muda kaya yang bernama Mr Bingley berpindah ke Netherfield Park (penduduk di Longbourn memang tahu pemiliknya mesti kaya). Mrs Bennet merasakan inilah masa paling yang sesuai untuk menjodohkan anak perempuannya, Jane Bennet dengan Mr Bingley.

Sewaktu majlis tari menari di Meryton, Mrs Bennet mengambil peluang memperkenalkan Mr Bingley dengan Jane. Majlis tari menari ini jugalah tempat pertemuan pertama antara Elizabeth Bennet dan Mr Darcy. Elizabeth cuba memulakan perbualan tetapi Mr Darcy tak layan dan turut tidak disukai oleh Mrs Bennet.

Pertemuan demi pertemuan seterusnya antara Elizabeth & Mr Darcy menimbulkan beberapa konflik. Elizabeth duduk beberapa hari di Netherfield Park untuk menemani Jane yang sakit dan berpeluang berbual dengan Mr Darcy. Ketika melawat Charlotte Lucas di Hansford dia bertemu semula Mr Darcy dan saat itulah Mr Darcy meluahkan perasaan kepada Elizabeth. Elizabeth menolak atas dua sebab:

  1. Mr Darcy bertanggungjawab memisahkan hubungan Mr Bingley dan kakaknya – Jane Bennet.
  2. Sejarah perhubungan Mr Darcy yang membuang Mr Wickham daripada Derbyshire

Mr Darcy sangat marah dengan tuduhan Elizabeth dan berlalu pergi. Dia memberi Elizabeth surat untuk penjelasan sehingga Elizabeth rasa malu dengan dirinya sendiri.

Kembara Elizabeth seterusnya bersama ayah dan ibu saudaranya ke Pemberly menemukan semula dia dengan Mr Darcy yang membuat Mr Darcy terlibat dalam penyelesaian masalah adik Elizabeth, Lydia yang hendak kahwin lari dengan Mr Wickham.

REVIEW

Beberapa isi penting yang ditulis oleh Jane Austen ini membuatkan saya berfikir:

Wanita dan Perkahwinan

Kebanggaan dan pencapaian terbaik seseorang wanita ketika itu hanyalah ketika mereka dapat berkahwin. Mrs Bennet sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan anaknya berkahwin. Dia sanggup membiarkan Jane menaiki kereta kuda ketika hendak memenuhi jemputan ke Netherfield Park supaya jika Jane sakit, dia boleh bermalam di situ dan mula bercinta dengan Mr Bingley.

Memaksa Elizabeth berkahwin dengan Mr Collins walaupun Elizabeth tidak sedikit pun menyukai Collins.

Walaupun mengetahui Mr Wickham seorang yang tidak baik kerana melarikan Lydia, tetapi kesedihan kehilangan Lydia tiba-tiba bertukar menjadi kegembiraan apabila mengetahui Lydia telah berkahwin (walaupun mengetahui peribadi Wickham). Satu kebanggaan besar apabila Lydia telah berkahwin dalam usia 15 tahun dan mesti diuar-uarkan kepada seluruh penduduk.

Penafian Harta Kepada Wanita

Sikap Mrs Bennet berkemungkinan didorong oleh polisi penghujung abad ke-18 di England pada masa itu – perwarisan harta hanya kepada lelaki. Mrs Bennet tiada anak lelaki, dan sekiranya Mr Bennet mati, rumah yang mereka duduki akan jatuh ke tangan Mr Collins, anak saudara Mr Bennet.

Nilaian status sosial seseorang ketika itu diukur dengan harta benda. Hatta jika seseorang perempuan itu masak, diketahuilah taraf mereka rendah kerana tidak mampu mempunyai orang gaji / tukang masak.

Pride and Prejudice

Tajuk Pride ini sebenarnya ditujukan kepada Mr Darcy dan Prejudice pula ialah Elizabeth Bennet. Pride / Angkuh / Sombong – sikap Mr Darcy pada awal pertemuan dia dengan Elizabeth sebab Darcy tak tahu macam mana nak bergaul dengan orang baru. Dia juga yang pada awalnya mempengaruhi Mr Bingley untuk tidak meneruskan hubungan dengan Jane sebab merasakan keluarga Bennet berniat tidak baik dan bermasalah. Prejudice – Elizabeth yang bersikap prejudis terhadap Mr Darcy apabila dia dengan mudah mempercayai tuduhan Mr Wickham terhadap Mr Darcy bahawa Mr Darcy telah mengusir Mr Wickham kerana cemburu kepada kasih sayang ayah Mr Darcy terhadap Mr Wickham. Hal yang sebenar ialah Mr Wickham yang berundur diri sebab tidak lagi mahu berkhidmat dengan keluarga Darcy dan pernah cuba berkahwin lari dengan adik Mr Darcy saat mengetahui Georgiana Darcy mewarisi 30000 pound.

