Di Ulang Tahun Keenam

Kehadapan Amir,

Masihkah Amir ingat kejadian tahun lepas di bulan Ramadan. Sepulang kita dari sekolah, jam 12.30 tengah hari, sewaktu tiba di rumah, penutup payung Amir tidak dapat dipasang lalu menyebabkan Amir marah.

Itu mungkin hal kecil di mata mommy, tetapi besar untuk Amir. Kemudian, Amir masuk ke dalam rumah dengan tangisan.

Kekecewaan, ditambah dengan bahang bulan puasa yang lebih membakar, serta rasa lapar pastinya kombo yang membuat seorang kanak-kanak 5 tahun hilang sedikit kawalan.

Usaha memujuk gagal dan tantrum membikin Amir menendang beberapa barang. Mommy tiada idea, mengantuk dan lapar.

Ada dua pilihan untuk mommy ketika itu.

Satu, untuk sama-sama mengamuk, kerana manusia dewasa seperti mommy juga boleh sama hilang sabar di bulan yang menguji itu. Ayat untuk membalas amukan sudah bermain di kepala, malah mommy juga merancang untuk menendang barang juga.

Pada masa sama, mommy teringat akan buku yang mommy baca betul-betul malam sebelumnya, The Book You Wish Your Parents Had Read yang mengajar ibu bapa untuk tidak ikut sama jika anak buat perangai.

Jadi, kedua, pertimbangkan perasaan anak ketika itu.

Akhirnya, mommy pilih untuk tarik nafas dan memanggil Amir selepas meletakkan pinggan makanan di atas meja. “Makan, Amir.”

Anehnya, amukan Amir hilang begitu saja. Amir datang dan terus makan. Mommy tak ingat apa yang kita bualkan selepas itu.

Kejadian ini tidaklah membanggakan, kerana mungkin dalam dua atau tiga daripada sepuluh situasi sahaja mommy seperti kucing siam manja. Selebihnya, lihat sahajalah video harimau mengaum, itulah keadaan sebenar mommy.

Amir, sudah enam tahun kita menghabiskan masa bersama. Kalau mommy pernah katakan sifat adik itu cerminan mommy, Amir juga carbon copy mommy. Bukankah pelajaran yang paling mudah adalah melalui perkara yang dilihat.

Mungkin mommy berasakan perlu bersabar menjadi ibu, menjaga amanah Tuhan, tetapi mommy lupa Amir juga bersabar dengan mommy yang serba kurang. Tapi jangan bimbang, mommy akan terus belajar.

Selamat ulang tahun keenam, Amir!

Mommy terpaksa letak gambar dengan Amna sebab Amir dah tak sudi bergambar sekarang 😛

Friendship Break Up

Rumah yang saya duduki bersama keluarga kecil saya ialah rumah pangsa – di tingkat satu. Keadaan ini membuatkan saya kerap kali berdiam sebentar di dalam kereta selepas memandu sebelum masuk ke rumah, tidak kira untuk doom scrolling telefon, atau membiarkan anak tidur sebentar, atau sekadar untuk termenung sendirian.

Satu malam, kami pulang dan anak-anak masih tidur. Maka terjadilah sesi borak di dalam kereta dan secara tiba-tiba, saya mengutarakan soal "Friendship Break Up" kepada A.

Datang daripada purely Asian household, berterus terang bukanlah hal yang pandai saya lakukan, apatah lagi berkonfrontasi dengan baik.

Saya mengungkit soal berterus terang ini kerana beberapa bulan sebelum itu, saya baru sahaja menyudahkan bacaan The Book You Wish Your Parents Had Read. Dalam satu bab, penulis memberitahu tentang apa sahaja tindakan si anak ini berpunca daripada perasaannya. Anak tantrum – ada masa kerana dia sedih, marah. Begitu juga apabila anak menangis, pastilah ada hal yang disedihkan.

Apabila diingat kembali, punca-punca saya berani melawan mak abah saya dahulu juga datang daripada perasaan. Menghempas pintu, kerana marah. Mogok, mengamuk, dan bercakap kasar, juga kerana perasaan tertentu. Bukanlah saya memenangkan diri pada waktu itu, tetapi, hujah yang cuba saya sampaikan ialah, saya tidak tahu cara memahami perasaan sendiri, apatah lagi mengendalikannya. Mungkin kerana itu, orang Melayu suka menyebut "tunjuk perasaan," kerana meluah itu hal yang pelik.

