Review Buku: 4 Bulan di Amerika (Jilid 2) – Buya Hamka

Naskhah kali ini begitu perlahan dan amat sukar untuk saya tamatkan. Entah kerana kerja atau kemalasan atau hanya alasan sendiri sahaja.

Dalam Jilid 1, kebanyakan tulisan berkisar catatan perjalanan, pengalaman, tempat dilawati dan sedikit refleksi perbandingan dengan negara kelahiran penulis. Jilid 2 saya rasakan lebih berat. Lebih separuh isinya berbentuk refleksi serius dan penting berkaitan pembangunan negara dan pembinaan jati diri dan etika rakyat. Tiada lagi bunyi jenaka seperti jilid sebelumnya semasa melawati Hollywood atau ketua agama sesat.

Ada beberapa isu/teguran daripada Buya Hamka yang suka untuk saya catatkan kembali:

Timur sudah banyak ketinggalan dengan Barat daripada segi ilmu pengetahuan dan teknologi waktu itu. Jika sebelum itu perjalanan ke Mekah untuk menunaikan ibadat Haji memakan masa berbulan-bulan, kini tidak lagi kerana kapal terbang sudah dibina. Adakah kerana dendam akibat dijajah akan menjarakkan lagi negara Timur dengan perkara baharu atau diabaikan sahaja perkara itu lalu menjalinkan hubungan dengan mereka demi kemajuan bersama?

Diceritakan pula perbandingan adab atau kebiasaan antara orang di negara Uncle Sam dan Indonesia. Penduduk di sana mungkin ramah di jalanan, menegur selamat pagi di sana sini, tetapi saat menaiki kenderaan awam, sudah tertanam sifat individualisme dalam diri mereka. Buatlah apa saja, mereka tidak peduli waima bercumbu pun. Kamu dengan hal kamu, kami dengan hal kami. Berlainan dengan di Indonesia, jika di jalanan mungkin canggung untuk tiba-tiba menegur satu sama lain. Namun, apabila menaiki kenderaan bersama, masing-masing akan mula berkenalan mencari persamaan sesama sendiri.

Terakhir sekali, tentang ilmu pengetahuan. Perkembangan tamadun Barat itu sebenarnya bergurukan tamadun Arab sendiri. Pada abad kesebelas, ada gerakan pesat menyalin dan menterjemah kitab-kitab ilmu pengetahuan Arab ke bahasa Latin membuktikan yang Islam sendiri pernah menjadi rujukan dalam pergerakan ilmu, tetapi musnah sama sekali saat jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyah.

Memandangkan penulis dihantar mewakili Indonesia, maka tulisan ini memang menunjukkan keprihatinan beliau kepada kemajuan dan pembangunan tanah airnya. Sudah ada radio, pelbagai buku di negaranya tetapi terlalu ramai yang masih buta huruf.

Walaupun tidak bersetuju dengan keseluruhan cara fikir Amerika yang bebas, penulis juga sedih mengenangkan masih banyak negeri yang mendewakan raja mereka sedangkan undang-undang masih tidak teratur dan menyebabkan lahirnya 3 penyakit; kebodohan, lalu membawa kepada kelaparan dan akhirnya penyakit.

Catatan ini mungkin sudah berdekad, tetapi nyata ia masih relevan hingga kini.

Review Buku: 4 Bulan di Amerika (Jilid 1) – Buya Hamka

Buya Hamka yang mewakili Kementerian Agama Indonesia, memenuhi undangan lawatan daripada pemerintah Amerika Syarikat. Tulisan ini sebenarnya jawapan beliau kepada ramai individu yang bertanya pengalaman berada di negara Uncle Sam itu. Segala yang diperhatikan dari mula hingga akhir tercatat dalam buku ini.

Ada beberapa butiran catatan yang saya rasakan penting dalam buku ini.

Pertama, lawatan ke Muzium Nasional di Chicago. Ada satu sudut mengenai orang Indonesia dalam muzium itu, malah nama sudut itu masih belum ditukar kepada Indonesia daripada Netherlands Indie. Ada banyak alat tradisional yang sudah lama tidak digunakan orang Minangkabau, bahkan lebih lengkap daripada muzium di Minangkabau sendiri dan ramai pemuda dan pemudi ketika itu tidak mengenali barang yang dipamerkan. “Zaman telah berubah, dan tidaklah segala yang lama dapat dipertahankan lagi. Sudah banyak yang harus disimpan dalam muzium, untuk tengok-tengok dan tidak untuk diulang kembali.”

Kedua, Buya Hamka berpeluang menyaksikan sendiri pemilihan presiden ketika itu yang menyaksikan kemenangan Eisenhower. Tulis beliau, seperti ada undang-undang tidak bertulis bahawa seorang Presiden AS mestilah bermazhab Protestan.

