Review Buku: Kumpulan Cerpen Segara Lazuardi

Penulis: Tiras Raduan Penerbit: ITBM Tahun Terbit: 2015 Muka Surat: 156 Beli di: ITBM Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

“Berbanding dengan laut dan buana, kami tiada makna apa-apa selain makna sebuah kewujudan. Begitu juga engkau, engkau hanya suatu kewujudan. Kita hanya perlu memberikan makna kepada kewujudan kita. Sama ada engkau hadir atau tidak ke dalam hidupku, itu tidak memberi kesan kepada luasnya laut dan buana.

Jika laut itu kehidupan, maka kapal itulah kita yang mengisi kehidupan; berlayar dari pelabuhan ke pelabuhan. Kita ini datang dari ‘pelabuhan’ Tuhan untuk belayar dan akhirnya kembali berlabuh semula di ‘pelabuhan’ Tuhan. Andai gelombang sehaja yang dapat mengajar engkau,‘biar aku menjadi gelombang dan akan kupecahkan bahtera kita sebagai pengajaran.”

REVIEW

Buku ini saya beli ketika hadir ke Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Puan Nisah Haron tempoh hari. Itulah pertama kali saya bertemu Puan Siti Salbiah atau lebih dikenali dengan nama Tiras Raduan.

Takjub. Itulah perkataan yang boleh saya gambarkan mengenai buku ini. Laut menjadi punca rezeki daripada Tuhan. Laut juga menjadi penghibur hati tatkala duka. Sumber hiburan juga datang daripada laut dan sekitarnya. Adakalanya, laut memberi kisah duka, merampas orang yang disayangi. Kerana laut, ribuan kisah tertulis.

Setiap cerpen dalam buku ini diinspirasikan daripada laut, pantai, pasir dan sebagainya yang berkaitan dengan laut. Tidak seperti cerpen-cerpen lain yang pernah saya baca, hanya satu cerpen dalam kumpulan ini terkandung dialog. Kesemuanya berkonsepkan naratif, seperti monolog dalaman seseorang.

Kisah-kisah yang ada mungkin hanya lontaran kisah biasa di sekitar kita yang pernah kita dengari, tetapi tulisan Puan Tiras membuatkan saya tidak mampu meletakkan buku ini selagi belum sampai ke muka surat terakhir. Kisah-kisah ini juga sangat deep. Saranan saya kepada semua, marilah dapatkan buku ini anda pastinya tidak menyesal.

Nota kaki: Sedikit info yang saya dapat dalam bengkel penulisan, “Jualan buku antologi cerpen dan kumpulan cerpen lebih laku di Singapura berbanding Malaysia, kerana rakyat di sana kesuntukan masa, jadi cerpen ialah bahan bacaan yang sesuai. Anda yang kesuntukan masa tapi masih mahu membaca, jom cuba baca cerpen pula.

Review Buku: Pengembaraan ke Kedah, Perlis dan Kelantan

Penulis   : Zainal Abidin Ahmad @ Pendeta Za’aba Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka Tahun Terbit : 2008 Muka Surat : 58 Beli di : Kafilah Buku Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Buku ini merupakan catatan kembara beliau ke Kedah, Perlis dan Kelantan. Jikalau sekarang, ianya lebih kurang seperti buku travelog yang lebih mudah kita dapati atau tulisan berkenaan travel dalam blog.

Catatan tersebut yang pada asalnya diterbitkan dalam Majalah Guru pada tahun 1928 hingga tahun 1929 merupakan pemerhatian Za’ba terhadap gambaran masyarakat di negeri-negeri tersebut terutamanya dari segi sosial, pendidikan dan ekonomi. Pemerhatian dan analisis beliau disertai dengan komen dan kritikan sosial, terutamanya berkaitan sikap dan tabiat masyarakat di negeri-negeri yang dilawatinya. (Sumber: Goodreads) REVIEW

Tidaklah banyak perkara yang luar biasa pun sepanjang perjalanan Za’aba itu, mungkin seperti cerita kita juga apabila berjalan ke negeri lain untuk menemui orang yang kita kenali. Senario yang paling biasa, contohnya, dalam satu hari, kita merancang untuk berziarah ke rumah A and B dan kita sudah menetapkan masa yang sepatutnya, tetapi tuan rumah A menyediakan makanan seperti kenduri dan kita terpaksa berlama-lamaan di rumah A sehingga terlepas peluang untuk singgah di rumah B.

