Berbaloikah Membaca Fiksyen?

Minggu lalu, kumpulan IMPROF Membaca yang saya sertai mengadakan resensi buku keempat yang membawakan tema fiksyen. Pada awal cadangan untuk membawa tema ini, ada beberapa orang yang mengatakan fiksyen adalah sesuatu yang begitu jauh sudah mereka tinggalkan. Ada yang tidak biasa atau jarang membaca genre sebegini. Ada pula yang membaca fiksyen hanya pada zaman sekolah. Saya tersenyum sahaja membacanya, teringat polemik fiksyen lawan bukan fiksyen di Twitter yang beberapa kali berlaku. Pembaca bukan fiksyen mengutuk pembaca fiksyen dan sebaliknya. Saya pula adalah pembaca kedua-dua genre yang berasakan setiap genre ada kebaikan tersendiri.

Fiksyen adalah karya penulisan sastera yang hadir daripada imaginasi penulis. Naratif, watak, latar tempatnya adalah rekaan walaupun mungkin diinspirasikan daripada sesuatu kejadian atau sesetengah individu. Contoh paling mudah adalah Harry Potter. JK Rowling memberi kita peluang mengenali satu dunia magik ciptaannya yang terdiri daripada pelbagai perkara yang berada di luar imaginasi.

Ada fiksyen yang realistik, ada yang tidak realistik dan ada juga kisah benar yang dijadikan fiksyen. Saya senaraikan beberapa contoh cabang fiksyen yang ada di bawah:

  1. Fiksyen Sains
  2. Fiksyen Sejarah
  3. Fiksyen Fantasi
  4. Fiksyen Seram/Ngeri
  5. Fiksyen Misteri
  6. Fiksyen Romantis

Dalam usaha menulis entri kali ini, saya membaca beberapa artikel mengenai kelebihan membaca fiksyen. Kebanyakannya menyatakan perkara yang hampir sama, iaitu menambah kosa kata, melahirkan empati, mengembangkan imaginasi, membuat fikiran lebih terbuka, mengurangkan stress, dan memahami fakta dengan lebih santai.

Perihal menambah kosa kata ini sangat benar bagi saya. Saya masih ingat membaca buku cerita pendek tentang seorang lelaki yang memukul isterinya sehingga mati ketika berada dalam Darjah 2. Perkataan yang digunakan menggantikan marah ketika itu adalah 'naik darah'. Mungkin ada beberapa kali saya menggunakannya dalam penulisan karangan selepas itu. Jika difikirkan kembali, orang di sekeliling saya tentulah lebih mudah menggunakan perkataan marah berbanding naik darah. Namun, dengan pembacaan, saya secara tidak langsung bertemu dengan perkataan baru begitu sahaja. Dalam salah satu novel tulisan Imaen pula, saya pertama kali menjumpai perkataan sepele yang mempunyai maksud serupa dengan remeh. Perkataan-perkataan unik adakalanya tidak ditulis dalam situasi biasa (atau saya sahaja yang tidak rajin membaca, hahaha), tetapi medan penulisan dalam fiksyenlah yang membenarkan pembaca lebih kaya kosa kata mereka.

Apabila berbicara mengenai empati, saya adalah orang yang lambat hadir empati dalam diri. Saya tidak faham sebab seseorang yang pemarah, tanpa mengambil kira latar belakangnya. Saya tidak faham sebab seseorang melakukan perbuatan yang ditakrifkan berdosa dan bermacam-macam lagi. Membaca fiksyen (dengan tambahan menonton filem) perlahan-lahan membuat saya lebih empati dan bersabar terhadap situasi di sekeliling saya. Saya tidak faham kenapa ada kawan saya yang bitter dengan semua perkara, rupa-rupanya ia berpunca daripada perpecahan keluarga. Begitulah bagaimana fiksyen mengubah pandangan saya untuk menjadi lebih terbuka, tidak menghakimi orang lain dan berusaha memahami situasi orang lain. A Samad Said tidak mengangkat seorang wanita bernama Salina saja-saja. Mengapa Salina mesti membuat kerja terkutuk demi mencari rezeki, mengapa masih menyayangi lelaki yang melayannya dengan buruk? Tidak lain tidak bukan kerana perang. Saya belajar untuk tidak mudah mengadili orang lain.

