Review Buku: EMAK RINDU MATHANGA ERISSERY DAN NAMASTE INDIA

         

Kedua – dua penulis ini telah melawat Negara India. Khairul Hakimin hanya melawat India selama 9 hari, manakala Siti Noridah telah menghabiskan hampir 3 bulan lamanya mengembara secara berbackpacker di India.

            Ada empat tempat yang dilawat oleh Khairul Hakimin, iaitu, Kochi, Kondungalor, Munnar dan Alleppey. Antara tujuan utama lawatan beliau ini ialah hendak berguru dengan Pn Nimi Sunilkumar, untuk belajar masakan India. Pn Nimi merupakan pemenang tempat ketiga buku masakan terbaik dunia. India sangat dekat dengan beliau, kerana ibu beliau berasal dari India. Mathanga Erissery merupakan makanan kegemaran ibu beliau, tetapi ibunya tidak lagi dapat merasa makanan tersebut selepas berkahwin (iaitu ketika beliau berumur 15 tahun). Jadi, beliau belajar masak Mathanga Erissery ini dan berjaya masak untuk ibunya selepas pulang ke Malaysia.

            Pemergian Khairul ini ditaja, dan beliau tidak pergi berseorangan, tetapi bersama lagi tiga kawannya. Insan yang menaja berpesan, kalau beliau pergi seorang, pengalaman dan pandangan yang diperoleh cuma satu, tetapi jika pergi berkumpulan, lebih banyak hikmah yang boleh dikutip

 Kebanyakan trip mereka adalah dengan menaiki kereta dan ada satu perjalanan beberapa hari yang menggunakan rumah. Di dalam buku ini dinukilkan pengalaman beliau di setiap tempat yang dilawati, dan diselang selikan dengan kisah hidup beliau berserta ibu bapa dan juga resepi – resepi makanan India.

Berbeza dengan Khairul, Siti Noridah membuat catatan untuk 20 tempat di India yang beliau pergi. Siti pergi bersendirian. Adakalanya beliau akan duduk hampir dua minggu di sesebuah daerah, adakalanya hanya sehari dua. Pengembara yang dijumpai dalam perjalanannya itulah yang akan menjadi teman seperjalanan, sehinggalah mereka berpisah untuk meneruskan perjalanan masing-masing.

Siti hanya akan menaiki kereta hanya apabila keadaan terdesak dan dengan kadar yang berbaloi. Selebihnya, dia hanya akan berjalan kaki dan menaiki kenderaan awam (bas, keretapi dan riksha). Siti memilih India dan beberapa buah daerah yang jarang dilawati orang ramai kerana beliau lebih berminat dengan tempat yang tidak ramai orang pergi. Pernah sekali, penduduk tempatan di salah sebuah daerah yang beliau lawat mengatakan itulah kali pertama dia berjumpa dengan orang Malaysia.

Catatan Siti lebih kepada pengalaman yang beliau hadapi di setiap tempat yang beliau pergi. Siti banyak menulis berkenaan pemandangan tempat yang beliau lawati walaubagaimanapun ianya tidak terperinci dan kelihatannya hampir sama saja. Siti pernah tanpa sengaja mengikut upacara keagamaan Hindu kerana tidak tahu, dan rupanya orang yang berbuat acara itu cuma mahukan duit daripada Siti. Pernah juga beliau hampir tertipu apabila ada orang mengatakan keretapinya akan lambat 10 jam dan diminta mengikuti orang itu. Nasib baik beliau berwaspada dan ambil tindakan dengan meminta kepastian di kaunter.

 Catatan Khairul Hakimin sangat seronok dibaca ditambah dengan cerita-cerita menarik yang ada. Kebanyakan perkara yang dijumpai di India akan dikaitkan dengan apa yang berlaku kepada penulis sendiri. Tulisan Siti Noridah pula mungkin agak datar dan hanya menumpukan pada apa yang dihadapi penulis ketika mengembara, tetapi mampu memberi inspirasi kepada yang ingin mengembara ke India.

Nota: Reviu ini saya buat pada tahun 2016 untuk Cabaran Membaca 32 Buku oleh Buku Jalanan Titi. Kriteria – buku travelog.

Review Buku: Bahagia Bukan Gembira

Untuk cabaran ketiga, saya memilih menghabiskan Bahagia Bukan Gembira oleh Anfaal Saari untuk dihabiskan dalam masa sehari. Pn Anfaal Saari mengukir kisah-kisah hidupnya sebagai ahli perniagaan dan aktivis dakwah sepenuh masa di dalam anekdot Bahagia Bukan Gembira.

            Menjadi anak kepada presiden sebuah organisasi dakwah, Pn Anfaal sedari kecil dididik mengikut acuan Islam.  Ibu bapanya sendiri disatukan melalui sistem Baitul Muslim. Pn Anfaal dilatih ayahnya menjadi kuat dan lasak. Hidupnya sejak kecil diabadikan untuk jemaah. Awal pendidikan Pn Anfaal ialah di SRI Al-Amin Gombak (golongan terawal, kemudian disambung ke SMI Al-Amin Gombak.

