Review Buku: The Partner

Penulis : John Grisham Penerbit : Arrow Tahun Terbit : 2010 (Terbitan Pertama 1997) Muka Surat : 416 Beli di : Kinokuniya (saya beli di BBW) Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. SINOPSIS

Ini pertama kali saya menghabiskan novel fiksyen karya penulis terkenal, John Grisham. Patrick Lanigan telah mati empat tahun lepas (Februari 2019) dalam sebuah kemalangan jalan raya. Dia meminta mayatnya dibakar dan disemadikan di Biloxi, Mississippi. Dia meninggalkan seorang balu, Trudy dan anak perempuan Ashley Nicole. Walaubagaimanapun, enam minggu selepas kematian beliau, wang sebanyak 90 juta USD lesap daripada firma guaman miliknya dan rakan-rakan, dan membuatkan mereka sedar bahawa Patrick masih hidup.

Patrick ditemui di sebuah daerah kecil di Brazil, Ponta Pora, oleh sekumpulan penyiasat persendirian. Mereka yakin itu Patrick walaupun penampilannya sangat berbeza daripada sebelum kematiannya. Dia kini dikenali sebagai Danilo Silva. Klien dan rakan-rakan lamanya mahukan dia ditangkap dan mereka mahukan semula duit mereka yang telah dicuri. Sebelum kematiannya juga, dia telah membeli polisi insurans sebanyak 2.5 juta USD untuk isteri dan anaknya. Justeru, pihak insurans juga mahukan dia ditangkap kerana penipuan ini menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang banyak walhal ianya satu penipuan.

Pengalaman luas John Grisham dalam bidang guaman membuatkan pembaca tidak melihat Patrick sebagai seorang pesalah tetapi beliaulah yang patut dikasihani dalam kisah ini. Dia melarikan diri dengan wang curian sebanyak 90 juta USD, memalsukan kematian, membunuh orang lain dan menipu pihak insurans.

Setelah dibawa pulang ke Mississippi, Patrick melantik Sandy, kawan lama beliau di universiti untuk menjadi peguam belanya. Satu persatu rahsia lama terbongkar. Cubaan mahkamah persekutuan untuk mendakwa beliau atas pencurian duit telah digugurkan setelah dia mengemukakan bukti bahawa duit 90 juta USD yang diperoleh klien dan rakan-rakan peguamnya merupakan hasil penipuan kepada kerajaan persekutuan. Dakwaan mahkamah negeri terhadap Patrick atas tuduhan pembunuhan turut ditarik semula setelah dia membuktikan dia tidak membunuh mayat orang yang diletakkan dalam kereta beliau yang kemalangan. Isterinya Trudy, mahu mendakwa Patrick atas penipuan yang berlaku, tetapi bukti kecurangan Trudy semasa perkahwinan mereka turut menyebabkan dakwaan ini ditarik semula. Walaupun dia akhirnya mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan mayat orang lain sebagai mayatnya, dia tetap tidak dimasukkan ke penjara setelah membayar waris mayat itu sebanyak 25 ribu USD sebagai ganti pengakuan waris untuk mahkamah tidak langsung mengambil tindakan terhadap Patrick.

REVIEW

Pada pendapat saya, Patrick tetap bersalah dengan tindakan-tindakan yang pernah dia lakukan, tetapi kelebihan memihak kepada beliau kerana beliau seorang peguam yang cekap dan tahu memanipulasi keadaan. Empat tahun lepas, dia tidak bahagia dengan hidupnya, rumah tangga yang porak-peranda dan bakal disingkirkan dari syarikat guamannya. Dia mengambil keputusan untuk melarikan diri dan memulakan kehidupan baru. Dia tidak tergesa-gesa dan melakukan perancangan rapi sebelum menghilangkan diri. Perancangan rapi dilakukan sebagai pelan kecemasan sekiranya ditangkap dan kini, dia seorang manusia bebas. Dia memulangkan semula duit yang dicurinya (namun dividen menjadi miliknya) dan kembali semula ke Brazil tetapi kini boleh hidup tanpa sebarang ketakutan.

Pengakhiran cerita ini sedikit mengecewakan (kebanyakan review di Goodreads pun mengatakan yang sama) tetapi tidak memberi impak yang terlalu besar kepada saya. Kalau Patrick boleh menghilang, mengapa tidak Eva? Teman wanitanya. Haha. Kawan-kawan yang sukakan novel fiksyen atau rancangan bersiri seperti CSI, NCIS atau Suits mungkin akan sukakan buku ini. Selamat membaca!

Review Buku: Laskar Pelangi

Penulis    : Andrea Hirata
Penerbit  : Bentang Pustaka
Tahun Terbit : 2005
Muka Surat : 534
Beli di : Jejak Tarbiah
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS

Novel Laskar Pelangi merupakan karya Andrea Hirata yang hit di Indonesia dan sehingga kini telah diterjemahkan kepada 40 bahasa dan diterbitkan lebih 130 negara. Novel Laskar Pelangi dalam koleksi saya sendiri merupakan cetakan ke empat puluh! Novel ini malah telah diadaptasikan ke layar perak dan mencapai box office. Lebih istimewa lagi, pelakon-pelakonnya asli dari Pulau Belitung (tempat kelahiran Andrea).

Novel ini berkisar mengenai kehidupan Ikal dan sembilan sahabatnya yang digelar oleh guru mereka Ibu Muslimah (Bu Mus), sebagai Laskar Pelangi semasa persekolahan mereka di SD Muhammadiyah. SD Muhammadiyah ini terletak di daerah kecil Indonesia, iaitu Pulau Belitung, latar tempat yang Andrea gunakan dalam novel ini.

Pada awalnya, sembilan daripada mereka hampir tidak mendapat peluang bersekolah, kuota murid seramai 10 orang tidak dapat dipenuhi, namun diselamatkan oleh Harun yang hadir jam 11.00 pagi.

Ikal menceritakan daripada kaca matanya, mengenai tempat tinggalnya Belitung, perusahaan timah oleh PN Timah yang menjadi sumber pekerjaan utama di daerah Belitong, tentang sahabat-sahabatnya yang genius iaitu Lintang dan Mahar, tentang sekolahnya sendiri dan kisah kenakalan mereka semasa zaman kanak-kanak.

REVIEW

Andrea sering berkata, cerita yang ditulis beliau ialah cerita yang sederhana, tetapi cerita yang dipanggil sederhana oleh beliau inilah yang memberi kesan besar kepada pembaca di seluruh dunia. Nilai yang dibawa beliau tidak lain adalah mengenai pendidikan. Saat ibu bapa lain memilih untuk menghantar anak-anak mereka bekerja bagi memudahkan kehidupan seharian, tapi ibu bapa Laskar Pelangi berkorban menghantar anak-anak harapan mereka ke sekolah walaupun masing-masing serba serbi tidak mencukupi.