Hal mengembangkan imaginasi ini saya tidak tahu cara untuk mengukurnya kerana ada kalanya sukar membayangkan perkara yang mahu disampaikan penulis, terutamanya novel fiksyen sejarah. Di situlah datangnya peranan adaptasi drama atau filem untuk membantu saya. Saya amat bersetuju berkenaan membaca fiksyen bokeh membantu mengurangkan stress. Fiksyen membawa saya ke dunia lain dan umpama eskapisme untuk saya lari sebentar daripada masalah. Fiksyen juga berupaya membantu saya mengatasi masalah reading slump.

Perkara paling penting yang saya rasakan didapati daripada fiksyen terutamanya sejarah adalah merasakan sendiri situasi yang dialami watak dalam cerita. Fakta memberi pengetahuan, tetapi fiksyen menghidupkan dan memberi gambaran terbaik mengenai fakta yang dihidangkan. Contohnya:

  1. Sungai Mengalir Lesu
    Memaparkan kisah kesusahan rakyat menghadapi perang pada zaman pendudukan Jepun. Sudah tentu kita terbiasa dengan sukatan pelajaran di sekolah yang memaparkan fakta kekejaman askar Jepun ketika dahulu. Tulisan ini mungkin fiksyen tetapi ia membawa saya menyelami jiwa insan yang kebuluran sehingga terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri demi mencuri makanan di gudang yang dikawal oleh 'perajurit' bersenjata. Harga barang meningkat berkali ganda tetapi pendapatan sukar didapati. Sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi sesuap nasi. Setiap kali siren berbunyi perlu bersesak di dalam shelter. Kasihan anak kecil yang menjadi mangsa. Dengan bom yang jatuh setiap hari, masing-masing seperti menunggu sahaja giliran kematian.
  2. Tenggelamnya Kapal Van der Wijck
    Tragedi percintaan Zainuddin dan Hayati adalah tulisan Pak Hamka dalam kritikan sosialnya kepada kaum Minangkabau yang begitu mementingkan adat lalu mengutamakan darjat dan keturunan dalam banyak perkara. Disebabkan sang lelaki bukan daripada keturunan Minangkabau, malah harta pun tiada, sudah tentu pinangannya ditolak mentah-mentah tanpa perlu ditanya kepada tuan badan yang menerima pinangan. Pak Hamka turut merakamkan babak yang menunjukkan begitu malunya pemuda dan pemudi pada zaman itu yang hanya berani memandang sesama sendiri, mahu berbual semasa sendiri pun tidak elok dipandang orang.
  3. Bumi Manusia
    Bagi orang yang tidak rajin membaca buku sejarah bukan fiksyen seperti saya, tulisan Pak Pram ini membantu saya memahami situasi dan kesan penjajahan Belanda terhadap Indonesia. Tidak seperti Tanah Melayu yang penjajahnya (British) sedaya upaya mengambil hati orang Melayu meskipun sibuk menjarah hasil tanah air, Belanda bertindak lebih kejam. Mereka berlagak seolah-oleh tuan di tanah Indonesia. Pak Pram memberi gambaran keadaan sistem kasta yang ada di sana, bermula dengan Belanda tulen yang berada di tempat teratas, diikuti golongan kacukan (Belanda & Indonesia) dan yang paling bawah, Indonesia asli. Sebegitu sekali keji Belanda yang memandang hina penduduk sebenar negara yang mereka duduki sehingga mahu bercakap dalam bahasa Belanda yang mereka tidak layak.
  4. To Kill a Mockingbird
    Sekiranya ada orang meminta cadangan buku yang baik untuk dibaca, saya pasti akan tidak akan teragak-agak mengatakan buku ini. Kisah yang dilakarkan Harper Lee benar-benar membuka mata saya mengenai masalah perkauman di Amerika. Orang kulit hitam dianggap berada dalam kelas kedua kerana warna kulit mereka. Individu berkulit putih yang cuba berkawan dengan orang kulit hitam pasti dipandang serong. Hanya beberapa orang yang mempunyai fikiran terbuka.

