Penulis : Hafizul Faiz
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun Terbit: 2016
Muka surat: 196
Beli di: Jejak Tarbiah
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
PENGENALAN
Di surat-surat dari maninjau ada cinta yang utuh, impian yang terpaksi dan kejujuran yang menjahit segala wacana. Sesiapa sahaja boleh temui dirinya di dalam surat-surat dari maninjau, seperti saya yang menemui diri saya setelah menoktahkannya.
Kepada pencinta sejarah, kepada sejarawan yang jatuh cinta, kepada yang tak pasti, kepada yang memilih untuk pergi, semoga surat-surat dari maninjau yang tiba di tangan-tangan, kalaupun tidak mengubah apa-apa, cukuplah andainya bisa membawa kalian ke daerah yang paling indah, iaitu daerah ‘diri sendiri’.
REVIEW
Saya tidaklah begitu mengenali sosok saudara Hafizul Faiz, tetapi saya tahu beliau merupakan seorang penulis dan memiliki beberapa buku yang sudah diterbitkan. Sememangnya sikap saya yang tidak sesuka hati membeli buku milik penulis yang tidak begitu saya kenali atau belum pernah membaca sebarang karyanya. Namun, apabila saya lihat nama beliau sebagai seorang speaker program Kampung Buku Jejak Tarbiah, dan digelar sebagai Sasterawan Muda, (ya beliau seusia dengan saya), saya pasti ada sesuatu yang istimewa dalam tulisan penulis ini.
Surat-Surat dari Maninjau bagi saya sebuah naskhah yang amat super duper power. Buku ini berpeluang menjadi naskhah yang evergreen. Dalam buku ini, penulis menghidangkan fakta-fakta ilmiah sejarah penyebaran agama Islam ke Nusantara dengan cara tersendiri, iaitu melalui surat– surat yang diutus Qhuzeil kepada Asyfa dan Natrah.
Siswa dan Ketekunan Menuntut Ilmu
Fakta – fakta ini tersusun dan diterangkan dengan baik dan seperti memanggil-manggil kita untuk segera mencari dan mentelaah sumber-sumber yang penulis nyatakan dalam buku ini. Penceritaan sejarah dengan cara ini amat baik dan langsung tidak membosankan ketika sesi pembacaan. Saya seperti tidak mahu berhenti setiap kali meneruskan pembacaan. Sebagai seorang siswa, ketekunan menggali ilmu Qhuzeil, Asyfa, Nubhah dan Natrah amat saya kagumi. Qhuzeil sebagai siswa dan masih muda, pastinya tidak lari daripada perkara fitrah. Beliau jatuh suka kepada sahabat seperjuangan belajar sejarahnya, Asyfa. Namun begitu, tidak semua kisah cinta berakhir dengan bahagia. Seperti mengingatkan saya kepada novel Buya Hamka, iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah, begitulah juga yang terjadi kepada Qhuzeil. Saya jadi jatuh kasihan. Dia memendam rasa seperti Hamid, cuma cinta Hamid itu berbalas walaupun tidak bersatu, tetapi Qhuzeil malah ditolak mentah-mentah oleh Asyfa. Kisah cinta tiga segi berada di mana-mana pun, tetapi olahan penulis ini membuatkan kisah itu nampak lebih unik dan lain daripada yang lain. Cinta itu berlegar dalam perjalanan mencari ilmu, bukannya hanya sibuk berkasih dan melupakan perkara lain. Wah wah, padahal kisah cinta kurang 50 peratus tapi lebih banyak saya ulas hahaha.
Nilai yang dibawakan dalam buku ini amat penting, iaitu keghairahan dan kesungguhan menuntut ilmu. Lihat sahaja bagaimana ketekunan Qhuzeil dan Asyfa dalam mendalami sejarah. Natrah pula yang tidak jemu-jemu mencari maklumat, malah berani membuat pembentangan walaupun masih seorang pelajar. Ketika saya sorang pelajar, pembentangan ialah sesuatu perkara yang saya sentiasa mahu elak, kerana tidak yakin dengan ilmu dan penyampaian sendiri. Sebab itu saya jadi kagum kepada orang-orang yang yakin dengan pendapat mereka dan mahu membuat pembentangan idea, dan mahukan kritikan bagi penambahbaikan.
Saya turut tertarik kepada perenggan ini,
“Tahun lepas saya ditawarkan kerusi kuliah. Saya menolak. Saya mahu ditawarkan ruang untuk wacana ilmu diluaskan. Bukan ilmu sebagai tunggangan untuk meraih populariti. Sepanjang pengamatan saya, kerusi politik kampus langsung tidak berjaya memberikan kedudukan kepada budaya ilmu. Di sana ada pihak yang mengongkong dan menentukan dasar. Ilmu didikotomikan. Disempitkan. Saya pernah menganjurkan wacana tentang Merdeka. Saya mahu mengutarakan makna Merdeka disebabkan saya lihat suramnya budaya menyambut dan menghargai hari kemerdekaan negara ini. Saya menjemput Dr Maszlee Malik, Xifu Naser dan beberapa rakan Buddha dan Hindu. Saya dikecam. Atas alasan “pembentang yang dijemput tidak jelas fikrah”. Sejak dari hari itu, saya fikir saya salah tempat bernaungkan di bawah Parti Politik Kesatuan Agama Islam Kampus. Nama sahaja agama. Tetapi agama yang diwajahkan ternyata memburukkan lagi agama. Yang paling mengerikan, mereka bernaung di bawah sebuah parti yang mendokongi dasar agama terbesar di negara ini. Oh, my God!”
Mengingatkan saya kembali kepada zaman belajar di universiti dulu. Berada dalam satu kumpulan agama, kita terkongkong dalam pemikiran sesama kelompok sahaja. Tidak terbuka kepada idea dan ilmu, jika pembentang atau pemiliknya bukanlah dalam kapal yang sama. Saya harap golongan yang sekarang tidak lagi begitu, ilmu bukan hanya tertakluk kepada golongan sefikrah sahaja, tetapi lebih besar daripada itu.
Surat selamat tinggal daripada Qhuzeil kepada Asyfa sangat menyentuh hati. Dapat dirasakan kekecewaan yang mendalam dan kesedihan Qhuzeil, serta kesediaan beliau untuk jalan terus atau yang orang sekarang suka sebut, Move On. Ayat-ayatnya begitu puitis. Selepas setiap perenggan saya pasti berhenti sebentar untuk menghayati dan menghadam, seperti tidak mahu surat itu habis.
Surat itu tergantung, dan saya tertanya-tanya, apa yang terjadi kepada Qhuzeil? Saya berharap saya akan dapatkan jawapannya dalam sambungan buku ini, Surat-Surat dari Edinburgh. Buat kalian yang menggemari sejarah, buku ini pastinya sesuai untuk kalian. Selamat membaca!