Penulis: Fatini Yaacob
Penerbit: Penerbit UTM
Tahun Terbit: 2010
Muka surat: 474
Beli di: Ujana Ilmu
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
PENGENALAN
Akhbar propenjajah pada masa itu menghina Islam dengan memberi gambaran bahawa Natrah telah menukarkan agamanya kepada Kristian. Hal ini merupakan punca utama tragedi Rusuhan Natrah yang telah mengorbankan beberapa nyawa demi membela agama Natrah.
Natrah / Nadra / Huberdina Maria Hertogh seorang anak Belanda yang diambil sebagai anak angkat oleh wanita Melayu bernama Che Aminah binti Mohamad. Che Aminah ialah seorang peniaga yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Natrah diambil sebagai anak angkat, Che Aminah ketika itu bekerja sebegai jurubahasa di Pejabat Jepun sewaktu Jepun mengambil alih pemerintahan di Indonesia.
Natrah mula dikenali pada peringkat antarabangsa kerana perbicaraan perebutan hak penjagaan antara ibu bapanya dan ibu angkatnya sendiri. Kes Natrah semakin rumit dan menarik perhatian apabila Natrah yang waktu itu berumur 13 tahun, telah berkahwin dengan Mansor Adabi yang berusia 22 tahun. Perkahwinan mereka berasaskan undang-undang Islam tetapi diadili secara Inggeris.
Puan Fatini Yaacob pernah membuat liputan mengenai Natrah pada tahun 1989 dan tulisan beliau disiarkan dalam 4 keluaran majalah Dewan Masyarakat (Februari, Mac, April & Mei). Beliau sendiri telah pergi ke Lake Tahoe, Amerika Syarikat menemuramah Natrah bagi menyempurnakan tugasan kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu.
Setelah kematian Natrah pada tahun 2009, Puan Fatini mengambil keputusan untuk menulis buku ini atas beberapa faktor:
1. Melengkapkan biografi Natrah.
2. Memberi maklumat lengkap mengenai Natrah untuk pembaca baru.
3. Memberi penghargaan kepada para pejuang yang membela agama dan bangsa daripada penjajah di sebalik kisah cinta Natrah-Mansor.
4. Membangkitkan rasa cinta kepada agama, bangsa dan negara.
REVIEW
Natrah: Satu Perjuangan Mempertahankan Agama
Pusingan pertama perbicaraan hak perebutan Natrah, dimenangi oleh pihak Che Aminah. Semasa menunggu perbicaraan kedua, Che Aminah bertemu dengan Mansor Adabi dan akhirnya mengahwinkan Natrah dengan beliau atas persetujuan Natrah sendiri. Perbicaraan kedua dimenangi oleh pihak Belanda dan bermula saat hakim menetapkan keputusan itu, Natrah tidak dibenarkan berjumpa dengan Che Aminah dan Mansor. Che Aminah dan Mansor memohon untuk rayuan di mahkamah, dan bermula dengan peristiwa inilah yang membangkitkan kemarahan umat Islam tidak kira bangsa apa. Sementara menunggu permohonan rayuan, ibu kandung Natrah, Adeline memohon supaya Natrah diletakkan di gereja Roman Katolik bagi tujuan ‘pendidikan semula’.
Beberapa gambar Natrah di gereja disiarkan dalam akhbar pro penjajah untuk menunjukkan yang Natrah gembira berada di gereja. Berita di bawah antara yang sangat dikecam apabila akhbar ini membuat headline bertajuk “Natrah melutut di hadapan patung Virgin Mary”
Dalam usaha mempertahankan aqidah ini, satu Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN) diwujudkan dan ia diketuai oleh Karim Ghani, editor akhbar Malayan Nanban yang juga merupakan Presiden Liga Islam Singapura dan Presiden Persatuan Dakwah Islam Semalaya. Karim Ghani yang merupakan keturunan India Muslim, bekerjasama dengan ramai pihak seperti Dr Burhanuddin al-Helmy (presiden PKMM) dan Mohd Taha Kalu (bekas anggota polis berketurunan Pakistan). Isu ini tidak hanya dijuarai parti berhaluan kiri, tetapi mana-mana individu yang sedar perlunya mereka bangkit dalam membela agama. Oleh kerana ini, ahli UMNO bangkit menyertai kumpulan ini walaupun Yang Dipertua UMNO ketika itu, Dato’ Onn Ja’afar bermati-matian menghalang mana-mana ahli UMNO untuk terlibat dalam isu Natrah. Bagi mereka, Islam dulu datang selepas parti. Sardon Jubir ketika itu mewakili UMNO. Sewaktu mahkamah hendak bersidang untuk permohonan rayuan, berduyun-duyun orang datang dari seluruh pelosok Tanah Melayu. Ada yang datang dari Pulang Pinang, Perlis dan banyak lagi, dalam keadaan berbasikal sehinggalah terjadinya tragedi rusuhan itu.