Bagi saya, beberapa contoh daripada kisah yang saya senaraikan ini bukan sekadar kisah. Keupayaan penulis membawa elemen emosi itulah yang memberi pengajaran besar buat pembaca. Saya tidak berupaya menyelami fakta tanpa adanya elemen fiksyen yang baik. Oleh itu, membaca fiksyen adalah berbaloi buat saya. Terlalu banyak pengajaran yang diterima dan yang nyata, ia pengubat eskapisme terbaik.

Anda pula bagaimana? Sukakan fiksyen? Bukan fiksyen? atau kedua-duanya?

Cerita Buku 2020

Entri ini hadir lambat berbanding status yang sudah saya postkan di Facebook, iaitu recap bacaan tahun 2020 saya. Almaklumlah, blog ini baru sahaja selesai dilancarkan beberapa hari lepas.

Sasaran bacaan untuk tahun 2020 sebenarnya 20 buah sahaja. Ya, sengaja mahu mengambil ritma 2020 itu. Tidak sangka pula sebenarnya saya berjaya menghabiskan 34 buah buku. PKP, PKPD, PKPB dan PKPP sudah jadi seperti satu booster untuk menambah bacaan, mungkin juga kerana dapat gantikan masa untuk bergerak ke sana-sini. Malah, saya dapat sertai beberapa siri Book Meeting secara online.

Kebanyakan buku yang dibaca ialah buku baru, tetapi ada juga beberapa buku yang sengaja diulang baca. Saya juga dapat sudahkan bacaan yang terbengkalai selama 7 tahun. Ada juga buku yang masuk kategori DNF (Do Not Finish). Kenapa mahu paksa diri bukan? Tak perlu baca apa yang kita tak suka pun.

Rasanya best achievement saya ialah berjaya habiskan Siri Harry Potter, baru boleh rasa jadi Potterhead, cewahhh (biar lambat daripada langsung tiada). Sebulan setengah jugalah bergelumang dengan dunia magik.

Ada orang memilih kualiti berbanding kuantiti ketika membaca, ada juga yang sebaliknya. Ada orang memilih untuk banyakkan bacaan bukan fiksyen. Ada pula yang lebih sukakan fiksyen, namun, itu adalah pilihan masing-masing. Kita cuma berlumba dengan diri sendiri. Untuk perjalanan membaca saya, saya akan pastikan saya membaca buku lebih banyak daripada tahun sebelumnya.

Dalam buku Projek Bibliofil ada baris-baris yang menyebut lebih kurang begini

“Buku yang kita suka tidak semestinya perlu disukai orang lain. Bahan bacaan tidak seharusnya menjadi nilaian tahap kebijaksanaan kita sendiri.”

Harapan untuk tahun 2021, jumlah bacaan mestilah seiring dengan buku yang dibeli (ouch), dan juga membaca lebih banyak buku bersama Amir.

Bacaan pilihan tahun 2020:

Buku Bukan Fiksyen:
1. Seni Berfikir yang Hilang
2. Digital Minimalism
3. Atomic Habits

Buku Fiksyen:
1. Guru Aini
2. Harry Potter (1-7)

Buku Tentang Buku (wajib baca!)
1. Projek Bibliofil
2. Kertas- kertas yang Merubah Fikir
3. Aku, Buku & Kota Kaherah

Selamat Membaca untuk tahun 2021!



