Temu Bual Penulis (Author Interview) – Maisarah Mohd Pauzi

Sesi temu bual bersama penulis! Wah wah, saya rasa sangat teruja dapat buat posting pertama saya untuk Temu Bual Penulis. Penulis yang bertuah kali ini ialah Maisarah Mohd Pauzi. Beliau merupakan penulis buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu yang lebih suka dipanggil dengan nama Mai. Review untuk buku ini ada saya tulis di sini. Kenapa Maisarah dipilih? Hmmm mungkin sebab saya masih tidak move on’ dengan buku ini sebab tema buku ini yang mengangkat pejuang wanita.

Terima kasih Maisarah atas kesudian menjawab semua soalan ini.

Jom ikuti temu bual dengan Mai:

Bolehkah ceritakan serba sedikit tentang diri Maisarah?

Seperti yang semua pembaca sedia maklum, nama saya Maisarah Mohd Pauzi. Ya, saya guna nama penuh dan saya tak ada nama pena. Saya rasa nama pena lebih sesuai untuk penulis fiksyen… mungkin? Haha. 

Saya dilahirkan di Pulau Pinang, dan merupakan anak ke-6 dari 7 orang adik beradik. Keluarga saya ramai lelaki, saya ada 4 orang abang dan selebihnya ialah kakak dan adik perempuan.

Buat masa sekarang, saya seorang mahasiswi di Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Komputer. Macam tak ada kaitan, kan? Belajar Sains Komputer tapi menulis tentang sejarah dan ulasan sastera. Haha. Tapi sebagai pelajar Sains Komputer, saya menulis juga. Menulis kod pengaturcaraan untuk membina laman web atau perisian komputer.

Selain Ustazah Zaman Dulu-Dulu, Maisarah turut menulis di aplikasi Wattpad. Apa yang menjadi inspirasi Maisarah untuk menulis?

Ya, saya ada menulis di wattpad. Kebanyakannya ialah cerpen lama yang saya tulis semasa berada di sekolah asrama dahulu. Sekarang saya kurang menulis fiksyen kerana daya imaginasi saya semakin pudar agaknya bila meningkat dewasa. Haha.

Selepas SPM, saya berhenti menulis. Saya pun tak pasti kenapa saya berhenti. Mungkin pada waktu itu saya hendak fokus pada suasana baru masuk universiti kot.

Tentang inspirasi menulis… Mungkin kerana dibesarkan dalam keluarga yang ramai lelaki dan lebih berpihak kepada anak lelaki, maka suara hati saya yang terpendam diluahkan melalui tulisan tentang gender saya, iaitu perempuan.

Apa perasaan selepas siap buku pertama dengan Jejak Tarbiah? Ceritakan sedikit mengenai buah tangan pertama Maisarah ini.

Perasaan? Tak terungkap rasanya! Saya rasa cita-cita yang pernah saya lupakan, tercapai juga akhirnya… Demi Allah saya tak pernah sangka akan tercapai! Ketika saya di sekolah menengah, saya sangatlah meminati subjek sejarah. Dan saya pernah bercadang hendak sambung tingkatan 6 selepas SPM kerana saya nak masuk bidang sejarah di Universiti.

Tapi, Tuhan takdirkan jalan yang lain. Saya tanya cikgu saya tentang pandangannya tentang cita-cita saya, tapi cikgu saya tak galakkan saya ke bidang sastera. Kata cikgu, saya patut sambung bidang sains kerana saya sudah ada asas dalam aliran sains.

Bila saya cakap tentang cita-cita saya pada salah seorang abang saya, dia pula cakap

nanti nak kerja apa?
yang hang belajar sejarah itu pun banyak menipu ja~

Begitulah serba sedikit pengaruh cakap-cakap orang yang buat saya lupakan minat saya terhadap sejarah. Tapi, saya masih terus membaca dan membaca. Kadangkala, membaca buku ibarat terapi buat diri saya dari segala kesesakan hidup dan kata-kata orang.

Alhamdulillah, ketika saya berniat menulis artikel-artikel tentang perempuan, saya tulis saja dan tidak berniat untuk menerbitkannya menjadi sebuah buku. Dalam dunia  ini, bukan jodoh dan ajal maut saja yang datang tanpa diduga, tapi rezeki juga begitu.

Ketika saya sedang mengumpulkan bahan-bahan bacaan dalam tema tentang perempuan, dan menulis ulasan tentang buku-buku tersebut di laman sosial, salah seorang rakan Facebook saya bertanya, ‘tengah menulis buku, ke?’

Saya jawab komen beliau dengan menyatakan saya sekadar menulis sedikit-sedikit. Dan, rakan Facebook saya itulah yang menawarkan untuk menerbitkan buku ini. Beliau ialah pengasas Jejak Tarbiah, iaitu Kak Saadiah Ali.

Selamanya saya takkan lupa jasa Kak Saadiah terhadap tulisan-tulisan saya. Semoga Allah SWT murahkan rezeki buatnya dan Jejak Tarbiah.

Berapa lama kajian yang dibuat untuk siapkan Ustazah Zaman Dulu-Dulu?