Za’aba menceritakan perkara-perkara yang dia lihat seperti bentuk bangunan, cara orang sekitar berpakaian, ciri-ciri rumah penduduk, makanan yang dijual, sikap orang yang dijumpai, cara-cara menaiki keretapi dari Padang Besar ke Kelantan, bentuk-bentuk keretapi dan membanding banyak perkara dengan Negeri Persekutuan (Malaysia masih belum terbentuk ketika itu). Beliau turut menyebut nama rakan-rakan yang beliau temui dan bercerita tentang orang itu.

Perkara yang membuat buku ini istimewa bukanlah situasi yang terjadi semasa pengembaraan Za’aba ini sendiri tetapi kerana latar masa buku ini ditulis iaitu dari tahun 1924 – 1939, iaitu ketika beliau bertugas di Kolej Perguruan Sultan Idris. Gaya bahasa beliau dikekalkan dalam buku ini untuk menunjukkan keaslian dan perkembangan Bahasa Melayu sendiri.

Buku travelog di Malaysia kini sudah semakin banyak, ramai pengembara mengambil inisiatif untuk merekod dan menerbitkan catatan perjalanan mereka, tetapi dengan adanya tulisan Pendeta Za’aba ini membuat kita sedar yang travelog ini bukanlah perkara baru dan beliau sangat mendahului zaman.

Bagi pembaca yang tidak kisah dengan gaya bahasa lama, saya cadangkan buku ini untuk anda dan tidak tebal pun, hanya 58 muka surat. Selamat membaca!

Review Buku: Duo Cerpen Nogoghi @ Duo Stories of Nogoghi

Penulis: Nisah Haron Penerbit: Nisah Haron Tahun Terbit: 2015 Muka surat: 74 Beli di: Ujana Ilmu Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. PENGENALAN

Mengandungi dua buah cerpen yang berlatarbelkangkan adat Perpatih, iaitu Lemang Nan Sebatang dan Aset Istiqamah. Kedua-dua cerpen ini diterjemah ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Lemang Soliloquy dan Istiqamah’s Trust.

REVIEW

Nisah Haron menerbitkan Duo Cerpen Nogoghi @ Duo Stories of Nogoghi saat permohonan beliau untuk menyertai Program Penataran Penulis Antarabangsa (IWP) di Universiti Iowa dengan tujuan memperkenalkan budaya Melayu ke persada antarabangsa.

Cerita dalam buku ini telah membuka mata saya yang selama ini tersalah anggap bahawa Adat Pepatih merupakan adat yang melanggar syarak. Adat Pepatih yang saya kenal selama ini hanyalah adat yang berpihak kepada golongan perempuan dan tidak menguntungkan pihak lelaki dalam sesebuah keluarga atau suku, walaubagaimanapun, ia adalah sebaliknya.

Duo yang bererti dua dalam dialek Negeri Sembilan ialah bilangan cerpen dalam buku ini. Buku ini turut ditulis dalam dwibahasa oleh kerana tujuan asal pembikinannya ialah untuk tujuan pasaran antarabangsa. Dua cerpen dalam buku ini mengetengahkan isu yang sering dipertikaikan dalam adat ini iaitu warisan harta dan halangan perkahwinan sesama suku (jika kita berada dalam suku yang sama, kita umpama adik beradik). Kerana harta, putus saudara terutamanya apabila waris lelaki hanya berputih mata melihat tanah milik keluarga mereka berpindah milik kepada perempuan termuda dalam keluarga terdekat akibat keluarga sendiri tiada waris perempuan.

Benarkan adat ini sebenarnya adil dan membela wanita? Marilah kita sama-sama hayati tulisan Nisah Haron ini.

