Jom Kritik Buku ITBM: Budak Beca

Tajuk : Budak Beca
Penulis : Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)
No ISBN : 978-983-068-952-4
Harga : RM 25 (Semenanjung Malaysia),
RM 30 (Sabah & Sarawak)

Kritikan Isi Kandungan Buku

  • Ringkasan Isi Buku

Budak Beca mengisahkan Mamat Merdeka yang pulang ke kampung halamannya di negeri Terengganu setelah tujuh tahun menjadi mata-mata khas. Ketika itu Tanah Melayu hampir mendapat kemerdekaan. Dia menggelarkan dirinya Mamat Merdeka kerana bagi Mamat, dia sudah merdeka daripada menjadi orang suruhan orang lain dan dia boleh berseronok sesuka hatinya. Hasil perkhidmatan sebagai mata-mata khas membolehkan dia membawa pulang wang simpanan hampir RM 2000

Bapa Mamat berpesan supaya dengan simpanan yang ada itu digunakan untuk membeli tanah sebagai persediaan di masa hadapan tetapi Mamat tidak langsung ambil peduli ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Mamat mengambil keputusan hanya akan mencari ikhtiar lain selepas duitnya habis. Akhirnya duit milik Mamat itu hanya mampu bertahan selama 6 bulan sahaja akibat sikap borosnya. Mamat menghabiskan duit itu dengan hanya berjalan-jalan, berseronok dengan kawan-kawannya dan bermain perempuan.

Tidak ada apa yang tinggal pada Mamat setelah wangnya habis. Kawan-kawan pun lari dan malang sekali kerana dia mendapat penyakit kelamin, tetapi mujurlah masih boleh diubati. Mamat meneruskan hidup dengan bekerja sebagai penarik beca. Sudahlah upahnya sedikit, dia perlu pula membayar ansuran beca kepada pemilik beca setiap bulan.

Takdir menemukan Mamat dengan Mustapha, seorang lelaki yang mewakili persatuannya (badan bukan kerajaan) dari Kuala Lumpur untuk tinggal di Terengganu. Mustapha membuat kajian mengenai kehidupan sosial dan keadaan ekonomi penduduk di Pantai Timur ini. Dia melahirkan rasa kebimbangan apabila hasil kajiannya mendapati masih ada orang Melayu yang takut untuk menerima kemerdekaan. Ada yang sudah bersedia untuk merdeka, tetapi jiwa mereka masih belum merdeka. Anak Melayu hanya mahu berseronok-seronok, tidak mahu menyimpan wang, tidak serius bekerja dan tidak berfikir untuk masa hadapan.

Mustapha acap kali mengingatkan Mamat supaya bersungguh-sungguh merubah taraf hidupnya. Hasil usaha Mustapha juga membolehkan Mamat yang buta huruf akhirnya pandai membaca. Mamat juga tidak lagi mahu berseronok tetapi sudah ada azam untuk mengubah kehidupannya. Dia mahu merebut peluang yang diberi kerajaan yang mahu memberikan tanah kepada rakyat untuk diusahakan di negeri Pahang.

  • Ulasan Isi Buku

Novel tulisan Pak Sako ini pertama kali diterbitkan pada tahun 1957 yang merupakan tahun Tanah Melayu menerima kemerdekaan. Ketika itu, sastera merupakan alat penting dalam menyampaikan mesej kemerdekaan kepada penduduk Tanah Melayu. Latar belakang Pak Sako sebagai seorang nasionalis sangat mempengaruhi beliau. Mesej dan kritikannya kepada orang Melayu jelas melawan penjajahan oleh British dan juga penjajahan akal fikiran. Sesetengah kritikan beliau ini masih lagi relevan untuk dibincangkan sehingga ke hari ini.

Jika Novel Putera Gunung Tahan tulisan Pak Sako sebelum itu bertujuan untuk meniupkan semangat kemerdekaan kepada rakyat, memberi sindiran dan tentangan kepada British, Budak Beca pula memberikan kritikan kepada kaum yang hendak menerima kemerdekaan.