Kalau secara tepatnya, saya tidak pasti. Saya banyak membaca bahan bacaan berkaitan perempuan sejak saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di USM. Di Perpustakaan Hamzah Sendut, USM memang begitu banyak buku-buku klasik dan langka. Saya rasa bertuah dapat ‘menyelam’ dalam lautan buku di perpustakaan ini. Kebanyakan sumber artikel yang saya tulis dalam buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu juga saya peroleh di perpustakaan universiti. Tentang tempoh kajian, saya rasa tempoh membaca saja mungkin lebih kurang 2 tahun kalau dikira dari awal saya masuk USM.

Saya menulis artikel pertama dalam buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu pada Julai 2017. Dan saya siap menulis manuskrip awal pada September 2017. Seingat saya, tempoh saya menulis itu dalam tempoh cuti semester tahun kedua saya di USM.

Dan manuskrip keseluruhan siap pada awal Januari 2018, dengan tambahan artikel yang saya tidak masukkan dalam laman wattpad saya.

Maisarah akan hasilkan buku seterusnya?

InsyaAllah, mungkin buku seterusnya ialah lanjutan ebook yang saya tulis selepas menulis Ustazah Zaman Dulu-Dulu. Ebook tersebut bertajuk ‘Revolusi Perindustrian 4.0-Satu Pengenalan’ yang diterbitkan dan disebarkan secara percuma oleh Projek Anak Muda Islam (PAMI). Pengasas PAMI ada minta saya tulis buku bercetak, sambungan ebook ringkas tersebut. Tapi, sekarang saya masih dalam tempoh Latihan Industri. Jadi, saya menanti masa yang sesuai untuk menulis lagi.

Tentang penulisan bertema gender seperti Ustazah Zaman Dulu-Dulu, saya ada bercadang hendak kumpulkan ulasan filem-filem bertema gender. InsyaAllah.

Siapa penulis kegemaran Maisarah? Kenapa?

Ramai.

Kalau penulis kontemporari… Faisal Tehrani, Benz Ali, Regina Ibrahim, Shaz Johar dan Nadia Khan. Kalau penulis lama seperti Usman Awang, Zurinah Hassan dan HAMKA. Penulis antarabangsa pula saya suka Paulo Coelho, Mitch Albom dan Haruki Murakami.

Tapi yang paling memberi pengaruh terhadap tulisan saya ialah Faisal Tehrani dan Sasterawan Negara Zurinah Hassan. Mereka antara penulis yang menulis tentang isu wanita dengan lantang. Faisal Tehrani, dalam novel-novelnya yang terkini seperti Bagaimana Anyss Naik ke Langit dan Professor menulis tentang perempuan dari sudut Hak Asasi Manusia, yang mana ianya sangat jarang diketengahkan dalam fiksyen. SN Zurinah Hassan pula, beliau menulis tentang perempuan dari sudut kehidupan harian seorang perempuan. Membaca karya beliau buat saya rasa boleh kaitkan dengan diri sendiri. Haha.

Saya masih terkenang sebuah forum yang saya hadiri sebagai penonton. Salah seorang panelisnya ialah SN Zurinah Hassan. Beliau bercerita tentang bagaimana kehidupannya sejak kecil dan minatnya pada penulisan sering dipandang rendah oleh keluarganya sendiri. Ibunya lebih suka kalau anak perempuan buat kerja mengemas rumah daripada menulis. Walaubagaimanapun, saya kagum dengan semangat dan kesungguhan beliau. Katanya, kalau dapat sebaris ayat puisi dalam sehari pun jadilah…

Adakah Maisarah menulis setiap hari? Ada peruntukan masa?

 Sejujurnya, saya menulis pada waktu lapang sahaja. Sebelum bekerja secara sepenuh masa seperti sekarang (latihan industri), saya menulis sekurang-kurangnya seminggu sekali. Semasa musim cuti semester, boleh dikatakan selang sehari saya akan menulis.

Sayangnya, apabila bekerja 6 hari seminggu seperti sekarang, masa yang ada sangat terhad. InsyaAllah, selepas tamat latihan industri nanti saya akan kembali ke rutin yang saya cintai, iaitu membaca dan menulis. Doakan saya dapat siapkan buku seterusnya, ya?

Kebiasaannya Maisarah akan buat draft kasar dahulu atau terus menulis?

Ya, saya akan buat pecahan isi dan struktur idea tentang apa yang hendak ditulis. Untuk sebuah buku, saya suka untuk bahagikan beberapa bab dalam sebuah bahagian. Seperti Ustazah Zaman Dulu-Dulu, idea utamanya ialah tentang Perempuan di Nusantara. Tapi skopnya sangat luas, maka, saya kecilkan kepada beberapa bahagian seperti Tokoh, Peristiwa dan Karya Seni & Sastera tentang perempuan nusantara.

Saya teringat ada sebuah buku bertajuk ‘Menulis Mengatur Diri Berfikir’. Saya tak pernah baca buku tersebut, tapi dengan membaca tajuknya cukup untuk memberi motivasi kepada saya supaya lebih banyak menulis dengan teratur.