Review Buku: The Partner

Penulis : John Grisham Penerbit : Arrow Tahun Terbit : 2010 (Terbitan Pertama 1997) Muka Surat : 416 Beli di : Kinokuniya (saya beli di BBW) Tambahkan dalam senarai Goodreads anda. SINOPSIS

Ini pertama kali saya menghabiskan novel fiksyen karya penulis terkenal, John Grisham. Patrick Lanigan telah mati empat tahun lepas (Februari 2019) dalam sebuah kemalangan jalan raya. Dia meminta mayatnya dibakar dan disemadikan di Biloxi, Mississippi. Dia meninggalkan seorang balu, Trudy dan anak perempuan Ashley Nicole. Walaubagaimanapun, enam minggu selepas kematian beliau, wang sebanyak 90 juta USD lesap daripada firma guaman miliknya dan rakan-rakan, dan membuatkan mereka sedar bahawa Patrick masih hidup.

Patrick ditemui di sebuah daerah kecil di Brazil, Ponta Pora, oleh sekumpulan penyiasat persendirian. Mereka yakin itu Patrick walaupun penampilannya sangat berbeza daripada sebelum kematiannya. Dia kini dikenali sebagai Danilo Silva. Klien dan rakan-rakan lamanya mahukan dia ditangkap dan mereka mahukan semula duit mereka yang telah dicuri. Sebelum kematiannya juga, dia telah membeli polisi insurans sebanyak 2.5 juta USD untuk isteri dan anaknya. Justeru, pihak insurans juga mahukan dia ditangkap kerana penipuan ini menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang banyak walhal ianya satu penipuan.

Pengalaman luas John Grisham dalam bidang guaman membuatkan pembaca tidak melihat Patrick sebagai seorang pesalah tetapi beliaulah yang patut dikasihani dalam kisah ini. Dia melarikan diri dengan wang curian sebanyak 90 juta USD, memalsukan kematian, membunuh orang lain dan menipu pihak insurans.

Setelah dibawa pulang ke Mississippi, Patrick melantik Sandy, kawan lama beliau di universiti untuk menjadi peguam belanya. Satu persatu rahsia lama terbongkar. Cubaan mahkamah persekutuan untuk mendakwa beliau atas pencurian duit telah digugurkan setelah dia mengemukakan bukti bahawa duit 90 juta USD yang diperoleh klien dan rakan-rakan peguamnya merupakan hasil penipuan kepada kerajaan persekutuan. Dakwaan mahkamah negeri terhadap Patrick atas tuduhan pembunuhan turut ditarik semula setelah dia membuktikan dia tidak membunuh mayat orang yang diletakkan dalam kereta beliau yang kemalangan. Isterinya Trudy, mahu mendakwa Patrick atas penipuan yang berlaku, tetapi bukti kecurangan Trudy semasa perkahwinan mereka turut menyebabkan dakwaan ini ditarik semula. Walaupun dia akhirnya mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan mayat orang lain sebagai mayatnya, dia tetap tidak dimasukkan ke penjara setelah membayar waris mayat itu sebanyak 25 ribu USD sebagai ganti pengakuan waris untuk mahkamah tidak langsung mengambil tindakan terhadap Patrick.

REVIEW

Pada pendapat saya, Patrick tetap bersalah dengan tindakan-tindakan yang pernah dia lakukan, tetapi kelebihan memihak kepada beliau kerana beliau seorang peguam yang cekap dan tahu memanipulasi keadaan. Empat tahun lepas, dia tidak bahagia dengan hidupnya, rumah tangga yang porak-peranda dan bakal disingkirkan dari syarikat guamannya. Dia mengambil keputusan untuk melarikan diri dan memulakan kehidupan baru. Dia tidak tergesa-gesa dan melakukan perancangan rapi sebelum menghilangkan diri. Perancangan rapi dilakukan sebagai pelan kecemasan sekiranya ditangkap dan kini, dia seorang manusia bebas. Dia memulangkan semula duit yang dicurinya (namun dividen menjadi miliknya) dan kembali semula ke Brazil tetapi kini boleh hidup tanpa sebarang ketakutan.