Kritikan paling jelas dalam novel ini ialah terhadap sikap-sikap orang Melayu yang langsung tidak serius memajukan hidup mereka. Ini dapat dilihat melalui sikap Mamat yang hanya tahu berseronok dan tidak mahu melakukan kerja berfaedah setelah pulang ke kampung. Dia malah tidak mahu merancang masa depannya sendiri.

“Hati besar dan rasa sombongnya memerintah dia kalau orang-orang lain, kalau orang-orang yang berhormat dan berpangkat boleh dapat wanita-wanita itu maka dia juga boleh dapat. Biarlah wangnya habis. Bila sudah habis nanti dia cari lagi, dia boleh jual lembu ayahnya, dia boleh meminta pada emaknya, demikianlah fikiran Mamat.”

            “Besoknya Mamat turun lagi ke Kuala Terengganu. Kawan-kawan yang sehaluan sudah semakin ramai. Mereka menghabiskan masa di kedai-kedai kopi, di panggung-panggung wayang, bertemasya ke sana ke mari bersuka ria bergembira.”

Sekiranya dia mendengar nasihat ayahnya supaya mengambil peluang untuk membeli sedikit tanah ketika itu, sudah tentu dia tidak terlalu susah dan ada hasil yang boleh dimakan kemudian hari.

“Saya sudah buat silap besar,” kata Mamat.

            “Bagaimana?” Mustapha bertanya.

            “Waktu saya berhenti daripada kerja mata-mata khas,” jawab Mamat, “saya ada membawa balik wang tunai hampir 2000 habis saya belanjakan dengan tidak tentu hala.”

Sungguh besar peranan tulisan Pak Sako ini kerana ia menyentuh aspek pembinaan sikap sesuatu bangsa. Bukankah kemerdekaan sesebuah negara itu harus seiring dengan kemerdekaan pemikiran bangsanya? Dia tidak mahu Kaum Melayu ketinggalan dengan berseronok sahaja tanpa memikirkan masa depan.

Watak Mustapha wujud dalam cerita ini untuk membimbing Mamat. Nasihat-nasihat daripada Mustapha inilah yang ditujukan kepada Kaum Melayu untuk mengubah hidup mereka. Saat Mamat sudah sembuh dan mula mahu kembali ke perangai lamanya yang suka berseronok dengan perempuan, dia terus menegur.

“Awak mestilah menumpukan tenaga dan pemikiran awak kepada pekerjaan yang ada sekarang. Janganlah banyak angan-angan yang lain.”    

Pesanan ini jika kita telitikan sebenarnya masih relevan hingga sekarang kerana masih ramai anak muda yang berperangai seperti Mamat yang harus kita bawa ke dunia realiti. Tiada jalan pintas untuk berjaya melainkan berusaha bersungguh-sungguh.

Pada zaman sebelum merdeka, Syed Sheikh al-Hadi ada menulis Hikayat Faridah Hanom yang mengangkat tema emansipasi wanita. Pak Sako turut tidak ketinggalan untuk mengetengahkan isu berkaitan wanita dalam novel ini. Beliau mengkritik isu pejabat agama yang tidak mampu membela nasib wanita. Dalam kebanyakan kes kezaliman rumah tangga, amat sukar bagi wanita untuk meminta cerai sehingga terpaksa digantung tidak bertali dan akhirnya kebanyakan wanita ini menjadi pelacur. Islam ialah agama yang adil dan sepatutnya tidak melengah-lengahkan dan memberi jalan keluar kepada wanita yang tidak lagi mahu menjadi isteri kepada suami mereka. Pemikiran Pak Sako ini melangkaui zaman kerana hal penceraian ketika itu sangat taboo kepada wanita dan sesiapa yang bergelar janda pasti dipandang hina walhal penceraian bukanlah satu dosa.

Selain itu, penulis turut membawakan isu pendidikan dalam naskhah ini. Mustapha kerap kali mengingatkan Mamat supaya mencari jalan untuk menambahkan ilmu pelajaran dan kemahiran. Kemerdekaan negara bukanlah petanda hidup akan terus menjadi senang.