Dalam minda kita, kita akan selalu dapat idea. Ada kalanya, ilham datang melimpah ruah. Tapi, dengan menulislah, kita susun aturkan idea-idea tersebut dan sampaikan kepada pembaca secara tersusun.

Saya percaya, menulis tentang sesuatu fakta perlukan disiplin dalam susun atur. Berlainan dengan bukan fiksyen, tersusun atau tidak, ianya bergantung kepada kreativiti penulis.

Mahu menjadi penulis tetap atau sambilan?

 Saya tidak pasti lagi. Tapi bagi saya, untuk mula menulis secara tetap perlu lakukan secara sambilan dulu. Setakat pengalaman saya yang masih baru ini, menulis secara sambilan akan lebih mencabar sekiranya kita ada komitmen pada pekerjaan yang tetap (seperti rutin kerja yang masuk pejabat pukul 9 dan balik kerja pukul 5).

Kalau menulis secara tetap, saya teringin nak jadi penulis dalam kolum majalah. Haha. InsyaAllah. Kalau itu rezeki saya selepas ini.

Buku apa yang sering dibaca ketika zaman kanak-kanak?

 Zaman kanak-kanak saya suka baca komik Detektif Conan, majalah Asuh, majalah Kawan, Siri Penyiasatan Salma dan siri novel remaja Hardy Boys. Kebanyakannya buku-buku milik abang dan kakak saya. Tapi Detektif Conan antara komik yang saya selalu beli.

Saya berhenti beli selepas masuk asrama kerana penat pula nak tunggu pengakhiran komik ini tak habis-habis. Haha.

Siapa yang menjadi penyokong dalam usaha Maisarah menulis?

 Kawan-kawan saya.

Di asrama dulu, kawan-kawan saya tetap membaca cerpen-cerpen saya walaupun ‘cliche’ dan bosan. Haha.

Dan saya sangat berterima kasih kepada kawan saya yang kembalikan semangat saya untuk mula menulis selepas lama berhenti. Tidak lupa juga pada rakan-rakan di laman sosial, walaupun kita tak pernah bersua muka, tapi kalian sentiasa menyokong saya.

Saya paling terharu dengan seorang lagi rakan Facebook saya, kak Nurul Suhadah, pengasas gerakan Suri Membaca. Beliau menyokong penulisan Ustazah Zaman Dulu-Dulu dari peringkat awal sebelum menjadi manuskrip sampailah diterbitkan oleh Jejak Tarbiah. Saya takkan lupa sokongan Kak Suhadah. Cuma saya tak pernah bersua muka lagi dengan beliau. Semoga Tuhan pertemukan saya dengan beliau satu hari nanti.

Jikalau hidup anda adalah sebuah novel, berikan tajuknya.

 ‘Perempuan Nan Melawan’

Haha. Dah macam tajuk novel Faisal Tehrani pula.

Terima kasih sudi temuramah saya. Kalau ada terlanjur perkataan atau terkasar bahasa, maafkan saya, ya? Yang baik itu dari Allah dan yang kurang itu dari diri saya sendiri.

Wacana Buku Akhlaqul Karimah – Jejak Tarbiah

30/6 yang lepas, merupakan pertama kali saya menyertai acara wacana buku, sebagai sukarelawan sekaligus peserta. Wacana mengikut pengertian Dewan Bahasa dan Pustaka (rujuk sini) ialah “perbincangan atau pertukaran idea secara lisan”. Jejak Tarbiah menjemput Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan Prof Madya Dr Hafidzi bagi membentang idea mereka mengenai buku Akhlaqul Karimah hasil tulisan Prof Hamka. Sebelum ini, saya cuma tahu review atau acara bicara buku sahaja tetapi tidak pernah sekalipun menyertai mana-mana aktiviti wacana buku. Acara dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sesi pembentangan oleh Dr Hafidzi, kemudian diteruskan dengan pembentangan oleh Ustaz Pahrol. Seterusnya, sesi diteruskan dengan forum yang melibatkan kedua pembentang tadi dan akhir sekali ialah sesi soal jawab.

Dari Kanan: Dr Hafidzi, Ustaz Pahrol dan Moderator.

Sebenarnya saya skip pembentangan Ustaz Pahrol sebab sibuk benar berborak-borak dengan pengasas Jejak Tarbiah, Kak Saadiah Ali. Kak Saadiah kata,

“Wacana ni kita mesti buat, rugi ke untung ke mesti buat. Buku bukan sekadar untuk dibaca, tapi kena bincangkan dan wacanalah antara cara menghidupkan buku”.

Wow, tak pernah langsung terfikirkan perkara ini. Begitu besar nilai sebuah buku sehingga pembacaan sahaja langsung tidak mencukupi. Saya turut merasakan yang sama, sebab idea-idea yang diutarakan oleh kedua panel jemputan ini sangat membuka mata saya, sebab tak pernah langsung saya fikirkan. Untuk konten perbincangan insyaAllah saya cuba tuliskan untuk posting-posting seterusnya supaya bermanfaat untuk semua. Oh ya, saya merupakan ejen buku Jejak Tarbiah juga, bolehlah hubungi saya untuk beli.

Sukarelawan program Wacana Hamka.

