Review Buku: Winner Take Nothing (Ernest Hemingway)

Winner Take Nothing adalah himpunan cerpen oleh Ernest Hemingway yang diterbitkan pada tahun 1933. Sesetengah daripada cerita pendek ini pernah disiarkan dalam majalah namun kebanyakannya belum pernah diterbitkan. Buku terbitan asal sebenarnya hanya ada 14 cerita di dalamnya, tetapi versi terbitan Arrow Books ini mengandungi tambahan lagi tiga buah cerita (dalam senarai nombor satu hingga tiga di bawah):

1. The Short Happy Life of Francis Macomber
2. The Capital of The World
3. Old Man at the Bridge
4. After The Storm
5. A Clean, Well-Lighted Place
6. The Light of The Place
7. God Rest You Merry, Gentlemen
8. The Sea Change
9. A Way You’ll Never Be
10. The Mother of a Queen
11. One Reader Writes
12. Homage to Switzerland
13. A Day’s Wait
14. A Natural History of the Dead
15. Wine of Wyoming
16. The Gambler, the Nun, and the Radio
17. Fathers and Sons

Sejujurnya, saya membaca buku ini bukan kerana kemahuan sendiri tetapi atas tuntutan kerja, namun ia tidak menjadi masalah kerana saya terbuka untuk cuba membaca buku yang tidak pernah terlintas untuk dibaca pun. Saya sendiri baru mengenal penulis dan baru tahu yang beliau adalah pemenang Anugerah Nobel Sastera. Cerita Ernest tidak berlebih-lebih dan kelihatan biasa-biasa sahaja. Ernest seorang yang pernah menyertai perang, terlibat dengan permainan laga lembu, memburu haiwan dan sering pergi memancing di kawasan laut dalam.Maka, kebanyakan tulisannya mencerminkan kehidupan ini.

Sebagai contoh, dalam One Reader Writes, ia berkenaan seorang wanita yang menulis surat kepada doktor yang menjawab persoalan dalam ruangan surat khabar. Dia bimbang kerana suaminya dijangkiti penyakit sifilis tetapi suaminya meyakinkan bahawa penyakit itu tidak akan membawa masalah. Perang bukan sahaja merampas nyawa dan adakala jiwa manusia (walaupun orang hanya peduli pada Post Traumatic Stress Disorder agak lewat), tetapi akibatnya kesunyian, mereka berhubungan dengan orang lain sehingga terkena penyakit. Jadi, karyanya sedikit mengingatkan saya kepada Salina dan Sungai Mengalir Lesu tulisan SN A Samad Said kerana dua cerita ini adalah gambaran kepada betapa teruknya kesan perang kepada penduduk di negara yang terlibat.

Bahasa dan tulisan Hemingway agak sukar untuk saya hadamkan, terpaksa diulang berkali-kali. Tatkala saya suarakan kepada kakak ipar saya, rupa-rupanya beliau berpendapat yang sama kerana pernah cuba membaca karya penulis ini. Usah mengharap sebarang penamat bahagia dalam setiap cerita kerana itu bukan gaya Hemingway. Ia cerita biasa yang tiada penamat dan jika ada, jarang sekali penamat yang bahagia, tetapi lebih kepada tragedi.

Ada satu persoalan yang masih sedang cari jawapannya. Mengapa tajuknya Winner Take Nothing? Tiada satu pun cerita yang mempunyai tajuk ini dan siapakah Winner yang dimaksudkan?

Ah sudah, bagaimana mahu diterjemah?

Review Buku: Seorang Tua di Kaki Gunung

Sewaktu menyelongkar almari kitab arwah datuk dengan harapan ketemu buku kisah 1001 malam beberapa bulan lepas, saya menjumpai buku yang sering kali disebut oleh pengajar kursus berkaitan perbukuan atau penterjemahan yang saya hadiri sebelum ini, iaitu Seorang Tua di Kaki Gunung. Ia milik ibu saudara saya yang digunakan sebagai sukatan pelajaran KOMSAS beliau dahulu. Sedikit pengenalan mengenai buku ini, ia ditulis oleh Allahyarham Azizi Hj Abdullah dan memenangi tempat kedua Sayembara Hadiah Novel GAPENA – Yayasan Sabah II tahun 1981. Mengikut bacaan di internet, banyak rupanya buku yang dikarang oleh penulis ini. Jika masih hidup, mungkin beliau sudah berada di tahap calon sasterawan negara. Berbalik kepada kemenangan sayembara, agak unik catatannya kerana meskipun kisah ini begitu hebat, ia hanya memenangi tempat kedua dan tiada pemenang tempat pertama kerana tiada yang layak. Berapa ketatkah pemilihan ketika itu? Seorang Tua di Kaki Gunung mengisahkan sepasang suami isteri, Tukya dan Besah yang tinggal di kaki Gunung Bongsu sementara anak mereka, Fikri yang sudah berkahwin dengan Fatimah tinggal di bandar bersama-sama dua anak mereka, Farid dan Lamin. Sebulan atau dua bulan sekali Fikri sekeluarga akan pulang ke kampung menziarahi ibu bapanya. Fikri tidak lagi menghargai tempat lahir dan membesarnya serta lebih menghargai kehidupan di kota. Begitu juga isterinya yang memang berasal dari bandar dan Farid yang gemar memperlekehkan rumah datuknya. Hanya Lamin yang suka tinggal di kampung dan mengikut aktiviti harian Tukya ke hutan dan huma. Lamin seronok tinggal di kampung sewaktu cuti sekolah. Tukya amat bersemangat mengajar Lamin cara mendapatkan madu lebah. Baginya, Lamin mesti diajar cara hidup di luar bandar. Setiap isi alam mesti dihargai. Walau bagaimanapun, malang bagi Tukya apabila dia disengat sekumpulan lebah sehingga terpaksa ke hospital. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu berita kemalangan itu sampai ke anaknya kerana dia tidak mahu dilihat lemah. Pulangnya Fikri untuk mengambil semula Lamin dan memujuk ayahnya supaya tinggal bersama dia di bandar sangat mencabar semangat tua Tukya. Farid pula menambah luka di hati dengan mengejek-ngejek keadaan rumah Tukya. Katanya, rumah itu senget dan menanti masa untuk roboh. Inilah yang membuat Tukya bertekad untuk membina rumah baru menggunakan kayu pokok cengal sebesar dua pemeluk setengah yang dijumpai di hutan. Pedulikan jika penat, pedulikan jika diketahui oleh pihak perhutanan. Orang kampung, Fikri, Farid perlu tahu yang Tukya juga boleh ada rumah baru. Biar mereka terpegun dan malu sendiri. Namun, ia berakhir dengan tragedi yang tidak diduga. Dendam kuat ini merampas nyawa Tukya. Besah hilang suaminya, Fikri baru sedar yang kata-katanya selama ini diambil serius oleh si ayah, dan Farid, tiada guna lagi menyesal. Terlalu banyak pengajaran yang boleh didapati melalui naskhah ini. Paling ketara, ia mengingatkan kepada sikap ayah saya sendiri. Jika beliau menziarahi saya di Kajang, ayah saya tidak betah bermalam lebih daripada sehari pun. Kehidupan di kota bukanlah kehidupan ayah. Maka, saya memahami sepenuhnya apa yang bermain di jiwa Tukya. Bagaimana mungkin orang yang sudah bertahun bebas di tepi gunung mampu bertahan dikurung di tengah kota? Penulis Azizi Hj Abdullah seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama. Watak Tukya dalam kisah ini adalah seorang yang sangat menjaga solatnya. Jarang sekali ia meninggalkan solat berjemaah di surau sewaktu Maghrib dan Isyak. Jika terpaksa berlama-lamaan di hutan, pasti akan dicari jalan supaya solat tidak ditinggal. Melalui buku ini juga barulah saya tahu wujudnya kitab-kitab panduan membina rumah. Tetapi saya tidak berani mengulasnya kerana tidak tahu adakah saya patut percaya atau tidak dan ia juga di luar pengetahuan. Terakhir sekali, berhati-hatilah saat berbicara dengan ibu bapa kita. Didiklah anak supaya sama-sama menghormati dan menjaga kata-kata. Kita tidak tahu berkemungkinan perkara yang diucapkan menyakitkan hati mereka dan mengundang tindakan yang akhirnya membawa padah.

