Di Ulang Tahun Keenam

Kehadapan Amir,

Masihkah Amir ingat kejadian tahun lepas di bulan Ramadan. Sepulang kita dari sekolah, jam 12.30 tengah hari, sewaktu tiba di rumah, penutup payung Amir tidak dapat dipasang lalu menyebabkan Amir marah.

Itu mungkin hal kecil di mata mommy, tetapi besar untuk Amir. Kemudian, Amir masuk ke dalam rumah dengan tangisan.

Kekecewaan, ditambah dengan bahang bulan puasa yang lebih membakar, serta rasa lapar pastinya kombo yang membuat seorang kanak-kanak 5 tahun hilang sedikit kawalan.

Usaha memujuk gagal dan tantrum membikin Amir menendang beberapa barang. Mommy tiada idea, mengantuk dan lapar.

Ada dua pilihan untuk mommy ketika itu.

Satu, untuk sama-sama mengamuk, kerana manusia dewasa seperti mommy juga boleh sama hilang sabar di bulan yang menguji itu. Ayat untuk membalas amukan sudah bermain di kepala, malah mommy juga merancang untuk menendang barang juga.

Pada masa sama, mommy teringat akan buku yang mommy baca betul-betul malam sebelumnya, The Book You Wish Your Parents Had Read yang mengajar ibu bapa untuk tidak ikut sama jika anak buat perangai.

Jadi, kedua, pertimbangkan perasaan anak ketika itu.

Akhirnya, mommy pilih untuk tarik nafas dan memanggil Amir selepas meletakkan pinggan makanan di atas meja. “Makan, Amir.”

Anehnya, amukan Amir hilang begitu saja. Amir datang dan terus makan. Mommy tak ingat apa yang kita bualkan selepas itu.

Kejadian ini tidaklah membanggakan, kerana mungkin dalam dua atau tiga daripada sepuluh situasi sahaja mommy seperti kucing siam manja. Selebihnya, lihat sahajalah video harimau mengaum, itulah keadaan sebenar mommy.

Amir, sudah enam tahun kita menghabiskan masa bersama. Kalau mommy pernah katakan sifat adik itu cerminan mommy, Amir juga carbon copy mommy. Bukankah pelajaran yang paling mudah adalah melalui perkara yang dilihat.

Mungkin mommy berasakan perlu bersabar menjadi ibu, menjaga amanah Tuhan, tetapi mommy lupa Amir juga bersabar dengan mommy yang serba kurang. Tapi jangan bimbang, mommy akan terus belajar.

Selamat ulang tahun keenam, Amir!

Mommy terpaksa letak gambar dengan Amna sebab Amir dah tak sudi bergambar sekarang 😛

Selamat Hari Jubah, Ipah!

Mendewasa menyedarkan saya yang sebenarnya waktu hidup di asrama sedikit menghilangkan masa mengenali adik beradik sendiri. Dirasakan rapat, tetapi sebenarnya ada jurang yang menjauhkan. Mujur mak dan abah sentiasa menjadi penyatu. Apabila cuti bermalam tiba (terutama sewaktu baru menghuni asrama), tempoh itu semahu-mahunya digunakan untuk mengqadha tidur, melakukan hal sendiri. Al-maklumlah, baru mengecapi zaman remaja. Hal anak-anak cilik tentu sekali bukan dalam gelanggang permainan lagi. Saat itu, kawan mula menjadi utama, kerana dengan merekalah saya menghabiskan masa.

Mungkin setelah habis sekolah barulah pandangan dan sikap ini berubah. Adik-adik bukan sekadar individu yang lahir terkemudian daripada kita. Selain perlu ditolong dan disayangi, pentingnya untuk mereka difahami.

Selesai SPM, permohonan saya untuk bekerja ditolak mentah-mentah oleh mak dan abah. Ada beberapa tugas hakiki yang sudah tersedia untuk dilakukan sebelum ke universiti (turun temurun kami lakukan):

  1. Masak untuk waktu makan tengah hari (dan sediakan bekal untuk abah jika hari itu syif tengah hari abah)
  2. Kemas rumah.
  3. Tolong abah petik sawit (dua kali sebulan)
  4. Belajar memandu

Selepas SPM ini jugalah saya menggantikan tempat emak sewaktu pendaftaran sekolah menengah adik saya yang ketiga. Meskipun keempat-empat adik saya beroleh 5A dalam UPSR, tidak seperti saya yang terkantoi B untuk Sains, adik ketiga dan keempat tidak mendapat tawaran asrama penuh. Entah kenapa, kami syak kerana IC mereka Johor berbanding adik pertama dan kedua yang nombor tengahnya 12.

Oleh itu, adik ketiga dan keempat meneruskan tradisi bersekolah menengah yang pernah saya hadiri di Tangkak. Seperti saya juga, mereka masuk ke asrama. Asrama ini digelar asrama harian kerana hanya sejantina dan sebahagian yang tinggal di situ.

Berbalik kepada cerita menemani pendaftaran adik, wajah terakhir yang dilihat sebelum memulakan kehidupan baru di asrama adalah wajah saya dan abah. Mak seorang cikgu, tidak boleh senang-senang bercuti sewaktu hari pertama persekolahan kerana turut perlu menerima pelajar baru tahun satu.

Ujian buat adik saya kerana pada hari kedua, baldi dan segala isinya hilang. Maka, seperti anak asrama yang tipikal, dia menelefon mak dengan pakej tangisan. Lalu pada hari kedua itu, selepas mak pulang dari sekolah, kami bergegas keluar membeli barang keperluan dan pergi ke menghantarnya ke asrama. Itulah kisah yang dia sendiri akan ungkit sehingga hari ini.