Bersama pengasas Jejak Tarbiah, Kak Saadiah Ali.

Terjumpa junior UTP pula, Fatimah.

Surat Bersampul Perang

Surat Bersampul Perang ini sebenarnya versi terbit semula novel Rindunya Kian Membara. Dulu Kak Su (Noor Suraya) terbitkan dengan Creative Enterprise Sdn. Bhd. (CESB) pada tahun 2001 (Wahhh, saya masih Darjah 3 waktu itu). Ketika di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 lepas, Kak Su beritahu beliau sudah tambah 100 m/s untuk Surat Bersampul Perang ini. (wahhh kagum lagi). Bagi sesiapa yang dah baca Kekasih Waktu, Surat Bersampul Perang ini kiranya versi prequel lah dan watak utama pun Farhana (Anah), ibu Zaynn & Zetti. Kak Su seperti biasa suka betul menghidangkan pembaca beliau dengan kisah menyayat hati tetapi sangat unik. Farhana ialah lambang wanita cekal dan berpendirian tegas yang tidak tunduk dengan ugutan Masri untuk berkahwin semula walaupun terpaksa berkorban hak penjagaan kedua anaknya. Saya belum sempat lagi nak buat review penuh untuk novel ini tetapi saya sarankan penggemar tulisan kak su cepat-cepatlah dapatkan sebelum stok habis.

I’m a Backpacker: UK

Sebelum ke London hari tu, inilah antara persediaan saya. Khatamkan baca buku ini. Buku ni macam manual ringkaslah untuk sesiapa yang nak pergi UK. Penulisnya belajar di University of Manchester, jadi revelanlah untuk dibaca. Macam-macam tips yang ada untuk orang yang nak kembara ke sana. Bermula daripada persediaan di sini (makanan, pakaian, dokumen, pertukaran duit dan macam-macam lagi), tempat yang wajib datang, kenderaan yang boleh dinaiki, cerita pasal stadium bola pun ada! InsyaAllah tak rugi untuk dibaca dan jimat masa untuk buat research. P/s: Selain UK, ada buku untuk negara lain juga. New Zealand, Turkey, Jerman, Jepun, Korea & Eropah. Beli di sini: Kedai Buku Aina

Review Komik: Putera Katak

Penulis/Pelukis : Foong Zing Yi PENGENALAN

Saya dikehendaki untuk membaca komik dan memberi review sudut positif berkenaan komik ini untuk cabaran yang kelima. Pada asalnya saya seperti tiada idea kerana saya baru sahaja meghabiskan komik Mat Som oleh Lat. Komik apakah lagi yang mampu beri impak positif selain daripada Mat Som ini?

Jelajah saya ke MPH Giant Senawang menemukan saya dengan komik Putera Katak, terbitan Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd. Dalam hati, ‘ah ini saja yang aku rasa paling baik dan boleh beri impak positif, hentam saja’.

SINOPSIS

Kalau anda terfikir tentang kisah dongeng putera yang bertukar menjadi katak dan perlu dicium untuk bertukar semula menjadi manusia, maka bayangan anda itu silap sama sekali. Kisah dalam komik ini adalah mengenai Leo, seorang budak lelaki kaki buli. Dia sering kali berasakan dirinya adalah seorang raja dan setiap orang mesti menuruti arahannya. Sikapnya ini berpunca daripada ketiadaan ibu bapanya di rumah kerana sering ke luar negara atas urusan kerja.

Leo sering mengejek Edward yang mukanya penuh dengan jerawat. Ruby juga menjadi mangsa Leo kerana kerap kali diejek kerana penampilannya. Kemuncak perbuatan Leo ini adalah apabila, dia telah memarahi seorang nenek tua yang terlanggar dia, (tanpa mengetahui itu adalah nenek Ruby). Dia terjumpa ahli sihir katak dan selepas itu mukanya berubah menggerutu seperti katak. Dia perlu berkelakuan baik dan tidak berbohong supaya mukanya kembali pulih. Kawan-kawannya yang dulu semua tidak mahu berkawan dengan Leo dan Edward juga telah bangkit menghina Leo. Akhirnya dengan pertolongan Ruby dan neneknya, dapat mengubah Leo menjadi seorang yang bertanggungjawab dan tidak lagi membuli orang lain.

REVIEW

Setiap orang yang jahat sentiasa ada peluang untuk bertukar untuk menjadi baik. Jiwa kanak-kanak juga murni, mereka mudah memaafkan, seperti Ruby yang tidak pernah berdendam dengan Leo walaupun pernah dibuli. Walaubagaimanapun, setiap orang yang jadi pembuli biasanya ada sejarah di sebaliknya, sebelum menghukum yang bukan-bukan, adalah baik untuk memeriksa dahulu.

Komik ini mampu memberi pengajaran yang baik untuk kanak-kanak supaya tidak menjadi orang yang suka menghukum orang lain dan menjadi orang yang tidak membazirkan masa serta berdikari.

Nota: Reviu ini saya buat pada tahun 2016 untuk Cabaran Membaca 32 Buku oleh Buku Jalanan Titi. Kriteria – Komik.