Elizabeth: “What made you so shy of me, when you first called, and afterwards dined here? Why, espe- cially, when you called, did you look as if you did not care about me?” Darcy: “Because you were grave and silent, and gave me no encouragement.” Elizabeth: “But I was embarrassed.” Darcy: “And so was I.” Elizabeth: “You might have talked to me more when you came to dinner.” Darcy: “A man who had felt less, might.”

Keseluruhan

Tujuan awal saya baca buku ini sebenarnya untuk mengasah pembacaan saya dalam Bahasa Inggeris. Walaupun pada awalnya agak perlahan sebab terlalu banyak ayat kiasan yang perlu saya baca berulang kali untuk fahamkan maksud sebenar dan kadang kala saya keliru dengan siapa yang menuturkan dialog tapi saya berpuas hati sebab tulisan Austen sebenarnya simple English saja. Jalan cerita yang bagus dan tidak fokus kepada percintaan sahaja tetapi juga nilai kekeluargaan dan persahabatan.

Satu perkara yang lucu bagi saya, walaupun Lydia kononnya bahagia dengan lelaki yang dia cintai, lihat surat yang dia kirimkan kepada Elizabeth:

Selamat membaca! Nota kaki: Poster filem adaptasi Pride & Prejudice (2005)

Review Buku: Salina

Penulis: A. Samad Said Penerbit: Wira Bukit Sdn. Bhd. Tahun Terbit: 2012 Muka Surat: 371 Beli di: The Bibliophile PENGENALAN

Novel mengenai seorang perempuan bernama Salina yang didorong kemiskinan untuk mencari kerja sebagai pelayan di Singapura dan Tanah Melayu (Malaysia) pada tahun 50-an.

“Salina, kakak bercakap dengan ikhlas, dari hati kecil kakak benar-benar dan kau tau bagi kakak kau sudah seperti adik kakak sendiri, timbangkanlah cakap kakak ini. Ubahlah cara hidup kau. Berikhtiarlah supaya jangan terus-menerus sahaja kau men-jalani kehidupan seperti ini.”

Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura, selepas Perang Dunia Kedua. Novel ini menggambarkan ke-miskinan,keruntuhan moral di kota dan pergelutan untuk melangsungkan survival di tengah-tengah kehancuran kehidupan selepas perang.

Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat perang memberi kesan yang cukup kuat dalam diri Samad yang pada masa itu masih anak-anak lagi. Dia mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang-orang Indonesia yang hanyut berkelana dan menjadi buruh di Singapura.

Ini bukanlah persoalan yang sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu, tetapi Samad telah memperlihatkan kebolehan seninya dengan melukiskan semua hal ini secara artistik melalui dialog-dialog dan tingkah laku watak-wataknya. Manusia yang lahir dalam Salina adalah manusia yang natural dan bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya. Memang Samad mempunyai kekuatan dalam hal ini kerana ketelitiannya mengamati watak-watak orang.

REVIEW

Dalam prakata yang ditulis Pak Samad untuk buku ini, beliau ada menjelaskan,

” ‘Salina’ sangatlah luar biasa bagi khazanah sastera saya kerana ia telahpun sempat dipadukan orang tentangnya dengan saya. Ketika menulisnya dahulu memang saya tidak terfikirkan – ataupun merancang secara berpesan – untuk menjadikan karya ini sebuah karya mendidik. Saya hanya ingin menghantar sebuah kisah realis yang wajar kita renungi dan adili sendiri dengan memberikan tafsiran atau hukumannya.

Saya sendiri tidak bersedia menjadi seorang moralis yang palsu; saya hanya ingin menjadi penyampai sebuah kisah yang – saya harap – bakal mampu membuka fikiran umum tentang wujud kesan perang yang sangat merosakkan. “

Hakikatnya walaupun Pak Samad tidak merancang apa-apa untuk masterpiece ini, tetapi beberapa bulan sebelum review ini ditulis, Salina telah pun diulang cetak untuk ulang tahun yang ke 60. Salina dianggap karya paling agung milik Pak Samad dan masih menjadi sebutan hingga saat ini.

Permulaan kisah ini amat perlahan dan beberapa kali membuatkan saya berputus asa untuk meneruskan bacaan. Pak Samad menerangkan keadaan di Kampung Kambing dengan amat terperinci. Bumbung yang bocor setiap kali hujan, tikus-tikus yang berkeliaran dalam bilik penghuni, bilik air dan tempat mencuci yang gelap dan bermacam-macam lagi.