Pengakhiran cerita ini sedikit mengecewakan (kebanyakan review di Goodreads pun mengatakan yang sama) tetapi tidak memberi impak yang terlalu besar kepada saya. Kalau Patrick boleh menghilang, mengapa tidak Eva? Teman wanitanya. Haha. Kawan-kawan yang sukakan novel fiksyen atau rancangan bersiri seperti CSI, NCIS atau Suits mungkin akan sukakan buku ini. Selamat membaca!

Recap 2018

Tahun 2018 bukanlah antara tahun bacaan yang baik bagi saya kerana saya tidak dapat mencapai target saya tahun ini. Target saya ialah sebanyak 50 buah buku tetapi saya hanya mampu membaca 23 buah. Kekangan perubahan yang saya lalui apabila hamil kali pertama saya kira menjadi sebab utama perkara ini (tak baca buku banyak pula alasannya kan!)

Tapi saya masih mahu kongsikan kepada anda semua bacaan saya sepanjang 2018 ini. Mungkin boleh beri anda idea buku tahun 2019? 

Januari

           

Februari

                                       

Mac

                                            

  April

                                              

Mei

            

Jun

September

                                            

Oktober

November

Disember

           

Harap-harap dapatlah ya idea buku apa nak dibaca tahun ini 🙂

Target 2019:

Anda bagaimana?

Review Buku: Laskar Pelangi

Penulis    : Andrea Hirata
Penerbit  : Bentang Pustaka
Tahun Terbit : 2005
Muka Surat : 534
Beli di : Jejak Tarbiah
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS

Novel Laskar Pelangi merupakan karya Andrea Hirata yang hit di Indonesia dan sehingga kini telah diterjemahkan kepada 40 bahasa dan diterbitkan lebih 130 negara. Novel Laskar Pelangi dalam koleksi saya sendiri merupakan cetakan ke empat puluh! Novel ini malah telah diadaptasikan ke layar perak dan mencapai box office. Lebih istimewa lagi, pelakon-pelakonnya asli dari Pulau Belitung (tempat kelahiran Andrea).

Novel ini berkisar mengenai kehidupan Ikal dan sembilan sahabatnya yang digelar oleh guru mereka Ibu Muslimah (Bu Mus), sebagai Laskar Pelangi semasa persekolahan mereka di SD Muhammadiyah. SD Muhammadiyah ini terletak di daerah kecil Indonesia, iaitu Pulau Belitung, latar tempat yang Andrea gunakan dalam novel ini.

Pada awalnya, sembilan daripada mereka hampir tidak mendapat peluang bersekolah, kuota murid seramai 10 orang tidak dapat dipenuhi, namun diselamatkan oleh Harun yang hadir jam 11.00 pagi.

Ikal menceritakan daripada kaca matanya, mengenai tempat tinggalnya Belitung, perusahaan timah oleh PN Timah yang menjadi sumber pekerjaan utama di daerah Belitong, tentang sahabat-sahabatnya yang genius iaitu Lintang dan Mahar, tentang sekolahnya sendiri dan kisah kenakalan mereka semasa zaman kanak-kanak.

REVIEW

Andrea sering berkata, cerita yang ditulis beliau ialah cerita yang sederhana, tetapi cerita yang dipanggil sederhana oleh beliau inilah yang memberi kesan besar kepada pembaca di seluruh dunia. Nilai yang dibawa beliau tidak lain adalah mengenai pendidikan. Saat ibu bapa lain memilih untuk menghantar anak-anak mereka bekerja bagi memudahkan kehidupan seharian, tapi ibu bapa Laskar Pelangi berkorban menghantar anak-anak harapan mereka ke sekolah walaupun masing-masing serba serbi tidak mencukupi.

Ayah Ah Tiong rela menghantar anaknya ke sekolah agama demi memberi anaknya sekelumit ilmu. Bu Mus dan Pak Harfan (pengetua sekolah SD Muhammadiyah) tidak pernah sekalipun mengalah dalam mendidik anak-anak ini walaupun sekolah mereka serba kekurangan tanpa dana dan bantuan. Bu Mus sentiasa cergas mencungkil bakat yang ada dalam diri anak-anak ini agar tidak disia-siakan. Anak-anak Laskar Pelangi juga tidak lelah dan putus asa menghadapi sesi kelas-kelas mereka seharian walaupun pulang nanti mesti bekerja membantu keluarga atau menelaah dalam keadaan menggunakan lampu pelita.