Review Buku: Ustazah Zaman Dulu-Dulu

Penulis : Maisarah Mohd Pauzi Penerbit : Jejak Tarbiah Publication Tahun Terbit: 2018 Muka surat: 186 Beli di: Jejak Tarbiah Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang lepas. Sukar melepaskan buku ini setelah saya belek isinya yang saya kira begitu menarik. Pada asalnya naskhah ini diberi nama Wanita-Wanita Merdeka kerana fokus utama buku ini ialah wanita yang memperjuangkan kemerdekaan. Walaubagaimanapun, tajuknya ditukar kepada Ustazah Zaman Dulu-Dulu kerana  wanita yang diceritakan dalam naskhah ini kebanyakannya berlatar belakangkan pendidikan agama yang setara dengan ustazah zaman kini.

Terdapat lima bab utama dalam buku ini. Bab pertama memperkenalkan pembaca dengan tokoh kemerdekaan wanita. Jika sebelum ini kita hanya sering mendengar nama Shamsiah Fakeh, tapi kita akan mendapat lebih daripada Shamsiah Fakeh dalam bab ini. Kemudian, penulis membentangkan peristiwa kebangkitan wanita dalam perjuangan agama dan kemerdekaan dalam bab kedua. Seterusnya dalam bab ketiga, penulis mempersembahkan karya-karya sastera lama yang mengangkat emansipasi wanita Tanah Melayu. Bab keempat pula membentangkan karya seni dan sastera (filem) yang membawakan perihal wanita dan isu yang dihadapi mereka. Akhir sekali, dalam bab kelima, penulis berkongsi kepada pembaca wanita-wanita zaman silam serta perjuangan mereka.

REVIEW Walaupun buku ini sarat dengan fakta, tetapi penulis sangat bijak mempersembahkan hasil kajian beliau ini dalam tulisan yang sangat mudah difahami menyebabkan tidak langsung terasa bosan atau berkeinginan untuk berhenti. Pemilihan tokoh serta perjuangan mereka turut menambahkan perisa supaya saya lebih melekat dengan buku ini. Kisah Aishah Ghani bagi saya adalah perjuangan feminis sejati. Beliau memperjuangkan hak wanita untuk mendapat hak pendidikan yang sama dengan lelaki, hak kesamarataan gaji dan antara menjadi antara suara besar dalam memperketatkan undang-undang berpoligami di negara ini. Memperketatkan undang-undang poligami tidak bermaksud menentang hak lelaki berpoligami tetapi undang-undang ini bertujuan membela hak wanita. Walaupun ditentang hebat, beliau pantang menyerah. Setiap novel/cerpen yang dipetik dalam bab ketiga diulas dengan baik oleh penulis dan menyebabkan saya berasa teruja mahu mendapatkan setiap sumber yang penulis gunakan. Penulis yang baik tentulah yang boleh mempengaruhi pembaca mereka membaca lebih banyak buku. Selain itu, buku ini bukanlah bermaksud untuk memenangkan pihak wanita sahaja tetapi juga kritikan kepada wanita yang menyalahi fitrah mereka seperti dalam Bab Empat. “Mengakhiri tulisan ini, saya menghargai cerpen ini sebagai sebuah karya kreatif tetapi karya ini juga mempunyai sisi gelapnya kerana imaginasi penulis tentang wanita moden ialah hasil satira yang menyindir golongan wanita pada zamannya yang terpengaruh dengan gerakan pembebasan wanita yang dipandang serong.” Kedua nenek saya belah ibu dan ayah dahulunya tidak mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang sama dengan adik beradik lelaki mereka kerana tiada kesedaran dalam masyarakat berkenaan perkara ini. Justeru, saya amat menghargai usaha serikandi-serikandi yang memperjuangkan dan membela hak wanita sehingga wanita zaman ini di Malaysia tidak lagi menerima nasib seperti mereka. Penulis telah melakukan perkara yang amat besar dengan memperkenal kita kepada wanita-wanita ini. Kepada yang masih belum membaca buku ini, masih belum terlambat untuk anda dapatkannya segera. Anda pasti mendapat manfaat!

Jom Kritik Buku ITBM: Budak Beca

Tajuk : Budak Beca Penulis : Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) No ISBN : 978-983-068-952-4 Harga : RM 25 (Semenanjung Malaysia), RM 30 (Sabah & Sarawak) Kritikan Isi Kandungan Buku
  • Ringkasan Isi Buku

Budak Beca mengisahkan Mamat Merdeka yang pulang ke kampung halamannya di negeri Terengganu setelah tujuh tahun menjadi mata-mata khas. Ketika itu Tanah Melayu hampir mendapat kemerdekaan. Dia menggelarkan dirinya Mamat Merdeka kerana bagi Mamat, dia sudah merdeka daripada menjadi orang suruhan orang lain dan dia boleh berseronok sesuka hatinya. Hasil perkhidmatan sebagai mata-mata khas membolehkan dia membawa pulang wang simpanan hampir RM 2000

Bapa Mamat berpesan supaya dengan simpanan yang ada itu digunakan untuk membeli tanah sebagai persediaan di masa hadapan tetapi Mamat tidak langsung ambil peduli ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Mamat mengambil keputusan hanya akan mencari ikhtiar lain selepas duitnya habis. Akhirnya duit milik Mamat itu hanya mampu bertahan selama 6 bulan sahaja akibat sikap borosnya. Mamat menghabiskan duit itu dengan hanya berjalan-jalan, berseronok dengan kawan-kawannya dan bermain perempuan.