Review Buku: Salina

Penulis: A. Samad Said Penerbit: Wira Bukit Sdn. Bhd. Tahun Terbit: 2012 Muka Surat: 371 Beli di: The Bibliophile PENGENALAN

Novel mengenai seorang perempuan bernama Salina yang didorong kemiskinan untuk mencari kerja sebagai pelayan di Singapura dan Tanah Melayu (Malaysia) pada tahun 50-an.

“Salina, kakak bercakap dengan ikhlas, dari hati kecil kakak benar-benar dan kau tau bagi kakak kau sudah seperti adik kakak sendiri, timbangkanlah cakap kakak ini. Ubahlah cara hidup kau. Berikhtiarlah supaya jangan terus-menerus sahaja kau men-jalani kehidupan seperti ini.”

Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura, selepas Perang Dunia Kedua. Novel ini menggambarkan ke-miskinan,keruntuhan moral di kota dan pergelutan untuk melangsungkan survival di tengah-tengah kehancuran kehidupan selepas perang.

Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat perang memberi kesan yang cukup kuat dalam diri Samad yang pada masa itu masih anak-anak lagi. Dia mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang-orang Indonesia yang hanyut berkelana dan menjadi buruh di Singapura.

Ini bukanlah persoalan yang sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu, tetapi Samad telah memperlihatkan kebolehan seninya dengan melukiskan semua hal ini secara artistik melalui dialog-dialog dan tingkah laku watak-wataknya. Manusia yang lahir dalam Salina adalah manusia yang natural dan bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya. Memang Samad mempunyai kekuatan dalam hal ini kerana ketelitiannya mengamati watak-watak orang.

REVIEW

Dalam prakata yang ditulis Pak Samad untuk buku ini, beliau ada menjelaskan,

” ‘Salina’ sangatlah luar biasa bagi khazanah sastera saya kerana ia telahpun sempat dipadukan orang tentangnya dengan saya. Ketika menulisnya dahulu memang saya tidak terfikirkan – ataupun merancang secara berpesan – untuk menjadikan karya ini sebuah karya mendidik. Saya hanya ingin menghantar sebuah kisah realis yang wajar kita renungi dan adili sendiri dengan memberikan tafsiran atau hukumannya.

Saya sendiri tidak bersedia menjadi seorang moralis yang palsu; saya hanya ingin menjadi penyampai sebuah kisah yang – saya harap – bakal mampu membuka fikiran umum tentang wujud kesan perang yang sangat merosakkan. “

Hakikatnya walaupun Pak Samad tidak merancang apa-apa untuk masterpiece ini, tetapi beberapa bulan sebelum review ini ditulis, Salina telah pun diulang cetak untuk ulang tahun yang ke 60. Salina dianggap karya paling agung milik Pak Samad dan masih menjadi sebutan hingga saat ini.

Permulaan kisah ini amat perlahan dan beberapa kali membuatkan saya berputus asa untuk meneruskan bacaan. Pak Samad menerangkan keadaan di Kampung Kambing dengan amat terperinci. Bumbung yang bocor setiap kali hujan, tikus-tikus yang berkeliaran dalam bilik penghuni, bilik air dan tempat mencuci yang gelap dan bermacam-macam lagi.

Walaupun tajuk novel ini bernama Salina, namun kisah dalam novel ini tidak hanya menumpukan kepada watak Salina sahaja, tetapi juga Hilmy, Nahidah, Khatijah dan Haji Karman. Kesan perang yang dimaksudkan Pak Samad ialah melalui beberapa kejadian yang menimpa watak-watak ini. Mereka kehilangan keluarga akibat beberapa letupan sehingga menyebabkan trauma. Kerana desakan hidup, Salina sanggup menggadaikan tubuh walaupun dia sendiri tahu kelakuannya itu salah. Nahidah pula dipaksa ibu tiri untuk menjadi pelayan hingga akhirnya menyebabkan dirinya juga tergadai. Hilmy pula, walau bercita-cita tinggi untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi tetapi akhirnya terhenti akibat terpaksa menjaga ibu yang sakit.