Tempat yang paling banyak ditanya dan disuruh melawat, Hollywood. Dapat dirasakan bagaimana kagumnya penulis kepada teknologi perfileman, penulisan skrip yang dimiliki Hollywood, namun bak kata beliau sendiri, ia lebih indah untuk dipertontonkan di bioskop (pawagam) sahaja, tidak perlulah pergi sendiri untuk melihat Hollywood kerana mungkin khayalan indah kita akan hilang begitu sahaja. “Banyaklah filem-filem yang bermutu tinggi yang perlu kita lihat untuk dijadikan cermin dalam perjuangan kehidupan”.

Buya juga dapat berjumpa sendiri dengan Father Divine, orang yang mengaku dirinya Tuhan. Turut ditulis bagaimana perkembangan dan fungsi agama Kristian yang menjadi penyumbang besar kepada perkembangan ilmu dan terciptanya university besar di AS.

Terakhir sekali, yang diceritakan adalah pandangan beliau terhadap rasisme teruk di Amerika ketika itu. Beliau sempat berada dalam keadaan menaiki pengangkutan awam yang disediakan dua jenis tandas, satu untuk White People dan satu lagi untuk Coloured People, pergi ke restoran yang hanya membenarkan orang putih masuk ke dalamnya dan banyak lagi penindasan kepada orang berkulit hitam ketika itu.

Secara keseluruhan, tulisan sebagai orang yang ahli dalam agama ini pastinya sedap dibaca kerana ulasan dari sudut pandang Buya Hamka tidak terlalu jumud dan sangat terbuka, namun kelihatan masih mementingkan nilai Islam dan paling penting, pada saya tulisan beliau dalam ini kelakar. Seronok dibaca jika sedang mencari bacaan santai.

(Nota kaki: Tulisan ini saya catatkan di dinding Facebook pada 22 April 2021)

Review Buku: Angkatan Baru

Penulis: Hamka Penerbit: Gema Insani Tahun Terbit: 2016 Muka surat: 90 Beli di: Jejak Tarbiah Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN / BLURB

Ceritanya pendek sahaja tapi terkandung kritikan mendalam untuk golongan yang ‘berpendidikan tinggi agama’. Syamsiar selepas habis pengajian agama (diploma) selama setahun tidak dapat pekerjaan mengajar di mana-mana. Jika ada tawaran pun, dia tidak dibenarkan pergi oleh keluarganya sebab gaji rendah / hal-hal lain. Syamsiar tak rasa yang hal membuat kerja-kerja mengemas rumah atau memasak patut dilakukan oleh seorang lepasan sekolah tinggi. Jadi, dia sering berkurung dalam bilik mengaji ‘kitab’. Sebenarnya dia lebih sibuk membaca buku cinta dan mengenang cinta lama di sekolah. Tak padan langsung dengan status seorang cerdik pandai agama.

Hasan juga seorang lulusan sekolah agama tetapi ada pendapat yang berbeza dengan Syamsiar. Bukan mudah untuk dia mendapatkan kerja sebagai guru, kekosongan jawatan guru tak sebanyak lepasan sekolah. Hasan ambil keputusan untuk bekerja sebagai petani dan di malam hari mengajar agama kepada anak-anak kampung walaupun upah sedikit. Dia lebih mementingkan pembinaan bangsa. Ejekan tidak menjadi kudis pun dalam diri Hasan malah dia lebih berpuas hati dengan pilihannya.

Oleh kerana kedua-duanya sekufu pendidikan, Syamsiar dijodohkan dengan Hasan dan bahagialah mereka pada beberapa bulan sehinggalah…

REVIEW

Pak Hamka menulis dalam prakata bahawa kisah-kisah ini diperoleh melalui kisah-kisah benar yang beliau jumpai sepanjang bertugas di Kantor Buku.

Pak Hamka menegur golongan kelulusan agama yang merasakan mereka ini ‘up one level’ berbanding orang lain dan tidak mahu masuk ke dalam masyarakat. Lihat bagaimana Syamsiar yang langsung tak mahu mengotorkan tangannya sehingga lepas berkahwin pun, ibu dan adik Syamsiar terpaksa tinggal sekali bersamanya demi menyelesaikan tugas membasuh baju dan memasak. Dia hanya mahu bermesra-mesra dengan Hasan, padahal sebagai bijak pandai, jika tak mahu sibuk buat kerja rumah, dia patut ambil tahu isu pendidikan orang sekeliling.

