Review Buku: Neon

Penulis:  Imaen Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd Tahun Terbit : 2018 Muka Surat : 475 Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS Novel ini merupakan novel pertama yang saya baca hasil daripada belian di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Sebagai peminat tegar Imaen, saya memang tidak pernah melepaskan peluang menjadi pembeli terawal setiap novel terbaru beliau terbit.

Neon mengisahkan Neo, seorang lelaki yang merajuk dengan Tuhan kerana dirinya yatim piatu. Rasa marah yang ada menyebabkan dia tidak pernah mengerjakan solat tanpa rasa bersalah. Neo bekerja di sebuah bank persendirian dengan pendapatan yang lumayan untuk lelaki yang belum pun berumur 30 tahun. Gaya hidupnya agak elit, dia tinggal di apartmen mewah, membeli baju berjenama, mempunyai keahlian gim dan barang-barang dapurnya dibeli di Jaya Grocer. Teman wanitanya Liza, seorang jurutera di syarikat elektronik Jepun, berasal dari Kelantan dan merupakan anak penggawa. Dia juga ada seorang kawan baik, Taib yang sangat suka mengingatkan dia untuk solat dan keluarga Taib sudah seperti keluarganya sendiri.

Namun ini semua tidak berpanjangan apabila Tuhan mempunyai rancangan lain untuk dia. Ketenangan dan kejayaan hidupnya tidak lama, rancangannya untuk memohon pertolongan Taib mengetuai rombongan meminang Liza gagal apabila Taib meninggal akibat kemalangan. Dia pula diberhentikan kerja atas alasan ekonomi hingga berakhir menjadi gelandangan.

Khomeini, kawan lama Neo di rumah anak yatim hadir sebagai penyelamat. Neo bekerja dengan Khomeini sebagai pengurus jualan di syarikat buku Khomeini. Kecurigaannya terhadap Khomeini akhirnya terjawab apabila rakannya itu merekrut dia untuk masuk kumpulan komunis. Neo memilih berhenti kerja untuk keluar dari kumpulan ini tetapi ianya tidak begitu mudah, kerana dia perlu menyertai kumpulan Khomeini merompak terlebih dulu. Namun, saya tidak mahu ceritakan penamatnya kerana saya mahu mengajak anda bersama-sama membaca novel ini.

REVIEW

Imaen seperti kebiasaan tulisannya akan bercerita banyak tentang ekonomi dan fakta-fakta yang berkaitan. Ini tidak pelik kerana beliau merupakan lulusan ekonomi daripada Universiti Malaya.

Sebenarnya masa tu di England, bola sepak digunakan oleh kaum pemodal yang kau orang panggil kapitalis tu sebagai candu untuk kelas pekerja supaya mereka dapat lupakan hidup mereka yang susah tu. Kalau kau belajar Revolusi Industri  kau akan tahu, betapa susahnya hidup kelas pekerja, ditindas oleh tauke kilang… jadi tauke kilang ni bagi bola sepak… bolehlah pekerja mereka pergi bersorak setiap hari Ahad di stadium lepaskan segala rasa.

            Macam British bagi candu pada orang Cina dan todi pada buruh ladang India di Malaya dululah… taraf bola ni dulu sama macam candu dan todi sajalah. Orang kelas atas di England main ragbi… mereka panggil gentleman’s game. Kan orang putih kata football is a gentleman’s game played by ruffians, and rugby is a ruffians game played by gentleman.

            Penulis turut memberi kritikan kepada syarikat penerbitan Indie zaman kini yang kebanyakannya bersifat melawan. Bagi beliau, orang yang membaca bukanlah orang yang kerjanya mahu melawan, tetapi orang yang berfikir.

Selain itu, saya rasakan bahagian yang menarik dalam novel ini ialah perubahan kehidupan Neo. Cubaan meminta kerja setelah diberhentikan gagal dari sehari ke sehari. Dia cuba berniaga tetapi dihalau kerana tiada permit, barulah dia ketika itu rasa hidup seorang marhaen. Sepeninggalan Liza ke Jepun selama 6 bulan, nasibnya semakin malang. Dia malah menjadi buruh binaan kerana tiada pilihan, gajinya pula tidak dibayar dan banyak perkara yang terjadi hingga akhirnya dia menjadi gelandangan. Dia belajar erti susah, kelaparan sehingga mengorek makanan dalam tong sampah, dihalau dari rumah sewa dan tinggal di bawah jambatan dan bermacam-macam lagi. Rajuknya akhirnya hilang apabila dia sedar sebagai hamba tidak ada lain yang dia boleh memohon pertolongan selain Tuhannya. Dia kembali sujud kepada Tuhannya dan menemukan ketenangan.

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya ialah babak peminangan Neo ditolak oleh ayah Liza. Kedudukannya sebagai anak yatim tentunya menjadi kebimbangan ayah Liza yang mementingkan keturunan bakal suaminya. Saat Liza mengetahui perkara itu, dia mengajak Neo berkahwin lari dan rela dibuang keluarga. Namun Neo menolak dan memastikan Liza tidak akan membelakangkan keluarganya. Neo tahu rasanya hidup sebatang kara, dia tidak mahu Liza merasakan yang sama. Teringat saya pepatah Inggeris ”You are what you read”. Buku ialah alat yang berpengaruh, jika dalam babak ini Neo kahwin lari dengan Liza, berapa orang agaknya pembaca yang akan berpendapat perkara ini bagus dan mungkin mengikut jejak langkah Neo? Sudah cukuplah lambakan drama kahwin paksa yang ada, kita tidak mahu pembaca terbuai dengan kisah cinta yang hanya nampak indah tetapi sebenarnya sengsara. Saya memuji penulis kerana ini.