Dalam satu babak, dikisahkan Lintang, sahabat Ikal yang paling genius itu pergi balik 40km demi ke sekolah dan kadang kala dia tiba di sekolah hanya untuk mendengar penutup hari itu kerana sekolah sudah hampir tamat.

Laskar Pelangi juga sebuah kritikan oleh Andrea kepada perusahaan timah (PN Timah) di Belitung yang didominasi dan dimonopoli oleh orang-orang tertentu sahaja. Pribumi Belitung kebanyakannya hanya menjadi kuli PN Timah dan tidak mendapat faedah-faedah yang sama seperti diterima oleh staf-staf PN Timah. Anak-anak staf ini berpeluang bersekolah di sekolah elit milik PN Timah yang mewah dan memiliki pelbagai kemudahan. Kawasan-kawasan milik elitis PN Timah juga kebanyakannya memiliki papan tanda “DILARANG MASUK BAGI YANG TIDAK MEMILIKI HAK”, bagi menandakan pengasingan dan perbezaan mereka.

Walaubagaimanapun, langit tidak selalunya cerah, kejatuhan harga timah sedunia mengubah segalanya. PN Timah tutup sepenuhnya dan golongan pemerintah yang dahulunya menerima imbuhan yang banyak daripada perniagaan ini seperti tidak pernah tahu wujudnya Belitung. Elitis PN Timah seperti tidak dapat menerima kenyataan dan bergelut apabila terpaksa merendahkan taraf hidup mereka.

Babak yang paling memberi kesan dalam novel ini bagi saya tentunya mengenai Lintang. Lintang yang serba genius itu tidak dapat menghabiskan persekolahan gara-gara kematian ayahnya. Dia terpaksa menjadi seperti solo breadwinner untuk keluarganya dan mengorbankan urusan menuntut ilmu. Sayang seribu kali sayang. Tidak dapat dinafikan, kekurangan daripada segi dana menjadi antara penyebab utama ramai kanak-kanak tercicir daripada persekolahan.

Bagi yang meminati karya-karya Indonesia, novel ini pastinya tidak boleh anda lepaskan sama sekali. Selamat membaca!

 
 

Cerita Buku 2018

Tahun 2018 bukanlah antara tahun bacaan yang baik bagi saya kerana saya tidak dapat mencapai target saya tahun ini. Target saya ialah sebanyak 50 buah buku tetapi saya hanya mampu membaca 23 buah. Kekangan perubahan yang saya lalui apabila hamil kali pertama saya kira menjadi sebab utama perkara ini (tak baca buku banyak pula alasannya kan!) Tapi saya masih mahu kongsikan kepada anda semua bacaan saya sepanjang 2018 ini. Mungkin boleh beri anda idea buku tahun 2019? 

Januari

           

Februari

                                       

Mac

                                            

  April

                                              

Mei

            

Jun

September

                                            

Oktober

November

Disember

            Harap-harap dapatlah ya idea buku apa nak dibaca tahun ini 🙂 Target 2019:

Anda bagaimana?