Ayah Ah Tiong rela menghantar anaknya ke sekolah agama demi memberi anaknya sekelumit ilmu. Bu Mus dan Pak Harfan (pengetua sekolah SD Muhammadiyah) tidak pernah sekalipun mengalah dalam mendidik anak-anak ini walaupun sekolah mereka serba kekurangan tanpa dana dan bantuan. Bu Mus sentiasa cergas mencungkil bakat yang ada dalam diri anak-anak ini agar tidak disia-siakan. Anak-anak Laskar Pelangi juga tidak lelah dan putus asa menghadapi sesi kelas-kelas mereka seharian walaupun pulang nanti mesti bekerja membantu keluarga atau menelaah dalam keadaan menggunakan lampu pelita.

Dalam satu babak, dikisahkan Lintang, sahabat Ikal yang paling genius itu pergi balik 40km demi ke sekolah dan kadang kala dia tiba di sekolah hanya untuk mendengar penutup hari itu kerana sekolah sudah hampir tamat.

Laskar Pelangi juga sebuah kritikan oleh Andrea kepada perusahaan timah (PN Timah) di Belitung yang didominasi dan dimonopoli oleh orang-orang tertentu sahaja. Pribumi Belitung kebanyakannya hanya menjadi kuli PN Timah dan tidak mendapat faedah-faedah yang sama seperti diterima oleh staf-staf PN Timah. Anak-anak staf ini berpeluang bersekolah di sekolah elit milik PN Timah yang mewah dan memiliki pelbagai kemudahan. Kawasan-kawasan milik elitis PN Timah juga kebanyakannya memiliki papan tanda “DILARANG MASUK BAGI YANG TIDAK MEMILIKI HAK”, bagi menandakan pengasingan dan perbezaan mereka.

Walaubagaimanapun, langit tidak selalunya cerah, kejatuhan harga timah sedunia mengubah segalanya. PN Timah tutup sepenuhnya dan golongan pemerintah yang dahulunya menerima imbuhan yang banyak daripada perniagaan ini seperti tidak pernah tahu wujudnya Belitung. Elitis PN Timah seperti tidak dapat menerima kenyataan dan bergelut apabila terpaksa merendahkan taraf hidup mereka.

Babak yang paling memberi kesan dalam novel ini bagi saya tentunya mengenai Lintang. Lintang yang serba genius itu tidak dapat menghabiskan persekolahan gara-gara kematian ayahnya. Dia terpaksa menjadi seperti solo breadwinner untuk keluarganya dan mengorbankan urusan menuntut ilmu. Sayang seribu kali sayang. Tidak dapat dinafikan, kekurangan daripada segi dana menjadi antara penyebab utama ramai kanak-kanak tercicir daripada persekolahan.

Bagi yang meminati karya-karya Indonesia, novel ini pastinya tidak boleh anda lepaskan sama sekali. Selamat membaca!

 
 

Review Komik: Putera Katak

Penulis/Pelukis : Foong Zing Yi PENGENALAN

Saya dikehendaki untuk membaca komik dan memberi review sudut positif berkenaan komik ini untuk cabaran yang kelima. Pada asalnya saya seperti tiada idea kerana saya baru sahaja meghabiskan komik Mat Som oleh Lat. Komik apakah lagi yang mampu beri impak positif selain daripada Mat Som ini?

Jelajah saya ke MPH Giant Senawang menemukan saya dengan komik Putera Katak, terbitan Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd. Dalam hati, ‘ah ini saja yang aku rasa paling baik dan boleh beri impak positif, hentam saja’.

SINOPSIS

Kalau anda terfikir tentang kisah dongeng putera yang bertukar menjadi katak dan perlu dicium untuk bertukar semula menjadi manusia, maka bayangan anda itu silap sama sekali. Kisah dalam komik ini adalah mengenai Leo, seorang budak lelaki kaki buli. Dia sering kali berasakan dirinya adalah seorang raja dan setiap orang mesti menuruti arahannya. Sikapnya ini berpunca daripada ketiadaan ibu bapanya di rumah kerana sering ke luar negara atas urusan kerja.

Leo sering mengejek Edward yang mukanya penuh dengan jerawat. Ruby juga menjadi mangsa Leo kerana kerap kali diejek kerana penampilannya. Kemuncak perbuatan Leo ini adalah apabila, dia telah memarahi seorang nenek tua yang terlanggar dia, (tanpa mengetahui itu adalah nenek Ruby). Dia terjumpa ahli sihir katak dan selepas itu mukanya berubah menggerutu seperti katak. Dia perlu berkelakuan baik dan tidak berbohong supaya mukanya kembali pulih. Kawan-kawannya yang dulu semua tidak mahu berkawan dengan Leo dan Edward juga telah bangkit menghina Leo. Akhirnya dengan pertolongan Ruby dan neneknya, dapat mengubah Leo menjadi seorang yang bertanggungjawab dan tidak lagi membuli orang lain.

REVIEW

Setiap orang yang jahat sentiasa ada peluang untuk bertukar untuk menjadi baik. Jiwa kanak-kanak juga murni, mereka mudah memaafkan, seperti Ruby yang tidak pernah berdendam dengan Leo walaupun pernah dibuli. Walaubagaimanapun, setiap orang yang jadi pembuli biasanya ada sejarah di sebaliknya, sebelum menghukum yang bukan-bukan, adalah baik untuk memeriksa dahulu.

Komik ini mampu memberi pengajaran yang baik untuk kanak-kanak supaya tidak menjadi orang yang suka menghukum orang lain dan menjadi orang yang tidak membazirkan masa serta berdikari.

Nota: Reviu ini saya buat pada tahun 2016 untuk Cabaran Membaca 32 Buku oleh Buku Jalanan Titi. Kriteria – Komik.

Review Buku: Ustazah Zaman Dulu-Dulu

Penulis : Maisarah Mohd Pauzi Penerbit : Jejak Tarbiah Publication Tahun Terbit: 2018 Muka surat: 186 Beli di: Jejak Tarbiah Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang lepas. Sukar melepaskan buku ini setelah saya belek isinya yang saya kira begitu menarik. Pada asalnya naskhah ini diberi nama Wanita-Wanita Merdeka kerana fokus utama buku ini ialah wanita yang memperjuangkan kemerdekaan. Walaubagaimanapun, tajuknya ditukar kepada Ustazah Zaman Dulu-Dulu kerana  wanita yang diceritakan dalam naskhah ini kebanyakannya berlatar belakangkan pendidikan agama yang setara dengan ustazah zaman kini.

Terdapat lima bab utama dalam buku ini. Bab pertama memperkenalkan pembaca dengan tokoh kemerdekaan wanita. Jika sebelum ini kita hanya sering mendengar nama Shamsiah Fakeh, tapi kita akan mendapat lebih daripada Shamsiah Fakeh dalam bab ini. Kemudian, penulis membentangkan peristiwa kebangkitan wanita dalam perjuangan agama dan kemerdekaan dalam bab kedua. Seterusnya dalam bab ketiga, penulis mempersembahkan karya-karya sastera lama yang mengangkat emansipasi wanita Tanah Melayu. Bab keempat pula membentangkan karya seni dan sastera (filem) yang membawakan perihal wanita dan isu yang dihadapi mereka. Akhir sekali, dalam bab kelima, penulis berkongsi kepada pembaca wanita-wanita zaman silam serta perjuangan mereka.