Sebagai penggulungan, novel ini sesuai dibaca sesiapa saja yang sukakan buku yang tidak tipikal. Kisahnya ringan tetapi sarat dengan fakta dan pengetahuan am yang menarik. Anda mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pendapat penulis tetapi ia bukanlah isu besar. Saya jamin anda tidak akan menyesal membaca novel ini. Selamat membaca!

Review Buku: Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia

Penulis: Dr Muhammed Abdul Khalid Penerbit: Dubook Press Tahun Terbit : 2017 Muka Surat : 248 Beli di : Dubook Press Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Buku Antara Dua Darjat merupakan terjemahan daripada buku The Colour of Inequality yang ditulis oleh Dr Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2014. Pada bulan pertama selepas diterbitkan, The Colour of Inequality telah terjual sebanyak 2000 naskhah. Dalam konteks Malaysia, jumlah ini sudah layak dilabelkan sebagai best-seller.

Bab pertama dimulakan dengan penerangan berkenaan jurang kekayaan. Penulis menceritakan tentang latar belakang kaum di Malaysia daripada segi politik, ekonomi dan sosial. Selain itu, penulis menerangkan sebab-sebab kita perlu mengkaji isu pengagihan kekayaan termasuk kesan-kesan dan faktor-faktor yang mempengaruhinya. Kajian berkenaan kekayaan dan pengagihan pendapatan pernah dijalankan sebelum ini tetapi belum ada lagi yang menganalisis pemilikan di peringkat isi rumah di negara ini.

Dalam bab kedua pula, Dr Muhammed Abdul Khalid membincangkan punca berlakunya jurang ekonomi dalam tiga fasa berbeza. Fasa pertama ialah pada zaman penjajahan British bermula pada tahun 1786 sehinggalah tahun kemerdekaan, 1957. Fasa kedua pula ialah pasca penjajahan dari tahun 1957 hingga tahun 1970. Fasa yang terakhir ialah pada tahun 1970 hingga tahun 2016.

Penulis mempersembahkan analisis agihan kekayaan dalam bab ketiga yang merupakan fokus utama buku ini. Analisi mengenai faktor penentu kekayaan pula dibentangkan dalam bab keempat (jantina, strata, pekerjaan, pendapatan, pendidikan dan kaum). Bab lima memberi penjelasan mengenai masa hadapan dan corak jurang kekayaan di Malaysia. Akhir sekali, dalam bahagian kesimpulan, beberapa cadangan supaya jurang kekayaan berkurang di Malaysia diberikan.

REVIEW

Ketika dalam bab pengenalan, saya berasa tidak boleh menghadam isi dalam buku ini kerana sarat dengan fakta seakan tesis. Walaubagaimanapun, bab kedua tidak begitu dan sangat menarik sehingga saya tidak mahu melepaskan buku ini. Penulis seperti membawa kita ke pembelajaran sejarah di sekolah tetapi lebih terperinci terutamanya mengenai sosioekonomi.

“Walaupun ramai akan menyatakan kejatuhan Melaka sebahagiannya berpunca dari pengkhianatan pedagang India, seorang penyelidik berpendapat penjajah Portugis disokong oleh pedagang Cina. Beliau berhujah bahawa kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis berpunca daripada pengkhianatan Pedagang Cina, yang memberi maklumat kepada Portugis dan menyerahkan jong (perahu) mereka untuk kegunaan Portugis.”

“British bertanggungjawab mengubah struktur sosiologi dengan ‘secara rasmi menanam benih kepelbagaian kaum melalui kemasukan buruh Cina, India dan Indonesia semata-mata demi faktor ekonomi.’ ”

“Pada tahun 1951, seramai 5145 kaum Cina di Persekutuan membayar $62 juta cukai, jika dibandingkan dengan hanya 773 kaum Melayu yang membayar $8 juta, atau hanya lebih sedikit daripada satu persepuluh jumlah yang dibayar oleh kaum Cina.”

Kaum Cina diletakkan di kawasan pantai Barat ditumpukan di negeri pantai barat yang membangun tetapi kaum Melayu pula majoritinya menetap di negeri-negeri pantai Timur yang miskin dan kurang membangun. Ini merupakan faktor awal yang menyebabkan terjadinya jurang ekonomi antara kaum. Kita masih boleh lihat komposisi yang sama pada hari ini apabila negeri pantai Timur masih didominasi oleh kaum Melayu.

Selain itu, penulis turut menerangkan sebab tertubuhnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Walaupun terlalu banyak kritikan bahawa DEB hanya memihak kepada kaum Melayu, kajian yang dilakukan membuktikan sebaliknya. Ia memberikan kebaikan kepada semua kaum walaupun berjalan agak perlahan.

Tulisan Dr Muhammed Abdul Khalid ini jujur dah tidak berpihak kepada mana-mana syarikat atau parti politik. Dalam Bab 4, Mengapa Wujudnya Jurang? beliau mengkritik beberapa Pengerusi Syarikat GLC yang tidak memberi komitmen kepada Program Transformasi GLC kerana merasakan program kerajaan yang ada ketinggalan zaman tanpa ada kajian menyeluruh. Kesemua Pengerusi syarikat yang ada ini penerima manfaat penuh DEB tetapi mementingkan diri dengan tidak meletakkan kepentingan Bumiputera dalam syarikat mereka kerana untung semata. Parti Politik Bumiputera terbesar dan kedua terbesar di Malaysia, iaitu UMNO dan PAS turut diberikan kritikan kerana tidak meletakkan agenda ekonomi Bumiputera sebagai perkara utama.