Bagi saya keluarga Syamsiar pun patut memikirkan ‘way forward’ apa yang mesti dilakukan selepas menghantar anak gadis ke sekolah, bukan hanya menyimpan mereka di rumah (zaman itu, anak gadis ke sekolah sangat luar biasa). Jika upah sedikit / jauh dari rumah, itu lumrah biasa, mereka patut dibiasakan berdikari. Hasan akhirnya selepas beberapa bulan merasa tak selesa dengan Syamsiar yang hanya mahu bermesra, susah untuk dia menyiapkan kerja-kerja yang tergendala dan bagi Hasan, berkahwin bukan sekadar bermesraan sahaja. Syamsiar yang rasa seperti ditolak bertindak mengutus surat kepada kenalan lelaki lamanya waktu sekolah dahulu. Bagaimana orang yang ‘ada agama’ boleh bertindak seperti ini? Buku ini ringkas sahaja tetapi sarat dengan pengajaran. Kisah yang diceritakan masih relevan. Adakah kedudukan orang mengaji agama lebih tinggi daripada orang biasa? Apa yang terjadi kepada Syamsiar dan Hasan apabila Hasan terjumpa surat balasan kepada Syamsiar dari kenalan lamanya itu? Dapatkan jawapan dalam buku ini ya. Selamat membaca!

Review Buku: Kenangan-Kenanganku di Malaya

Penulis: HAMKA. Penerbit: Jejak Tarbiah Tahun Terbit: 2019 (Terbitan pertama: 1957) Muka Surat: 245 Beli di: Jejak Tarbiah PENGENALAN

Ketika saya mula menulis draf review ini, sebenarnya saya masih lagi dalam proses membaca. Saya rasa isi buku ini amat berat untuk dihadam, maka saya pun segera meluahkan semula segala isi bacaan, sebelum terlupa apabila tamat pembacaan nanti.

Pertama kali membaca tajuk buku ini, saya menyangka isinya seperti travelog/pengalaman Pak Hamka ketika berada di Malaya. Oh, rupanya saya salah sama sekali. Pak Hamka lebih banyak menulis mengenai tanah air beliau sendiri berbanding Malaya. Cerita tentang Malaya oleh beliau lebih berupa kepada program yang beliau hadiri ketika itu dan juga negarawan Malaysia yang beliau kenali.

REVIEW

Ketika belajar subjek Sejarah di sekolah dulu, kita sudahpun mendapat pengajaran daripada sultan-sultan di Tanah Melayu yang diperdaya oleh penjajah untuk ditakluki dan diserahkan kuasa mereka. Sebenarnya, perkara yang lebih kurang sama sahaja terjadi di Indonesia. Bezanya kita merdeka dengan British, manakala Indonesia pula dengan Belanda. Kekuasaan sultan di sesebuah daerah di penghujungnya hanya tinggal untuk kes nikah dan rujuk sahaja. Faraid sendiri diuruskan oleh mahkamah pengadilan umum. Sultan Amaluddin al-Sani Perkasa Alamsyah Sultan Negeri Deli, pernah mengatakan kepada Pak Hamka.

“Nasib kami raja-raja ini, Tuan Hamka, adalah laksana burung balam saja, mata lepas badan terkurung. Hak kami kian lama kian dikurangi.  Apa yang tuan rasai, dan yang dirasai oleh orang lain. Kami rasai juga.  Lebih panaslah bagi orang yang terpegang daripada orang yang bersangi. Tetapi, apalah hendak kami buat.” 

Nak tahu apa lagi memeranjatkan saya? Ada orang dari Malaya bertanyakan Pak Hamka, adalah pemimpin republik tidak sukakan sultan dan membunuh mereka. Benar, ada sultan yang dibunuh, tetapi bukan oleh pemimpin republik, mereka dibunuh oleh rakyat negeri mereka sendiri, akibat hanya mementingkan tembolok sendiri dan membiarkan rakyat sengsara.

Tulisan Pak Hamka dalam naskhah ini menonjolkan sisi Nasionalis yang amat tinggi dalam diri beliau, selain sisi Islamik yang ada. Beberapa isu besar di angkat dalam buku ini seperti, ulama yang berdiam diri tatkala menerima kesenangan dan kemewahan, isu pendidikan Belanda yang dirasakan lebih bagus daripada pendidikan Islam, dan pemerkasaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi negara itu.

Penceritaan Pak Hamka mengenai liku-liku Indonesia dalam mengejar kemerdekaan ini sangat sarat dengan fakta-fakta yang komprehensif dan menyeluruh. Itulah yang membuatkan saya mengambil masa lebih setengah bulan mahu menghabiskannya! Jangan risau, memang sedikit perlahan pada permulaan pembacaan, tetapi pasti tak habis nak sabarkan selepas lebih separuh buku dibaca.

Mengikut pembacaan, saya dapat simpulkan yang ketika Pak Hamka menulis buku ini, Malaya masih belum pun merdeka, tetapi mungkin ura-ura atau berita Malaya bakal merdeka sudah kedengaran. Sebagai bangsa serumpun di Nusantara ini, sudah tentu beliau tumpang gembira. Tulisan ini umpama seruan kepada rakyat Malaya ketika itu untuk bersedia dengan kemerdekaan dan mesti memerdekakan bukan hanya negara, tetapi juga pemikiran.

Aina, Masih belajar erti merdeka sebenar.