REVIEW Walaupun buku ini sarat dengan fakta, tetapi penulis sangat bijak mempersembahkan hasil kajian beliau ini dalam tulisan yang sangat mudah difahami menyebabkan tidak langsung terasa bosan atau berkeinginan untuk berhenti. Pemilihan tokoh serta perjuangan mereka turut menambahkan perisa supaya saya lebih melekat dengan buku ini. Kisah Aishah Ghani bagi saya adalah perjuangan feminis sejati. Beliau memperjuangkan hak wanita untuk mendapat hak pendidikan yang sama dengan lelaki, hak kesamarataan gaji dan antara menjadi antara suara besar dalam memperketatkan undang-undang berpoligami di negara ini. Memperketatkan undang-undang poligami tidak bermaksud menentang hak lelaki berpoligami tetapi undang-undang ini bertujuan membela hak wanita. Walaupun ditentang hebat, beliau pantang menyerah. Setiap novel/cerpen yang dipetik dalam bab ketiga diulas dengan baik oleh penulis dan menyebabkan saya berasa teruja mahu mendapatkan setiap sumber yang penulis gunakan. Penulis yang baik tentulah yang boleh mempengaruhi pembaca mereka membaca lebih banyak buku. Selain itu, buku ini bukanlah bermaksud untuk memenangkan pihak wanita sahaja tetapi juga kritikan kepada wanita yang menyalahi fitrah mereka seperti dalam Bab Empat. “Mengakhiri tulisan ini, saya menghargai cerpen ini sebagai sebuah karya kreatif tetapi karya ini juga mempunyai sisi gelapnya kerana imaginasi penulis tentang wanita moden ialah hasil satira yang menyindir golongan wanita pada zamannya yang terpengaruh dengan gerakan pembebasan wanita yang dipandang serong.” Kedua nenek saya belah ibu dan ayah dahulunya tidak mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang sama dengan adik beradik lelaki mereka kerana tiada kesedaran dalam masyarakat berkenaan perkara ini. Justeru, saya amat menghargai usaha serikandi-serikandi yang memperjuangkan dan membela hak wanita sehingga wanita zaman ini di Malaysia tidak lagi menerima nasib seperti mereka. Penulis telah melakukan perkara yang amat besar dengan memperkenal kita kepada wanita-wanita ini. Kepada yang masih belum membaca buku ini, masih belum terlambat untuk anda dapatkannya segera. Anda pasti mendapat manfaat!

Jom Kritik Buku ITBM: Budak Beca

Tajuk : Budak Beca Penulis : Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) No ISBN : 978-983-068-952-4 Harga : RM 25 (Semenanjung Malaysia), RM 30 (Sabah & Sarawak) Kritikan Isi Kandungan Buku
  • Ringkasan Isi Buku

Budak Beca mengisahkan Mamat Merdeka yang pulang ke kampung halamannya di negeri Terengganu setelah tujuh tahun menjadi mata-mata khas. Ketika itu Tanah Melayu hampir mendapat kemerdekaan. Dia menggelarkan dirinya Mamat Merdeka kerana bagi Mamat, dia sudah merdeka daripada menjadi orang suruhan orang lain dan dia boleh berseronok sesuka hatinya. Hasil perkhidmatan sebagai mata-mata khas membolehkan dia membawa pulang wang simpanan hampir RM 2000

Bapa Mamat berpesan supaya dengan simpanan yang ada itu digunakan untuk membeli tanah sebagai persediaan di masa hadapan tetapi Mamat tidak langsung ambil peduli ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Mamat mengambil keputusan hanya akan mencari ikhtiar lain selepas duitnya habis. Akhirnya duit milik Mamat itu hanya mampu bertahan selama 6 bulan sahaja akibat sikap borosnya. Mamat menghabiskan duit itu dengan hanya berjalan-jalan, berseronok dengan kawan-kawannya dan bermain perempuan.

Tidak ada apa yang tinggal pada Mamat setelah wangnya habis. Kawan-kawan pun lari dan malang sekali kerana dia mendapat penyakit kelamin, tetapi mujurlah masih boleh diubati. Mamat meneruskan hidup dengan bekerja sebagai penarik beca. Sudahlah upahnya sedikit, dia perlu pula membayar ansuran beca kepada pemilik beca setiap bulan.

Takdir menemukan Mamat dengan Mustapha, seorang lelaki yang mewakili persatuannya (badan bukan kerajaan) dari Kuala Lumpur untuk tinggal di Terengganu. Mustapha membuat kajian mengenai kehidupan sosial dan keadaan ekonomi penduduk di Pantai Timur ini. Dia melahirkan rasa kebimbangan apabila hasil kajiannya mendapati masih ada orang Melayu yang takut untuk menerima kemerdekaan. Ada yang sudah bersedia untuk merdeka, tetapi jiwa mereka masih belum merdeka. Anak Melayu hanya mahu berseronok-seronok, tidak mahu menyimpan wang, tidak serius bekerja dan tidak berfikir untuk masa hadapan.

Mustapha acap kali mengingatkan Mamat supaya bersungguh-sungguh merubah taraf hidupnya. Hasil usaha Mustapha juga membolehkan Mamat yang buta huruf akhirnya pandai membaca. Mamat juga tidak lagi mahu berseronok tetapi sudah ada azam untuk mengubah kehidupannya. Dia mahu merebut peluang yang diberi kerajaan yang mahu memberikan tanah kepada rakyat untuk diusahakan di negeri Pahang.

  • Ulasan Isi Buku

Novel tulisan Pak Sako ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1957 yang merupakan tahun Tanah Melayu menerima kemerdekaan. Ketika itu, sastera merupakan alat penting dalam menyampaikan mesej kemerdekaan kepada penduduk Tanah Melayu. Latar belakang Pak Sako sebagai seorang nasionalis sangat mempengaruhi beliau. Mesej dan kritikannya kepada orang Melayu jelas melawan penjajahan oleh British dan juga penjajahan akal fikiran. Sesetengah kritikan beliau ini masih lagi relevan untuk dibincangkan sehingga ke hari ini.

Jika Novel Putera Gunung Tahan tulisan Pak Sako sebelum itu bertujuan untuk meniupkan semangat kemerdekaan kepada rakyat, memberi sindiran dan tentangan kepada British, Budak Beca pula memberikan kritikan kepada kaum yang hendak menerima kemerdekaan.

Kritikan paling jelas dalam novel ini ialah terhadap sikap-sikap orang Melayu yang langsung tidak serius memajukan hidup mereka. Ini dapat dilihat melalui sikap Mamat yang hanya tahu berseronok dan tidak mahu melakukan kerja berfaedah setelah pulang ke kampung. Dia malah tidak mahu merancang masa depannya sendiri.

“Hati besar dan rasa sombongnya memerintah dia kalau orang-orang lain, kalau orang-orang yang berhormat dan berpangkat boleh dapat wanita-wanita itu maka dia juga boleh dapat. Biarlah wangnya habis. Bila sudah habis nanti dia cari lagi, dia boleh jual lembu ayahnya, dia boleh meminta pada emaknya, demikianlah fikiran Mamat.”

            “Besoknya Mamat turun lagi ke Kuala Terengganu. Kawan-kawan yang sehaluan sudah semakin ramai. Mereka menghabiskan masa di kedai-kedai kopi, di panggung-panggung wayang, bertemasya ke sana ke mari bersuka ria bergembira.”