Penulis turut mengkritik polisi kerajaan masa kini (ketika buku ini ditulis, kerajaan diterajui oleh Barisan Nasional) yang semakin menambah jurang kekayaan. Sistem cukai di Malaysia yang regresif memberi manfaat kepada orang kaya dan membebankan orang miskin. Bagi orang kaya, tiada cukai perwarisan (Inheritance Tax) walhal harta seperti stok dan hartanah diwariskan kepada generasi seterusnya tanpa sebarang cukai. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diwujudkan pula menekan orang miskin manakala orang kaya masih tetap kaya.

Selamat membaca dan sama-sama kita cakna akan situasi ekonomi rakyat Malaysia.

Perihal Antara Dua Darjat

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya mengukuhkan ekonomi kumpulan tertentu dan Malaysia perlu berubah daripada melihat kepentingan ekonomi berasaskan kaum kepada fokus membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.” Terdapat banyak kritikan terhadap DEB yang diperkenalkan Tun Abdul Razak. Dasar ini dikatakan hanya memihak kepada kaum Melayu. Masihkah anda ingat kepada Dr Muhammed Abdul Khaled yang tular kenyataan jujurnya mengenai Bajet 2018 dalam rancangan Landskap TV1? Beliau menafikan kritikan terhadap DEB dalam buku ini. Terdapat fakta yang menunjukkan DEB sebenarnya memberi kesan positif bukan sahaja kepada kaum Bumiputera, tetapi juga kaum lain. Antara Dua Darjat Saya masih lagi dalam proses menghabiskan buku ini. Dr Muhammed Abdul Khaled cuba menyampaikan dalam bahasa paling mudah kepada pembaca tentang agihan pendapatan di Malaysia yang tidak sama rata. Dalam bab awal, penulis seperti membawa kita ke pelajaran Sejarah ketika di sekolah menengah (zaman jajahan British) tetapi dengan penerangan yang terperinci mengenai sistem ekonomi zaman itu yang memberi kesan hingga sekarang. Antara Dua Darjat merupakan terjemahan buku beliau iaitu The Colour of Inequality yang menjadi best seller pada tahun 2014. Beliau menekankan bahawa mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi rakyat Malaysia tanpa fakta hanya sia-sia kerana tidak boleh digunapakai untuk membuktikan apa-apa pun. Beberapa terma seperti pekali-Gini dan Indeks Theil mungkin sukar difahami kerana berkait dengan ekonomi tapi jangan risau, Google kan ada!

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck: Bang Muluk dan Zainuddin

Korek punya korek jumpa pula gambar tahun 2013 ni. Masa tu kalau nak post gambar di Ig mesti nak edit warna lebih kurang kelabu sikit, gold sikit lol. Ketika baca buku ni, rasanya filem pun masih belum keluar. Bahasa Indonesia pula tu, Google tu memang kawan baiklah sebab banyak juga term yang saya tak faham. Macam mana saya tahu pasal buku ni? Sebab Encik Mohd Rosdi Mohd Zin pernah sebut dalam salah satu buku beliau (tak ingat yang mana satu). Mudah betul terpengaruh .
Kalau ditanya babak yang menarik, bagi saya ialah babak Bang Muluk menegur Zainuddin. Lepas Hayati kahwin dengan Aziz, Zainuddin patah hati  dan memang tak ada langsung semangat nak teruskan hidup. Kalau boleh nak mati je lah sebab hidup dah tak ada makna. Tapi insan bernama Muluk ni datang. Dia ni bukan siapa-siapa, cuma kutu rayau je. Takde ilmu macam Zainuddin. Ini yang dia cakap, “Hei, berhentilah bersedih begini, Engku. Terjadi sudahlah terjadi. Engku, engku dah banyak menuntut ilmu di siko. Budi pekerti dan kesopanan dengan pemikiran yang luas pun sudah engku raih.” ”Jangan lah lebih lemah dari pada para-para kami yang tidak kenal bace bismillah. Tidak baik hidup yang mulia ini, terkurung semata-mata karena memikirkan perempuan. Perempuan yang Engku junjung tinggi itu telah berkhianat, dan memungkiri janjinya.” ”Di sini Engku sengsara bersakit-sakit, sedangkan dia? Dia sedang menikmati masa pengantin baru dengan suaminya.” “Engku ni orang pintar, kenapa harus hancur oleh perempuan. Dimana letak pertahanan kehormatan yang terletak pada seseorang laki-laki, ha.” “Jangan mau hidup engku dirusak, binasakan oleh seorang perempuan itu. Engku mesti tegak kembali. Coba lagi engku lihat dunia lebih luas dan masuk ke dalamnya.” “Di sana banyak kebahagiaan dan ketentraman yang tersimpan. Engku pasti bisa melakukannya. Dan mengecap bagaimana nikmat kebahagiaan dan keberuntungan itu. “Cinta bukan mengajarkan kita untuk menjadi lemah, tetapi membangkitkan kekuatan.” “Cinta bukan melemahkan semangat tapi membangkitkan semangat. Tunjukkan pada perempuan itu, bahwa engku tidak akan mati, lantaran dibunuhnya.” Sebab teguran sentap ini lah Zainuddin bangkit sampai jadi penulis terkenal dan ada syarikat penerbitan sendiri. Kita mungkin ada ilmu yang lebih tinggi daripada orang lain, tapi kadang-kadang bila akal kita hilang, orang yang kita rasa tak ada ilmu inilah yang mampu datang dan kembalikan akal kita yang hilang tu. Apa yang anda suka pasal buku ni?

Review Buku: Who Moved My Cheese?