Seingat saya, tidak pernah sekali pun saya luahkan perasaan sukar kepada mak abah, mudah cerita, kerana itu bukan cara kami.

Jadi apa kaitannya dengan "friendship break up?"

Ketidakpandaian berterus terang menyebabkan saya kehilangan kawan baik saya.

Saya dan M kenal sewaktu Darjah 5, di sebuah sekolah agama. Pada ketika itu, di kampung saya tiada sekolah agama untuk Darjah 5, jadi saya terpaksa menyambung di sekolah agama kampung lain. M seorang periang, dan menjadi teman semeja saya sepanjang dua tahun persekolahan agama. Kami sememangnya rapat juga disebabkan umur sebaya.

Saya masih ingat, begitu lama M pinjamkan kepada saya pensil tekan Pilot shaker kepunyaan abangnya yang berwarna hitam (saya sangat suka pensil ini, tetapi pensil tekan RM 7 berada di luar kemampuan saya zaman itu), manakala dia pula meminjam sarung pensil cenderahati daripada Sarawak atau Sabah yang abah saya hadiahkan. Disebabkan ketinggian yang sama-sama rendang, kami akan beratur bersama setiap kali perhimpunan (M paling depan dan saya di belakangnya). Kami akan keluar rehat bersama, kemudian bermain cop patung sebelum sesi solat Asar. Pendek kata, kami memang rapat, dan seperti belangkas.

M juga ada nama panggilan sebagai I yang hanya disebut oleh orang tertentu termasuk ahli keluarganya. Saya tergolong dalam manusia terpilih yang memanggil dia dengan nama itu.

Takdir Tuhan, kami bertemu lagi di sekolah menengah. Kami bukan sahaja satu sekolah, tetapi satu kelas, satu asrama, satu dorm, dan juga katil kami sebelah menyebelah. What a nice way to start my secondary school.

Ketika di sekolah rendah, kami hanya bertemu 3 jam sehari. Jadi, perwatakan yang saya lihat dalam diri M hanya 1/8 daripada kehidupan sehariannya. Namun, di asrama, kami berkepit sepanjang masa, dan di sinilah saya mengenali sisi lain M. Tidak, saya tidak bermaksud mengatakan M seorang yang teruk. Everybody have their own problem. Dan saya rasakan ketika itu, M juga ada sedikit permasalahan keluarga.

Cumanya, marah dan bad mood yang dia hadapi, dilepaskan kepada saya. Hal ini tidak biasa saya lalui. Adik beradik saya tiada yang pemarah. Ibu bapa saya juga walaupun garang, tidak mudah-mudah melepaskan baran kepada orang lain. Sekolah rendah saya pula, termasuk dalam kategori Sekolah Kurang Murid. Dan jarang juga saya menghadapi situasi seperti ini.

Di asrama, kehidupan kami 24 jam di situ. Sudah tentulah saya perlu menghadap muka M sepanjang masa, kerana kami teman sekatil. Kejadian marah-marah itu pula bukan sekali. Saya bingung, kerana hal seperti itu tentulah tidak menyenangkan orang seperti saya.

Kemarahan bukan hal yang menyelesakan, malah menyesakkan. Saya tidak tahu apa itu empati. Tidak tercapai pemikiran saya yang sahabat saya sedang melalui waktu sukar. Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak pandai berterus terang. Maka, akhirnya, saya pilih menjauhi M.

Saya tidak lagi melayan dia sebagai kawan baik saya. Saya meletakkan jarak antara kami. Saya memilih berkawan dengan orang lain yang saya selesa. Saya mendiamkan diri sehingga satu saat saya meluahkan kepada seseorang lain yang saya percaya. Yang paling teruk, saya tidak lagi memanggil M dengan panggilan rapat.

Kami menjadi teman sebilik sewaktu tingkatan 3, tetapi saya tetap menjarakkan diri pada waktu itu – demi menjaga perasaan sendiri. Well, running is easier than confrontation right?

Kami terus renggang meskipun sama-sama terpilih memasuki MRSM sewaktu Tingkatan 4, dan kali ini kami tidak lagi sekelas. Saya memilih geng saya, dia memilih gengnya sendiri. Ada juga dia ketemu saya menyatakan ketidakpuasan hati atas ketelanjuran kata saya tentang barannya kepada orang lain. Itu saya akui memang silap saya sendiri.