“Dan hendaklah awak serta kawan-kawan awak jangan biarkan Rumah Persekutuan awak di Jalan Paya Bunga itu menjadi tempat bermain loto, main pakau dan main bujang. Jadikan ia tempat belajar. Carilah sebuah enjin motokar buruk dan pelajarilah bagaimana selok-belok jenteranya, alat-alat dan pesawatnya yang besar dan kecil, Ikhtiarkanlah supaya ahli-ahli persekutuan itu dapat belajar ilmu elektrik, kepandaian-kepandaian berkenaaan dengan radio, peti sejuk dan sebagainya. Ilmu-ilmu itu akan berguna besar nanti sebab negeri ini akan bertambah maju ataupun jika awak ingin kepada kepandaian yang lebih aman damai, jauh dari kota, maka carilah sekeping tanah di mana awak boleh bercucuk tanam, berternak dan sebagainya.  Janganlah sangka kemerdekaan akan membawa kesenangan serta-merta, dengan tidak payah bekerja keras.”

Mamat menceritakan kisah orang kaya yang meninggalkan harta kepada tiga isteri dan anak-anaknya. Apabila yang ditinggalkan cumalah harta dan bukan pula ilmu, maka berlakulah perebutan dan akhirnya harta itu habis begitu saja. Jika ada ilmu bukankah boleh digunakan untuk menggandakan harta yang sedia ada dan juga menambahkan ilmu?

Selanjutnya, penulis memberi gambaran sosioekonomi yang sangat jelas di Tanah Melayu ketika itu melalui fakta-fakta yang dikongsikan dalam novel ini. Jika bercerita hal perikanan, diterangkannya berapa ramai nelayan yang ada, jenis perahu yang digunakan nelayan itu, jumlah ikan yang ditangkap dan harga penangkap ikan. Dia bercerita pula hal-hal penjaja kain yang pada asalnya menjaja dari rumah ke rumah, kehilangan peluang itu apabila saudagar-saudagar bermodal besar menjual kain secara berpusat. Industri itu masih bertahan pun kerana wujudnya golongan yang masih menghargai nilai kain tenunan tangan dan mahu menggunakannya di hari perayaan dan perkahwinan.

Tidak cukup dengan fakta yang diberikan, penulis turut menyeru rakyat untuk bergerak seiring dengan teknologi dalam soal ekonomi. Perusahaan menenun kain bakal wujud pesaingnya kerana mesin-mesin menenun sudah ada di pasaran. Pengusaha kain tenunan tangan pastinya tidak dapat menghasilkan produk yang sama banyak dengan pengusaha kain tenunan mesin dalam sehari. Dalam hal pertanian pula sudah wujud traktor untuk memudahkan kerja-kerja membajak sawah. Tenaga manusia dan haiwan sudah boleh dijimatkan, malah lebih banyak hasil yang boleh dikerjakan setiap hari.

Tambahan lagi, dalam novel ini, Pak Sako giat membawa mesej supaya orang Melayu menghargai karya sastera dan penulisan. Hal ini jelas dapat dilihat dalam sewaktu Mustapha membawa Mamat untuk melihat malam kesenian. Pelbagai perbualan mengenai kebaikan sajak-sajak dan hasil sastera lain ketika itu.

“Datanglah caca, marilah lain-lain lagu menawan, menyerang dan cuba memusnahkan, namun dondang sayang tidak akan kalah, tidak akan mati. Ia akan kekal abadi dicintai, disayangi, dipupuk dan dipelihara dengan baik oleh bangsa Melayu.”

Mustapha turut meluangkan masanya membantu Mamat belajar membaca dan mengenal karya sastera sehingga akhirnya Mamat sendiri yang menagih banyak buku daripada Mustapha untuk dibaca. Penggunaan bahasa turut dibincangkan dalam novel ini kerana Pak Sako ini seorang yang mementingkan adab dan budi bahasa dalam sikap bangsanya. Penggunaan bahasa rakyat jelata kepada pemerintah pun mesti ada cara dan adabnya bagi melambangkan hormat kepada raja.

“Biasanya orang-orang dari pihak kerajaan akan menulis: ‘Saya diperintahkan oleh Menteri Hasil Bumi bahawa surat kamu….’