Penulis: Dr Spencer Johnson Penerbit: PTS Publication Tahun Terbit : 2013 Muka Surat : 80 Beli di: PTS Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

Empat watak utama: Hem, Haw, Sniff dan Scurry. Sniff – Menghidu perubahan dengan cepat Scurry – Mengambil tindakan pantas Hem – menafikan perubahan dan takut perubahan menyebabkan situasi menjadi lebih teruk Haw – Menerima perubahan dan bersedia untuk berubah apabila perubahan boleh mendatangkan kebaikan. SINOPSIS

Empat ekor tikus ini tinggal dalam sebuah Maze. Terdapat banyak Stesen Keju dalam Maze ini. Pada suatu hari, mereka semua tiba di Stesen Keju C yang penuh dengan keju. Setiap hari Hem dan Haw akan menikmati keju yang ada sementara Sniff and Scurry akan keluar mencari stesen keju baru. Hem dan Haw berasa bangga dapat menemui stesen keju yang penuh dengan keju ini dan berpendapat Sniff and Scurry hanya melakukan perkara yang sia-sia.

Suatu hari, Hem dan Haw mendapati keju mereka sudah habis. “Siapa ambil keju saya?” Berulang-ulang kali Hem menyoal. Mereka menyedari Sniff dan Scurry sudah tiada. Sniff dan Scurry telah lama menyedari bahawa stok keju yang ada semakin susut, kerana itu mereka keluar mencari tempat baru manakala Hem dan Haw terlalu selesa untuk menyedari keadaan mereka yang sebenar.

Haw mencadangkan kepada Hem untuk keluar dan mencari stesen keju yang baru, tetapi Hem menolak. Hem takut meninggalkan stesen keju itu akan menjadikan keadaan lebih teruk. Dia berharap ada orang yang akan memulangkan semula keju yang sudah habis itu. Setelah gagal memujuk Hem, Haw keluar dan mencari keju baru. Sepanjang perjalanannya, dia menulis banyak peringatan di dinding-dinding yang ada sebagai cerminan pengembaraannya. Akhirnya dia berjumpa dengan Sniff and Scurry di Stesen Keju N. Di situ terdapat pelbagai pilihan keju yang belum pernah dijumpainya. Menyedari kesilapannya sebelum ini, Haw tidak lagi berasa selesa di situ, tetapi sentiasa mengawasi stok keju yang ada dan keluar mencari stesen keju baru.

Dr Spencer Johnson mengambil masa Hempir 20 tahun untuk menyiapkan buku ini. Buku ini memang nipis tetapi kandungannya mampu mengubah persepsi manusia sama ada untuk organisasi, kekeluargaan, perhubungan atau peribadi. Buku ini telah terjual sebanyak 26 juta salinan dan diterjemahkan kepada 37 bahasa. Buku ini membawakan tema MENERIMA PERUBAHAN DAN MAHU BERUBAH. Sejauh mana kita mahu mulakan langkah baru apabila perubahan tiba? Adakah kita menjadi seperti Hem yang hanya akan merungut? Atau menjadi Haw yang bertindak apabila perubahan tiba? Atau Sniff dan Scurry yang sentiasa bersiap sedia untuk berubah pada bila-bila masa.

Keju ialah metafora kepada apa yang kita mahukan dalam hidup – pekerjaan yang baik, hubungan yang sihat, duit, kesihatan atau ketenangan minda. Maze pula ialah tempat di mana anda berada – syarikat anda bekerja atau komuniti yang anda tinggal.

Ada satu kisah dalam buku ini mengenai seorang lelaki. Keluarga lelaki ini memiliki sebuah kedai runcit di kawasan tempat tinggal mereka. Suatu hari, sebuah pasaraya besar dibina berdekatan kawasan itu. Pembinaan pasaraya itu tidak memberi kesan kepada mereka. Mereka tidak merasakan mereka perlu berbuat apa-apa kerana yakin pelanggan masih akan setia bersama mereka. Mereka hanya beroperasi seperti biasa, sehinggalah mereka sedar apabila mereka tidak berubah, orang lain yang akan berubah. Pelanggan tetap mereka tidak lagi datang ke kedai runcit mereka, tetapi  memilih untuk pergi ke pasaraya. Mereka tidak mengambil peluang yang ada ketika masih ada masa untuk berubah. Adakah kita mahu jadi seperti keluarga lelaki ini atau mula berubah supaya dapat bersaing dengan pasaraya itu?

Review Buku: Hikayat Faridah Hanom

Penulis: Syed Sheikh al-Hadi Penerbit: Nubook Press Tahun Terbit : 2017 Muka Surat : 315 Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS Hikayat Faridah Hanom merupakan novel pertama tulisan Syed Sheikh al-Hadi. Novel ini juga dikenali dengan nama “Setia Asyik dan Maksyuknya” dan “Shafik Afandi dan Faridah Hanom”. Ada beberapa pendapat mengatakan novel ini merupakan novel pertama yang wujud di Tanah Melayu dan ada pendapat yang menyangkal kerana watak utama novel ini berbangsa Turki dan menetap di Mesir. Syarikat pertama yang menerbitkan buku ini merupakan The Jelutong Press milik Syed Sheikh al-Hadi sendiri pada tahun 1925, diikuti oleh Penerbit Qalam (Singapura). Pada tahun 1964 sehingga 1985, buku ini pertama kali dirumikan dan diterbitkan oleh Pustaka Antara dan terbaru Nubook Press, sebuah label bawah Dubook Press mengemaskini dan menerbitkan semula buku ini pada tahun 2017.

Hikayat Faridah Hanom mengisahkan percintaan dua anak bangsawan iaitu Faridah Hanom dan Shafik Afandi. Selain dikagumi oleh orang ramai kerana rupa paras yang cantik dan tampan, keduanya merupakan orang yang sangat berilmu. Masing-masing dilengkapkan dengan pelbagai ilmu berkaitan agama dan juga ilmu Barat. Keduanya juga mampu bertutur dalam Bahasa Perancis. Perhubungan kekasih ini bermula apabila pertama kali Shafik Afandi melihat Faridah Hanom, hatinya telah tertawan dan sering dia pergi ke depan rumah Faridah Hanom untuk melihat Faridah. Mereka mula mengutus surat dan akhirnya sering bertemu secara rahsia sambil ditemani hamba masing-masing.