Sekiranya dia mendengar nasihat ayahnya supaya mengambil peluang untuk membeli sedikit tanah ketika itu, sudah tentu dia tidak terlalu susah dan ada hasil yang boleh dimakan kemudian hari.

“Saya sudah buat silap besar,” kata Mamat.             “Bagaimana?” Mustapha bertanya.

            “Waktu saya berhenti daripada kerja mata-mata khas,” jawab Mamat, “saya ada membawa balik wang tunai hampir 2000 habis saya belanjakan dengan tidak tentu hala.”

Sungguh besar peranan tulisan Pak Sako ini kerana ia menyentuh aspek pembinaan sikap sesuatu bangsa. Bukankah kemerdekaan sesebuah negara itu harus seiring dengan kemerdekaan pemikiran bangsanya? Dia tidak mahu Kaum Melayu ketinggalan dengan berseronok sahaja tanpa memikirkan masa depan.

Watak Mustapha wujud dalam cerita ini untuk membimbing Mamat. Nasihat-nasihat daripada Mustapha inilah yang ditujukan kepada Kaum Melayu untuk mengubah hidup mereka. Saat Mamat sudah sembuh dan mula mahu kembali ke perangai lamanya yang suka berseronok dengan perempuan, dia terus menegur.

“Awak mestilah menumpukan tenaga dan pemikiran awak kepada pekerjaan yang ada sekarang. Janganlah banyak angan-angan yang lain.”    

Pesanan ini jika kita telitikan sebenarnya masih relevan hingga sekarang kerana masih ramai anak muda yang berperangai seperti Mamat yang harus kita bawa ke dunia realiti. Tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan berusaha bersungguh-sungguh.

Pada zaman sebelum merdeka, Syed Sheikh al-Hadi ada menulis Hikayat Faridah Hanom yang mengangkat tema emansipasi wanita. Pak Sako turut tidak ketinggalan untuk mengetengahkan isu berkaitan wanita dalam novel ini. Beliau mengkritik isu pejabat agama yang tidak mampu membela nasib wanita. Dalam kebanyakan kes kezaliman rumah tangga, amat sukar bagi wanita untuk meminta cerai sehingga terpaksa digantung tidak bertali dan akhirnya kebanyakan wanita ini menjadi pelacur. Islam ialah agama yang adil dan sepatutnya tidak melengah-lengahkan dan memberi jalan keluar kepada wanita yang tidak lagi mahu menjadi isteri kepada suami mereka. Pemikiran Pak Sako ini melangkaui zaman kerana hal penceraian ketika itu sangat taboo kepada wanita dan sesiapa yang bergelar janda pasti dipandang hina walhal penceraian bukanlah satu dosa.

Selain itu, penulis turut membawakan isu pendidikan dalam naskhah ini. Mustapha kerap kali mengingatkan Mamat supaya mencari jalan untuk menambahkan ilmu pelajaran dan kemahiran. Kemerdekaan negara bukanlah petanda hidup akan terus menjadi senang.

“Dan hendaklah awak serta kawan-kawan awak jangan biarkan Rumah Persekutuan awak di Jalan Paya Bunga itu menjadi tempat bermain loto, main pakau dan main bujang. Jadikan ia tempat belajar. Carilah sebuah enjin motokar buruk dan pelajarilah bagaimana selok-belok jenteranya, alat-alat dan pesawatnya yang besar dan kecil, Ikhtiarkanlah supaya ahli-ahli persekutuan itu dapat belajar ilmu elektrik, kepandaian-kepandaian berkenaaan dengan radio, peti sejuk dan sebagainya. Ilmu-ilmu itu akan berguna besar nanti sebab negeri ini akan bertambah maju ataupun jika awak ingin kepada kepandaian yang lebih aman damai, jauh dari kota, maka carilah sekeping tanah di mana awak boleh bercucuk tanam, berternak dan sebagainya.  Janganlah sangka kemerdekaan akan membawa kesenangan serta-merta, dengan tidak payah bekerja keras.”

Mamat menceritakan kisah orang kaya yang meninggalkan harta kepada tiga isteri dan anak-anaknya. Apabila yang ditinggalkan cumalah harta dan bukan pula ilmu, maka berlakulah perebutan dan akhirnya harta itu habis begitu saja. Jika ada ilmu bukankah boleh digunakan untuk menggandakan harta yang sedia ada dan juga menambahkan ilmu?

Selanjutnya, penulis memberi gambaran sosioekonomi yang sangat jelas di Tanah Melayu ketika itu melalui fakta-fakta yang dikongsikan dalam novel ini. Jika bercerita hal perikanan, diterangkannya berapa ramai nelayan yang ada, jenis perahu yang digunakan nelayan itu, jumlah ikan yang ditangkap dan harga penangkap ikan. Dia bercerita pula hal-hal penjaja kain yang pada asalnya menjaja dari rumah ke rumah, kehilangan peluang itu apabila saudagar-saudagar bermodal besar menjual kain secara berpusat. Industri itu masih bertahan pun kerana wujudnya golongan yang masih menghargai nilai kain tenunan tangan dan mahu menggunakannya di hari perayaan dan perkahwinan.

Tidak cukup dengan fakta yang diberikan, penulis turut menyeru rakyat untuk bergerak seiring dengan teknologi dalam soal ekonomi. Perusahaan menenun kain bakal wujud pesaingnya kerana mesin-mesin menenun sudah ada di pasaran. Pengusaha kain tenunan tangan pastinya tidak dapat menghasilkan produk yang sama banyak dengan pengusaha kain tenunan mesin dalam sehari. Dalam hal pertanian pula sudah wujud traktor untuk memudahkan kerja-kerja membajak sawah. Tenaga manusia dan haiwan sudah boleh dijimatkan, malah lebih banyak hasil yang boleh dikerjakan setiap hari.

Tambahan lagi, dalam novel ini, Pak Sako giat membawa mesej supaya orang Melayu menghargai karya sastera dan penulisan. Hal ini jelas dapat dilihat dalam sewaktu Mustapha membawa Mamat untuk melihat malam kesenian. Pelbagai perbualan mengenai kebaikan sajak-sajak dan hasil sastera lain ketika itu.

“Datanglah caca, marilah lain-lain lagu menawan, menyerang dan cuba memusnahkan, namun dondang sayang tidak akan kalah, tidak akan mati. Ia akan kekal abadi dicintai, disayangi, dipupuk dan dipelihara dengan baik oleh bangsa Melayu.”

Mustapha turut meluangkan masanya membantu Mamat belajar membaca dan mengenal karya sastera sehingga akhirnya Mamat sendiri yang menagih banyak buku daripada Mustapha untuk dibaca. Penggunaan bahasa turut dibincangkan dalam novel ini kerana Pak Sako ini seorang yang mementingkan adab dan budi bahasa dalam sikap bangsanya. Penggunaan bahasa rakyat jelata kepada pemerintah pun mesti ada cara dan adabnya bagi melambangkan hormat kepada raja.

“Biasanya orang-orang dari pihak kerajaan akan menulis: ‘Saya diperintahkan oleh Menteri Hasil Bumi bahawa surat kamu….’