Pasca SPM dan kehidupan seterusnya, kami langsung tidak berhubung. Sehinggalah saya hadir sendiri ke rumahnya menghantar kad undangan perkahwinan. Mak M tidak pernah lupakan saya, begitu juga abang M. Dan pernah sekali saya hubungi dia menyatakan ucapan takziah atas kehilangan ayahnya. Itu sahaja komunikasi antara kami.

Entah kenapa hal-hal begini muncul kembali dalam ingatan saya sekarang. Mungkin sesal kerana hilang hubungan persahabatan dengan sahabat yang amat baik yang dibina sejak kecil, kerana silap sendiri.

Jujur, ada juga saya terfikir kenapalah saya tidak pandai berterus terang. Saya tidak menyalahkan upbringing walaupun saya rasakan itu salah satu puncanya. Namun, mungkin ketika itu saya memikirkan itulah jalan terbaik untuk menjaga hati sendiri. Penyelesaian paling bagus yang mampu saya buat. Itulah keupayaan terbaik saya pada waktu itu.

Menempuh dewasa, saya perlahan-lahan belajar berterus terang, tidaklah sehingga menyakitkan, sekadar supaya pihak lain tahu apa yang terbuku di hati atau demi menyampaikan kebenaran (ini juga tidak mudah).

Hubungan saya dan M tidak lagi sama, walaupun pernah terdetik dalam hati saya untuk cuba membaikinya. Tahun-tahun yang hilang antara kami tentunya tidak mudah merealisasikan keinginan ini. Malah, saya fikir ini hanya angan-angan yang tidak akan tertunai.

M, engkau kekal kenangan terbaik zaman kanak-kanak aku.

Menterjemah: Sekadar Mengalih Bahasa?

Seseorang yang bergelar penterjemah pastinya tahu kerja menterjemah bukanlah proses yang straightforward. Membaca ayat sumber, dan kemudian terus menaip ayat terjemahan. Tidak, kerja ini lebih daripada itu.

Kerja menterjemah melibatkan:

  1. Membaca keseluruhan teks atau sekurang-kurangnya perenggan untuk mendapatkan konteks terjemahan. Kesilapan konteks akan mengakibatkan kesalahan terjemahan (mistranslated) – maksud berlainan daripadamaksud sebenar perkataan sumber.
  2. Mencari perkataan terbaik untuk satu (anda tidak salah baca, ya, satu) ayat terjemahan, yang ada kalanya tidak kunjung tiba di minda selepas berbelas-belas kerepek dikunyah atau berteguk-teguk kopi. Idea itu mungkin akan timbul tatkala laptop baru ditutup, ketika memandu, atau semasa menjawab panggilan alam.
  3. Membaca ayat terjemahan berulang kali untuk memastikan ayat tidak janggal dan mengikut struktur Bahasa Melayu, bukan bahasa sumber. Dalam erti kata lain, ayat sejadi. Seperti kata pengajar saya sewaktu berkursus di ITBM, ayat terjemahan tidak boleh berbau bahasa sumber.
  4. Hal paling penting, yang melibatkan maruah penterjemah, memastikan ejaan. Kebiasaannya, terjemahan menggunakan tetapan Bahasa Melayu dalam Word akan bergaris merah di bawah ejaan sekiranya ada kesalahan ejaan. Namun, sering kali akan terjadi kesilapan ejaan, "makna" menjadi "makan," atau lebih haru, "ketika" menjadi "ketiak."
  5. Fasa paling penting: fasa semakan. Ketika fasa awal menjadi penterjemah, saya menyangka tempoh menyemak ini mudah dan sekejap. Saya slap besar. Inilah tempoh paling lama dan seakan tidak mahu berakhir. Saya akan menyoal kembali diri: 'Apa benda aku mengarut ni?' Jika saya sendiri sakit kepala sewaktu menyemak hasil kerja sendiri, bagaimana dengan editor?

Terjemahan sudah cantik, sedap dan tiada kesalahan (dari mata kita)? Kemudian barulah boleh dihantar.

Being thorough dalam setiap proses penting, kerana selain mahu menghantar terjemahan berkualiti, ketika juga sedang mempertaruhkan reputasi dalam setiap terjemahan.

Oleh itu, usahlah berfikir 'alah, menterjemah je kot, senang' atau 'Google Translate kan ada?'

Okey Mommy, Amir makan 4 kali.