Konflik bermula apabila ayah Faridah, Kasim Bey hendak menjodohkan dia dengan sepupunya Badaruddin Afandi. Faridah tidak menyukai Badaruddin kerana Badaruddin seorang yang suka berseronok sahaja dan tidak bekerja. Bagaimana lelaki seperti ini hendak memimpin rumahtangga. Pinangan daripada Shafik telah ditolak kerana Kasim Bey sudah menerima peminangan daripada Badaruddin terlebih dahulu. Shafik yang kecewa mengambil keputusan untuk menyertai sekolah tentera yang telah lama dia idamkan. Ayahnya, Talak Bey yang sebelum ini tidak memberi kebenaran akhirnya melepaskan Shafik ke sekolah itu, kerana tidak mahu Shafik terus-terusan bersedih.

Selama tiga tahun lebih Shafik di sekolah tentera, Faridah jatuh sakit akibat terlalu sedih tidak dapat berjumpa dengan kekasihnya dan juga kerana terlampau membenci Badaruddin. Kasim Bey tidak peduli dengan keadaan anaknya dan merasakan sebagai ayah, dia berhak menikahkan anak perempuannya dengan siapa sahaja yang dimahukannya. Beberapa bulan sebelum Shafik kembali ke tanah airnya, Faridah telah menikah dengan Badaruddin. Takdir menentukan mereka terjumpa semula di Iskandariah. Perjumpaan semula dengan Shafik telah membuat Faridah kuat semangat untuk lari dari rumah Badaruddin dan balik ke rumah ayahnya. Faridah memberitahu bahawa pernikahannya dengan Badaruddin tidak sah kerana bersifat paksaan.

Melihat kesengsaraan yang dihadapi anak perempuannya, akhirnya Kasim Bey menyokong usaha supaya Faridah bercerai secara sah namun dirahsiakan kerana mahu menjaga nama baiknya sendiri. Faridah akhirnya menemui kebahagiaan apabila berkahwin dengan Shafik. Harta yang diberikan oleh ayahnya pula tidak diambil langsung tetapi digunakan untuk membuka sekolah untuk semua perempuan di Mesir. Dia mahu wanita di Mesir bangkit kerana mereka layak menerima ilmu sebagaimana yang diterima oleh lelaki.

REVIEW

Penulis pada hayatnya merupakan seorang pengasas Kaum Muda di Tanah Melayu. Antara matlamat penubuhan Kaum Muda ialah untuk meningkatkan kemajuan orang Melayu beragama Islam dan juga emansipasi wanita. Tahun 1925 merupakan tahun orang Melayu masih tidak peduli kepentingan menuntut ilmu, tetapi beliau sudah pun membawa perjuangan hak pendidikan wanita. Beliau seperti maju 100 tahun berbanding kaumnya. Tanpa ilmu dan pendedahan daripada luar, tidak mungkin beliau mampu berfikiran seperti ini.

Penulis membangkitkan isu wanita yang tidak bebas bersuara lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan pernikahannya sendiri. Oleh kerana Faridah Hanom ini orang yang berilmu, maka dia dapat melepaskan diri daripada perkahwinan yang tidak disukainya. Apakah yang akan terjadi kepada wanita yang tidak berilmu di luar sana jika dipaksa berkahwin sebegini? Inilah yang dikatakan Faridah Hanom kepada bapanya.

Benarlah bagaimana perkataan ayahanda itu di dalam hukum kita Islam wali mujbir (bapa atau datuk) itu boleh menikahkan anak atau cucunya dengan laki-laki yang kupu dengan dia dengan mahar missal dengan tiada payah mengambil izin daripada anak atau cucunya itu.

            Tetapi selama bapa dan datuknya itu tidak mengetahui akan anak atau cucunya itu tidak suka atau tidak reda akan laki-laki itu, maka apabila diketahui oleh bapa atau datuk itu akan ketiadaan reda anak atau cucunya dengan tanda-tanda yang telah disebutkan oleh ulama’ fekah di dalam segala kitabnya hinggalah kekuasaannya boleh menikahkan dengan tiada mengambil izin itu. Dan jika dinikahkannya juga, maka nikah itu tidak sah sekali-kali.”

Undang-undang Islam itu tidak hanya berpihak kepada lelaki tetapi juga perempuan. Babak ini menunjukkan bahawa Islam sentiasa ada jalan keluar untuk perempuan yang terperangkap dalam pernikahan paksa dan tidak semestinya menerima dan redha sahaja dengan takdir. Ilmu jugalah yang diperlukan untuk penyelesaian masalah.

Ketika Faridah terserempak dengan Shafik di Iskandariah, hatinya meronta-ronta ingin bertemu dengan Shafik.

Ada sejurus berjalanlah ia masuk ke dalam biliknya sambil berfikir di dalam hatinya – jika aku pergi pun sekarang kepada Shafik boleh juga, tetapi kurang eloklah pada peraturan tabiat perangai anak baik-baik sebab aku ini telah menjadi isteri orang pergi berjumpa dengan seorang laki-laki yang lain.”

            Jika diikutkan hati, Faridah boleh sahaja pergi kepada Shafik memandangkan suaminya juga tiada di rumah, tetapi memandangkan rasa malu dan harga diri yang ada dalam dirinya, dia tidak berbuat demikian. Perempuan yang baik seharusnya sentiasa menjaga maruah diri.