Ini yang sebetulnya ialah terjemahan daripada gaya bahasa kolonial. Perkataan ‘kamu’ dan ‘diperintahkan’ itu pada jiwa bahasa kita adalah perkataan yang agak kasar bunyinya, dan oleh sebab itu tidaklah berapa sesuai dengan jiwa baru yang hendak dihidupkan, iaitu rakyat itu raja dan raja itu rakyat.”  

“Banyak lagi yang harus disiasat dan dihalusi berkenaan dengan pemakaian dan peradaban bahasa antara pemerintah dan rakyat jelata. Bersyukurlah kita kerana sekarang sudah ada Dewan Bahasa dan Pustaka.” 

Meskipun terlalu banyak nilai berguna dalam novel ini, terdapat beberapa babak yang saya rasa jelas bertentangan dengan agama dan adab Melayu itu sendiri. Dalam bab Main Pantai, ketika Mamat dan Mustapha menghadiri pesta pantai, mereka dengan tidak teragak-agak berkongsi tidur dalam pondok bersama dua wanita. Bukankah Islam menghalang percampuran begini antara lelaki dan wanita? Selain itu, Mustapha walaupun seorang yang sangat mementingkan pembangunan bangsanya, tidak teragak-agak untuk meminum arak walhal minuman inilah antara punca kemunduran dalam diri manusia.

Watak ibu bapa Mamat dalam cerita ini juga tergantung kerana selepas Mamat terpaksa menjadi penarik beca, tidak ada langsung disebutkan tentang mereka. Penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam karya ini ialah dengan memunculkan watak ibu bapa Mamat sekurang-kurangnya sebelum dia berpindah ke Pahang. Agak janggal jika ibu bapa tidak diberitahu langsung dalam setiap keputusan yang dilakukan anak-anak seperti mereka itu diabaikan. Bukankah adab dan budi bahasa kita perlu sentiasa hormat kepada ibu bapa?

Kritikan Fizikal Novel

Novel Budak Beca ini merupakan versi terbit semula oleh pihak ITBM pada tahun 2012 yang merujuk kepada novel PAK SAKO: BUDAK BECA terbitan Marwilis Publisher & Distributor Sdn. Bhd. Selain logo ITBM terdapat juga logo Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang menunjukkan kerjasama antara PENA dan ITBM dalam penerbitan novel ini.

Lukisan pada kulit novel ini sebenarnya kelihatan agak klasik dan mungkin kurang mampu menarik perhatian orang-orang muda untuk membelek novel ini. Jika dibuat pertambahan warna-warna lain dan gambar orang sebenar, ia boleh menarik lebih ramai orang yang tidak tahu tentang karya ini untuk membacanya. Meskipun begitu, pada bahagian kulit belakang novel ini, dicatatkan sinopsis yang jelas dan menarik tentang cerita dalam novel ini. Jika ada orang yang membaca sinopsis ini, pasti timbul keinginan untuk membeli dan mengetahui kisah yang ada. Kulit novel ini menggunakan jenis kertas keras dan berjaket yang menjadikan novel ini kukuh dan mudah dijaga. Di jaket novel ini pula diletakkan petikan daripada novel ini dan profil penulis.

Novel ini juga agak unik kerana masih mengekalkan penggunaan judul separa walaupun diterbitkan pada tahun 2012. Kebiasaannya judul separa tidak lagi digunakan di zaman ini kerana perubahan sistem pencetakan yang semakin maju. Selepas halaman hak cipta, tiada sebarang kata pengantar dan isi kandungan. Penulis terus memulakan bab pertama dalam cerita ini. Terdapat 16 bab dalam cerita ini dan bab yang paling panjang ialah bab Malam Kesenian sebanyak 19 muka surat dan bab yang paling sedikit ialah bab Batu Buruk sebanyak 7 muka surat.

Novel ini juga tidak terlalu tebal, jumlah muka suratnya hanya 199 dan kerana bahasanya yang mudah difahami pembaca sepatutnya tidak mengambil lebih daripada tiga hari untuk menghabiskannya. Saiznya lebih kecil daripada saiz A5 menyebabkan ia senang dibawa ke mana-mana sahaja. Selain itu, tulisan dalam novel ini menggunakan gaya tulisan Arial dan saiznya yang sederhana memudahkan pembacaan.

Review Buku: Neon

Penulis:  Imaen Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd Tahun Terbit : 2018 Muka Surat : 475 Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS Novel ini merupakan novel pertama yang saya baca hasil daripada belian di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Sebagai peminat tegar Imaen, saya memang tidak pernah melepaskan peluang menjadi pembeli terawal setiap novel terbaru beliau terbit.

Neon mengisahkan Neo, seorang lelaki yang merajuk dengan Tuhan kerana dirinya yatim piatu. Rasa marah yang ada menyebabkan dia tidak pernah mengerjakan solat tanpa rasa bersalah. Neo bekerja di sebuah bank persendirian dengan pendapatan yang lumayan untuk lelaki yang belum pun berumur 30 tahun. Gaya hidupnya agak elit, dia tinggal di apartmen mewah, membeli baju berjenama, mempunyai keahlian gim dan barang-barang dapurnya dibeli di Jaya Grocer. Teman wanitanya Liza, seorang jurutera di syarikat elektronik Jepun, berasal dari Kelantan dan merupakan anak penggawa. Dia juga ada seorang kawan baik, Taib yang sangat suka mengingatkan dia untuk solat dan keluarga Taib sudah seperti keluarganya sendiri.

Namun ini semua tidak berpanjangan apabila Tuhan mempunyai rancangan lain untuk dia. Ketenangan dan kejayaan hidupnya tidak lama, rancangannya untuk memohon pertolongan Taib mengetuai rombongan meminang Liza gagal apabila Taib meninggal akibat kemalangan. Dia pula diberhentikan kerja atas alasan ekonomi hingga berakhir menjadi gelandangan.

Khomeini, kawan lama Neo di rumah anak yatim hadir sebagai penyelamat. Neo bekerja dengan Khomeini sebagai pengurus jualan di syarikat buku Khomeini. Kecurigaannya terhadap Khomeini akhirnya terjawab apabila rakannya itu merekrut dia untuk masuk kumpulan komunis. Neo memilih berhenti kerja untuk keluar dari kumpulan ini tetapi ianya tidak begitu mudah, kerana dia perlu menyertai kumpulan Khomeini merompak terlebih dulu. Namun, saya tidak mahu ceritakan penamatnya kerana saya mahu mengajak anda bersama-sama membaca novel ini.

REVIEW

Imaen seperti kebiasaan tulisannya akan bercerita banyak tentang ekonomi dan fakta-fakta yang berkaitan. Ini tidak pelik kerana beliau merupakan lulusan ekonomi daripada Universiti Malaya.

Sebenarnya masa tu di England, bola sepak digunakan oleh kaum pemodal yang kau orang panggil kapitalis tu sebagai candu untuk kelas pekerja supaya mereka dapat lupakan hidup mereka yang susah tu. Kalau kau belajar Revolusi Industri  kau akan tahu, betapa susahnya hidup kelas pekerja, ditindas oleh tauke kilang… jadi tauke kilang ni bagi bola sepak… bolehlah pekerja mereka pergi bersorak setiap hari Ahad di stadium lepaskan segala rasa.