Terdapat banyak sudut yang boleh diambil dalam memandang dan menilai sesuatu perkara. Khatijah, ibu kepada Hilmy mengambil jalan untuk berbuat baik kepada Salina meskipun mengetahui jalan yang diambil beliau dalam meneruskan kelangsungan hidup. Apabila tiba waktu yang sesuai, Khatijah tidak teragak-agak memberikan teguran yang paling berhemah agar Salina meninggalkan dunia gelapnya itu. Berbeza dengan Haji Karman, beliau berpegang teguh dengan ajaran Islam tetapi hanya mampu memandang serong dan cakap-cakap di belakang Salina, tidak mahu mengambil tahu situasi sebenar.

Saya tidaklah menyokong perbuatan Salina, kerana pilihan pekerjaan Salina itu memang ternyata dihalang di sisi agama, tetapi sebelum mudah-mudah kita mengata, haruslah kita rajin-rajin mengambil tahu dulu sebab terjadinya sesuatu perkara itu.

Buat pembaca semua, selamat menghayati Salina.

Review Buku: Surat-Surat dari Maninjau

Penulis    : Hafizul Faiz Penerbit   : Jejak Tarbiah Tahun Terbit: 2016 Muka surat: 196 Beli di: Jejak Tarbiah Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Di surat-surat dari maninjau ada cinta yang utuh, impian yang terpaksi dan kejujuran yang menjahit segala wacana. Sesiapa sahaja boleh temui dirinya di dalam surat-surat dari maninjau, seperti saya yang menemui diri saya setelah menoktahkannya.

Kepada pencinta sejarah, kepada sejarawan yang jatuh cinta, kepada yang tak pasti, kepada yang memilih untuk pergi, semoga surat-surat dari maninjau yang tiba di tangan-tangan, kalaupun tidak mengubah apa-apa, cukuplah andainya bisa membawa kalian ke daerah yang paling indah, iaitu daerah ‘diri sendiri’.

REVIEW

Saya tidaklah begitu mengenali sosok saudara Hafizul Faiz, tetapi saya tahu beliau merupakan seorang penulis dan memiliki beberapa buku yang sudah diterbitkan. Sememangnya sikap saya yang tidak sesuka hati membeli buku milik penulis yang tidak begitu saya kenali atau belum pernah membaca sebarang karyanya. Namun, apabila saya lihat nama beliau sebagai seorang speaker program Kampung Buku Jejak Tarbiah, dan digelar sebagai Sasterawan Muda, (ya beliau seusia dengan saya), saya pasti ada sesuatu yang istimewa dalam tulisan penulis ini.

Surat-Surat dari Maninjau bagi saya sebuah naskhah yang amat super duper power. Buku ini berpeluang menjadi naskhah yang evergreen. Dalam buku ini, penulis menghidangkan fakta-fakta ilmiah sejarah penyebaran agama Islam ke Nusantara dengan cara tersendiri, iaitu melalui surat– surat yang diutus Qhuzeil kepada Asyfa dan Natrah.

Siswa dan Ketekunan Menuntut Ilmu

Fakta – fakta ini tersusun dan diterangkan dengan baik dan seperti memanggil-manggil kita untuk segera mencari dan mentelaah sumber-sumber yang penulis nyatakan dalam buku ini. Penceritaan sejarah dengan cara ini amat baik dan langsung tidak membosankan ketika sesi pembacaan. Saya seperti tidak mahu berhenti setiap kali meneruskan pembacaan. Sebagai seorang siswa, ketekunan menggali ilmu Qhuzeil, Asyfa, Nubhah dan Natrah amat saya kagumi. Qhuzeil sebagai siswa dan masih muda, pastinya tidak lari daripada perkara fitrah. Beliau jatuh suka kepada sahabat seperjuangan belajar sejarahnya, Asyfa. Namun begitu, tidak semua kisah cinta berakhir dengan bahagia. Seperti mengingatkan saya kepada novel Buya Hamka, iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah, begitulah juga yang terjadi kepada Qhuzeil. Saya jadi jatuh kasihan. Dia memendam rasa seperti Hamid, cuma cinta Hamid itu berbalas walaupun tidak bersatu, tetapi Qhuzeil malah ditolak mentah-mentah oleh Asyfa. Kisah cinta tiga segi berada di mana-mana pun, tetapi olahan penulis ini membuatkan kisah itu nampak lebih unik dan lain daripada yang lain. Cinta itu berlegar dalam perjalanan mencari ilmu, bukannya hanya sibuk berkasih dan melupakan perkara lain. Wah wah, padahal kisah cinta kurang 50 peratus tapi lebih banyak saya ulas hahaha.

Nilai yang dibawakan dalam buku ini amat penting, iaitu keghairahan dan kesungguhan menuntut ilmu. Lihat sahaja bagaimana ketekunan Qhuzeil dan Asyfa dalam mendalami sejarah. Natrah pula yang tidak jemu-jemu mencari maklumat, malah berani membuat pembentangan walaupun masih seorang pelajar. Ketika saya sorang pelajar, pembentangan ialah sesuatu perkara yang saya sentiasa mahu elak, kerana tidak yakin dengan ilmu dan penyampaian sendiri. Sebab itu saya jadi kagum kepada orang-orang yang yakin dengan pendapat mereka dan mahu membuat pembentangan idea, dan mahukan kritikan bagi penambahbaikan. Saya turut tertarik kepada perenggan ini,

“Tahun lepas saya ditawarkan kerusi kuliah. Saya menolak. Saya mahu ditawarkan ruang untuk wacana ilmu diluaskan. Bukan ilmu sebagai tunggangan untuk meraih populariti. Sepanjang pengamatan saya, kerusi politik kampus langsung tidak berjaya memberikan kedudukan kepada budaya ilmu. Di sana ada pihak yang mengongkong dan menentukan dasar. Ilmu didikotomikan. Disempitkan. Saya pernah menganjurkan wacana tentang Merdeka. Saya mahu mengutarakan makna Merdeka disebabkan saya lihat suramnya budaya menyambut dan menghargai hari kemerdekaan negara ini. Saya menjemput Dr Maszlee Malik, Xifu Naser dan beberapa rakan Buddha dan Hindu. Saya dikecam. Atas alasan “pembentang yang dijemput tidak jelas fikrah”. Sejak dari hari itu, saya fikir saya salah tempat bernaungkan di bawah Parti Politik Kesatuan Agama Islam Kampus. Nama sahaja agama. Tetapi agama yang diwajahkan ternyata memburukkan lagi agama. Yang paling mengerikan, mereka bernaung di bawah sebuah parti yang mendokongi dasar agama terbesar di negara ini. Oh, my God!”