Tidak ada apa yang tinggal pada Mamat setelah wangnya habis. Kawan-kawan pun lari dan malang sekali kerana dia mendapat penyakit kelamin, tetapi mujurlah masih boleh diubati. Mamat meneruskan hidup dengan bekerja sebagai penarik beca. Sudahlah upahnya sedikit, dia perlu pula membayar ansuran beca kepada pemilik beca setiap bulan.

Takdir menemukan Mamat dengan Mustapha, seorang lelaki yang mewakili persatuannya (badan bukan kerajaan) dari Kuala Lumpur untuk tinggal di Terengganu. Mustapha membuat kajian mengenai kehidupan sosial dan keadaan ekonomi penduduk di Pantai Timur ini. Dia melahirkan rasa kebimbangan apabila hasil kajiannya mendapati masih ada orang Melayu yang takut untuk menerima kemerdekaan. Ada yang sudah bersedia untuk merdeka, tetapi jiwa mereka masih belum merdeka. Anak Melayu hanya mahu berseronok-seronok, tidak mahu menyimpan wang, tidak serius bekerja dan tidak berfikir untuk masa hadapan.

Mustapha acap kali mengingatkan Mamat supaya bersungguh-sungguh merubah taraf hidupnya. Hasil usaha Mustapha juga membolehkan Mamat yang buta huruf akhirnya pandai membaca. Mamat juga tidak lagi mahu berseronok tetapi sudah ada azam untuk mengubah kehidupannya. Dia mahu merebut peluang yang diberi kerajaan yang mahu memberikan tanah kepada rakyat untuk diusahakan di negeri Pahang.

  • Ulasan Isi Buku

Novel tulisan Pak Sako ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1957 yang merupakan tahun Tanah Melayu menerima kemerdekaan. Ketika itu, sastera merupakan alat penting dalam menyampaikan mesej kemerdekaan kepada penduduk Tanah Melayu. Latar belakang Pak Sako sebagai seorang nasionalis sangat mempengaruhi beliau. Mesej dan kritikannya kepada orang Melayu jelas melawan penjajahan oleh British dan juga penjajahan akal fikiran. Sesetengah kritikan beliau ini masih lagi relevan untuk dibincangkan sehingga ke hari ini.

Jika Novel Putera Gunung Tahan tulisan Pak Sako sebelum itu bertujuan untuk meniupkan semangat kemerdekaan kepada rakyat, memberi sindiran dan tentangan kepada British, Budak Beca pula memberikan kritikan kepada kaum yang hendak menerima kemerdekaan.

Kritikan paling jelas dalam novel ini ialah terhadap sikap-sikap orang Melayu yang langsung tidak serius memajukan hidup mereka. Ini dapat dilihat melalui sikap Mamat yang hanya tahu berseronok dan tidak mahu melakukan kerja berfaedah setelah pulang ke kampung. Dia malah tidak mahu merancang masa depannya sendiri.

“Hati besar dan rasa sombongnya memerintah dia kalau orang-orang lain, kalau orang-orang yang berhormat dan berpangkat boleh dapat wanita-wanita itu maka dia juga boleh dapat. Biarlah wangnya habis. Bila sudah habis nanti dia cari lagi, dia boleh jual lembu ayahnya, dia boleh meminta pada emaknya, demikianlah fikiran Mamat.”

            “Besoknya Mamat turun lagi ke Kuala Terengganu. Kawan-kawan yang sehaluan sudah semakin ramai. Mereka menghabiskan masa di kedai-kedai kopi, di panggung-panggung wayang, bertemasya ke sana ke mari bersuka ria bergembira.”

Sekiranya dia mendengar nasihat ayahnya supaya mengambil peluang untuk membeli sedikit tanah ketika itu, sudah tentu dia tidak terlalu susah dan ada hasil yang boleh dimakan kemudian hari.

“Saya sudah buat silap besar,” kata Mamat.             “Bagaimana?” Mustapha bertanya.

            “Waktu saya berhenti daripada kerja mata-mata khas,” jawab Mamat, “saya ada membawa balik wang tunai hampir 2000 habis saya belanjakan dengan tidak tentu hala.”

Sungguh besar peranan tulisan Pak Sako ini kerana ia menyentuh aspek pembinaan sikap sesuatu bangsa. Bukankah kemerdekaan sesebuah negara itu harus seiring dengan kemerdekaan pemikiran bangsanya? Dia tidak mahu Kaum Melayu ketinggalan dengan berseronok sahaja tanpa memikirkan masa depan.

Watak Mustapha wujud dalam cerita ini untuk membimbing Mamat. Nasihat-nasihat daripada Mustapha inilah yang ditujukan kepada Kaum Melayu untuk mengubah hidup mereka. Saat Mamat sudah sembuh dan mula mahu kembali ke perangai lamanya yang suka berseronok dengan perempuan, dia terus menegur.