            Macam British bagi candu pada orang Cina dan todi pada buruh ladang India di Malaya dululah… taraf bola ni dulu sama macam candu dan todi sajalah. Orang kelas atas di England main ragbi… mereka panggil gentleman’s game. Kan orang putih kata football is a gentleman’s game played by ruffians, and rugby is a ruffians game played by gentleman.

            Penulis turut memberi kritikan kepada syarikat penerbitan Indie zaman kini yang kebanyakannya bersifat melawan. Bagi beliau, orang yang membaca bukanlah orang yang kerjanya mahu melawan, tetapi orang yang berfikir.

Selain itu, saya rasakan bahagian yang menarik dalam novel ini ialah perubahan kehidupan Neo. Cubaan meminta kerja setelah diberhentikan gagal dari sehari ke sehari. Dia cuba berniaga tetapi dihalau kerana tiada permit, barulah dia ketika itu rasa hidup seorang marhaen. Sepeninggalan Liza ke Jepun selama 6 bulan, nasibnya semakin malang. Dia malah menjadi buruh binaan kerana tiada pilihan, gajinya pula tidak dibayar dan banyak perkara yang terjadi hingga akhirnya dia menjadi gelandangan. Dia belajar erti susah, kelaparan sehingga mengorek makanan dalam tong sampah, dihalau dari rumah sewa dan tinggal di bawah jambatan dan bermacam-macam lagi. Rajuknya akhirnya hilang apabila dia sedar sebagai hamba tidak ada lain yang dia boleh memohon pertolongan selain Tuhannya. Dia kembali sujud kepada Tuhannya dan menemukan ketenangan.

Seperkara lagi yang menarik perhatian saya ialah babak peminangan Neo ditolak oleh ayah Liza. Kedudukannya sebagai anak yatim tentunya menjadi kebimbangan ayah Liza yang mementingkan keturunan bakal suaminya. Saat Liza mengetahui perkara itu, dia mengajak Neo berkahwin lari dan rela dibuang keluarga. Namun Neo menolak dan memastikan Liza tidak akan membelakangkan keluarganya. Neo tahu rasanya hidup sebatang kara, dia tidak mahu Liza merasakan yang sama. Teringat saya pepatah Inggeris ”You are what you read”. Buku ialah alat yang berpengaruh, jika dalam babak ini Neo kahwin lari dengan Liza, berapa orang agaknya pembaca yang akan berpendapat perkara ini bagus dan mungkin mengikut jejak langkah Neo? Sudah cukuplah lambakan drama kahwin paksa yang ada, kita tidak mahu pembaca terbuai dengan kisah cinta yang hanya nampak indah tetapi sebenarnya sengsara. Saya memuji penulis kerana ini.

Sebagai penggulungan, novel ini sesuai dibaca sesiapa saja yang sukakan buku yang tidak tipikal. Kisahnya ringan tetapi sarat dengan fakta dan pengetahuan am yang menarik. Anda mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pendapat penulis tetapi ia bukanlah isu besar. Saya jamin anda tidak akan menyesal membaca novel ini. Selamat membaca!

Review Buku: Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan di Malaysia

Penulis: Dr Muhammed Abdul Khalid Penerbit: Dubook Press Tahun Terbit : 2017 Muka Surat : 248 Beli di : Dubook Press Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Buku Antara Dua Darjat merupakan terjemahan daripada buku The Colour of Inequality yang ditulis oleh Dr Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2014. Pada bulan pertama selepas diterbitkan, The Colour of Inequality telah terjual sebanyak 2000 naskhah. Dalam konteks Malaysia, jumlah ini sudah layak dilabelkan sebagai best-seller.

Bab pertama dimulakan dengan penerangan berkenaan jurang kekayaan. Penulis menceritakan tentang latar belakang kaum di Malaysia daripada segi politik, ekonomi dan sosial. Selain itu, penulis menerangkan sebab-sebab kita perlu mengkaji isu pengagihan kekayaan termasuk kesan-kesan dan faktor-faktor yang mempengaruhinya. Kajian berkenaan kekayaan dan pengagihan pendapatan pernah dijalankan sebelum ini tetapi belum ada lagi yang menganalisis pemilikan di peringkat isi rumah di negara ini.

Dalam bab kedua pula, Dr Muhammed Abdul Khalid membincangkan punca berlakunya jurang ekonomi dalam tiga fasa berbeza. Fasa pertama ialah pada zaman penjajahan British bermula pada tahun 1786 sehinggalah tahun kemerdekaan, 1957. Fasa kedua pula ialah pasca penjajahan dari tahun 1957 hingga tahun 1970. Fasa yang terakhir ialah pada tahun 1970 hingga tahun 2016.

Penulis mempersembahkan analisis agihan kekayaan dalam bab ketiga yang merupakan fokus utama buku ini. Analisi mengenai faktor penentu kekayaan pula dibentangkan dalam bab keempat (jantina, strata, pekerjaan, pendapatan, pendidikan dan kaum). Bab lima memberi penjelasan mengenai masa hadapan dan corak jurang kekayaan di Malaysia. Akhir sekali, dalam bahagian kesimpulan, beberapa cadangan supaya jurang kekayaan berkurang di Malaysia diberikan.

REVIEW

Ketika dalam bab pengenalan, saya berasa tidak boleh menghadam isi dalam buku ini kerana sarat dengan fakta seakan tesis. Walaubagaimanapun, bab kedua tidak begitu dan sangat menarik sehingga saya tidak mahu melepaskan buku ini. Penulis seperti membawa kita ke pembelajaran sejarah di sekolah tetapi lebih terperinci terutamanya mengenai sosioekonomi.

“Walaupun ramai akan menyatakan kejatuhan Melaka sebahagiannya berpunca dari pengkhianatan pedagang India, seorang penyelidik berpendapat penjajah Portugis disokong oleh pedagang Cina. Beliau berhujah bahawa kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis berpunca daripada pengkhianatan Pedagang Cina, yang memberi maklumat kepada Portugis dan menyerahkan jong (perahu) mereka untuk kegunaan Portugis.”

“British bertanggungjawab mengubah struktur sosiologi dengan ‘secara rasmi menanam benih kepelbagaian kaum melalui kemasukan buruh Cina, India dan Indonesia semata-mata demi faktor ekonomi.’ ”

“Pada tahun 1951, seramai 5145 kaum Cina di Persekutuan membayar $62 juta cukai, jika dibandingkan dengan hanya 773 kaum Melayu yang membayar $8 juta, atau hanya lebih sedikit daripada satu persepuluh jumlah yang dibayar oleh kaum Cina.”

Kaum Cina diletakkan di kawasan pantai Barat ditumpukan di negeri pantai barat yang membangun tetapi kaum Melayu pula majoritinya menetap di negeri-negeri pantai Timur yang miskin dan kurang membangun. Ini merupakan faktor awal yang menyebabkan terjadinya jurang ekonomi antara kaum. Kita masih boleh lihat komposisi yang sama pada hari ini apabila negeri pantai Timur masih didominasi oleh kaum Melayu.