Mengingatkan saya kembali kepada zaman belajar di universiti dulu. Berada dalam satu kumpulan agama, kita terkongkong dalam pemikiran sesama kelompok sahaja. Tidak terbuka kepada idea dan ilmu, jika pembentang atau pemiliknya bukanlah dalam kapal yang sama. Saya harap golongan yang sekarang tidak lagi begitu, ilmu bukan hanya tertakluk kepada golongan sefikrah sahaja, tetapi lebih besar daripada itu.

Surat selamat tinggal daripada Qhuzeil kepada Asyfa sangat menyentuh hati. Dapat dirasakan kekecewaan yang mendalam dan kesedihan Qhuzeil, serta kesediaan beliau untuk jalan terus atau yang orang sekarang suka sebut, Move On. Ayat-ayatnya begitu puitis. Selepas setiap perenggan saya pasti berhenti sebentar untuk menghayati dan menghadam, seperti tidak mahu surat itu habis.

Surat itu tergantung, dan saya tertanya-tanya, apa yang terjadi kepada Qhuzeil? Saya berharap saya akan dapatkan jawapannya dalam sambungan buku ini, Surat-Surat dari Edinburgh. Buat kalian yang menggemari sejarah, buku ini pastinya sesuai untuk kalian. Selamat membaca!

Surat Bersampul Perang

Surat Bersampul Perang ini sebenarnya versi terbit semula novel Rindunya Kian Membara. Dulu Kak Su (Noor Suraya) terbitkan dengan Creative Enterprise Sdn. Bhd. (CESB) pada tahun 2001 (Wahhh, saya masih Darjah 3 waktu itu). Ketika di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 lepas, Kak Su beritahu beliau sudah tambah 100 m/s untuk Surat Bersampul Perang ini. (wahhh kagum lagi). Bagi sesiapa yang dah baca Kekasih Waktu, Surat Bersampul Perang ini kiranya versi prequel lah dan watak utama pun Farhana (Anah), ibu Zaynn & Zetti. Kak Su seperti biasa suka betul menghidangkan pembaca beliau dengan kisah menyayat hati tetapi sangat unik. Farhana ialah lambang wanita cekal dan berpendirian tegas yang tidak tunduk dengan ugutan Masri untuk berkahwin semula walaupun terpaksa berkorban hak penjagaan kedua anaknya. Saya belum sempat lagi nak buat review penuh untuk novel ini tetapi saya sarankan penggemar tulisan kak su cepat-cepatlah dapatkan sebelum stok habis.

Jom Kritik Buku ITBM: Budak Beca

Tajuk : Budak Beca Penulis : Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) No ISBN : 978-983-068-952-4 Harga : RM 25 (Semenanjung Malaysia), RM 30 (Sabah & Sarawak) Kritikan Isi Kandungan Buku
  • Ringkasan Isi Buku

Budak Beca mengisahkan Mamat Merdeka yang pulang ke kampung halamannya di negeri Terengganu setelah tujuh tahun menjadi mata-mata khas. Ketika itu Tanah Melayu hampir mendapat kemerdekaan. Dia menggelarkan dirinya Mamat Merdeka kerana bagi Mamat, dia sudah merdeka daripada menjadi orang suruhan orang lain dan dia boleh berseronok sesuka hatinya. Hasil perkhidmatan sebagai mata-mata khas membolehkan dia membawa pulang wang simpanan hampir RM 2000

Bapa Mamat berpesan supaya dengan simpanan yang ada itu digunakan untuk membeli tanah sebagai persediaan di masa hadapan tetapi Mamat tidak langsung ambil peduli ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Mamat mengambil keputusan hanya akan mencari ikhtiar lain selepas duitnya habis. Akhirnya duit milik Mamat itu hanya mampu bertahan selama 6 bulan sahaja akibat sikap borosnya. Mamat menghabiskan duit itu dengan hanya berjalan-jalan, berseronok dengan kawan-kawannya dan bermain perempuan.

Tidak ada apa yang tinggal pada Mamat setelah wangnya habis. Kawan-kawan pun lari dan malang sekali kerana dia mendapat penyakit kelamin, tetapi mujurlah masih boleh diubati. Mamat meneruskan hidup dengan bekerja sebagai penarik beca. Sudahlah upahnya sedikit, dia perlu pula membayar ansuran beca kepada pemilik beca setiap bulan.

Takdir menemukan Mamat dengan Mustapha, seorang lelaki yang mewakili persatuannya (badan bukan kerajaan) dari Kuala Lumpur untuk tinggal di Terengganu. Mustapha membuat kajian mengenai kehidupan sosial dan keadaan ekonomi penduduk di Pantai Timur ini. Dia melahirkan rasa kebimbangan apabila hasil kajiannya mendapati masih ada orang Melayu yang takut untuk menerima kemerdekaan. Ada yang sudah bersedia untuk merdeka, tetapi jiwa mereka masih belum merdeka. Anak Melayu hanya mahu berseronok-seronok, tidak mahu menyimpan wang, tidak serius bekerja dan tidak berfikir untuk masa hadapan.

Mustapha acap kali mengingatkan Mamat supaya bersungguh-sungguh merubah taraf hidupnya. Hasil usaha Mustapha juga membolehkan Mamat yang buta huruf akhirnya pandai membaca. Mamat juga tidak lagi mahu berseronok tetapi sudah ada azam untuk mengubah kehidupannya. Dia mahu merebut peluang yang diberi kerajaan yang mahu memberikan tanah kepada rakyat untuk diusahakan di negeri Pahang.

  • Ulasan Isi Buku

Novel tulisan Pak Sako ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1957 yang merupakan tahun Tanah Melayu menerima kemerdekaan. Ketika itu, sastera merupakan alat penting dalam menyampaikan mesej kemerdekaan kepada penduduk Tanah Melayu. Latar belakang Pak Sako sebagai seorang nasionalis sangat mempengaruhi beliau. Mesej dan kritikannya kepada orang Melayu jelas melawan penjajahan oleh British dan juga penjajahan akal fikiran. Sesetengah kritikan beliau ini masih lagi relevan untuk dibincangkan sehingga ke hari ini.