“Awak mestilah menumpukan tenaga dan pemikiran awak kepada pekerjaan yang ada sekarang. Janganlah banyak angan-angan yang lain.”    

Pesanan ini jika kita telitikan sebenarnya masih relevan hingga sekarang kerana masih ramai anak muda yang berperangai seperti Mamat yang harus kita bawa ke dunia realiti. Tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan berusaha bersungguh-sungguh.

Pada zaman sebelum merdeka, Syed Sheikh al-Hadi ada menulis Hikayat Faridah Hanom yang mengangkat tema emansipasi wanita. Pak Sako turut tidak ketinggalan untuk mengetengahkan isu berkaitan wanita dalam novel ini. Beliau mengkritik isu pejabat agama yang tidak mampu membela nasib wanita. Dalam kebanyakan kes kezaliman rumah tangga, amat sukar bagi wanita untuk meminta cerai sehingga terpaksa digantung tidak bertali dan akhirnya kebanyakan wanita ini menjadi pelacur. Islam ialah agama yang adil dan sepatutnya tidak melengah-lengahkan dan memberi jalan keluar kepada wanita yang tidak lagi mahu menjadi isteri kepada suami mereka. Pemikiran Pak Sako ini melangkaui zaman kerana hal penceraian ketika itu sangat taboo kepada wanita dan sesiapa yang bergelar janda pasti dipandang hina walhal penceraian bukanlah satu dosa.

Selain itu, penulis turut membawakan isu pendidikan dalam naskhah ini. Mustapha kerap kali mengingatkan Mamat supaya mencari jalan untuk menambahkan ilmu pelajaran dan kemahiran. Kemerdekaan negara bukanlah petanda hidup akan terus menjadi senang.

“Dan hendaklah awak serta kawan-kawan awak jangan biarkan Rumah Persekutuan awak di Jalan Paya Bunga itu menjadi tempat bermain loto, main pakau dan main bujang. Jadikan ia tempat belajar. Carilah sebuah enjin motokar buruk dan pelajarilah bagaimana selok-belok jenteranya, alat-alat dan pesawatnya yang besar dan kecil, Ikhtiarkanlah supaya ahli-ahli persekutuan itu dapat belajar ilmu elektrik, kepandaian-kepandaian berkenaaan dengan radio, peti sejuk dan sebagainya. Ilmu-ilmu itu akan berguna besar nanti sebab negeri ini akan bertambah maju ataupun jika awak ingin kepada kepandaian yang lebih aman damai, jauh dari kota, maka carilah sekeping tanah di mana awak boleh bercucuk tanam, berternak dan sebagainya.  Janganlah sangka kemerdekaan akan membawa kesenangan serta-merta, dengan tidak payah bekerja keras.”

Mamat menceritakan kisah orang kaya yang meninggalkan harta kepada tiga isteri dan anak-anaknya. Apabila yang ditinggalkan cumalah harta dan bukan pula ilmu, maka berlakulah perebutan dan akhirnya harta itu habis begitu saja. Jika ada ilmu bukankah boleh digunakan untuk menggandakan harta yang sedia ada dan juga menambahkan ilmu?

Selanjutnya, penulis memberi gambaran sosioekonomi yang sangat jelas di Tanah Melayu ketika itu melalui fakta-fakta yang dikongsikan dalam novel ini. Jika bercerita hal perikanan, diterangkannya berapa ramai nelayan yang ada, jenis perahu yang digunakan nelayan itu, jumlah ikan yang ditangkap dan harga penangkap ikan. Dia bercerita pula hal-hal penjaja kain yang pada asalnya menjaja dari rumah ke rumah, kehilangan peluang itu apabila saudagar-saudagar bermodal besar menjual kain secara berpusat. Industri itu masih bertahan pun kerana wujudnya golongan yang masih menghargai nilai kain tenunan tangan dan mahu menggunakannya di hari perayaan dan perkahwinan.

Tidak cukup dengan fakta yang diberikan, penulis turut menyeru rakyat untuk bergerak seiring dengan teknologi dalam soal ekonomi. Perusahaan menenun kain bakal wujud pesaingnya kerana mesin-mesin menenun sudah ada di pasaran. Pengusaha kain tenunan tangan pastinya tidak dapat menghasilkan produk yang sama banyak dengan pengusaha kain tenunan mesin dalam sehari. Dalam hal pertanian pula sudah wujud traktor untuk memudahkan kerja-kerja membajak sawah. Tenaga manusia dan haiwan sudah boleh dijimatkan, malah lebih banyak hasil yang boleh dikerjakan setiap hari.

Tambahan lagi, dalam novel ini, Pak Sako giat membawa mesej supaya orang Melayu menghargai karya sastera dan penulisan. Hal ini jelas dapat dilihat dalam sewaktu Mustapha membawa Mamat untuk melihat malam kesenian. Pelbagai perbualan mengenai kebaikan sajak-sajak dan hasil sastera lain ketika itu.

