Penulis: Tiras Raduan
Penerbit: ITBM
Tahun Terbit: 2015
Muka Surat: 156
Beli di: ITBM
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
PENGENALAN
“Berbanding dengan laut dan buana, kami tiada makna apa-apa selain makna sebuah kewujudan. Begitu juga engkau, engkau hanya suatu kewujudan. Kita hanya perlu memberikan makna kepada kewujudan kita. Sama ada engkau hadir atau tidak ke dalam hidupku, itu tidak memberi kesan kepada luasnya laut dan buana.
Jika laut itu kehidupan, maka kapal itulah kita yang mengisi kehidupan; berlayar dari pelabuhan ke pelabuhan. Kita ini datang dari ‘pelabuhan’ Tuhan untuk belayar dan akhirnya kembali berlabuh semula di ‘pelabuhan’ Tuhan. Andai gelombang sehaja yang dapat mengajar engkau,‘biar aku menjadi gelombang dan akan kupecahkan bahtera kita sebagai pengajaran.”
REVIEW
Buku ini saya beli ketika hadir ke Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Puan Nisah Haron tempoh hari. Itulah pertama kali saya bertemu Puan Siti Salbiah atau lebih dikenali dengan nama Tiras Raduan.
Takjub. Itulah perkataan yang boleh saya gambarkan mengenai buku ini. Laut menjadi punca rezeki daripada Tuhan. Laut juga menjadi penghibur hati tatkala duka. Sumber hiburan juga datang daripada laut dan sekitarnya. Adakalanya, laut memberi kisah duka, merampas orang yang disayangi. Kerana laut, ribuan kisah tertulis.
Setiap cerpen dalam buku ini diinspirasikan daripada laut, pantai, pasir dan sebagainya yang berkaitan dengan laut. Tidak seperti cerpen-cerpen lain yang pernah saya baca, hanya satu cerpen dalam kumpulan ini terkandung dialog. Kesemuanya berkonsepkan naratif, seperti monolog dalaman seseorang.
Kisah-kisah yang ada mungkin hanya lontaran kisah biasa di sekitar kita yang pernah kita dengari, tetapi tulisan Puan Tiras membuatkan saya tidak mampu meletakkan buku ini selagi belum sampai ke muka surat terakhir. Kisah-kisah ini juga sangat deep. Saranan saya kepada semua, marilah dapatkan buku ini anda pastinya tidak menyesal.
Nota kaki: Sedikit info yang saya dapat dalam bengkel penulisan, “Jualan buku antologi cerpen dan kumpulan cerpen lebih laku di Singapura berbanding Malaysia, kerana rakyat di sana kesuntukan masa, jadi cerpen ialah bahan bacaan yang sesuai. Anda yang kesuntukan masa tapi masih mahu membaca, jom cuba baca cerpen pula.