Review Buku: Projek Bibliofil- Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca

Penulis: Zahrah Yunos Penerbit: Zahrah Yunos Tahun Terbit: 2018 Muka Surat: 122 Beli di: Jejak Tarbiah PENGENALAN

Buku Projek Bibliofil ditulis untuk mengajak semua orang supaya membaca dengan aktif. Antara caranya adalah dengan membuat catatan tentang buku yang dibaca.

Oleh itu, buku ini didatangkan dengan jurnal membaca yang ringkas. Pembaca juga digalakkan untuk berkongsi jurnal membaca mereka di laman sosial.

Pernah saya dibelikan buku tentang buku oleh sang belahan jiwa ( ketika itu kami masih belum ada ikatan sah), iaitu How to Read a Book oleh Mortimer Adler.

Memang seronok perasaan dihadiahkan buku tetapi seingat saya, saya tidak habis satu bab pun lagi (ops!). Buku itu terlalu tebal, tulisan yang kecil dan berbahasa Inggeris, yang selalunya boleh menjadi penghilang mood membaca (saya menulis ini sambil mencari buku itu di rak buku). Ah alasan saja bukan, walhal terlalu banyak review baik tentang buku ini.

Kenapa saya tiba-tiba bercerita tentang buku yang masih lagi belum saya habiskan? Ini kerana, buku ketiga saya untuk tahun 2020 ini juga buku tentang buku. Sebenarnya sekian lama saya memerhatikan buku ini di beberapa jualan buku, tetapi sebagai pembaca buku tegar yang sedar akan kemampuan kewangan, saya mengutamakan buku yang saya rasa utama (sambil mengenangkan To be Read Pile yang menggunung). Tapi saya tewas jua saat melihat buku ini tempoh hari di gerai jual Mug & Paper.

Sekiranya mahu menjadi pembaca tegar dan cintakan buku, buku ini wajib ada dalam simpanan anda dan habis dibaca. Buku ini juga saya kategorikan sebagai panduan menjadi Bibliofil yang berjaya.

Pernah tak anda rasa tidak bersemangat untuk menghabiskan sesuatu bacaan? Saya pun pernah. Rasa tidak semangat ini kadang kala bukanlah kerana kita malas atau apa, mungkin pilihan buku kita ketika itu tidak sesuai, atau masa kita membaca itu tidak sesuai. Penulis Zahrah Yunos merungkaikan sebab-sebab terjadinya reader’s block yang membuatkan proses membaca kita terhenti dengan begitu lama. Selain itu, ada juga tip-tip membeli buku supaya tidak kerugian wang membaca buku yang tidak sesuai dengan kita. Dalam buku ini turut dikongsikan turutan-turatan buku yang boleh dibaca dalam menjadikan diri pembaca tegar.

Akhir kata, initipati yang paling saya suka dalam buku ini ialah, buku yang kita suka tidak semestinya perlu disukai orang lain. Jika kita baca buku yang serius, tidak salah kawan kita mahu baca buku lawak. Bahan bacaan tidak seharusnya menjadi nilaian tahap kebijaksanaan kita sendiri. Selamat menjadi Bibliofil. Nota: Bibliofil bermaksud pencinta buku atau orang yang suka mengumpul dan meminati buku.

Review Buku: Kertas – Kertas yang Merubah Fikir

Penulis: Najibah Abu Bakar, Nor Azzah Momin, Shah Ibrahim, Norliza Abu Bakar, Zalila Isa, Nuruddin Azri Zulkifli, Zamri Misman, M.K. Riza, Syed Putra Iqmal Syed Jamalullail, Mohd Faizal Aziz, Mohd Izwanuddin Abd Rahim, Azizon Othman, Azizah Mustaffa, Aina Dayana Hilmi, Ruzain Syukur Mansor, Wan Amalyn, Sharul Adziah Aziz, Norziati Rosman, Lenny Din, Saniah Mat Sanat dan Syuhada Adros. Penerbit: Jejak Tarbiah Tahun Terbit: 2018 Muka Surat: 163 Beli di: Jejak Tarbiah PENGENALAN

21 penulis yang berlatarbelakangkan ahli Goodreads Malaysia bergabung dengan membawa pembaca ke dalam dunia buku milik mereka. Kesemuanya bercerita pengalaman pertama kali ditemukan, menemukan, tidak sengaja bertemu dengan buku sejak dari zaman kecil lagi sehinggalah kini.

REVIEW

            Ketika kita membaca, mesti kita dapat relate dengan cerita-cerita dalam ini. Ketika zaman kecil, ramai yang tidak lari dengan Siri Salma / Nancy Drew, Hardy Boys / Siri Hadi, Kuntum, Asuh dan bermacam lagi. Semakin menginjak remaja, membaca pula Salina dan bermacam lagi karya sastera yang membina pemikiran dan jati diri.

            Seronok rasanya saya dapat menghabiskan buku ini, mengetahui bertapa berharganya buku dalam diri setiap penulis dan yang paling penting merubah fikir mereka. Ada yang tidak sekadar lagi membaca, tetapi juga sudah menulis. Ada juga yang sudah mewakafkan perpustakaan untuk kegunaan orang lain (oh betapa banyaknya pahala yang mengalir).

Satu hari nanti, saya juga mahu menulis kisah saya dengan buku.