Langkawi, 4 - 7 Julai, percutian bersama keluarga: mak, abah, semua adik-beradik dan Amir (tanpa Asnawi)

Setiap kali waktu makan di kedai, saya akan pesan air kosong atau limau ais kosong. Jarang sekali saya memilih air manis. Kalau saya pesan hanya segelas, Amir (walaupun ada botol air sendiri) akan minum sama air saya, cepat pula habis dan tidak cukup untuk saya. Disebabkan itu, saya akan pesan satu untuk saya dan satu untuk Amir.

Masalah timbul apabila sudah ada air sendiri, Amir makan sikit sahaja (kecuali kalau terlalu lapar) sebab sibuk menghabiskan air. Minum air dari cawan sendiri dan menggunakan straw adalah perkara yang menyeronokkan buat anak ini.

Untuk selesaikan masalah ini, saya terfikirkan satu idea.

"Amir, Amir makan lima kali, baru boleh minum sekali."

Budak akan mengamuk jika haknya dirampas, jadi, saya berikan kebenaran untuk makan bersulam minum, tetapi syarat sebelum minum air perlu dia patuhi. Amir setuju dengan syarat yang saya letakkan, meskipun kelihatan di wajahnya terpaksa.

Pada hari kedua kami di sana, sewaktu makan tengah hari sebelum masuk ke Wildlife Park, Amir masih begitu, sakan minum air dan enggan makan. Saya mula menyinga dan mengingatkan semula syarat yang saya tetapkan. Saya menyuruhnya makan nasi empat sudu sebelum minum.

Dia tidak membantah, seraya mengambil sudu dengan berat hati. Namun, kali ini teknik makannya berbeza. Dia makan empat sudu seperti yang saya arahkan, tetapi setiap suapan sangat sedikit. Nasi hanya diambil di hujung sudu.

Saya hanya mampu menggeleng.

Oh Amir!

Selamat Hari Jubah, Ipah!

Mendewasa menyedarkan saya yang sebenarnya waktu hidup di asrama sedikit menghilangkan masa mengenali adik beradik sendiri. Dirasakan rapat, tetapi sebenarnya ada jurang yang menjauhkan. Mujur mak dan abah sentiasa menjadi penyatu. Apabila cuti bermalam tiba (terutama sewaktu baru menghuni asrama), tempoh itu semahu-mahunya digunakan untuk mengqadha tidur, melakukan hal sendiri. Al-maklumlah, baru mengecapi zaman remaja. Hal anak-anak cilik tentu sekali bukan dalam gelanggang permainan lagi. Saat itu, kawan mula menjadi utama, kerana dengan merekalah saya menghabiskan masa.

Mungkin setelah habis sekolah barulah pandangan dan sikap ini berubah. Adik-adik bukan sekadar individu yang lahir terkemudian daripada kita. Selain perlu ditolong dan disayangi, pentingnya untuk mereka difahami.

Selesai SPM, permohonan saya untuk bekerja ditolak mentah-mentah oleh mak dan abah. Ada beberapa tugas hakiki yang sudah tersedia untuk dilakukan sebelum ke universiti (turun temurun kami lakukan):

  1. Masak untuk waktu makan tengah hari (dan sediakan bekal untuk abah jika hari itu syif tengah hari abah)
  2. Kemas rumah.
  3. Tolong abah petik sawit (dua kali sebulan)
  4. Belajar memandu

Selepas SPM ini jugalah saya menggantikan tempat emak sewaktu pendaftaran sekolah menengah adik saya yang ketiga. Meskipun keempat-empat adik saya beroleh 5A dalam UPSR, tidak seperti saya yang terkantoi B untuk Sains, adik ketiga dan keempat tidak mendapat tawaran asrama penuh. Entah kenapa, kami syak kerana IC mereka Johor berbanding adik pertama dan kedua yang nombor tengahnya 12.

Oleh itu, adik ketiga dan keempat meneruskan tradisi bersekolah menengah yang pernah saya hadiri di Tangkak. Seperti saya juga, mereka masuk ke asrama. Asrama ini digelar asrama harian kerana hanya sejantina dan sebahagian yang tinggal di situ.

Berbalik kepada cerita menemani pendaftaran adik, wajah terakhir yang dilihat sebelum memulakan kehidupan baru di asrama adalah wajah saya dan abah. Mak seorang cikgu, tidak boleh senang-senang bercuti sewaktu hari pertama persekolahan kerana turut perlu menerima pelajar baru tahun satu.

Ujian buat adik saya kerana pada hari kedua, baldi dan segala isinya hilang. Maka, seperti anak asrama yang tipikal, dia menelefon mak dengan pakej tangisan. Lalu pada hari kedua itu, selepas mak pulang dari sekolah, kami bergegas keluar membeli barang keperluan dan pergi ke menghantarnya ke asrama. Itulah kisah yang dia sendiri akan ungkit sehingga hari ini.