Selain itu, penulis turut menerangkan sebab tertubuhnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Walaupun terlalu banyak kritikan bahawa DEB hanya memihak kepada kaum Melayu, kajian yang dilakukan membuktikan sebaliknya. Ia memberikan kebaikan kepada semua kaum walaupun berjalan agak perlahan.

Tulisan Dr Muhammed Abdul Khalid ini jujur dah tidak berpihak kepada mana-mana syarikat atau parti politik. Dalam Bab 4, Mengapa Wujudnya Jurang? beliau mengkritik beberapa Pengerusi Syarikat GLC yang tidak memberi komitmen kepada Program Transformasi GLC kerana merasakan program kerajaan yang ada ketinggalan zaman tanpa ada kajian menyeluruh. Kesemua Pengerusi syarikat yang ada ini penerima manfaat penuh DEB tetapi mementingkan diri dengan tidak meletakkan kepentingan Bumiputera dalam syarikat mereka kerana untung semata. Parti Politik Bumiputera terbesar dan kedua terbesar di Malaysia, iaitu UMNO dan PAS turut diberikan kritikan kerana tidak meletakkan agenda ekonomi Bumiputera sebagai perkara utama.

Penulis turut mengkritik polisi kerajaan masa kini (ketika buku ini ditulis, kerajaan diterajui oleh Barisan Nasional) yang semakin menambah jurang kekayaan. Sistem cukai di Malaysia yang regresif memberi manfaat kepada orang kaya dan membebankan orang miskin. Bagi orang kaya, tiada cukai perwarisan (Inheritance Tax) walhal harta seperti stok dan hartanah diwariskan kepada generasi seterusnya tanpa sebarang cukai. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diwujudkan pula menekan orang miskin manakala orang kaya masih tetap kaya.

Selamat membaca dan sama-sama kita cakna akan situasi ekonomi rakyat Malaysia.

Review Buku: Hikayat Faridah Hanom

Penulis: Syed Sheikh al-Hadi Penerbit: Nubook Press Tahun Terbit : 2017 Muka Surat : 315 Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS Hikayat Faridah Hanom merupakan novel pertama tulisan Syed Sheikh al-Hadi. Novel ini juga dikenali dengan nama “Setia Asyik dan Maksyuknya” dan “Shafik Afandi dan Faridah Hanom”. Ada beberapa pendapat mengatakan novel ini merupakan novel pertama yang wujud di Tanah Melayu dan ada pendapat yang menyangkal kerana watak utama novel ini berbangsa Turki dan menetap di Mesir. Syarikat pertama yang menerbitkan buku ini merupakan The Jelutong Press milik Syed Sheikh al-Hadi sendiri pada tahun 1925, diikuti oleh Penerbit Qalam (Singapura). Pada tahun 1964 sehingga 1985, buku ini pertama kali dirumikan dan diterbitkan oleh Pustaka Antara dan terbaru Nubook Press, sebuah label bawah Dubook Press mengemaskini dan menerbitkan semula buku ini pada tahun 2017.

Hikayat Faridah Hanom mengisahkan percintaan dua anak bangsawan iaitu Faridah Hanom dan Shafik Afandi. Selain dikagumi oleh orang ramai kerana rupa paras yang cantik dan tampan, keduanya merupakan orang yang sangat berilmu. Masing-masing dilengkapkan dengan pelbagai ilmu berkaitan agama dan juga ilmu Barat. Keduanya juga mampu bertutur dalam Bahasa Perancis. Perhubungan kekasih ini bermula apabila pertama kali Shafik Afandi melihat Faridah Hanom, hatinya telah tertawan dan sering dia pergi ke depan rumah Faridah Hanom untuk melihat Faridah. Mereka mula mengutus surat dan akhirnya sering bertemu secara rahsia sambil ditemani hamba masing-masing.

Konflik bermula apabila ayah Faridah, Kasim Bey hendak menjodohkan dia dengan sepupunya Badaruddin Afandi. Faridah tidak menyukai Badaruddin kerana Badaruddin seorang yang suka berseronok sahaja dan tidak bekerja. Bagaimana lelaki seperti ini hendak memimpin rumahtangga. Pinangan daripada Shafik telah ditolak kerana Kasim Bey sudah menerima peminangan daripada Badaruddin terlebih dahulu. Shafik yang kecewa mengambil keputusan untuk menyertai sekolah tentera yang telah lama dia idamkan. Ayahnya, Talak Bey yang sebelum ini tidak memberi kebenaran akhirnya melepaskan Shafik ke sekolah itu, kerana tidak mahu Shafik terus-terusan bersedih.

Selama tiga tahun lebih Shafik di sekolah tentera, Faridah jatuh sakit akibat terlalu sedih tidak dapat berjumpa dengan kekasihnya dan juga kerana terlampau membenci Badaruddin. Kasim Bey tidak peduli dengan keadaan anaknya dan merasakan sebagai ayah, dia berhak menikahkan anak perempuannya dengan siapa sahaja yang dimahukannya. Beberapa bulan sebelum Shafik kembali ke tanah airnya, Faridah telah menikah dengan Badaruddin. Takdir menentukan mereka terjumpa semula di Iskandariah. Perjumpaan semula dengan Shafik telah membuat Faridah kuat semangat untuk lari dari rumah Badaruddin dan balik ke rumah ayahnya. Faridah memberitahu bahawa pernikahannya dengan Badaruddin tidak sah kerana bersifat paksaan.

Melihat kesengsaraan yang dihadapi anak perempuannya, akhirnya Kasim Bey menyokong usaha supaya Faridah bercerai secara sah namun dirahsiakan kerana mahu menjaga nama baiknya sendiri. Faridah akhirnya menemui kebahagiaan apabila berkahwin dengan Shafik. Harta yang diberikan oleh ayahnya pula tidak diambil langsung tetapi digunakan untuk membuka sekolah untuk semua perempuan di Mesir. Dia mahu wanita di Mesir bangkit kerana mereka layak menerima ilmu sebagaimana yang diterima oleh lelaki.

REVIEW

Penulis pada hayatnya merupakan seorang pengasas Kaum Muda di Tanah Melayu. Antara matlamat penubuhan Kaum Muda ialah untuk meningkatkan kemajuan orang Melayu beragama Islam dan juga emansipasi wanita. Tahun 1925 merupakan tahun orang Melayu masih tidak peduli kepentingan menuntut ilmu, tetapi beliau sudah pun membawa perjuangan hak pendidikan wanita. Beliau seperti maju 100 tahun berbanding kaumnya. Tanpa ilmu dan pendedahan daripada luar, tidak mungkin beliau mampu berfikiran seperti ini.

Penulis membangkitkan isu wanita yang tidak bebas bersuara lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan pernikahannya sendiri. Oleh kerana Faridah Hanom ini orang yang berilmu, maka dia dapat melepaskan diri daripada perkahwinan yang tidak disukainya. Apakah yang akan terjadi kepada wanita yang tidak berilmu di luar sana jika dipaksa berkahwin sebegini? Inilah yang dikatakan Faridah Hanom kepada bapanya.