Selain itu, penulis turut membangkitkan isu liberal dalam novel ini. Pada saat Kasim Bey hendak membahagikan hartanya kepada Faridah dan adik lelakinya Muhammad Afandi, berlaku pertelingkahan kecil. Muhammad Afandi meminta supaya dibahagikan sama rata harta ayahnya antara mereka berdua. Shafik Afandi pula menolak kerana bagi beliau, Faridah tidak memerlukan harta daripada ayahnya, kerana dia sendiri sudah mewarisi banyak harta. Hal itu tidak selesai dan Shafik Afandi pulang untuk meminta pendapat ayahnya.

Maka Talak Bey laki-isteri pun tertawa mendengar segala hal yang telah berlaku itu seraya berkata kepada Faridah Hanom, “Bagaimanakah fikiran tuan di dalam perkara ini, dan siapakah punya fikiran yang betul kepada tuan?”

            Jawab Faridah Hanom,”Adapun fikiran anakanda kedua-dua orang ini salah belaka. Dan kedua-dua orang ini hendak memerangi akan Tuhannya Rabbul alamin dan memecahkan hikmatNya yang maha besar gunanya di dalam hukum agama Islam yang maha tinggi ni’”

            Islam sudah memberi garis panduan untuk pembahagian harta pusaka melalui ilmu Faraid, tetapi orang Islam sering kali mengabaikan perkara ini dan membahagikan harta mengikut cara sendiri. Perkara ini boleh mengakibatkan kezaliman kepada pewaris harta.

“Bahagian pusaka ini dilebihkan oleh Tuhan akan anak laki-laki daripada anak perempuan, ialah sebab laki-laki itu terlebih banyak dan terlebih berat pikulannya daripada perempuan.”

Penulis turut membuat teguran kepada lelaki yang sudah berkahwin yang hanya suka berseronok dengan isteri sendiri dan tidak mahu membuat pekerjaan lain. Hal ini dapat dilihat dalam babak Faridah Hanom dengan tegasnya menegur suaminya agar tidak terus terpedaya dengan nafsu.

Agaknya bukan kakanda tiada tahu akan segala perkara ini, tetapi kakanda sangat menurutkan nafsu laki-laki kakanda sahaja, lupalah kakanda akan pendapatan yang dibelakang hari. Tidakkah kakanda ketahui yang nafsu itu akan menerima jemu? Maka jikalau adinda turutkan sangat nafsu kakanda itu, duduk berseronok siang dan malam tidak bekerja dan tidak menjaga kewajipan adinda bagi kesenangan dan kesukaan kakanda di dalam rumah tangga sehingga biasa dan sedaplah adinda dengan tabiat pemalas itu ketika sampai masa kakanda telah rasa jemu kepada adinda lagi di dalam rumah ini jika tiada kakanda mendapat kesenangan dan kesukaan di dalamnya.”

            Shafik Afandi menyedari isterinya bukan sekadar tempat melepaskan nafsu semata-mata. Faridah seorang perempuan berjiwa besar dan tinggi sifat kemanusiaan. Harta daripada ayahnya tidak diambil walau secebis, sebaliknya digunakan untuk membina sekolah untuk perempuan di Mesir serta memberi bantuan kepada sekolah yang sedia ada. Dia boleh berbicara dengan Faridah tentang apa-apa pun termasuk hal pekerjaannya yang sukar.

Penulis memberi kesedaran kepada pembaca bahawa wanita itu tempatnya bukan sekadar memasak dan menyediakan pakaian untuk suaminya, tetapi lebih daripada itu. Keputusan dalam keluarga sepatutnya datang daripada perbincangan suami dan isteri, bukannya hak mutlak seorang lelaki. Buah fikiran wanita itu diperlukan dalam banyak perkara seperti pembangunan keluarga dan masyarakat.

Walaubagaimanapun, beberapa babak dalam novel ini seperti tidak kena dan mungkin menimbulkan kekeliruan dan pertanyaan kepada pembaca. Penulis dikenali sebagai orang agama, tetapi dalam babak pertemuan antara Faridah Hanom dan Shafik Afandi sebelum berkahwin banyak memaparkan yang mereka sering bersentuhan secara fizikal. Bukankah hal ini dilarang dalam agama Islam?

Tulisan Syed Sheikh al-Hadi ini menggunakan bahasa klasik dan mungkin perlu dibaca beberapa kali untuk lebih difahami. Beberapa babak juga diselang-selikan dengan puisi daripada penulis. Walaubagaimanapun, jalan cerita buku ini tidak kompleks dan mudah difahami kerana plotnya berbentuk kronologi. Maksud sesetengah perkataan dan terma juga diletakkan di bahagian bawah muka surat untuk rujukan pembaca.

Kesimpulannya, Hikayat Faridah Hanom sesuai untuk pembaca yang boleh menerima gaya bahasa klasik dan juga yang sukakan tema perjuangan wanita. Banyak isu wanita yang ditonjolkan oleh penulis yang boleh dikupas dan dibincangkan. Biarpun bahasanya klasik, novel ini masih mendepani zaman kerana isu yang dibincangkan masih relevan hingga kini.

Nota pendek: Ini merupakan tugasan untuk Bengkel Reviu yang saya hadiri bulan lepas.

Review Buku: FIRST THEY KILLED MY FATHER

Semasa saya terlibat dengan program amal di Kemboja pada tahun 2012, saya sempat melawat Muzium Genocide Tuol Sleng yang merupakan penjara untuk menyeksa orang awam pada zaman pemerintahan parti komunis yang diketuai oleh Pol Pot. Saya membeli buku ini sebagai kenangan lawatan saya di situ dan mahu mengetahui lebih lanjut peristiwa di sebalik kejadian yang menjadi pengalaman pahit (pahit) bagi setiap rakyat Kemboja yang merasainya. Perkara yang menyeronokkan bagi saya tatkala melawat negara lain ialah mengetahui berkenaan sejarah negara tersebut. Walau bagaimanapun, buku ini tersadai dalam simpanan selama 4 tahun sebelum saya mengambil keputusan untuk membacanya, untuk memenuhi kriteria buku kedua dalam Cabaran Membaca 32 Buku ini.