Jika Novel Putera Gunung Tahan tulisan Pak Sako sebelum itu bertujuan untuk meniupkan semangat kemerdekaan kepada rakyat, memberi sindiran dan tentangan kepada British, Budak Beca pula memberikan kritikan kepada kaum yang hendak menerima kemerdekaan.

Kritikan paling jelas dalam novel ini ialah terhadap sikap-sikap orang Melayu yang langsung tidak serius memajukan hidup mereka. Ini dapat dilihat melalui sikap Mamat yang hanya tahu berseronok dan tidak mahu melakukan kerja berfaedah setelah pulang ke kampung. Dia malah tidak mahu merancang masa depannya sendiri.

“Hati besar dan rasa sombongnya memerintah dia kalau orang-orang lain, kalau orang-orang yang berhormat dan berpangkat boleh dapat wanita-wanita itu maka dia juga boleh dapat. Biarlah wangnya habis. Bila sudah habis nanti dia cari lagi, dia boleh jual lembu ayahnya, dia boleh meminta pada emaknya, demikianlah fikiran Mamat.”

            “Besoknya Mamat turun lagi ke Kuala Terengganu. Kawan-kawan yang sehaluan sudah semakin ramai. Mereka menghabiskan masa di kedai-kedai kopi, di panggung-panggung wayang, bertemasya ke sana ke mari bersuka ria bergembira.”

Sekiranya dia mendengar nasihat ayahnya supaya mengambil peluang untuk membeli sedikit tanah ketika itu, sudah tentu dia tidak terlalu susah dan ada hasil yang boleh dimakan kemudian hari.

“Saya sudah buat silap besar,” kata Mamat.             “Bagaimana?” Mustapha bertanya.

            “Waktu saya berhenti daripada kerja mata-mata khas,” jawab Mamat, “saya ada membawa balik wang tunai hampir 2000 habis saya belanjakan dengan tidak tentu hala.”

Sungguh besar peranan tulisan Pak Sako ini kerana ia menyentuh aspek pembinaan sikap sesuatu bangsa. Bukankah kemerdekaan sesebuah negara itu harus seiring dengan kemerdekaan pemikiran bangsanya? Dia tidak mahu Kaum Melayu ketinggalan dengan berseronok sahaja tanpa memikirkan masa depan.

Watak Mustapha wujud dalam cerita ini untuk membimbing Mamat. Nasihat-nasihat daripada Mustapha inilah yang ditujukan kepada Kaum Melayu untuk mengubah hidup mereka. Saat Mamat sudah sembuh dan mula mahu kembali ke perangai lamanya yang suka berseronok dengan perempuan, dia terus menegur.

“Awak mestilah menumpukan tenaga dan pemikiran awak kepada pekerjaan yang ada sekarang. Janganlah banyak angan-angan yang lain.”    

Pesanan ini jika kita telitikan sebenarnya masih relevan hingga sekarang kerana masih ramai anak muda yang berperangai seperti Mamat yang harus kita bawa ke dunia realiti. Tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan berusaha bersungguh-sungguh.

Pada zaman sebelum merdeka, Syed Sheikh al-Hadi ada menulis Hikayat Faridah Hanom yang mengangkat tema emansipasi wanita. Pak Sako turut tidak ketinggalan untuk mengetengahkan isu berkaitan wanita dalam novel ini. Beliau mengkritik isu pejabat agama yang tidak mampu membela nasib wanita. Dalam kebanyakan kes kezaliman rumah tangga, amat sukar bagi wanita untuk meminta cerai sehingga terpaksa digantung tidak bertali dan akhirnya kebanyakan wanita ini menjadi pelacur. Islam ialah agama yang adil dan sepatutnya tidak melengah-lengahkan dan memberi jalan keluar kepada wanita yang tidak lagi mahu menjadi isteri kepada suami mereka. Pemikiran Pak Sako ini melangkaui zaman kerana hal penceraian ketika itu sangat taboo kepada wanita dan sesiapa yang bergelar janda pasti dipandang hina walhal penceraian bukanlah satu dosa.

Selain itu, penulis turut membawakan isu pendidikan dalam naskhah ini. Mustapha kerap kali mengingatkan Mamat supaya mencari jalan untuk menambahkan ilmu pelajaran dan kemahiran. Kemerdekaan negara bukanlah petanda hidup akan terus menjadi senang.

“Dan hendaklah awak serta kawan-kawan awak jangan biarkan Rumah Persekutuan awak di Jalan Paya Bunga itu menjadi tempat bermain loto, main pakau dan main bujang. Jadikan ia tempat belajar. Carilah sebuah enjin motokar buruk dan pelajarilah bagaimana selok-belok jenteranya, alat-alat dan pesawatnya yang besar dan kecil, Ikhtiarkanlah supaya ahli-ahli persekutuan itu dapat belajar ilmu elektrik, kepandaian-kepandaian berkenaaan dengan radio, peti sejuk dan sebagainya. Ilmu-ilmu itu akan berguna besar nanti sebab negeri ini akan bertambah maju ataupun jika awak ingin kepada kepandaian yang lebih aman damai, jauh dari kota, maka carilah sekeping tanah di mana awak boleh bercucuk tanam, berternak dan sebagainya.  Janganlah sangka kemerdekaan akan membawa kesenangan serta-merta, dengan tidak payah bekerja keras.”

Mamat menceritakan kisah orang kaya yang meninggalkan harta kepada tiga isteri dan anak-anaknya. Apabila yang ditinggalkan cumalah harta dan bukan pula ilmu, maka berlakulah perebutan dan akhirnya harta itu habis begitu saja. Jika ada ilmu bukankah boleh digunakan untuk menggandakan harta yang sedia ada dan juga menambahkan ilmu?

Selanjutnya, penulis memberi gambaran sosioekonomi yang sangat jelas di Tanah Melayu ketika itu melalui fakta-fakta yang dikongsikan dalam novel ini. Jika bercerita hal perikanan, diterangkannya berapa ramai nelayan yang ada, jenis perahu yang digunakan nelayan itu, jumlah ikan yang ditangkap dan harga penangkap ikan. Dia bercerita pula hal-hal penjaja kain yang pada asalnya menjaja dari rumah ke rumah, kehilangan peluang itu apabila saudagar-saudagar bermodal besar menjual kain secara berpusat. Industri itu masih bertahan pun kerana wujudnya golongan yang masih menghargai nilai kain tenunan tangan dan mahu menggunakannya di hari perayaan dan perkahwinan.