Cerita Buku – 2019

Sudah 14 hari tahun 2019 berakhir. Saya sudah pun memulakan Misi Membaca Aina 2020. Tapi rasa seperti tak lengkap pula tanpa saya buatkan summary bacaan saya tahun lepas. Here we go!

                                                             

1515  –  Satu kisah fiksyen sejarah yang saya rasakan sampai bila-bila pun tak boleh move on. Inspirasi daripada sejarah zaman penjajahan Portugis terhadap Kesultanan Melayu Melaka, terlalu banyak nilai dan pengajaran yang boleh diambil dan relevan hingga kini. Yang penting, hero dalam cerita ini seorang perempuan.

Chai Buat Ram – Bukan panduan travel atau tips kembaran, tetapi catatan jujur daripada Fazleena Hishamuddin ketika beliau mengembara ke India. Tulisan sempoi.

Kembara Sastera Nisah Haron – Juga catatan jujur kembara daripada seorang lagi penulis perempuan kali ini ke UK dan Dublin. Menariknya, Nisah Haron tidak melawati tempat-tempat tipikal , tetapi beliau pergi ke tempat berunsur sastera seperti Stratford-Upon-Avon, tempat kelahiran Shakespeare.

Nikina – Naskhah paling baru daripada Nadia Khan ini berkisar kehidupan antara Nik dan Kina. Ada sesuatu pada tiap tulisan atau masterpiece daripada Nadia Khan yang buatkan saya mesti tak nak berhenti membacanya. Nik dan Kina, it’s a beautiful tragedy.

Pak Samad di Mata Kami tulisan daripada orang-orang yang mengenali A. Samad Said mengenai beliau. Ia mengenai sikap dan perjuangan Pak Samad sendiri dalam dunia sastera. Jaga-jaga apabila membacanya, mesti akan rasa nak beli buku Pak Samad yang lain.

Sayang Ustazah Sayang – Buku ini hasil tulisan Salmi Manja iaitu isteri kepada A. Samad Said. Berkisar kehidupan guru-guru di sekolah agama ketika zaman dahulu. Kisah yang agak jujur dan mungkin sedikit kontroversi kerana menceritakan macam a story behind sebab ada ustazah yang suka berdating yang tidak menggambarkan profession itu dan macam-macam lagi.

Tari Pasar Perempuan – Himpunan Cerpen mengenai perempuan yang ditulis oleh Fazleena Hishamuddin. Cuma kena set dalam minda sahaja yang pengarangnya ini anti sad ending jadi kadang-kadang apabila baca anda mesti akan tertanya kenapalah pengakhirannya begini? Tragedi sering berlaku. Saya suka buku ini cuma kurang setuju dengan babak erotis yang ada.

Sejujurnya, saya dah lupa buku Andrea Hirata ini pasal apa. Maybe it’s time for me to revisit the book.

Review buku yang lain-lain saya dah buat, dalam link di bawah:

  1. The Partner
  2. Pengembaraan ke Kedah, Perlis dan Kelantan
  3. Cerpen Duo Nogoghi
  4. Cerpen Segara Lazuardi
  5. Ibu Melayu Mengelilingi Dunia – Dari Rumah ke London
  6. Surat-Surat dari Maninjau
  7. Pegkung Alung
Saya pernah baca 40 buku sewaktu tahun 2016, tapi saya sedar kuantiti tu agak sukar untuk saya capai buat masa ini, jadi saya letakkan target yang saya rasa dan patut saya capai sahaja. Tahun 2020, 20 buah buku. Anda semua macam mana pula?

