Penulis: Imaen
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Tahun Terbit : 2018
Muka Surat : 475
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
SINOPSIS
Novel ini merupakan novel pertama yang saya baca hasil daripada belian di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Sebagai peminat tegar Imaen, saya memang tidak pernah melepaskan peluang menjadi pembeli terawal setiap novel terbaru beliau terbit.
Neon mengisahkan Neo, seorang lelaki yang merajuk dengan Tuhan kerana dirinya yatim piatu. Rasa marah yang ada menyebabkan dia tidak pernah mengerjakan solat tanpa rasa bersalah. Neo bekerja di sebuah bank persendirian dengan pendapatan yang lumayan untuk lelaki yang belum pun berumur 30 tahun. Gaya hidupnya agak elit, dia tinggal di apartmen mewah, membeli baju berjenama, mempunyai keahlian gim dan barang-barang dapurnya dibeli di Jaya Grocer. Teman wanitanya Liza, seorang jurutera di syarikat elektronik Jepun, berasal dari Kelantan dan merupakan anak penggawa. Dia juga ada seorang kawan baik, Taib yang sangat suka mengingatkan dia untuk solat dan keluarga Taib sudah seperti keluarganya sendiri.
Namun ini semua tidak berpanjangan apabila Tuhan mempunyai rancangan lain untuk dia. Ketenangan dan kejayaan hidupnya tidak lama, rancangannya untuk memohon pertolongan Taib mengetuai rombongan meminang Liza gagal apabila Taib meninggal akibat kemalangan. Dia pula diberhentikan kerja atas alasan ekonomi hingga berakhir menjadi gelandangan.
Khomeini, kawan lama Neo di rumah anak yatim hadir sebagai penyelamat. Neo bekerja dengan Khomeini sebagai pengurus jualan di syarikat buku Khomeini. Kecurigaannya terhadap Khomeini akhirnya terjawab apabila rakannya itu merekrut dia untuk masuk kumpulan komunis. Neo memilih berhenti kerja untuk keluar dari kumpulan ini tetapi ianya tidak begitu mudah, kerana dia perlu menyertai kumpulan Khomeini merompak terlebih dulu. Namun, saya tidak mahu ceritakan penamatnya kerana saya mahu mengajak anda bersama-sama membaca novel ini.
REVIEW
Imaen seperti kebiasaan tulisannya akan bercerita banyak tentang ekonomi dan fakta-fakta yang berkaitan. Ini tidak pelik kerana beliau merupakan lulusan ekonomi daripada Universiti Malaya.
“Sebenarnya masa tu di England, bola sepak digunakan oleh kaum pemodal yang kau orang panggil kapitalis tu sebagai candu untuk kelas pekerja supaya mereka dapat lupakan hidup mereka yang susah tu. Kalau kau belajar Revolusi Industri kau akan tahu, betapa susahnya hidup kelas pekerja, ditindas oleh tauke kilang… jadi tauke kilang ni bagi bola sepak… bolehlah pekerja mereka pergi bersorak setiap hari Ahad di stadium lepaskan segala rasa.
Macam British bagi candu pada orang Cina dan todi pada buruh ladang India di Malaya dululah… taraf bola ni dulu sama macam candu dan todi sajalah. Orang kelas atas di England main ragbi… mereka panggil gentleman’s game. Kan orang putih kata football is a gentleman’s game played by ruffians, and rugby is a ruffians game played by gentleman.
Penulis turut memberi kritikan kepada syarikat penerbitan Indie zaman kini yang kebanyakannya bersifat melawan. Bagi beliau, orang yang membaca bukanlah orang yang kerjanya mahu melawan, tetapi orang yang berfikir.
Selain itu, saya rasakan bahagian yang menarik dalam novel ini ialah perubahan kehidupan Neo. Cubaan meminta kerja setelah diberhentikan gagal dari sehari ke sehari. Dia cuba berniaga tetapi dihalau kerana tiada permit, barulah dia ketika itu rasa hidup seorang marhaen. Sepeninggalan Liza ke Jepun selama 6 bulan, nasibnya semakin malang. Dia malah menjadi buruh binaan kerana tiada pilihan, gajinya pula tidak dibayar dan banyak perkara yang terjadi hingga akhirnya dia menjadi gelandangan. Dia belajar erti susah, kelaparan sehingga mengorek makanan dalam tong sampah, dihalau dari rumah sewa dan tinggal di bawah jambatan dan bermacam-macam lagi. Rajuknya akhirnya hilang apabila dia sedar sebagai hamba tidak ada lain yang dia boleh memohon pertolongan selain Tuhannya. Dia kembali sujud kepada Tuhannya dan menemukan ketenangan.
Seperkara lagi yang menarik perhatian saya ialah babak peminangan Neo ditolak oleh ayah Liza. Kedudukannya sebagai anak yatim tentunya menjadi kebimbangan ayah Liza yang mementingkan keturunan bakal suaminya. Saat Liza mengetahui perkara itu, dia mengajak Neo berkahwin lari dan rela dibuang keluarga. Namun Neo menolak dan memastikan Liza tidak akan membelakangkan keluarganya. Neo tahu rasanya hidup sebatang kara, dia tidak mahu Liza merasakan yang sama. Teringat saya pepatah Inggeris ”You are what you read”. Buku ialah alat yang berpengaruh, jika dalam babak ini Neo kahwin lari dengan Liza, berapa orang agaknya pembaca yang akan berpendapat perkara ini bagus dan mungkin mengikut jejak langkah Neo? Sudah cukuplah lambakan drama kahwin paksa yang ada, kita tidak mahu pembaca terbuai dengan kisah cinta yang hanya nampak indah tetapi sebenarnya sengsara. Saya memuji penulis kerana ini.
Sebagai penggulungan, novel ini sesuai dibaca sesiapa saja yang sukakan buku yang tidak tipikal. Kisahnya ringan tetapi sarat dengan fakta dan pengetahuan am yang menarik. Anda mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pendapat penulis tetapi ia bukanlah isu besar. Saya jamin anda tidak akan menyesal membaca novel ini. Selamat membaca!