Meskipun begitu, tatkala begitu ramai orang-orang biasa ini begitu bersemangat hendak memastikan aqidah seorang Natrah dibela, pihak-pihak yang berkuasa seperti bisu sahaja dan tidak peduli, malah ada yang mengkritik tindakan orang ramai yang membuat rusuhan.
Rusuhan Natrah
‘Keluarkan Nadra dari Gereja’, ‘Nadra Perlu Diselamatkan’, inilah antara sepanduk yang dibawa dalam perhimpunan pada hari mahkamah bersidang untuk permohonan rayuan Che Aminah. Sebelum menghimpunkan beramai-ramai orang Islam, Karim Ghani membuat strategi dengan memberi surat terbuka kepada anggota polis Melayu sehingga berjaya menyebabkan mereka langsung tidak mengambil tindakan ketika berlakunya perhimpunan dan rusuhan. Meskipun keputusan sidang mahkamah yang pertama itu ditangguhkan, rasa terhina umat Islam ketika itu tiada ditangguh-tangguh lagi walaupun sudah diberitahu Karim Ghani untuk tidak membuat sebarang provokasi. Pihak British amat terkejut kerana tidak menyangka rakyat mampu bertindak sebegitu dalam hal ini dan mereka kehilangan kawalan. Mereka menyerang pegawai British dan semua orang berkulit ‘putih’ dan membakar kenderaan mereka.
Rusuhan ini mengorbankan 17 nyawa dan penjajah Inggeris menahan hampir 800 orang di bawah Unit Siasatan Rusuhan. Beberapa orang yang ditahan ini, ada antara mereka yang dikenakaan hukuman gantung, termasuklah pemilik restoran Jubilee, Othman Ghany. Kesalahan beliau ialah kerana memberi makanan percuma kepada orang ramai dan perusuh.
Oleh kerana Dato’ Onn langsung tak mahu masuk campur ketika itu, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Pegawai Tinggi kerajaan dan berusaha membantu pesalah yang dihukum gantung ini. Apabila Tunku mengambil alih jawatan Yang Dipertua UMNO selepas itu, dia memberi keutamaan dalam isu membela pesalah ini dan akhirnya Inggeris yang sedar akan kebangkitan nasionalisme kala itu, menggantikan hukuman gantung kepada hukuman penjara seumur hidup. Mereka semua dibebaskan selepas 13 tahun. Karim Ghani pula, namanya yang jarang kita dengari / baca dalam kalangan penentang penjajah dibuang negeri, tidak diterima di Tanah Melayu (masih dalam jajahan British), tidak diterima di negara asalnya India kerana ditakuti membawa ideologi beliau dan mengganggu pilihanraya terdekat, akhirnya menghabiskan sisa hidupnya di Karachi dan kekal menentang British sehingga akhir hayat beliau.
Kemenangan Belanda-Hertogh & Kesilapan Che Aminah
Penulis menyenaraikan beberapa perkara yang menyumbangkan kemenangan pihak Belanda:
1. Che Aminah tidak merujuk peguam beliau, Ahmad Ibrahim terlebih dahulu sebelum menikahkan Natrah kerana Natrah berusia 13 tahun ketika itu. Perkahwinan diadakan di Singapura, di bawah Common Law. Sekiranya dilakukan di negeri Tanah Melayu, masih boleh diselamatkan. Undang-undang Inggeris ketika itu, hak bapa adalah kuat terhadap anaknya. Persoalan domisil ialah yang paling utama dalam menentukan kes Natrah
2. Perkahwinan boleh diselamatkan sekiranya ia bukan nikah gantung dan Natrah hamil. (Walaupun saya tidak menyokong perkahwinan kanak-kanak, tetapi soal ketika itu lebih kepada mempertahankan aqidah).