Temu Bual Penulis – Maisarah Mohd Pauzi

Sesi temu bual bersama penulis! Wah wah, saya rasa sangat teruja dapat buat posting pertama saya untuk Temu Bual Penulis. Penulis yang bertuah kali ini ialah Maisarah Mohd Pauzi. Beliau merupakan penulis buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu yang lebih suka dipanggil dengan nama Mai. Review untuk buku ini ada saya tulis di sini. Kenapa Maisarah dipilih? Hmmm mungkin sebab saya masih tidak move on’ dengan buku ini sebab tema buku ini yang mengangkat pejuang wanita. Terima kasih Maisarah atas kesudian menjawab semua soalan ini. Jom ikuti temu bual dengan Mai: Bolehkah ceritakan serba sedikit tentang diri Maisarah? Seperti yang semua pembaca sedia maklum, nama saya Maisarah Mohd Pauzi. Ya, saya guna nama penuh dan saya tak ada nama pena. Saya rasa nama pena lebih sesuai untuk penulis fiksyen… mungkin? Haha.  Saya dilahirkan di Pulau Pinang, dan merupakan anak ke-6 dari 7 orang adik beradik. Keluarga saya ramai lelaki, saya ada 4 orang abang dan selebihnya ialah kakak dan adik perempuan. Buat masa sekarang, saya seorang mahasiswi di Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Komputer. Macam tak ada kaitan, kan? Belajar Sains Komputer tapi menulis tentang sejarah dan ulasan sastera. Haha. Tapi sebagai pelajar Sains Komputer, saya menulis juga. Menulis kod pengaturcaraan untuk membina laman web atau perisian komputer. Selain Ustazah Zaman Dulu-Dulu, Maisarah turut menulis di aplikasi Wattpad. Apa yang menjadi inspirasi Maisarah untuk menulis? Ya, saya ada menulis di wattpad. Kebanyakannya ialah cerpen lama yang saya tulis semasa berada di sekolah asrama dahulu. Sekarang saya kurang menulis fiksyen kerana daya imaginasi saya semakin pudar agaknya bila meningkat dewasa. Haha. Selepas SPM, saya berhenti menulis. Saya pun tak pasti kenapa saya berhenti. Mungkin pada waktu itu saya hendak fokus pada suasana baru masuk universiti kot. Tentang inspirasi menulis… Mungkin kerana dibesarkan dalam keluarga yang ramai lelaki dan lebih berpihak kepada anak lelaki, maka suara hati saya yang terpendam diluahkan melalui tulisan tentang gender saya, iaitu perempuan. Apa perasaan selepas siap buku pertama dengan Jejak Tarbiah? Ceritakan sedikit mengenai buah tangan pertama Maisarah ini. Perasaan? Tak terungkap rasanya! Saya rasa cita-cita yang pernah saya lupakan, tercapai juga akhirnya… Demi Allah saya tak pernah sangka akan tercapai! Ketika saya di sekolah menengah, saya sangatlah meminati subjek sejarah. Dan saya pernah bercadang hendak sambung tingkatan 6 selepas SPM kerana saya nak masuk bidang sejarah di Universiti. Tapi, Tuhan takdirkan jalan yang lain. Saya tanya cikgu saya tentang pandangannya tentang cita-cita saya, tapi cikgu saya tak galakkan saya ke bidang sastera. Kata cikgu, saya patut sambung bidang sains kerana saya sudah ada asas dalam aliran sains. Bila saya cakap tentang cita-cita saya pada salah seorang abang saya, dia pula cakap ‘nanti nak kerja apa?’ ‘yang hang belajar sejarah itu pun banyak menipu ja~’ Begitulah serba sedikit pengaruh cakap-cakap orang yang buat saya lupakan minat saya terhadap sejarah. Tapi, saya masih terus membaca dan membaca. Kadangkala, membaca buku ibarat terapi buat diri saya dari segala kesesakan hidup dan kata-kata orang. Alhamdulillah, ketika saya berniat menulis artikel-artikel tentang perempuan, saya tulis saja dan tidak berniat untuk menerbitkannya menjadi sebuah buku. Dalam dunia  ini, bukan jodoh dan ajal maut saja yang datang tanpa diduga, tapi rezeki juga begitu. Ketika saya sedang mengumpulkan bahan-bahan bacaan dalam tema tentang perempuan, dan menulis ulasan tentang buku-buku tersebut di laman sosial, salah seorang rakan Facebook saya bertanya, ‘tengah menulis buku, ke?’ Saya jawab komen beliau dengan menyatakan saya sekadar menulis sedikit-sedikit. Dan, rakan Facebook saya itulah yang menawarkan untuk menerbitkan buku ini. Beliau ialah pengasas Jejak Tarbiah, iaitu Kak Saadiah Ali. Selamanya saya takkan lupa jasa Kak Saadiah terhadap tulisan-tulisan saya. Semoga Allah SWT murahkan rezeki buatnya dan Jejak Tarbiah. Berapa lama kajian yang dibuat untuk siapkan Ustazah Zaman Dulu-Dulu? Kalau secara tepatnya, saya tidak pasti. Saya banyak membaca bahan bacaan berkaitan perempuan sejak saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di USM. Di Perpustakaan Hamzah Sendut, USM memang begitu banyak buku-buku klasik dan langka. Saya rasa bertuah dapat ‘menyelam’ dalam lautan buku di perpustakaan ini. Kebanyakan sumber artikel yang saya tulis dalam buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu juga saya peroleh di perpustakaan universiti. Tentang tempoh kajian, saya rasa tempoh membaca saja mungkin lebih kurang 2 tahun kalau dikira dari awal saya masuk USM. Saya menulis artikel pertama dalam buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu pada Julai 2017. Dan saya siap menulis manuskrip awal pada September 2017. Seingat saya, tempoh saya menulis itu dalam tempoh cuti semester tahun kedua saya di USM. Dan manuskrip keseluruhan siap pada awal Januari 2018, dengan tambahan artikel yang saya tidak masukkan dalam laman wattpad saya. Maisarah akan hasilkan buku seterusnya? InsyaAllah, mungkin buku seterusnya ialah lanjutan ebook yang saya tulis selepas menulis Ustazah Zaman Dulu-Dulu. Ebook tersebut bertajuk ‘Revolusi Perindustrian 4.0-Satu Pengenalan’ yang diterbitkan dan disebarkan secara percuma oleh Projek Anak Muda Islam (PAMI). Pengasas PAMI ada minta saya tulis buku bercetak, sambungan ebook ringkas tersebut. Tapi, sekarang saya masih dalam tempoh Latihan Industri. Jadi, saya menanti masa yang sesuai untuk menulis lagi. Tentang penulisan bertema gender seperti Ustazah Zaman Dulu-Dulu, saya ada bercadang hendak kumpulkan ulasan filem-filem bertema gender. InsyaAllah. Siapa penulis kegemaran Maisarah? Kenapa? Ramai. Kalau penulis kontemporari… Faisal Tehrani, Benz Ali, Regina Ibrahim, Shaz Johar dan Nadia Khan. Kalau penulis lama seperti Usman Awang, Zurinah Hassan dan HAMKA. Penulis antarabangsa pula saya suka Paulo Coelho, Mitch Albom dan Haruki Murakami. Tapi yang paling memberi pengaruh terhadap tulisan saya ialah Faisal Tehrani dan Sasterawan Negara Zurinah Hassan. Mereka antara penulis yang menulis tentang isu wanita dengan lantang. Faisal Tehrani, dalam novel-novelnya yang terkini seperti Bagaimana Anyss Naik ke Langit dan Professor menulis tentang perempuan dari sudut Hak Asasi Manusia, yang mana ianya sangat jarang diketengahkan dalam fiksyen. SN Zurinah Hassan pula, beliau menulis tentang perempuan dari sudut kehidupan harian seorang perempuan. Membaca karya beliau buat saya rasa boleh kaitkan dengan diri sendiri. Haha. Saya masih terkenang sebuah forum yang saya hadiri sebagai penonton. Salah seorang panelisnya ialah SN Zurinah Hassan. Beliau bercerita tentang bagaimana kehidupannya sejak kecil dan minatnya pada penulisan sering dipandang rendah oleh keluarganya sendiri. Ibunya lebih suka kalau anak perempuan buat kerja mengemas rumah daripada menulis. Walaubagaimanapun, saya kagum dengan semangat dan kesungguhan beliau. Katanya, kalau dapat sebaris ayat puisi dalam sehari pun jadilah… Adakah Maisarah menulis setiap hari? Ada peruntukan masa?  