Walaupun tajuk novel ini bernama Salina, namun kisah dalam novel ini tidak hanya menumpukan kepada watak Salina sahaja, tetapi juga Hilmy, Nahidah, Khatijah dan Haji Karman. Kesan perang yang dimaksudkan Pak Samad ialah melalui beberapa kejadian yang menimpa watak-watak ini. Mereka kehilangan keluarga akibat beberapa letupan sehingga menyebabkan trauma. Kerana desakan hidup, Salina sanggup menggadaikan tubuh walaupun dia sendiri tahu kelakuannya itu salah. Nahidah pula dipaksa ibu tiri untuk menjadi pelayan hingga akhirnya menyebabkan dirinya juga tergadai. Hilmy pula, walau bercita-cita tinggi untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi tetapi akhirnya terhenti akibat terpaksa menjaga ibu yang sakit.

Terdapat banyak sudut yang boleh diambil dalam memandang dan menilai sesuatu perkara. Khatijah, ibu kepada Hilmy mengambil jalan untuk berbuat baik kepada Salina meskipun mengetahui jalan yang diambil beliau dalam meneruskan kelangsungan hidup. Apabila tiba waktu yang sesuai, Khatijah tidak teragak-agak memberikan teguran yang paling berhemah agar Salina meninggalkan dunia gelapnya itu. Berbeza dengan Haji Karman, beliau berpegang teguh dengan ajaran Islam tetapi hanya mampu memandang serong dan cakap-cakap di belakang Salina, tidak mahu mengambil tahu situasi sebenar.

Saya tidaklah menyokong perbuatan Salina, kerana pilihan pekerjaan Salina itu memang ternyata dihalang di sisi agama, tetapi sebelum mudah-mudah kita mengata, haruslah kita rajin-rajin mengambil tahu dulu sebab terjadinya sesuatu perkara itu.

Buat pembaca semua, selamat menghayati Salina.

Review Buku: Surat-Surat dari Maninjau

Penulis    : Hafizul Faiz Penerbit   : Jejak Tarbiah Tahun Terbit: 2016 Muka surat: 196 Beli di: Jejak Tarbiah Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Di surat-surat dari maninjau ada cinta yang utuh, impian yang terpaksi dan kejujuran yang menjahit segala wacana. Sesiapa sahaja boleh temui dirinya di dalam surat-surat dari maninjau, seperti saya yang menemui diri saya setelah menoktahkannya.

Kepada pencinta sejarah, kepada sejarawan yang jatuh cinta, kepada yang tak pasti, kepada yang memilih untuk pergi, semoga surat-surat dari maninjau yang tiba di tangan-tangan, kalaupun tidak mengubah apa-apa, cukuplah andainya bisa membawa kalian ke daerah yang paling indah, iaitu daerah ‘diri sendiri’.

REVIEW

Saya tidaklah begitu mengenali sosok saudara Hafizul Faiz, tetapi saya tahu beliau merupakan seorang penulis dan memiliki beberapa buku yang sudah diterbitkan. Sememangnya sikap saya yang tidak sesuka hati membeli buku milik penulis yang tidak begitu saya kenali atau belum pernah membaca sebarang karyanya. Namun, apabila saya lihat nama beliau sebagai seorang speaker program Kampung Buku Jejak Tarbiah, dan digelar sebagai Sasterawan Muda, (ya beliau seusia dengan saya), saya pasti ada sesuatu yang istimewa dalam tulisan penulis ini.

Surat-Surat dari Maninjau bagi saya sebuah naskhah yang amat super duper power. Buku ini berpeluang menjadi naskhah yang evergreen. Dalam buku ini, penulis menghidangkan fakta-fakta ilmiah sejarah penyebaran agama Islam ke Nusantara dengan cara tersendiri, iaitu melalui surat– surat yang diutus Qhuzeil kepada Asyfa dan Natrah.