Tidak cukup dengan fakta yang diberikan, penulis turut menyeru rakyat untuk bergerak seiring dengan teknologi dalam soal ekonomi. Perusahaan menenun kain bakal wujud pesaingnya kerana mesin-mesin menenun sudah ada di pasaran. Pengusaha kain tenunan tangan pastinya tidak dapat menghasilkan produk yang sama banyak dengan pengusaha kain tenunan mesin dalam sehari. Dalam hal pertanian pula sudah wujud traktor untuk memudahkan kerja-kerja membajak sawah. Tenaga manusia dan haiwan sudah boleh dijimatkan, malah lebih banyak hasil yang boleh dikerjakan setiap hari.

Tambahan lagi, dalam novel ini, Pak Sako giat membawa mesej supaya orang Melayu menghargai karya sastera dan penulisan. Hal ini jelas dapat dilihat dalam sewaktu Mustapha membawa Mamat untuk melihat malam kesenian. Pelbagai perbualan mengenai kebaikan sajak-sajak dan hasil sastera lain ketika itu.

“Datanglah caca, marilah lain-lain lagu menawan, menyerang dan cuba memusnahkan, namun dondang sayang tidak akan kalah, tidak akan mati. Ia akan kekal abadi dicintai, disayangi, dipupuk dan dipelihara dengan baik oleh bangsa Melayu.”

Mustapha turut meluangkan masanya membantu Mamat belajar membaca dan mengenal karya sastera sehingga akhirnya Mamat sendiri yang menagih banyak buku daripada Mustapha untuk dibaca. Penggunaan bahasa turut dibincangkan dalam novel ini kerana Pak Sako ini seorang yang mementingkan adab dan budi bahasa dalam sikap bangsanya. Penggunaan bahasa rakyat jelata kepada pemerintah pun mesti ada cara dan adabnya bagi melambangkan hormat kepada raja.

“Biasanya orang-orang dari pihak kerajaan akan menulis: ‘Saya diperintahkan oleh Menteri Hasil Bumi bahawa surat kamu….’

Ini yang sebetulnya ialah terjemahan daripada gaya bahasa kolonial. Perkataan ‘kamu’ dan ‘diperintahkan’ itu pada jiwa bahasa kita adalah perkataan yang agak kasar bunyinya, dan oleh sebab itu tidaklah berapa sesuai dengan jiwa baru yang hendak dihidupkan, iaitu rakyat itu raja dan raja itu rakyat.”  

“Banyak lagi yang harus disiasat dan dihalusi berkenaan dengan pemakaian dan peradaban bahasa antara pemerintah dan rakyat jelata. Bersyukurlah kita kerana sekarang sudah ada Dewan Bahasa dan Pustaka.” 

Meskipun terlalu banyak nilai berguna dalam novel ini, terdapat beberapa babak yang saya rasa jelas bertentangan dengan agama dan adab Melayu itu sendiri. Dalam bab Main Pantai, ketika Mamat dan Mustapha menghadiri pesta pantai, mereka dengan tidak teragak-agak berkongsi tidur dalam pondok bersama dua wanita. Bukankah Islam menghalang percampuran begini antara lelaki dan wanita? Selain itu, Mustapha walaupun seorang yang sangat mementingkan pembangunan bangsanya, tidak teragak-agak untuk meminum arak walhal minuman inilah antara punca kemunduran dalam diri manusia.

Watak ibu bapa Mamat dalam cerita ini juga tergantung kerana selepas Mamat terpaksa menjadi penarik beca, tidak ada langsung disebutkan tentang mereka. Penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam karya ini ialah dengan memunculkan watak ibu bapa Mamat sekurang-kurangnya sebelum dia berpindah ke Pahang. Agak janggal jika ibu bapa tidak diberitahu langsung dalam setiap keputusan yang dilakukan anak-anak seperti mereka itu diabaikan. Bukankah adab dan budi bahasa kita perlu sentiasa hormat kepada ibu bapa?

Kritikan Fizikal Novel

Novel Budak Beca ini merupakan versi terbit semula oleh pihak ITBM pada tahun 2012 yang merujuk kepada novel PAK SAKO: BUDAK BECA terbitan Marwilis Publisher & Distributor Sdn. Bhd. Selain logo ITBM terdapat juga logo Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang menunjukkan kerjasama antara PENA dan ITBM dalam penerbitan novel ini.

Lukisan pada kulit novel ini sebenarnya kelihatan agak klasik dan mungkin kurang mampu menarik perhatian orang-orang muda untuk membelek novel ini. Jika dibuat pertambahan warna-warna lain dan gambar orang sebenar, ia boleh menarik lebih ramai orang yang tidak tahu tentang karya ini untuk membacanya. Meskipun begitu, pada bahagian kulit belakang novel ini, dicatatkan sinopsis yang jelas dan menarik tentang cerita dalam novel ini. Jika ada orang yang membaca sinopsis ini, pasti timbul keinginan untuk membeli dan mengetahui kisah yang ada. Kulit novel ini menggunakan jenis kertas keras dan berjaket yang menjadikan novel ini kukuh dan mudah dijaga. Di jaket novel ini pula diletakkan petikan daripada novel ini dan profil penulis.

Novel ini juga agak unik kerana masih mengekalkan penggunaan judul separa walaupun diterbitkan pada tahun 2012. Kebiasaannya judul separa tidak lagi digunakan di zaman ini kerana perubahan sistem pencetakan yang semakin maju. Selepas halaman hak cipta, tiada sebarang kata pengantar dan isi kandungan. Penulis terus memulakan bab pertama dalam cerita ini. Terdapat 16 bab dalam cerita ini dan bab yang paling panjang ialah bab Malam Kesenian sebanyak 19 muka surat dan bab yang paling sedikit ialah bab Batu Buruk sebanyak 7 muka surat.

Novel ini juga tidak terlalu tebal, jumlah muka suratnya hanya 199 dan kerana bahasanya yang mudah difahami pembaca sepatutnya tidak mengambil lebih daripada tiga hari untuk menghabiskannya. Saiznya lebih kecil daripada saiz A5 menyebabkan ia senang dibawa ke mana-mana sahaja. Selain itu, tulisan dalam novel ini menggunakan gaya tulisan Arial dan saiznya yang sederhana memudahkan pembacaan.