Sejujurnya, saya menulis pada waktu lapang sahaja. Sebelum bekerja secara sepenuh masa seperti sekarang (latihan industri), saya menulis sekurang-kurangnya seminggu sekali. Semasa musim cuti semester, boleh dikatakan selang sehari saya akan menulis. Sayangnya, apabila bekerja 6 hari seminggu seperti sekarang, masa yang ada sangat terhad. InsyaAllah, selepas tamat latihan industri nanti saya akan kembali ke rutin yang saya cintai, iaitu membaca dan menulis. Doakan saya dapat siapkan buku seterusnya, ya? Kebiasaannya Maisarah akan buat draft kasar dahulu atau terus menulis? Ya, saya akan buat pecahan isi dan struktur idea tentang apa yang hendak ditulis. Untuk sebuah buku, saya suka untuk bahagikan beberapa bab dalam sebuah bahagian. Seperti Ustazah Zaman Dulu-Dulu, idea utamanya ialah tentang Perempuan di Nusantara. Tapi skopnya sangat luas, maka, saya kecilkan kepada beberapa bahagian seperti Tokoh, Peristiwa dan Karya Seni & Sastera tentang perempuan nusantara. Saya teringat ada sebuah buku bertajuk ‘Menulis Mengatur Diri Berfikir’. Saya tak pernah baca buku tersebut, tapi dengan membaca tajuknya cukup untuk memberi motivasi kepada saya supaya lebih banyak menulis dengan teratur. Dalam minda kita, kita akan selalu dapat idea. Ada kalanya, ilham datang melimpah ruah. Tapi, dengan menulislah, kita susun aturkan idea-idea tersebut dan sampaikan kepada pembaca secara tersusun. Saya percaya, menulis tentang sesuatu fakta perlukan disiplin dalam susun atur. Berlainan dengan bukan fiksyen, tersusun atau tidak, ianya bergantung kepada kreativiti penulis. Mahu menjadi penulis tetap atau sambilan?  Saya tidak pasti lagi. Tapi bagi saya, untuk mula menulis secara tetap perlu lakukan secara sambilan dulu. Setakat pengalaman saya yang masih baru ini, menulis secara sambilan akan lebih mencabar sekiranya kita ada komitmen pada pekerjaan yang tetap (seperti rutin kerja yang masuk pejabat pukul 9 dan balik kerja pukul 5). Kalau menulis secara tetap, saya teringin nak jadi penulis dalam kolum majalah. Haha. InsyaAllah. Kalau itu rezeki saya selepas ini. Buku apa yang sering dibaca ketika zaman kanak-kanak?  Zaman kanak-kanak saya suka baca komik Detektif Conan, majalah Asuh, majalah Kawan, Siri Penyiasatan Salma dan siri novel remaja Hardy Boys. Kebanyakannya buku-buku milik abang dan kakak saya. Tapi Detektif Conan antara komik yang saya selalu beli. Saya berhenti beli selepas masuk asrama kerana penat pula nak tunggu pengakhiran komik ini tak habis-habis. Haha. Siapa yang menjadi penyokong dalam usaha Maisarah menulis?  Kawan-kawan saya. Di asrama dulu, kawan-kawan saya tetap membaca cerpen-cerpen saya walaupun ‘cliche’ dan bosan. Haha. Dan saya sangat berterima kasih kepada kawan saya yang kembalikan semangat saya untuk mula menulis selepas lama berhenti. Tidak lupa juga pada rakan-rakan di laman sosial, walaupun kita tak pernah bersua muka, tapi kalian sentiasa menyokong saya. Saya paling terharu dengan seorang lagi rakan Facebook saya, kak Nurul Suhadah, pengasas gerakan Suri Membaca. Beliau menyokong penulisan Ustazah Zaman Dulu-Dulu dari peringkat awal sebelum menjadi manuskrip sampailah diterbitkan oleh Jejak Tarbiah. Saya takkan lupa sokongan Kak Suhadah. Cuma saya tak pernah bersua muka lagi dengan beliau. Semoga Tuhan pertemukan saya dengan beliau satu hari nanti. Jikalau hidup anda adalah sebuah novel, berikan tajuknya.  ‘Perempuan Nan Melawan’ Haha. Dah macam tajuk novel Faisal Tehrani pula. Terima kasih sudi temuramah saya. Kalau ada terlanjur perkataan atau terkasar bahasa, maafkan saya, ya? Yang baik itu dari Allah dan yang kurang itu dari diri saya sendiri.