Berbekalkan struktur nama yang hampir serupa dengan saya, adik saya pantas dikenali ramai kerana dia "adik Kak Aina" atau "adik Nuraina Akmal." Namun, menjadi adik saya bukanlah batu loncatan kerana saya sendiri bukan pelajar cemerlang atau begitu banyak menyumbang kepada sekolah selain penyertaan pertandingan catur dan kawad kaki Kadet Polis. Hanya beberapa guru yang mengenali saya.

Dia melonjak dengan usaha sendiri. Menjadi yang teratas bukan hanya dalam kelas, bukan dalam aliran, tetapi dalam seluruh tingkatan. Malah, mengalahkan pelajar cina. Tidak, saya tidak berniat perkauman, tetapi pelajar cina memang sukar dikalahkan dalam kecemerlangan pelajaran mereka. Kerana itu, dia dikenali atas pencapaiannya sendiri. Biarpun dikenali kedua-dua warder kerana sering sakit dan berulang-alik ke klinik. Itu langsung tak menghalangnya daripada cemerlang.

Cerita di asrama tak selalunya indah, pasti ada juga sedikit buruknya. Mungkin kerana saya pernah menjadi senior yang tidaklah begitu baik dengan sesiapa, tetapi tidak peduli hal orang lain, maka itu menjadi sebab adik saya diback up dan itu menyebabkan kawan rapat yang juga ada pertalian dengan kami menjadi iri, lalu bergaduh. Dia hanya berkawan dengan seorang dua, lalu tidak dipedulikan yang suka menimbulkan sakit hati.

Dan seperti UPSR, dia mencatat keputusan semua A juga untuk PMR, hal yang tidak dapat saya capai kerana kantoi B untuk Bahasa Arab pula.

Masuk ke tingkatan empat, adik seorang ini diuji lagi. Permohonannya ke SBP ditolak. Sudahlah begitu, kawan rapatnya mendapat tawaran dan meninggalkannya untuk belajar di SAMURA. Setelah cuba membuat rayuan, akhirnya, impiannya untuk bersekolah di asrama penuh seperti kakak abang tertunai jua, jauh di Sembrong. Kali ini, saya juga menjadi penemannya mendaftar ke tempat baru.

Dia masih pelajar cemerlang di sini, masih seorang yang gigih belajar walau migrainnya menyerang. Kalau saya sakit kepala pun belum tentu saya akan buka buku. Kedudukannya dalam tingkatan sekurang-kurangnya hanya di tempat ke-25. Di sini tiada ujian kawan-kawan kerana seperti mana cetakan anak asrama penuh, hal sepele selain belajar bukanlah sesuatu yang layak dilayan.

Keputusan SPM diumumkan. Kami sekeluarga mengerti kesedihannya akibat subjek Fizik mendapat B. Tapi kami tahu, dia yang paling gigih dalam keluarga, dan memujuk agar usah bersedih. Berbekalkan itu juga, dia mendapat tempat di UIA. Kali ini juga saya turut sama menghantar dia ke dunia yang lebih baru. Ketika ini juga, kerana saya sudah bekerja di Seremban, mak abah boleh sedikit berehat daripada mengambil hantarnya. Saya lebih biasa dengan jalan di sini, dan boleh membawanya pulang jika dia tak perlu menaiki bas.

Hanya setahun dia di sini sebelum mengembara ke bumi Kuantan. Hanya di situ saya tidak dapat turut serta. Tetapi, adakalanya saya singgah menziarahi jika ada urusan di situ. Atau sesekali dia datang kepada saya saat saya mengembara atas urusan pekerjaan.

Dan adik saya tetap begitu. Tetap cemerlang. Gagal tiada dalam kamus hidupnya. Berderet mengumpul A. Belajar hingga lewat malam, hingga sakit kepala. Mujur sahaja saya seorang kakak, tidak cenderung untuk dibandingkan berbanding jika saya seorang adik. Juga mungkin ujian Tuhan kepadanya banyak berupa ujian rakan sekeliling. Sewaktu ia sudah berakhir, barulah dibuka cerita kepada saya yang dia pernah ditikam belakang, diperalat dan macam-macam lagi yang tak pernah saya lalui. Dia yang kelihatan kecil itu begitu berani berkonfrontasi dengan rakannya, menyoal sikap mereka. Namun, hanya jawapan endah tak endah diterima. Sehingga kini, itu seperti trauma dalam hidupnya. Akhirnya dia teruskan sahaja hidup bersama kawan yang sudi, meninggalkan beberapa orang yang kononnya 'sahabat.'