Review Buku: Hikayat Faridah Hanom

Penulis: Syed Sheikh al-Hadi Penerbit: Nubook Press Tahun Terbit : 2017 Muka Surat : 315 Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS Hikayat Faridah Hanom merupakan novel pertama tulisan Syed Sheikh al-Hadi. Novel ini juga dikenali dengan nama “Setia Asyik dan Maksyuknya” dan “Shafik Afandi dan Faridah Hanom”. Ada beberapa pendapat mengatakan novel ini merupakan novel pertama yang wujud di Tanah Melayu dan ada pendapat yang menyangkal kerana watak utama novel ini berbangsa Turki dan menetap di Mesir. Syarikat pertama yang menerbitkan buku ini merupakan The Jelutong Press milik Syed Sheikh al-Hadi sendiri pada tahun 1925, diikuti oleh Penerbit Qalam (Singapura). Pada tahun 1964 sehingga 1985, buku ini pertama kali dirumikan dan diterbitkan oleh Pustaka Antara dan terbaru Nubook Press, sebuah label bawah Dubook Press mengemaskini dan menerbitkan semula buku ini pada tahun 2017.

Hikayat Faridah Hanom mengisahkan percintaan dua anak bangsawan iaitu Faridah Hanom dan Shafik Afandi. Selain dikagumi oleh orang ramai kerana rupa paras yang cantik dan tampan, keduanya merupakan orang yang sangat berilmu. Masing-masing dilengkapkan dengan pelbagai ilmu berkaitan agama dan juga ilmu Barat. Keduanya juga mampu bertutur dalam Bahasa Perancis. Perhubungan kekasih ini bermula apabila pertama kali Shafik Afandi melihat Faridah Hanom, hatinya telah tertawan dan sering dia pergi ke depan rumah Faridah Hanom untuk melihat Faridah. Mereka mula mengutus surat dan akhirnya sering bertemu secara rahsia sambil ditemani hamba masing-masing.

Konflik bermula apabila ayah Faridah, Kasim Bey hendak menjodohkan dia dengan sepupunya Badaruddin Afandi. Faridah tidak menyukai Badaruddin kerana Badaruddin seorang yang suka berseronok sahaja dan tidak bekerja. Bagaimana lelaki seperti ini hendak memimpin rumahtangga. Pinangan daripada Shafik telah ditolak kerana Kasim Bey sudah menerima peminangan daripada Badaruddin terlebih dahulu. Shafik yang kecewa mengambil keputusan untuk menyertai sekolah tentera yang telah lama dia idamkan. Ayahnya, Talak Bey yang sebelum ini tidak memberi kebenaran akhirnya melepaskan Shafik ke sekolah itu, kerana tidak mahu Shafik terus-terusan bersedih.

Selama tiga tahun lebih Shafik di sekolah tentera, Faridah jatuh sakit akibat terlalu sedih tidak dapat berjumpa dengan kekasihnya dan juga kerana terlampau membenci Badaruddin. Kasim Bey tidak peduli dengan keadaan anaknya dan merasakan sebagai ayah, dia berhak menikahkan anak perempuannya dengan siapa sahaja yang dimahukannya. Beberapa bulan sebelum Shafik kembali ke tanah airnya, Faridah telah menikah dengan Badaruddin. Takdir menentukan mereka terjumpa semula di Iskandariah. Perjumpaan semula dengan Shafik telah membuat Faridah kuat semangat untuk lari dari rumah Badaruddin dan balik ke rumah ayahnya. Faridah memberitahu bahawa pernikahannya dengan Badaruddin tidak sah kerana bersifat paksaan.

Melihat kesengsaraan yang dihadapi anak perempuannya, akhirnya Kasim Bey menyokong usaha supaya Faridah bercerai secara sah namun dirahsiakan kerana mahu menjaga nama baiknya sendiri. Faridah akhirnya menemui kebahagiaan apabila berkahwin dengan Shafik. Harta yang diberikan oleh ayahnya pula tidak diambil langsung tetapi digunakan untuk membuka sekolah untuk semua perempuan di Mesir. Dia mahu wanita di Mesir bangkit kerana mereka layak menerima ilmu sebagaimana yang diterima oleh lelaki.

REVIEW

Penulis pada hayatnya merupakan seorang pengasas Kaum Muda di Tanah Melayu. Antara matlamat penubuhan Kaum Muda ialah untuk meningkatkan kemajuan orang Melayu beragama Islam dan juga emansipasi wanita. Tahun 1925 merupakan tahun orang Melayu masih tidak peduli kepentingan menuntut ilmu, tetapi beliau sudah pun membawa perjuangan hak pendidikan wanita. Beliau seperti maju 100 tahun berbanding kaumnya. Tanpa ilmu dan pendedahan daripada luar, tidak mungkin beliau mampu berfikiran seperti ini.

Penulis membangkitkan isu wanita yang tidak bebas bersuara lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan pernikahannya sendiri. Oleh kerana Faridah Hanom ini orang yang berilmu, maka dia dapat melepaskan diri daripada perkahwinan yang tidak disukainya. Apakah yang akan terjadi kepada wanita yang tidak berilmu di luar sana jika dipaksa berkahwin sebegini? Inilah yang dikatakan Faridah Hanom kepada bapanya.

Benarlah bagaimana perkataan ayahanda itu di dalam hukum kita Islam wali mujbir (bapa atau datuk) itu boleh menikahkan anak atau cucunya dengan laki-laki yang kupu dengan dia dengan mahar missal dengan tiada payah mengambil izin daripada anak atau cucunya itu.

            Tetapi selama bapa dan datuknya itu tidak mengetahui akan anak atau cucunya itu tidak suka atau tidak reda akan laki-laki itu, maka apabila diketahui oleh bapa atau datuk itu akan ketiadaan reda anak atau cucunya dengan tanda-tanda yang telah disebutkan oleh ulama’ fekah di dalam segala kitabnya hinggalah kekuasaannya boleh menikahkan dengan tiada mengambil izin itu. Dan jika dinikahkannya juga, maka nikah itu tidak sah sekali-kali.”