Benarlah bagaimana perkataan ayahanda itu di dalam hukum kita Islam wali mujbir (bapa atau datuk) itu boleh menikahkan anak atau cucunya dengan laki-laki yang kupu dengan dia dengan mahar missal dengan tiada payah mengambil izin daripada anak atau cucunya itu.

            Tetapi selama bapa dan datuknya itu tidak mengetahui akan anak atau cucunya itu tidak suka atau tidak reda akan laki-laki itu, maka apabila diketahui oleh bapa atau datuk itu akan ketiadaan reda anak atau cucunya dengan tanda-tanda yang telah disebutkan oleh ulama’ fekah di dalam segala kitabnya hinggalah kekuasaannya boleh menikahkan dengan tiada mengambil izin itu. Dan jika dinikahkannya juga, maka nikah itu tidak sah sekali-kali.”

Undang-undang Islam itu tidak hanya berpihak kepada lelaki tetapi juga perempuan. Babak ini menunjukkan bahawa Islam sentiasa ada jalan keluar untuk perempuan yang terperangkap dalam pernikahan paksa dan tidak semestinya menerima dan redha sahaja dengan takdir. Ilmu jugalah yang diperlukan untuk penyelesaian masalah.

Ketika Faridah terserempak dengan Shafik di Iskandariah, hatinya meronta-ronta ingin bertemu dengan Shafik.

Ada sejurus berjalanlah ia masuk ke dalam biliknya sambil berfikir di dalam hatinya – jika aku pergi pun sekarang kepada Shafik boleh juga, tetapi kurang eloklah pada peraturan tabiat perangai anak baik-baik sebab aku ini telah menjadi isteri orang pergi berjumpa dengan seorang laki-laki yang lain.”

            Jika diikutkan hati, Faridah boleh sahaja pergi kepada Shafik memandangkan suaminya juga tiada di rumah, tetapi memandangkan rasa malu dan harga diri yang ada dalam dirinya, dia tidak berbuat demikian. Perempuan yang baik seharusnya sentiasa menjaga maruah diri.

Selain itu, penulis turut membangkitkan isu liberal dalam novel ini. Pada saat Kasim Bey hendak membahagikan hartanya kepada Faridah dan adik lelakinya Muhammad Afandi, berlaku pertelingkahan kecil. Muhammad Afandi meminta supaya dibahagikan sama rata harta ayahnya antara mereka berdua. Shafik Afandi pula menolak kerana bagi beliau, Faridah tidak memerlukan harta daripada ayahnya, kerana dia sendiri sudah mewarisi banyak harta. Hal itu tidak selesai dan Shafik Afandi pulang untuk meminta pendapat ayahnya.

Maka Talak Bey laki-isteri pun tertawa mendengar segala hal yang telah berlaku itu seraya berkata kepada Faridah Hanom, “Bagaimanakah fikiran tuan di dalam perkara ini, dan siapakah punya fikiran yang betul kepada tuan?”

            Jawab Faridah Hanom,”Adapun fikiran anakanda kedua-dua orang ini salah belaka. Dan kedua-dua orang ini hendak memerangi akan Tuhannya Rabbul alamin dan memecahkan hikmatNya yang maha besar gunanya di dalam hukum agama Islam yang maha tinggi ni’”

            Islam sudah memberi garis panduan untuk pembahagian harta pusaka melalui ilmu Faraid, tetapi orang Islam sering kali mengabaikan perkara ini dan membahagikan harta mengikut cara sendiri. Perkara ini boleh mengakibatkan kezaliman kepada pewaris harta.

“Bahagian pusaka ini dilebihkan oleh Tuhan akan anak laki-laki daripada anak perempuan, ialah sebab laki-laki itu terlebih banyak dan terlebih berat pikulannya daripada perempuan.”

Penulis turut membuat teguran kepada lelaki yang sudah berkahwin yang hanya suka berseronok dengan isteri sendiri dan tidak mahu membuat pekerjaan lain. Hal ini dapat dilihat dalam babak Faridah Hanom dengan tegasnya menegur suaminya agar tidak terus terpedaya dengan nafsu.

Agaknya bukan kakanda tiada tahu akan segala perkara ini, tetapi kakanda sangat menurutkan nafsu laki-laki kakanda sahaja, lupalah kakanda akan pendapatan yang dibelakang hari. Tidakkah kakanda ketahui yang nafsu itu akan menerima jemu? Maka jikalau adinda turutkan sangat nafsu kakanda itu, duduk berseronok siang dan malam tidak bekerja dan tidak menjaga kewajipan adinda bagi kesenangan dan kesukaan kakanda di dalam rumah tangga sehingga biasa dan sedaplah adinda dengan tabiat pemalas itu ketika sampai masa kakanda telah rasa jemu kepada adinda lagi di dalam rumah ini jika tiada kakanda mendapat kesenangan dan kesukaan di dalamnya.”

            Shafik Afandi menyedari isterinya bukan sekadar tempat melepaskan nafsu semata-mata. Faridah seorang perempuan berjiwa besar dan tinggi sifat kemanusiaan. Harta daripada ayahnya tidak diambil walau secebis, sebaliknya digunakan untuk membina sekolah untuk perempuan di Mesir serta memberi bantuan kepada sekolah yang sedia ada. Dia boleh berbicara dengan Faridah tentang apa-apa pun termasuk hal pekerjaannya yang sukar.

Penulis memberi kesedaran kepada pembaca bahawa wanita itu tempatnya bukan sekadar memasak dan menyediakan pakaian untuk suaminya, tetapi lebih daripada itu. Keputusan dalam keluarga sepatutnya datang daripada perbincangan suami dan isteri, bukannya hak mutlak seorang lelaki. Buah fikiran wanita itu diperlukan dalam banyak perkara seperti pembangunan keluarga dan masyarakat.

Walaubagaimanapun, beberapa babak dalam novel ini seperti tidak kena dan mungkin menimbulkan kekeliruan dan pertanyaan kepada pembaca. Penulis dikenali sebagai orang agama, tetapi dalam babak pertemuan antara Faridah Hanom dan Shafik Afandi sebelum berkahwin banyak memaparkan yang mereka sering bersentuhan secara fizikal. Bukankah hal ini dilarang dalam agama Islam?

Tulisan Syed Sheikh al-Hadi ini menggunakan bahasa klasik dan mungkin perlu dibaca beberapa kali untuk lebih difahami. Beberapa babak juga diselang-selikan dengan puisi daripada penulis. Walaubagaimanapun, jalan cerita buku ini tidak kompleks dan mudah difahami kerana plotnya berbentuk kronologi. Maksud sesetengah perkataan dan terma juga diletakkan di bahagian bawah muka surat untuk rujukan pembaca.

Kesimpulannya, Hikayat Faridah Hanom sesuai untuk pembaca yang boleh menerima gaya bahasa klasik dan juga yang sukakan tema perjuangan wanita. Banyak isu wanita yang ditonjolkan oleh penulis yang boleh dikupas dan dibincangkan. Biarpun bahasanya klasik, novel ini masih mendepani zaman kerana isu yang dibincangkan masih relevan hingga kini.

Nota pendek: Ini merupakan tugasan untuk Bengkel Reviu yang saya hadiri bulan lepas.