Siswa dan Ketekunan Menuntut Ilmu

Fakta – fakta ini tersusun dan diterangkan dengan baik dan seperti memanggil-manggil kita untuk segera mencari dan mentelaah sumber-sumber yang penulis nyatakan dalam buku ini. Penceritaan sejarah dengan cara ini amat baik dan langsung tidak membosankan ketika sesi pembacaan. Saya seperti tidak mahu berhenti setiap kali meneruskan pembacaan. Sebagai seorang siswa, ketekunan menggali ilmu Qhuzeil, Asyfa, Nubhah dan Natrah amat saya kagumi. Qhuzeil sebagai siswa dan masih muda, pastinya tidak lari daripada perkara fitrah. Beliau jatuh suka kepada sahabat seperjuangan belajar sejarahnya, Asyfa. Namun begitu, tidak semua kisah cinta berakhir dengan bahagia. Seperti mengingatkan saya kepada novel Buya Hamka, iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah, begitulah juga yang terjadi kepada Qhuzeil. Saya jadi jatuh kasihan. Dia memendam rasa seperti Hamid, cuma cinta Hamid itu berbalas walaupun tidak bersatu, tetapi Qhuzeil malah ditolak mentah-mentah oleh Asyfa. Kisah cinta tiga segi berada di mana-mana pun, tetapi olahan penulis ini membuatkan kisah itu nampak lebih unik dan lain daripada yang lain. Cinta itu berlegar dalam perjalanan mencari ilmu, bukannya hanya sibuk berkasih dan melupakan perkara lain. Wah wah, padahal kisah cinta kurang 50 peratus tapi lebih banyak saya ulas hahaha.

Nilai yang dibawakan dalam buku ini amat penting, iaitu keghairahan dan kesungguhan menuntut ilmu. Lihat sahaja bagaimana ketekunan Qhuzeil dan Asyfa dalam mendalami sejarah. Natrah pula yang tidak jemu-jemu mencari maklumat, malah berani membuat pembentangan walaupun masih seorang pelajar. Ketika saya sorang pelajar, pembentangan ialah sesuatu perkara yang saya sentiasa mahu elak, kerana tidak yakin dengan ilmu dan penyampaian sendiri. Sebab itu saya jadi kagum kepada orang-orang yang yakin dengan pendapat mereka dan mahu membuat pembentangan idea, dan mahukan kritikan bagi penambahbaikan. Saya turut tertarik kepada perenggan ini,

“Tahun lepas saya ditawarkan kerusi kuliah. Saya menolak. Saya mahu ditawarkan ruang untuk wacana ilmu diluaskan. Bukan ilmu sebagai tunggangan untuk meraih populariti. Sepanjang pengamatan saya, kerusi politik kampus langsung tidak berjaya memberikan kedudukan kepada budaya ilmu. Di sana ada pihak yang mengongkong dan menentukan dasar. Ilmu didikotomikan. Disempitkan. Saya pernah menganjurkan wacana tentang Merdeka. Saya mahu mengutarakan makna Merdeka disebabkan saya lihat suramnya budaya menyambut dan menghargai hari kemerdekaan negara ini. Saya menjemput Dr Maszlee Malik, Xifu Naser dan beberapa rakan Buddha dan Hindu. Saya dikecam. Atas alasan “pembentang yang dijemput tidak jelas fikrah”. Sejak dari hari itu, saya fikir saya salah tempat bernaungkan di bawah Parti Politik Kesatuan Agama Islam Kampus. Nama sahaja agama. Tetapi agama yang diwajahkan ternyata memburukkan lagi agama. Yang paling mengerikan, mereka bernaung di bawah sebuah parti yang mendokongi dasar agama terbesar di negara ini. Oh, my God!”

Mengingatkan saya kembali kepada zaman belajar di universiti dulu. Berada dalam satu kumpulan agama, kita terkongkong dalam pemikiran sesama kelompok sahaja. Tidak terbuka kepada idea dan ilmu, jika pembentang atau pemiliknya bukanlah dalam kapal yang sama. Saya harap golongan yang sekarang tidak lagi begitu, ilmu bukan hanya tertakluk kepada golongan sefikrah sahaja, tetapi lebih besar daripada itu.

Surat selamat tinggal daripada Qhuzeil kepada Asyfa sangat menyentuh hati. Dapat dirasakan kekecewaan yang mendalam dan kesedihan Qhuzeil, serta kesediaan beliau untuk jalan terus atau yang orang sekarang suka sebut, Move On. Ayat-ayatnya begitu puitis. Selepas setiap perenggan saya pasti berhenti sebentar untuk menghayati dan menghadam, seperti tidak mahu surat itu habis.

Surat itu tergantung, dan saya tertanya-tanya, apa yang terjadi kepada Qhuzeil? Saya berharap saya akan dapatkan jawapannya dalam sambungan buku ini, Surat-Surat dari Edinburgh. Buat kalian yang menggemari sejarah, buku ini pastinya sesuai untuk kalian. Selamat membaca!

Review Buku: Kumpulan Cerpen Segara Lazuardi

Penulis: Tiras Raduan Penerbit: ITBM Tahun Terbit: 2015 Muka Surat: 156 Beli di: ITBM Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

“Berbanding dengan laut dan buana, kami tiada makna apa-apa selain makna sebuah kewujudan. Begitu juga engkau, engkau hanya suatu kewujudan. Kita hanya perlu memberikan makna kepada kewujudan kita. Sama ada engkau hadir atau tidak ke dalam hidupku, itu tidak memberi kesan kepada luasnya laut dan buana.