Berbekalkan struktur nama yang hampir serupa dengan saya, adik saya pantas dikenali ramai kerana dia "adik Kak Aina" atau "adik Nuraina Akmal." Namun, menjadi adik saya bukanlah batu loncatan kerana saya sendiri bukan pelajar cemerlang atau begitu banyak menyumbang kepada sekolah selain penyertaan pertandingan catur dan kawad kaki Kadet Polis. Hanya beberapa guru yang mengenali saya.

Dia melonjak dengan usaha sendiri. Menjadi yang teratas bukan hanya dalam kelas, bukan dalam aliran, tetapi dalam seluruh tingkatan. Malah, mengalahkan pelajar cina. Tidak, saya tidak berniat perkauman, tetapi pelajar cina memang sukar dikalahkan dalam kecemerlangan pelajaran mereka. Kerana itu, dia dikenali atas pencapaiannya sendiri. Biarpun dikenali kedua-dua warder kerana sering sakit dan berulang-alik ke klinik. Itu langsung tak menghalangnya daripada cemerlang.

Cerita di asrama tak selalunya indah, pasti ada juga sedikit buruknya. Mungkin kerana saya pernah menjadi senior yang tidaklah begitu baik dengan sesiapa, tetapi tidak peduli hal orang lain, maka itu menjadi sebab adik saya diback up dan itu menyebabkan kawan rapat yang juga ada pertalian dengan kami menjadi iri, lalu bergaduh. Dia hanya berkawan dengan seorang dua, lalu tidak dipedulikan yang suka menimbulkan sakit hati.

Dan seperti UPSR, dia mencatat keputusan semua A juga untuk PMR, hal yang tidak dapat saya capai kerana kantoi B untuk Bahasa Arab pula.

Masuk ke tingkatan empat, adik seorang ini diuji lagi. Permohonannya ke SBP ditolak. Sudahlah begitu, kawan rapatnya mendapat tawaran dan meninggalkannya untuk belajar di SAMURA. Setelah cuba membuat rayuan, akhirnya, impiannya untuk bersekolah di asrama penuh seperti kakak abang tertunai jua, jauh di Sembrong. Kali ini, saya juga menjadi penemannya mendaftar ke tempat baru.

Dia masih pelajar cemerlang di sini, masih seorang yang gigih belajar walau migrainnya menyerang. Kalau saya sakit kepala pun belum tentu saya akan buka buku. Kedudukannya dalam tingkatan sekurang-kurangnya hanya di tempat ke-25. Di sini tiada ujian kawan-kawan kerana seperti mana cetakan anak asrama penuh, hal sepele selain belajar bukanlah sesuatu yang layak dilayan.

Keputusan SPM diumumkan. Kami sekeluarga mengerti kesedihannya akibat subjek Fizik mendapat B. Tapi kami tahu, dia yang paling gigih dalam keluarga, dan memujuk agar usah bersedih. Berbekalkan itu juga, dia mendapat tempat di UIA. Kali ini juga saya turut sama menghantar dia ke dunia yang lebih baru. Ketika ini juga, kerana saya sudah bekerja di Seremban, mak abah boleh sedikit berehat daripada mengambil hantarnya. Saya lebih biasa dengan jalan di sini, dan boleh membawanya pulang jika dia tak perlu menaiki bas.

Hanya setahun dia di sini sebelum mengembara ke bumi Kuantan. Hanya di situ saya tidak dapat turut serta. Tetapi, adakalanya saya singgah menziarahi jika ada urusan di situ. Atau sesekali dia datang kepada saya saat saya mengembara atas urusan pekerjaan.

Dan adik saya tetap begitu. Tetap cemerlang. Gagal tiada dalam kamus hidupnya. Berderet mengumpul A. Belajar hingga lewat malam, hingga sakit kepala. Mujur sahaja saya seorang kakak, tidak cenderung untuk dibandingkan berbanding jika saya seorang adik. Juga mungkin ujian Tuhan kepadanya banyak berupa ujian rakan sekeliling. Sewaktu ia sudah berakhir, barulah dibuka cerita kepada saya yang dia pernah ditikam belakang, diperalat dan macam-macam lagi yang tak pernah saya lalui. Dia yang kelihatan kecil itu begitu berani berkonfrontasi dengan rakannya, menyoal sikap mereka. Namun, hanya jawapan endah tak endah diterima. Sehingga kini, itu seperti trauma dalam hidupnya. Akhirnya dia teruskan sahaja hidup bersama kawan yang sudi, meninggalkan beberapa orang yang kononnya 'sahabat.'

Kami mungkin kehilangan waktu membesar bersama kerana jarak lebih kurang enam tahun. Saya tidak dapat melihat depan mata perkembangan sebenarnya. Namun, dalam kehidupan, memang ada hal yang akan terkorban. Kami belajar mengenali dan accepting each other seiring masa. Sudah tentulah adik-beradik tidak akan lari daripada pergaduhan, tetapi, itulah yang membuat kami lebih faham dan menerima masing-masing.

Dan selepas kembara menuntut ilmunya bertahun-tahun, yang saya hanya iringi ketika mendaftar, hari itu tiba juga, meskipun lambat kerana wabak yang menyerang.

Selamat bergraduasi Ipah! Selamat menyelesaikan tesis sarjana!

Amir miliki nenek yang sangat thougtful. Diberi juga jambangan, bimbang cucunya ini merampas bunga makciknya.