Kisah bermula apabila setiap penduduk di Phnom Penh diminta untuk mengosongkan rumah mereka. Mereka dijanjikan harapan bahawa mereka boleh pulang ke rumah setelah 3 hari, tetapi sebenarnya itu hanya pembohongan semata-mata, kerana mereka tidak dapat kembali terus ke rumah mereka.

Pol Pot amat memusuhi golongan intelektual dan mereka yang pernah bekerja untuk kerajaan ketika itu kerana merasakan golongan seperti ini akan mengancam pemerintahannya. Pol Pot menghapuskan mereka dengan cara yang amat kejam.

Ayah Loung, seorang pegawai tinggi kerajaan, menyembunyikan identiti beliau serta kesemua ahli keluarganya. Mereka mengaku bahawa mereka adalah keluarga petani. Pada awalnya,  mereka menumpang di rumah pakcik Loung, Leong, di pinggir bandar. Tetapi tidak lama, kerana pendudukan mereka di rumah itu akan memberi ancaman kepada saudara mereka, Loung sekeluarga terpaksa berpindah dari satu kem tahanan ke kem tahanan yang lain, yang telah ditetapkan oleh askar Pol Pot. Setiap kali tiba di sesebuah kem tahanan, mereka tidak akan dapat menjangka, berapa lama mereka akan berada di kem itu kerana arahan untuk berpindah akan datang secara tiba – tiba. Kesemua tahanan dikehendaki memakai pakaian yang ditetapkan oleh askar iaitu pakaian yang berwarna hitam kerana ideologi para komunis ini ialah, semua orang adalah sama. Pakaian yang lain milik orang awam dibakar dan jika askar menyukai harta mereka akan dirampas. Otak yang cerdas tidak penting tetapi badan yang kuat lebih penting, menurut mereka. Kerana itu, mereka membenci golongan yang bijak pandai. Kanak-kanak tidak bersekolah dan mereka dikerah untuk berkebun. Jika diketahui wujudnya sesi pengajaran di dalam kem tahanan itu maka orang yang terlibat tidak akan selamat.

Walau bagaimanapun, mereka yang tinggal di kampung tidak menerima nasib yang sama kerana Pol Pot berpendapat golongan ini tidak mampu memberi ancaman kepada beliau. Kesemua tahanan dikehendaki bekerja pada siang hari. Para lelaki akan pergi mencari ikan dan makanan, manakala para wanita akan membanting tulang menanam apa-apa jenis sayur-sayuran. Bersesuaian dengan ideologi komunis, setiap apa yang didapati mesti dikongsi, apa saja hasil mereka pada hari itu wajib diserahkan. Tetapi sebenarnya, tidak semua hasil itu dapat mereka nikmati. Makanan mereka juga dicatu. Ahli keluarga Leong terpaksa berpisah apabila abang sulung dan abang keduanya, Meng dan Keong, serta kakak sulungnya, Keav, kerana setiap remaja diwajibkan untuk berpindah ke kem remaja.

Loung menyaksikan pelbagai kekejaman yang berlaku di hadapan matanya. Bermula dengan kematian kakaknya Keav yang tidak mendapat pembelaan, kematian ayahnya, mengetahui banyaknya gadis-gadis remaja yang dirogol, ibu dan adiknya mati ketika dia berada di kem askar untuk kanak-kanak, malah dia sendiri hampir dirogol!

            Ada orang mengatakan, “Ah, dia masih budak ketika kejadian itu, masakan dia ingat”. Kenyataan ini tidak benar kerana rampasan kuasa oleh Pol Pot ini sangat memberi kesan kepada Loung. Pada usia 5 tahun, kanak-kanak sudah boleh memahami dan menghadam perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Pengalaman buruk ini sebenarnya menyebabkan tertanamnya rasa benci dalam diri Loung sehingga dia berazam untuk membunuh Pol Pot.

            Saya tidak dapat membayangkan jika saya yang berada di tempat Loung ketika itu. Secara idealnya, zaman kanak-kanak sepatutnya menjadi zaman yang terindah bagi setiap orang, tetapi tidak bagi Loung dan adik beradiknya. Mereka terpaksa menjadi buruh menanam sayur, menjalani latihan askar, setiap hari didoktrin supaya menyokong Pol Pot, terpaksa mencuri makanan kerana kebuluran, mengorbankan diri menjadi bahan pukul rakan sebaya demi sisa-sisa makanan dan pelbagai lagi perkara yang tak seharusnya dilalui oleh seorang kanak-kanak.

            Dapat saya simpulkan melalui pembacaan saya bahawa antara penyebab pembangunan di Kemboja masih ketinggalan dan mundur kerana lebih sejuta rakyat mereka dibunuh. Tambahan pula, mereka yg dibunuh majoritinyaadalah golongan bijak pandai dan professional serta yang pernah berkhidmat dengan kerajaan. Proses membaikpulih dan kemajuan menjadi sedikit lambat dan jika kita berkunjung ke sana, kita boleh merasa hidup di zaman sebelum merdeka.

            Pembacaan buku ini juga memberi kesedaran kepada saya tentang isu penindasan umat Islam zaman kini seperti Rohingya, Syria dan Palestin kerana buku ini menunjukkan sekumpulan manusia yang merasa mereka lebih berkuasa dan memanipulasi kumpulan lain yang kurang berdaya. Jika mereka yang lemah cuba melawan pun, kematian adalah balasan kepada keberanian mereka itu.