Kami mungkin kehilangan waktu membesar bersama kerana jarak lebih kurang enam tahun. Saya tidak dapat melihat depan mata perkembangan sebenarnya. Namun, dalam kehidupan, memang ada hal yang akan terkorban. Kami belajar mengenali dan accepting each other seiring masa. Sudah tentulah adik-beradik tidak akan lari daripada pergaduhan, tetapi, itulah yang membuat kami lebih faham dan menerima masing-masing.

Dan selepas kembara menuntut ilmunya bertahun-tahun, yang saya hanya iringi ketika mendaftar, hari itu tiba juga, meskipun lambat kerana wabak yang menyerang.

Selamat bergraduasi Ipah! Selamat menyelesaikan tesis sarjana!

Amir miliki nenek yang sangat thougtful. Diberi juga jambangan, bimbang cucunya ini merampas bunga makciknya.

Usah Menjadi Hakim

“Mentang-mentang dulu lepas keluar maktab, dia (biar saya gelarkan dia sebagai A) terus jadi cikgu, sekarang nampak ekkk sikit ye. Langsung tak pernah tunjuk muka di majlis-majlis.”

“Ini dah umur 37, nak kahwin, baru terhegeh-hegeh hantar mak dia bagi undangan kahwin ...”

“Mesti ada sebab, kalau tak, kenapa jodoh dia lambat macam tu. Memanglah ketentuan Tuhan, tapi mesti ada sesuatu tu.”

Saya sekadar mendiamkan diri saat mendengarkan ayat ini dituturkan. Tidak tahu hendak membalas apa kerana empunya suara adalah insan lebih berusia yang amat saya hormati. Saya masih belajar cara menyatakan ketidaksetujuan dengan beliau.

Pertamanya, sebagai manusia, saya tidak fikir kita patut menyibuk soal ketetapan jodoh orang lain, sesuatu yang Tuhan sendiri tetapkan. Mengapa perlu kita campuri? Bukankah itu rahsia yang hanya Allah ketahui?

Orang yang mengadu domba kepada saya ini tidak pernah langsung mengambil tahu tentang A dan tidak tahu sejarah percintaan A. Maka, tidak adil untuk beliau tiba-tiba berkata sedemikian.

Perihal menunjukkan batang hidung ke majlis, saya sedar perkara seperti ini memang dituntut oleh masyarakat di kawasan kampung. Tanda bercampur dengan orang ramai adalah hadir ke majlis-majlis yang diadakan. Jika tidak, pastilah dihukum sebagai kera sumbang.

Namun, pernahkah kita cuba mengambil tahu alasan sebenar mereka tidak pernah menunjuk muka? Adakah mereka gugup bertemu orang ramai? Pemalu mungkin? Ada orang yang mereka elak? Atau memang sombong?

Saya tiada jawapan untuk semua ini dan soalan ini sendiri saya tidak luahkan kepada si pengadu.

Ini hanyalah sekadar luahan hati orang yang tidak mahu diri sendiri dan orang sekeliling terlalu mudah menghakimi orang lain. Semoga lebih banyak empati hadir dalam diri kita.

Cerita Buku: Story Time with Amir – Buku Kanak-Kanak Mug & Paper

Salah satu cara yang saya cuba untuk mencambah minat anak membaca adalah dengan membacakan buku cerita padanya. Pada awalnya, tindak balas Amir biasa-biasa sahaja, tapi lama kelamaan dia suka mendengar cerita dan menyuruh kami mengulang baca untuknya, sehingga kami sudah hafal cerita itu. Rupa-rupanya Amir juga sudah mengingat jalan ceritanya. Nampaknya saya sudah underestimate kemampuan anak sendiri.

Ini video empat sesi membaca sebelum tidur yang kami buat.

https://www.youtube.com/watch?v=jRDAvoCSz6g&ab_channel=NurainaAkmal
https://www.youtube.com/watch?v=8XFuobDN55I&t=22s&ab_channel=NurainaAkmal
https://www.youtube.com/watch?v=BlqNbjSBLoM&t=21s&ab_channel=NurainaAkmal
https://www.youtube.com/watch?v=OrdChS8aZRc&t=13s&ab_channel=NurainaAkmal