Jika laut itu kehidupan, maka kapal itulah kita yang mengisi kehidupan; berlayar dari pelabuhan ke pelabuhan. Kita ini datang dari ‘pelabuhan’ Tuhan untuk belayar dan akhirnya kembali berlabuh semula di ‘pelabuhan’ Tuhan. Andai gelombang sehaja yang dapat mengajar engkau,‘biar aku menjadi gelombang dan akan kupecahkan bahtera kita sebagai pengajaran.”

REVIEW

Buku ini saya beli ketika hadir ke Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Puan Nisah Haron tempoh hari. Itulah pertama kali saya bertemu Puan Siti Salbiah atau lebih dikenali dengan nama Tiras Raduan.

Takjub. Itulah perkataan yang boleh saya gambarkan mengenai buku ini. Laut menjadi punca rezeki daripada Tuhan. Laut juga menjadi penghibur hati tatkala duka. Sumber hiburan juga datang daripada laut dan sekitarnya. Adakalanya, laut memberi kisah duka, merampas orang yang disayangi. Kerana laut, ribuan kisah tertulis.

Setiap cerpen dalam buku ini diinspirasikan daripada laut, pantai, pasir dan sebagainya yang berkaitan dengan laut. Tidak seperti cerpen-cerpen lain yang pernah saya baca, hanya satu cerpen dalam kumpulan ini terkandung dialog. Kesemuanya berkonsepkan naratif, seperti monolog dalaman seseorang.

Kisah-kisah yang ada mungkin hanya lontaran kisah biasa di sekitar kita yang pernah kita dengari, tetapi tulisan Puan Tiras membuatkan saya tidak mampu meletakkan buku ini selagi belum sampai ke muka surat terakhir. Kisah-kisah ini juga sangat deep. Saranan saya kepada semua, marilah dapatkan buku ini anda pastinya tidak menyesal.

Nota kaki: Sedikit info yang saya dapat dalam bengkel penulisan, “Jualan buku antologi cerpen dan kumpulan cerpen lebih laku di Singapura berbanding Malaysia, kerana rakyat di sana kesuntukan masa, jadi cerpen ialah bahan bacaan yang sesuai. Anda yang kesuntukan masa tapi masih mahu membaca, jom cuba baca cerpen pula.

Review Buku: Duo Cerpen Nogoghi @ Duo Stories of Nogoghi

Penulis: Nisah Haron Penerbit: Nisah Haron Tahun Terbit: 2015 Muka surat: 74 Beli di: Ujana Ilmu Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Mengandungi dua buah cerpen yang berlatarbelkangkan adat Perpatih, iaitu Lemang Nan Sebatang dan Aset Istiqamah. Kedua-dua cerpen ini diterjemah ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Lemang Soliloquy dan Istiqamah’s Trust.

REVIEW

Nisah Haron menerbitkan Duo Cerpen Nogoghi @ Duo Stories of Nogoghi saat permohonan beliau untuk menyertai Program Penataran Penulis Antarabangsa (IWP) di Universiti Iowa dengan tujuan memperkenalkan budaya Melayu ke persada antarabangsa.

Cerita dalam buku ini telah membuka mata saya yang selama ini tersalah anggap bahawa Adat Pepatih merupakan adat yang melanggar syarak. Adat Pepatih yang saya kenal selama ini hanyalah adat yang berpihak kepada golongan perempuan dan tidak menguntungkan pihak lelaki dalam sesebuah keluarga atau suku, walaubagaimanapun, ia adalah sebaliknya.

Duo yang bererti dua dalam dialek Negeri Sembilan ialah bilangan cerpen dalam buku ini. Buku ini turut ditulis dalam dwibahasa oleh kerana tujuan asal pembikinannya ialah untuk tujuan pasaran antarabangsa. Dua cerpen dalam buku ini mengetengahkan isu yang sering dipertikaikan dalam adat ini iaitu warisan harta dan halangan perkahwinan sesama suku (jika kita berada dalam suku yang sama, kita umpama adik beradik). Kerana harta, putus saudara terutamanya apabila waris lelaki hanya berputih mata melihat tanah milik keluarga mereka berpindah milik kepada perempuan termuda dalam keluarga terdekat akibat keluarga sendiri tiada waris perempuan.

Benarkan adat ini sebenarnya adil dan membela wanita? Marilah kita sama-sama hayati tulisan Nisah Haron ini.