3. Che Aminah gagal mengemukakan surat bertulis daripada Adeline Hunter, yang menyatakan dia menyerahkan Natrah untuk dijaga mengikut adat dan budaya Che Aminah.
Undang-Undang British menang pada masa itu. Dalam temuramah penulis dengan Ahmad Ibrahim, dia melihat aspek kebajikan anak dalam undang-undang masa kini.
“Kalau kes itu dalam keadaan undang-undang kini, Natrah tidak akan dibawa ke Belanda. Sekarang kebajikan anak diambil kira dan diberi perhatian berat. Natrah akan ditanya yang mana disukainya – balik ke Belanda atau tinggal dengan Che Aminah.
Penulis juga menemuramah Dr Tom Eames Hughes, Pegawai Kebajikan Masyarakat Singapura yang bertanggungjawab menjaga Natrah sewaktu Natrah ditempatkan sementara di Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapore.
“Sekiranya Dr Tom diberi pilihan dalam kes Natrah, apakah yang Dr putuskan?
‘Saya akan kembalikan Natrah kepada Che Aminah. Itulah kebahagiaan sebenar yang diperlukan Natrah.’ “
Natrah bukan Perebutan Dua Keluarga, Tetapi Dua Negara dan Agama
Dalam salah satu wawancara penulis, maklumat yang diterima beliau menunjukkan yang Adeline tidaklah bersungguh-sungguh mahu merebut hak penjagaan Natrah. Adeline pernah berkata kepada Che Aminah yang dia hanya terpaksa!
Belanda ketika itu sudah malu benar kerana Indonesia sudah merdeka tahun 1945. Mereka sudah dihalau dari negara jajahan mereka sendiri. Cukuplah sekali mereka dimalukan, mereka tidak lagi mahu dimalukan dengan membiarkan kalah dalam perebutan hak penjagaan Natrah. Mana boleh orang ‘putih’ dikalahkan orang kulit ‘berwarna’.
Pihak gereja besar di Belanda turut memberi belanja besar bagi memastikan Natrah, anak katolik mereka kembali ke Belanda dan melupakan hidup sebagai Islam yang pernah dia jalani.
Derita Natrah
Mengapa saya katakan ibu Natrah, Adeline bukan mahu mendapatkan Natrah pun? Belanda menyangka dengan membawa pulang Natrah, ia satu kemenangan besar buat mereka, tetapi sebenarnya itulah permulaan derita seorang Natrah.
Jika di Kemaman, Natrah dilayan dengan baik, dimewahkan dengan memakai banyak barang kemas fesyen baru (Che Aminah berniaga barang kemas), ada pembantu rumah, dan banyak masa bermain, berlainan pula yang terjadi di Belanda. Kehidupan keluarga Natrah miskin, adik beradiknya ada 7 orang dan dia terpaksa berkongsi bilik dengan 2 orang kakak yang sering membulinya. Dia terpaksa membasuh baju ahli keluarganya menggunakan tangan dan yang paling menyedihkan, ketika musim sejuk, dia tidak dibenarkan menggunakan air panas, tetapi masih perlu membasuh baju menggunakan air sejuk, demi menjimatkan bil elektrik. Jika dengan Che Aminah, dia hanya perlu masuk ke dapur pada waktu makan, di Belanda, dia yang bertanggungjawab di dapur. Perubahan ini menimbulkan kemarahan dalam dirinya dan sehingga ke hari tua, Natrah tidak ada hubungan baik dengan ibu beliau.
Terdapat usaha seorang rakyat Belanda (J.G Vermeulen) yang cuba menyampaikan surat Mansor Adabi kepada Natrah, malangnya dapat dikesan oleh perisik Belanda dan mereka bertindak menulis surat palsu yang kononnya ditulis Natrah kepada Mansor hingga akhirnya Mansor menyangka tiada lagi masa depan untuk dia dan Natrah. Natrah langsung tidak tahu menahu tentang perkara ini kerana dikawal ketat di rumah. Mansor mengambil keputusan berkahwin dengan seorang anak muridnya, dan amat kasihan kerana Natrah perlu mengetahui perkara ini melalui surat khabar. Luluh hatinya dan dia mengambil keputusan berhenti sekolah dan bekerja.