“Datanglah caca, marilah lain-lain lagu menawan, menyerang dan cuba memusnahkan, namun dondang sayang tidak akan kalah, tidak akan mati. Ia akan kekal abadi dicintai, disayangi, dipupuk dan dipelihara dengan baik oleh bangsa Melayu.”

Mustapha turut meluangkan masanya membantu Mamat belajar membaca dan mengenal karya sastera sehingga akhirnya Mamat sendiri yang menagih banyak buku daripada Mustapha untuk dibaca. Penggunaan bahasa turut dibincangkan dalam novel ini kerana Pak Sako ini seorang yang mementingkan adab dan budi bahasa dalam sikap bangsanya. Penggunaan bahasa rakyat jelata kepada pemerintah pun mesti ada cara dan adabnya bagi melambangkan hormat kepada raja.

“Biasanya orang-orang dari pihak kerajaan akan menulis: ‘Saya diperintahkan oleh Menteri Hasil Bumi bahawa surat kamu….’

Ini yang sebetulnya ialah terjemahan daripada gaya bahasa kolonial. Perkataan ‘kamu’ dan ‘diperintahkan’ itu pada jiwa bahasa kita adalah perkataan yang agak kasar bunyinya, dan oleh sebab itu tidaklah berapa sesuai dengan jiwa baru yang hendak dihidupkan, iaitu rakyat itu raja dan raja itu rakyat.”  

“Banyak lagi yang harus disiasat dan dihalusi berkenaan dengan pemakaian dan peradaban bahasa antara pemerintah dan rakyat jelata. Bersyukurlah kita kerana sekarang sudah ada Dewan Bahasa dan Pustaka.” 

Meskipun terlalu banyak nilai berguna dalam novel ini, terdapat beberapa babak yang saya rasa jelas bertentangan dengan agama dan adab Melayu itu sendiri. Dalam bab Main Pantai, ketika Mamat dan Mustapha menghadiri pesta pantai, mereka dengan tidak teragak-agak berkongsi tidur dalam pondok bersama dua wanita. Bukankah Islam menghalang percampuran begini antara lelaki dan wanita? Selain itu, Mustapha walaupun seorang yang sangat mementingkan pembangunan bangsanya, tidak teragak-agak untuk meminum arak walhal minuman inilah antara punca kemunduran dalam diri manusia.

Watak ibu bapa Mamat dalam cerita ini juga tergantung kerana selepas Mamat terpaksa menjadi penarik beca, tidak ada langsung disebutkan tentang mereka. Penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam karya ini ialah dengan memunculkan watak ibu bapa Mamat sekurang-kurangnya sebelum dia berpindah ke Pahang. Agak janggal jika ibu bapa tidak diberitahu langsung dalam setiap keputusan yang dilakukan anak-anak seperti mereka itu diabaikan. Bukankah adab dan budi bahasa kita perlu sentiasa hormat kepada ibu bapa?

Kritikan Fizikal Novel

Novel Budak Beca ini merupakan versi terbit semula oleh pihak ITBM pada tahun 2012 yang merujuk kepada novel PAK SAKO: BUDAK BECA terbitan Marwilis Publisher & Distributor Sdn. Bhd. Selain logo ITBM terdapat juga logo Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang menunjukkan kerjasama antara PENA dan ITBM dalam penerbitan novel ini.

Lukisan pada kulit novel ini sebenarnya kelihatan agak klasik dan mungkin kurang mampu menarik perhatian orang-orang muda untuk membelek novel ini. Jika dibuat pertambahan warna-warna lain dan gambar orang sebenar, ia boleh menarik lebih ramai orang yang tidak tahu tentang karya ini untuk membacanya. Meskipun begitu, pada bahagian kulit belakang novel ini, dicatatkan sinopsis yang jelas dan menarik tentang cerita dalam novel ini. Jika ada orang yang membaca sinopsis ini, pasti timbul keinginan untuk membeli dan mengetahui kisah yang ada. Kulit novel ini menggunakan jenis kertas keras dan berjaket yang menjadikan novel ini kukuh dan mudah dijaga. Di jaket novel ini pula diletakkan petikan daripada novel ini dan profil penulis.

Novel ini juga agak unik kerana masih mengekalkan penggunaan judul separa walaupun diterbitkan pada tahun 2012. Kebiasaannya judul separa tidak lagi digunakan di zaman ini kerana perubahan sistem pencetakan yang semakin maju. Selepas halaman hak cipta, tiada sebarang kata pengantar dan isi kandungan. Penulis terus memulakan bab pertama dalam cerita ini. Terdapat 16 bab dalam cerita ini dan bab yang paling panjang ialah bab Malam Kesenian sebanyak 19 muka surat dan bab yang paling sedikit ialah bab Batu Buruk sebanyak 7 muka surat.

Novel ini juga tidak terlalu tebal, jumlah muka suratnya hanya 199 dan kerana bahasanya yang mudah difahami pembaca sepatutnya tidak mengambil lebih daripada tiga hari untuk menghabiskannya. Saiznya lebih kecil daripada saiz A5 menyebabkan ia senang dibawa ke mana-mana sahaja. Selain itu, tulisan dalam novel ini menggunakan gaya tulisan Arial dan saiznya yang sederhana memudahkan pembacaan.