Cerita Buku 2018

Tahun 2018 bukanlah antara tahun bacaan yang baik bagi saya kerana saya tidak dapat mencapai target saya tahun ini. Target saya ialah sebanyak 50 buah buku tetapi saya hanya mampu membaca 23 buah. Kekangan perubahan yang saya lalui apabila hamil kali pertama saya kira menjadi sebab utama perkara ini (tak baca buku banyak pula alasannya kan!) Tapi saya masih mahu kongsikan kepada anda semua bacaan saya sepanjang 2018 ini. Mungkin boleh beri anda idea buku tahun 2019? 

Januari

           

Februari

                                       

Mac

                                            

  April

                                              

Mei

            

Jun

September

                                            

Oktober

November

Disember

            Harap-harap dapatlah ya idea buku apa nak dibaca tahun ini 🙂 Target 2019:

Anda bagaimana?

Wacana Buku Akhlaqul Karimah – Jejak Tarbiah

30/6 yang lepas, merupakan pertama kali saya menyertai acara wacana buku, sebagai sukarelawan sekaligus peserta. Wacana mengikut pengertian Dewan Bahasa dan Pustaka (rujuk sini) ialah “perbincangan atau pertukaran idea secara lisan”. Jejak Tarbiah menjemput Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan Prof Madya Dr Hafidzi bagi membentang idea mereka mengenai buku Akhlaqul Karimah hasil tulisan Prof Hamka. Sebelum ini, saya cuma tahu review atau acara bicara buku sahaja tetapi tidak pernah sekalipun menyertai mana-mana aktiviti wacana buku. Acara dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sesi pembentangan oleh Dr Hafidzi, kemudian diteruskan dengan pembentangan oleh Ustaz Pahrol. Seterusnya, sesi diteruskan dengan forum yang melibatkan kedua pembentang tadi dan akhir sekali ialah sesi soal jawab.

Dari Kanan: Dr Hafidzi, Ustaz Pahrol dan Moderator.

Sebenarnya saya skip pembentangan Ustaz Pahrol sebab sibuk benar berborak-borak dengan pengasas Jejak Tarbiah, Kak Saadiah Ali. Kak Saadiah kata,

“Wacana ni kita mesti buat, rugi ke untung ke mesti buat. Buku bukan sekadar untuk dibaca, tapi kena bincangkan dan wacanalah antara cara menghidupkan buku”.

Wow, tak pernah langsung terfikirkan perkara ini. Begitu besar nilai sebuah buku sehingga pembacaan sahaja langsung tidak mencukupi. Saya turut merasakan yang sama, sebab idea-idea yang diutarakan oleh kedua panel jemputan ini sangat membuka mata saya, sebab tak pernah langsung saya fikirkan. Untuk konten perbincangan insyaAllah saya cuba tuliskan untuk posting-posting seterusnya supaya bermanfaat untuk semua. Oh ya, saya merupakan ejen buku Jejak Tarbiah juga, bolehlah hubungi saya untuk beli.

Sukarelawan program Wacana Hamka.

Bersama pengasas Jejak Tarbiah, Kak Saadiah Ali.

Terjumpa junior UTP pula, Fatimah.

Perihal Antara Dua Darjat

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya mengukuhkan ekonomi kumpulan tertentu dan Malaysia perlu berubah daripada melihat kepentingan ekonomi berasaskan kaum kepada fokus membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.” Terdapat banyak kritikan terhadap DEB yang diperkenalkan Tun Abdul Razak. Dasar ini dikatakan hanya memihak kepada kaum Melayu. Masihkah anda ingat kepada Dr Muhammed Abdul Khaled yang tular kenyataan jujurnya mengenai Bajet 2018 dalam rancangan Landskap TV1? Beliau menafikan kritikan terhadap DEB dalam buku ini. Terdapat fakta yang menunjukkan DEB sebenarnya memberi kesan positif bukan sahaja kepada kaum Bumiputera, tetapi juga kaum lain. Antara Dua Darjat Saya masih lagi dalam proses menghabiskan buku ini. Dr Muhammed Abdul Khaled cuba menyampaikan dalam bahasa paling mudah kepada pembaca tentang agihan pendapatan di Malaysia yang tidak sama rata. Dalam bab awal, penulis seperti membawa kita ke pelajaran Sejarah ketika di sekolah menengah (zaman jajahan British) tetapi dengan penerangan yang terperinci mengenai sistem ekonomi zaman itu yang memberi kesan hingga sekarang. Antara Dua Darjat merupakan terjemahan buku beliau iaitu The Colour of Inequality yang menjadi best seller pada tahun 2014. Beliau menekankan bahawa mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi rakyat Malaysia tanpa fakta hanya sia-sia kerana tidak boleh digunapakai untuk membuktikan apa-apa pun. Beberapa terma seperti pekali-Gini dan Indeks Theil mungkin sukar difahami kerana berkait dengan ekonomi tapi jangan risau, Google kan ada!