Ayah beliau Tn Hj Saari Sungib, sentiasa mencari jalan supaya Pn Anfaal sentiasa diluar zon selesa. Selepas SPM, beliau dihantar belajar ke kolej swasta berdekatan rumah mereka dan beliau sahajalah orang Islam dalam kelas beliau ketika itu. Memakai baju kurung dan tudung labuh ketika itu masih kelihatan janggal sehingga ahli kelas berkata, “Anfaal, come on la. Don’t wear outdated attire like this. Be modern”. Pedih dan sentap.

Antara kisah yang saya kira menarik ialah, selepas SPM, Pn Anfaal disuruh ayahnya untuk mengambil lesen kereta. Selepas lulus, tugasan-tugasan memandu keseluruhannya diletakkan di bahu Pn Anfaal, mengambil adik sekolah, membeli barang dan bermacam-macam lagi. Tidak lengkaplah diari hidup sebagai pemandu tanpa wujud kemalangan dan apabila ini berlaku kepada Pn. Anfaal. Sesudah kemalangan Pn Anfaal menyerahkan lesennya kepada ayahnya dan berkata akan memandu dua tahun lagi dek kerana rasa bersalah. “Buat apa ? Simpan lesen tu. Drive!” Jawab ayahnya.

Beliau pernah mengalami pengalaman diragut. Ayah beliau langsung tidak memunculkan diri di balai polis ketika laporan dibuat, hanya ibu beliau saja yang ada, kerana ayahnya percaya, beliau sendiri boleh mengatasi masalah itu. Tindak tanduk ayahnya dalam banyak hal, mematangkan Pn Anfaal.

Keluarga mereka diuji tatkala ayah beliau ditahan ISA selama dua tahun. Diceritakan di dalam anekdot ini bagaimana prosedur hendak melawat tahanan di ISA. Pn Anfaal berkahwin ketika ayahnya berada dalam tahanan ISA. Ayahnya diberikan pelepasan beberapa jam pada hari itu dan beliau jugalah yang membaca khutbah dan menikahkan mereka.

Tuhan tidak akan memberati seseorang dengan sesuatu yang tidak mereka mampu. Pn Anfaal menerima ujian dan dugaan yang telah ditetapkan untuk beliau. Segala perkara yang berlaku, telah menjadi asbab membentuk dan membina diri beliau pada hari ini, apabila beliau masih lagi istiqamah bekerja di jalan ALLAH.

Sebagai pembaca buku, tidak semestinya kita bersetuju dengan semua perkara yang ditulis, walaubagaimanpun, insyaALLAH, dengan membaca buku ini, ada sesuatu yang dapat kita ambil sebagai pengajaran dan inspirasi.

Nota: Reviu ini saya buat pada tahun 2016 untuk Cabaran Membaca 32 Buku oleh Buku Jalanan Titi. Kriteria – Bacaan 24 Jam.

Review Buku: EMAK RINDU MATHANGA ERISSERY

Penulis:  Khairul Hakimin Muhammad Genre: Travelog Penerbit: Nubook emak-rindu-mathanga-erissery Ini adalah review yang saya  tulis untuk Goodreads, Saya mula tertarik mahu mendapatkan buku ini selepas membaca kisah ibu penulis yang berasal dari India yang saya rasakan ianya unik. Sungguhpun buku ini bergenre travelog, ianya tidaklah mempunyai perincian kos-kos perjalanan dan penginapan untuk panduan pembaca, kerana Tuan Khairul telah ditaja untuk pengembaraan beliau ke India selama sembilan hari ini. Penulis telah pergi ke empat tempat utama iaitu Kochi, Kondungalor, Munnar dan Alleppey. Beliau yang juga seorang penggemar masakan telah mengambil kesempatan di Munnar untuk belajar memasak makanan India dengan Puan Nimi Sunilkumar yang merupakan pemenang tempat ketiga buku resepi terbaik dunia. Di situlah beliau belajar memasak Mathanga Erissery kegemaran ibu beliau (ibu beliau tidak lagi dapat menikmati makanan ini selepas berkahwin pada umur 15 tahun). Kisah pengembaraan mereka dalam buku ini diselang-selikan dengan kisah hidup penulis dan ibu bapanya berserta resepi-resepi makanan yang didapati dari India. Ketika membaca kisah pengembaraan rumah bot mereka dari Munnar ke Alleppey, saya rasa seperti pernah membaca kisah ini. Rupa-rupanya teman seperjalanan Tuan Khairul, iaitu Tuan Fazla sudah pun menulis kisah ini di dalam buku Antologi Travelog: Berjalan di Muka Bumi. Gabungan kisah pengembaraan, kisah hidup dan resepi menarik untuk dibaca, terutamanya jika anda sedang dalam mood untuk bacaan ringan. Selamat membaca !