            Secara ringkasnya, buku ini menceritakan kisah rampasan kuasa oleh rejim Pol Pot dari saat bermula jajahan sehingga mereka kalah dengan tentera Vietnam (tahun 1974 sehingga 1979) daripada sudut pandang seorang kanak-kanak berumur 5 tahun. Setiap kali berpindah daripada satu bab kepada bab yang lain, debaran sangat dirasakan kerana takut untuk mengetahui kekejaman apa lagi yang telah dihadapi oleh penulis ini. Namun begitu, saya turut merasa tidak sabar untuk menghabiskan pembacaan saya kerana tertunggu-tunggu saat pembebasan rakyat Kemboja.

Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan pembaca kerana saya percaya kisah penulis ini dapat menarik perhatian orang untuk mengetahui sejarah negara Kemboja. Antara cara menyampaikan mesej adalah melalui penulisandan Loung telah menyampaikan kisah penderitaan rakyat Kemboja dengan cukup baik melalui buku ini. Filem berdasarkan buku ini dijangka terbit pada tahun ini dan diarahkan oleh pelakon terkenal Angelina Jolie. Sebelum menonton, marilah kita membacanya agar lebih menghayati filem ini.

Nota: Reviu ini saya buat pada tahun 2016 untuk Cabaran Membaca 32 Buku oleh Buku Jalanan Titi. Kriteria -buku oleh penulis perempuan luar negara.

Review Buku: ORANG NGOMONG ANJING GONG GONG

“Ini adalah buku paling KURANG AJAR yang orang Melayu pernah hasilkan semenjak Tanah Melayu Merdeka”. Begitulah yang tertulis di belakang kulit buku ini. Buku yang menimbulkan kontroversi ini ditulis oleh orang yang juga banyak menimbulkan kontroversi di alam maya sendiri dengan status-statusnya di laman Facebook. Kulit depan buku ini memaparkan gambar penulis duduk sambil memegang seekor anjing (yang saya kira sengaja dibuat bagi mencetuskan kontroversi).

            ONAGG adalah lebih kurang himpunan status Mutalib Uthman di Facebook dan disertakan dengan karikatur bagi memberi gambaran yang jelas kepada pembaca. Ada 60 jumlah status kesemuanya. Masa yang diperlukan untuk menghabiskan buku ini adalah kurang dari sejam kerana ianya tulisan yang bersifat direct dan kita tidak perlu pun untuk mengintepretasi apa sebenarnya yang mahu Mutalib sampaikan.

            Dalam buku ini, segala kritikan adalah jelas. Sebagai contoh kritikan kepada ahli politik yang bernombor 12, “Sebenarnya keputusan SPM tak penting, yang penting bapak kau siapa? ”. Di sebelahnya terdapat karikatur menunjukkan Tun Dr Mahathir dan anaknya, Mukhriz Mahathir. Ini menunjukkan kritikan yang jelas bahawa Mukhriz mampu menaikkan dirinya dalam bidang politik bukan kerana kepandaian atau kecemerlangannya sendiri tetapi kerana ayahnya merupakan orang kuat politik. Sebahagian petikan bernombor 59, “Dulu time kecik, punyalah susah, Kalau dapat makan lauk ayam, habiskan nasi dulu, ayam last sekali.Kau apa tahu, lahir-lahir bapak kau dah jadi menteri.” Ini pula kritikan yang diberikan kepada Dato’ Hishamuddin Tun Hussein kerana karikatur memaparkan wajah beliau sambil menggigit peha ayam goreng. Adalah beza orang yang dilahirkan susah dan dilahirkan sebagai anak menteri.

            Ahli agama juga tidak terkecuali daripada mendapat kritikan. “Ustaz yang gemuk-gemuk ni jenis makan tak ikut sunnah ke ? Bukan nabi pesan berhenti sebelum kenyang ke ?”. Di sebelahnya ada gambar ustaz Haslin Bollywood yang kita ketahui, gemuk! Ini pula kritikan-kritikan kepada agamawan yang gemuk yang hanya tahu menasihati orang lain tanpa melihat cermin. Kritikan turut diberikan kepada netizen. “Mujur aku tak pakai tudung, kalau maki orang pun, tak ada orang pandang serong.” Disebelahnya gambar wanita bertudung sambil menunjukkan simbol jari tengah. Ini kritikan terhadap masyarakat yang merasakan wanita bertudung itu sepatutnya baik seperti malaikat dan wanita tidak bertudung itu jahat seperti syaitan.

            Ada satu gambar yang sangat sinikal, menunjukkan gambar kubur tetapi ada tangan yang keluar dari kubur itu dan memegang mikrofon. Ayatnya memberi kritikan bahawa kita sangat suka dan terpengaruh dengan rancangan nyanyian bermula dari umur kanak-kanak (Idola Kecil) sehingga usia tua (Kilauan Emas). Beberapa kritikan pula memaparkan sesetengah perkataan dan gambaran yang lucah yang saya rasakan tidak sesuai untuk dicetak didalam buku, seperti menyebut perkataan anggota kemaluan.

            Pada pandangan saya, kritikan kritikan seperti dalam buku ini sangat bagus kerana boleh mencelikkan mata dan minda rakyat, tetapi, kerana kandungannya mengandungi sedikit bahan yang saya kira lucah, maka saya menyokong agar buku ini diharamkan. Sekiranya dibuang bahagian bernombor 53, 54 dan 55, saya akan mengubah pendirian saya.

Nota: Reviu ini saya buat pada tahun 2016 untuk Cabaran Membaca 32 Buku oleh Buku Jalanan Titi. Kriteria – buku yang diharamkan.