Kebenaran tentang derita yang Natrah simpan ini membuatkan dia menghubungi J.G Vermeulen yang juga seorang wartawan untuk diwawancara. Pada masa inilah J.G Vermeulen mengetahui yang sebenarnya Natrah tidak pernah menerima surat daripada Mansor langsung. Sungguh kejam!
“Saya tidak pernah, walaupun sehari berasa seperti berada di rumah sendiri ketika tinggal dengan mereka. Saya lebih suka ke sekolah atau dilayani rahib.”
“Betapa kita mengalu-alukan beritanya. Kita telah melaporkan segala-galanya. Kita melaporkan kepulangan Maria yang tertawa keriangan.
Kita melaporkan…beratus-ratus orang cuba menembusi sekatan polis … kita melaporkan bagaimana kasih sayang seorang ibu mendapat kemenangan.
… tetapi kita gagal melaporkan Maria benar-benar menderita!
Natrah Pergi
Selepas berkahwin dan mempunyai 10 orang anak pun, Mansor Adabi masih dalam ingatan Natrah. Sukar untuk Natrah move on. Sebuah stesen televisyen pernah memanggil Natrah untuk wawancara untuk program dokumentari mereka. Sebelum sesi Natrah, Natrah sekeluarga diberi peluang untuk menonton sesi wawancara dengan Mansor Adabi. Melihatkan kehidupan Mansor yang mewah dan bahagian dengan keluarganya, ia seperti menjadi butang trigger kepada Natrah. Dia berasa dia yang patut berasa di sisi Mansor. Beza antara Mansor dan Natrah ialah penerimaan kenyataan masing-masing. Hingga bertahun pun Natrah masih tidak melupakan Mansor kerana perkahwinan Natrah hanya jalan untuk dia keluar daripada rumah ibu bapanya. Selepas wawancara itu, hidup Natrah tidak sama lagi dan permulaan kepada keretakan rumah tangga beliau dan kegagalan tiga perkahwinan seterusnya. Natrah sentiasa mencari bahagia tetapi tidak ditemui.
Implikasi terbesar ujian hidup Natrah ini ialah menyebabkan Natrah kehilangan keyakinan diri, sentiasa perlu pendapat orang lain dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Suami terakhir Natrah juga sering mengongkong Natrah dan hampir memaksa Natrah untuk sama-sama berpindah ke Indonesia.
Natrah sempat merawat hatinya dengan melawat semula ke Singapura dan Kemaman, pada tahun 1998, berjumpa dengan keluarga angkatnya semula dan mereka berhubung hingga akhir hayat Natrah.
Lawatan ini menjadi titik tolak kepada permulaan baru hidup Natrah. Natrah dapat menerima kenyataan nasib hidupnya dan tidak lagi bergantung dengan orang lain untuk bahagia. Dia sudah tidak lagi bergantung dengan masa lalunya. Natrah berpisah dengan suaminya dan mula mencari bantuan kesihatan mental. Natrah pergi dengan aman, malah menyumbangkan jasad beliau untuk kajian leukimia.
Keseluruhan
Saya berterima kasih kepada penulis atas usaha beliau melengkapkan riwayat hidup Natrah. Demi kepentingan nama sebuah negara dan agama, hidup seorang budak rosak dan membawa derita yang berpanjangan. Terima kasih juga buat pejuang-pejuang penting yang berperanan besar mempertahankan Natrah semasa perbicaraan itu.
Walaupun terdapat beberapa tulisan dalam internet yang membuat kenyataan terhadap kemurtadan Natrah (hingga akhir hayat Natrah, dia percaya Allah dan God itu sama), saya rasa sebagai orang yang tidak melalui ujian besar seperti ini, kita tidak boleh sesuka hati membuat penilaian. Natrah bukan sengaja mahu meninggalkan Islam, baru berusia 13 tahun sudah dilarikan ke Belanda dan di sana tiada orang Islam yang dapat membimbing Natrah. Sama-sama kita doakan pengakhiran baik buat Natrah. Bak kata penulis, dia percaya, Natrah berada dalam kasih sayang Allah.