Undang-undang Islam itu tidak hanya berpihak kepada lelaki tetapi juga perempuan. Babak ini menunjukkan bahawa Islam sentiasa ada jalan keluar untuk perempuan yang terperangkap dalam pernikahan paksa dan tidak semestinya menerima dan redha sahaja dengan takdir. Ilmu jugalah yang diperlukan untuk penyelesaian masalah.

Ketika Faridah terserempak dengan Shafik di Iskandariah, hatinya meronta-ronta ingin bertemu dengan Shafik.

Ada sejurus berjalanlah ia masuk ke dalam biliknya sambil berfikir di dalam hatinya – jika aku pergi pun sekarang kepada Shafik boleh juga, tetapi kurang eloklah pada peraturan tabiat perangai anak baik-baik sebab aku ini telah menjadi isteri orang pergi berjumpa dengan seorang laki-laki yang lain.”

            Jika diikutkan hati, Faridah boleh sahaja pergi kepada Shafik memandangkan suaminya juga tiada di rumah, tetapi memandangkan rasa malu dan harga diri yang ada dalam dirinya, dia tidak berbuat demikian. Perempuan yang baik seharusnya sentiasa menjaga maruah diri.

Selain itu, penulis turut membangkitkan isu liberal dalam novel ini. Pada saat Kasim Bey hendak membahagikan hartanya kepada Faridah dan adik lelakinya Muhammad Afandi, berlaku pertelingkahan kecil. Muhammad Afandi meminta supaya dibahagikan sama rata harta ayahnya antara mereka berdua. Shafik Afandi pula menolak kerana bagi beliau, Faridah tidak memerlukan harta daripada ayahnya, kerana dia sendiri sudah mewarisi banyak harta. Hal itu tidak selesai dan Shafik Afandi pulang untuk meminta pendapat ayahnya.

Maka Talak Bey laki-isteri pun tertawa mendengar segala hal yang telah berlaku itu seraya berkata kepada Faridah Hanom, “Bagaimanakah fikiran tuan di dalam perkara ini, dan siapakah punya fikiran yang betul kepada tuan?”

            Jawab Faridah Hanom,”Adapun fikiran anakanda kedua-dua orang ini salah belaka. Dan kedua-dua orang ini hendak memerangi akan Tuhannya Rabbul alamin dan memecahkan hikmatNya yang maha besar gunanya di dalam hukum agama Islam yang maha tinggi ni’”

            Islam sudah memberi garis panduan untuk pembahagian harta pusaka melalui ilmu Faraid, tetapi orang Islam sering kali mengabaikan perkara ini dan membahagikan harta mengikut cara sendiri. Perkara ini boleh mengakibatkan kezaliman kepada pewaris harta.

“Bahagian pusaka ini dilebihkan oleh Tuhan akan anak laki-laki daripada anak perempuan, ialah sebab laki-laki itu terlebih banyak dan terlebih berat pikulannya daripada perempuan.”

Penulis turut membuat teguran kepada lelaki yang sudah berkahwin yang hanya suka berseronok dengan isteri sendiri dan tidak mahu membuat pekerjaan lain. Hal ini dapat dilihat dalam babak Faridah Hanom dengan tegasnya menegur suaminya agar tidak terus terpedaya dengan nafsu.

Agaknya bukan kakanda tiada tahu akan segala perkara ini, tetapi kakanda sangat menurutkan nafsu laki-laki kakanda sahaja, lupalah kakanda akan pendapatan yang dibelakang hari. Tidakkah kakanda ketahui yang nafsu itu akan menerima jemu? Maka jikalau adinda turutkan sangat nafsu kakanda itu, duduk berseronok siang dan malam tidak bekerja dan tidak menjaga kewajipan adinda bagi kesenangan dan kesukaan kakanda di dalam rumah tangga sehingga biasa dan sedaplah adinda dengan tabiat pemalas itu ketika sampai masa kakanda telah rasa jemu kepada adinda lagi di dalam rumah ini jika tiada kakanda mendapat kesenangan dan kesukaan di dalamnya.”

            Shafik Afandi menyedari isterinya bukan sekadar tempat melepaskan nafsu semata-mata. Faridah seorang perempuan berjiwa besar dan tinggi sifat kemanusiaan. Harta daripada ayahnya tidak diambil walau secebis, sebaliknya digunakan untuk membina sekolah untuk perempuan di Mesir serta memberi bantuan kepada sekolah yang sedia ada. Dia boleh berbicara dengan Faridah tentang apa-apa pun termasuk hal pekerjaannya yang sukar.

Penulis memberi kesedaran kepada pembaca bahawa wanita itu tempatnya bukan sekadar memasak dan menyediakan pakaian untuk suaminya, tetapi lebih daripada itu. Keputusan dalam keluarga sepatutnya datang daripada perbincangan suami dan isteri, bukannya hak mutlak seorang lelaki. Buah fikiran wanita itu diperlukan dalam banyak perkara seperti pembangunan keluarga dan masyarakat.

Walaubagaimanapun, beberapa babak dalam novel ini seperti tidak kena dan mungkin menimbulkan kekeliruan dan pertanyaan kepada pembaca. Penulis dikenali sebagai orang agama, tetapi dalam babak pertemuan antara Faridah Hanom dan Shafik Afandi sebelum berkahwin banyak memaparkan yang mereka sering bersentuhan secara fizikal. Bukankah hal ini dilarang dalam agama Islam?

Tulisan Syed Sheikh al-Hadi ini menggunakan bahasa klasik dan mungkin perlu dibaca beberapa kali untuk lebih difahami. Beberapa babak juga diselang-selikan dengan puisi daripada penulis. Walaubagaimanapun, jalan cerita buku ini tidak kompleks dan mudah difahami kerana plotnya berbentuk kronologi. Maksud sesetengah perkataan dan terma juga diletakkan di bahagian bawah muka surat untuk rujukan pembaca.

Kesimpulannya, Hikayat Faridah Hanom sesuai untuk pembaca yang boleh menerima gaya bahasa klasik dan juga yang sukakan tema perjuangan wanita. Banyak isu wanita yang ditonjolkan oleh penulis yang boleh dikupas dan dibincangkan. Biarpun bahasanya klasik, novel ini masih mendepani zaman kerana isu yang dibincangkan masih relevan hingga kini.

Nota pendek: Ini merupakan tugasan untuk Bengkel Reviu yang saya hadiri bulan lepas.