Review Buku: Angkatan Baru

Penulis: Hamka
Penerbit: Gema Insani
Tahun Terbit: 2016
Muka surat: 90
Beli di: Jejak Tarbiah
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

PENGENALAN / BLURB

Ceritanya pendek sahaja tapi terkandung kritikan mendalam untuk golongan yang ‘berpendidikan tinggi agama’. Syamsiar selepas habis pengajian agama (diploma) selama setahun tidak dapat pekerjaan mengajar di mana-mana. Jika ada tawaran pun, dia tidak dibenarkan pergi oleh keluarganya sebab gaji rendah / hal-hal lain. Syamsiar tak rasa yang hal membuat kerja-kerja mengemas rumah atau memasak patut dilakukan oleh seorang lepasan sekolah tinggi. Jadi, dia sering berkurung dalam bilik mengaji ‘kitab’. Sebenarnya dia lebih sibuk membaca buku cinta dan mengenang cinta lama di sekolah. Tak padan langsung dengan status seorang cerdik pandai agama.

Hasan juga seorang lulusan sekolah agama tetapi ada pendapat yang berbeza dengan Syamsiar. Bukan mudah untuk dia mendapatkan kerja sebagai guru, kekosongan jawatan guru tak sebanyak lepasan sekolah. Hasan ambil keputusan untuk bekerja sebagai petani dan di malam hari mengajar agama kepada anak-anak kampung walaupun upah sedikit. Dia lebih mementingkan pembinaan bangsa. Ejekan tidak menjadi kudis pun dalam diri Hasan malah dia lebih berpuas hati dengan pilihannya.

Oleh kerana kedua-duanya sekufu pendidikan, Syamsiar dijodohkan dengan Hasan dan bahagialah mereka pada beberapa bulan sehinggalah…

REVIEW

Pak Hamka menulis dalam prakata bahawa kisah-kisah ini diperoleh melalui kisah-kisah benar yang beliau jumpai sepanjang bertugas di Kantor Buku.

Pak Hamka menegur golongan kelulusan agama yang merasakan mereka ini ‘up one level’ berbanding orang lain dan tidak mahu masuk ke dalam masyarakat. Lihat bagaimana Syamsiar yang langsung tak mahu mengotorkan tangannya sehingga lepas berkahwin pun, ibu dan adik Syamsiar terpaksa tinggal sekali bersamanya demi menyelesaikan tugas membasuh baju dan memasak. Dia hanya mahu bermesra-mesra dengan Hasan, padahal sebagai bijak pandai, jika tak mahu sibuk buat kerja rumah, dia patut ambil tahu isu pendidikan orang sekeliling.

Bagi saya keluarga Syamsiar pun patut memikirkan ‘way forward’ apa yang mesti dilakukan selepas menghantar anak gadis ke sekolah, bukan hanya menyimpan mereka di rumah (zaman itu, anak gadis ke sekolah sangat luar biasa). Jika upah sedikit / jauh dari rumah, itu lumrah biasa, mereka patut dibiasakan berdikari.

Hasan akhirnya selepas beberapa bulan merasa tak selesa dengan Syamsiar yang hanya mahu bermesra, susah untuk dia menyiapkan kerja-kerja yang tergendala dan bagi Hasan, berkahwin bukan sekadar bermesraan sahaja. Syamsiar yang rasa seperti ditolak bertindak mengutus surat kepada kenalan lelaki lamanya waktu sekolah dahulu. Bagaimana orang yang ‘ada agama’ boleh bertindak seperti ini?

Buku ini ringkas sahaja tetapi sarat dengan pengajaran. Kisah yang diceritakan masih relevan. Adakah kedudukan orang mengaji agama lebih tinggi daripada orang biasa? Apa yang terjadi kepada Syamsiar dan Hasan apabila Hasan terjumpa surat balasan kepada Syamsiar dari kenalan lamanya itu? Dapatkan jawapan dalam buku ini ya.

Selamat membaca!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.