Review Buku: Kenangan-Kenanganku di Malaya

Penulis: HAMKA.
Penerbit: Jejak Tarbiah
Tahun Terbit: 2019 (Terbitan pertama: 1957)
Muka Surat: 245
Beli di: Jejak Tarbiah

PENGENALAN

Ketika saya mula menulis draf review ini, sebenarnya saya masih lagi dalam proses membaca. Saya rasa isi buku ini amat berat untuk dihadam, maka saya pun segera meluahkan semula segala isi bacaan, sebelum terlupa apabila tamat pembacaan nanti.

Pertama kali membaca tajuk buku ini, saya menyangka isinya seperti travelog/pengalaman Pak Hamka ketika berada di Malaya. Oh, rupanya saya salah sama sekali. Pak Hamka lebih banyak menulis mengenai tanah air beliau sendiri berbanding Malaya. Cerita tentang Malaya oleh beliau lebih berupa kepada program yang beliau hadiri ketika itu dan juga negarawan Malaysia yang beliau kenali.

REVIEW

Ketika belajar subjek Sejarah di sekolah dulu, kita sudahpun mendapat pengajaran daripada sultan-sultan di Tanah Melayu yang diperdaya oleh penjajah untuk ditakluki dan diserahkan kuasa mereka. Sebenarnya, perkara yang lebih kurang sama sahaja terjadi di Indonesia. Bezanya kita merdeka dengan British, manakala Indonesia pula dengan Belanda. Kekuasaan sultan di sesebuah daerah di penghujungnya hanya tinggal untuk kes nikah dan rujuk sahaja. Faraid sendiri diuruskan oleh mahkamah pengadilan umum. Sultan Amaluddin al-Sani Perkasa Alamsyah Sultan Negeri Deli, pernah mengatakan kepada Pak Hamka.

“Nasib kami raja-raja ini, Tuan Hamka, adalah laksana burung balam saja, mata lepas badan terkurung. Hak kami kian lama kian dikurangi.  Apa yang tuan rasai, dan yang dirasai oleh orang lain. Kami rasai juga.  Lebih panaslah bagi orang yang terpegang daripada orang yang bersangi. Tetapi, apalah hendak kami buat.” 

Nak tahu apa lagi memeranjatkan saya? Ada orang dari Malaya bertanyakan Pak Hamka, adalah pemimpin republik tidak sukakan sultan dan membunuh mereka. Benar, ada sultan yang dibunuh, tetapi bukan oleh pemimpin republik, mereka dibunuh oleh rakyat negeri mereka sendiri, akibat hanya mementingkan tembolok sendiri dan membiarkan rakyat sengsara.

Tulisan Pak Hamka dalam naskhah ini menonjolkan sisi Nasionalis yang amat tinggi dalam diri beliau, selain sisi Islamik yang ada. Beberapa isu besar di angkat dalam buku ini seperti, ulama yang berdiam diri tatkala menerima kesenangan dan kemewahan, isu pendidikan Belanda yang dirasakan lebih bagus daripada pendidikan Islam, dan pemerkasaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi negara itu.

Penceritaan Pak Hamka mengenai liku-liku Indonesia dalam mengejar kemerdekaan ini sangat sarat dengan fakta-fakta yang komprehensif dan menyeluruh. Itulah yang membuatkan saya mengambil masa lebih setengah bulan mahu menghabiskannya! Jangan risau, memang sedikit perlahan pada permulaan pembacaan, tetapi pasti tak habis nak sabarkan selepas lebih separuh buku dibaca.

Mengikut pembacaan, saya dapat simpulkan yang ketika Pak Hamka menulis buku ini, Malaya masih belum pun merdeka, tetapi mungkin ura-ura atau berita Malaya bakal merdeka sudah kedengaran. Sebagai bangsa serumpun di Nusantara ini, sudah tentu beliau tumpang gembira. Tulisan ini umpama seruan kepada rakyat Malaya ketika itu untuk bersedia dengan kemerdekaan dan mesti memerdekakan bukan hanya negara, tetapi juga pemikiran.

Aina,
Masih belajar erti merdeka sebenar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.