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck: Bang Muluk dan Zainuddin

Korek punya korek jumpa pula gambar tahun 2013 ni. Masa tu kalau nak post gambar di Ig mesti nak edit warna lebih kurang kelabu sikit, gold sikit lol. Ketika baca buku ni, rasanya filem pun masih belum keluar. Bahasa Indonesia pula tu, Google tu memang kawan baiklah sebab banyak juga term yang saya tak faham. Macam mana saya tahu pasal buku ni? Sebab Encik Mohd Rosdi Mohd Zin pernah sebut dalam salah satu buku beliau (tak ingat yang mana satu). Mudah betul terpengaruh .
Kalau ditanya babak yang menarik, bagi saya ialah babak Bang Muluk menegur Zainuddin. Lepas Hayati kahwin dengan Aziz, Zainuddin patah hati  dan memang tak ada langsung semangat nak teruskan hidup. Kalau boleh nak mati je lah sebab hidup dah tak ada makna. Tapi insan bernama Muluk ni datang. Dia ni bukan siapa-siapa, cuma kutu rayau je. Takde ilmu macam Zainuddin. Ini yang dia cakap, “Hei, berhentilah bersedih begini, Engku. Terjadi sudahlah terjadi. Engku, engku dah banyak menuntut ilmu di siko. Budi pekerti dan kesopanan dengan pemikiran yang luas pun sudah engku raih.” ”Jangan lah lebih lemah dari pada para-para kami yang tidak kenal bace bismillah. Tidak baik hidup yang mulia ini, terkurung semata-mata karena memikirkan perempuan. Perempuan yang Engku junjung tinggi itu telah berkhianat, dan memungkiri janjinya.” ”Di sini Engku sengsara bersakit-sakit, sedangkan dia? Dia sedang menikmati masa pengantin baru dengan suaminya.” “Engku ni orang pintar, kenapa harus hancur oleh perempuan. Dimana letak pertahanan kehormatan yang terletak pada seseorang laki-laki, ha.” “Jangan mau hidup engku dirusak, binasakan oleh seorang perempuan itu. Engku mesti tegak kembali. Coba lagi engku lihat dunia lebih luas dan masuk ke dalamnya.” “Di sana banyak kebahagiaan dan ketentraman yang tersimpan. Engku pasti bisa melakukannya. Dan mengecap bagaimana nikmat kebahagiaan dan keberuntungan itu. “Cinta bukan mengajarkan kita untuk menjadi lemah, tetapi membangkitkan kekuatan.” “Cinta bukan melemahkan semangat tapi membangkitkan semangat. Tunjukkan pada perempuan itu, bahwa engku tidak akan mati, lantaran dibunuhnya.” Sebab teguran sentap ini lah Zainuddin bangkit sampai jadi penulis terkenal dan ada syarikat penerbitan sendiri. Kita mungkin ada ilmu yang lebih tinggi daripada orang lain, tapi kadang-kadang bila akal kita hilang, orang yang kita rasa tak ada ilmu inilah yang mampu datang dan kembalikan akal kita yang hilang tu. Apa yang anda suka pasal buku ni?