Ini yang sebetulnya ialah terjemahan daripada gaya bahasa kolonial. Perkataan ‘kamu’ dan ‘diperintahkan’ itu pada jiwa bahasa kita adalah perkataan yang agak kasar bunyinya, dan oleh sebab itu tidaklah berapa sesuai dengan jiwa baru yang hendak dihidupkan, iaitu rakyat itu raja dan raja itu rakyat.”  

“Banyak lagi yang harus disiasat dan dihalusi berkenaan dengan pemakaian dan peradaban bahasa antara pemerintah dan rakyat jelata. Bersyukurlah kita kerana sekarang sudah ada Dewan Bahasa dan Pustaka.” 

Meskipun terlalu banyak nilai berguna dalam novel ini, terdapat beberapa babak yang saya rasa jelas bertentangan dengan agama dan adab Melayu itu sendiri. Dalam bab Main Pantai, ketika Mamat dan Mustapha menghadiri pesta pantai, mereka dengan tidak teragak-agak berkongsi tidur dalam pondok bersama dua wanita. Bukankah Islam menghalang percampuran begini antara lelaki dan wanita? Selain itu, Mustapha walaupun seorang yang sangat mementingkan pembangunan bangsanya, tidak teragak-agak untuk meminum arak walhal minuman inilah antara punca kemunduran dalam diri manusia.

Watak ibu bapa Mamat dalam cerita ini juga tergantung kerana selepas Mamat terpaksa menjadi penarik beca, tidak ada langsung disebutkan tentang mereka. Penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam karya ini ialah dengan memunculkan watak ibu bapa Mamat sekurang-kurangnya sebelum dia berpindah ke Pahang. Agak janggal jika ibu bapa tidak diberitahu langsung dalam setiap keputusan yang dilakukan anak-anak seperti mereka itu diabaikan. Bukankah adab dan budi bahasa kita perlu sentiasa hormat kepada ibu bapa?

Kritikan Fizikal Novel

Novel Budak Beca ini merupakan versi terbit semula oleh pihak ITBM pada tahun 2012 yang merujuk kepada novel PAK SAKO: BUDAK BECA terbitan Marwilis Publisher & Distributor Sdn. Bhd. Selain logo ITBM terdapat juga logo Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang menunjukkan kerjasama antara PENA dan ITBM dalam penerbitan novel ini.

Lukisan pada kulit novel ini sebenarnya kelihatan agak klasik dan mungkin kurang mampu menarik perhatian orang-orang muda untuk membelek novel ini. Jika dibuat pertambahan warna-warna lain dan gambar orang sebenar, ia boleh menarik lebih ramai orang yang tidak tahu tentang karya ini untuk membacanya. Meskipun begitu, pada bahagian kulit belakang novel ini, dicatatkan sinopsis yang jelas dan menarik tentang cerita dalam novel ini. Jika ada orang yang membaca sinopsis ini, pasti timbul keinginan untuk membeli dan mengetahui kisah yang ada. Kulit novel ini menggunakan jenis kertas keras dan berjaket yang menjadikan novel ini kukuh dan mudah dijaga. Di jaket novel ini pula diletakkan petikan daripada novel ini dan profil penulis.

Novel ini juga agak unik kerana masih mengekalkan penggunaan judul separa walaupun diterbitkan pada tahun 2012. Kebiasaannya judul separa tidak lagi digunakan di zaman ini kerana perubahan sistem pencetakan yang semakin maju. Selepas halaman hak cipta, tiada sebarang kata pengantar dan isi kandungan. Penulis terus memulakan bab pertama dalam cerita ini. Terdapat 16 bab dalam cerita ini dan bab yang paling panjang ialah bab Malam Kesenian sebanyak 19 muka surat dan bab yang paling sedikit ialah bab Batu Buruk sebanyak 7 muka surat.

Novel ini juga tidak terlalu tebal, jumlah muka suratnya hanya 199 dan kerana bahasanya yang mudah difahami pembaca sepatutnya tidak mengambil lebih daripada tiga hari untuk menghabiskannya. Saiznya lebih kecil daripada saiz A5 menyebabkan ia senang dibawa ke mana-mana sahaja. Selain itu, tulisan dalam novel ini menggunakan gaya tulisan Arial dan saiznya yang sederhana memudahkan pembacaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.