Review Buku: Orang-Orang Biasa

Penulis: Andrea Hirata
Penerbit: Bentang Pustaka
Tahun Terbit: 2019
Muka surat: 262
Beli di: Jejak Tarbiah
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

Sebatang kapur dan penghapus tergeletak di bawah papan tulis itu. Tampak benar telah sangat lama tak dipakai. Demikian minim angka-angka itu sehingga tak bisa dijadikan diagram batang, diagram kue cucur atau diagram naik-naik ke puncak bukit. Rupanya di kota ini, penduduknya telah lupa cara berbuat jahat.

Mata Inspektur semakin sendu menatap papan tulis itu. Keadaan yang tenteram ini perlahan-lahan membuat polisi di dalam dirinya terlena, lalu terbaring, lalu pingsan, lalu mati. Inspektur sungguh khawatir. Wahai kaum maling, ke manakah gerangan kalian?

Untuk pertama kalinya, Andrea Hirata menulis novel dalam genre kejahatan. Pembaca akan berjumpa tokoh-tokoh unik dengan pikiran menakjubkan, yang mudah bahagia dengan hal-hal sederhana.

Sumber: Goodreads

Buku ini bermula agak perlahan, dan saya sebenarnya pernah mengabaikan bacaan selama hampir dua tahun sebelum membaca semula. Saya ambil sedikit masa untuk memahami tentang kumpulan-kumpulan watak yang ada seperti geng polis iaitu Inspektor Abdul Rojali, 10 sekawan, Boron dan Bandar, serta Trio Bastardin.

Andrea Hirata memang terkenal dengan tema pendidikan dalam tulisan beliau, buku ini sendiri terhasil daripada kekecewaan mengetahui seorang siswi kedoktoran gagal menyambung pelajaran akibat kemiskinan.

10 sekawan ini dari sekolah lagi terkenal dengan reputasi mereka yang dalam kedudukan tercorot dan berhenti sekolah lebih awal dari waktu yang sepatutnya. Mereka langsung tidak berbakat dalam pelajaran. Dinah, salah seorang anggota 10 sekawan contohnya, pasti automatik menjadi sakit perut saat waktu pelajaran matematik bermula.

Dinah sangat runsing mengenangkan Aini, anaknya yang berjaya menempatkan diri dalam fakulti kedoktoran, namun hasrat menyambung pengajian tidak kesampaian kerana kemiskinan mereka sekeluarga.

Ternyata, sekolah dokter itu mahal sekali, But, baru aku tahu kalau orang miskin tak bisa masuk Fakultas Kedokteran

Lalu, jalan akhir demi merealisasikan impian Aini ialah rancangan merampok (merompak) bank oleh 10 sekawan. Aini mesti menyambung juga pengajian, tak kanlah dia mahu menjadi pembantu di kedai kopi sampai bila-bila.

Tangkap! Tangkaplah orang miskin yang berjuang agar anaknya bisa sekolah! Kita ini bukan merampok, Dinah! Kita ini melawan ketidakadilan!

Beberapa kali saya ketawa sendirian membaca gelagat 10 sekawan yang tidak tahu apa-apa tentang merompak ini berbincang tiap kali mesyuarat. Panduan terbaik mereka hanyalah filem-filem rompakan yang rupanya hanya ideal di dunia filem.

Ngomong-ngomong, apakah kau sudah hafal redaksi gertakan itu?” tanya Handai.

“Aih, tenanglah, Jun, hanya sedikit tambahan . Tengoklah, gertakanku nanti lebih bernuansa budaya lokal Melayu Belantik ni!”

Tidak dinafikan, di sebalik babak-babak kelakar yang ditulis, banyak sebenarnya sindiran oleh Andrea Hirata sendiri, seperti:

  • kurangnya akses kepada pendidikan oleh orang miskin.
  • Inequality disebabkan oleh penggubal wang-wang haram.
  • penguasa jawatan rendah tidak dipandang kata-katanya, hanya diberi perhatian saat terjadi kecelakaan.

Watak hero yang saya sangat kagumi ialah Inspektor Abdul Rojali, berintegriti dan tidak pernah sekali terlintas dalam pemikiran mahu mengambil walau sedikit wang penghargaan.

Walaubagaimanapun, oleh kerana saya membaca prekuel buku ini terlebih dahulu (Guru Aini) maka, saya sikit terganggu dengan ketidaksinambungan fakta yang ada tentang Aini, namun, tidaklah terlalu banyak dan mengganggu pembacaan.

Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan buku ini yang menyentuh pelbagai aspek, terutamanya pendidikan, dan sedikit sebanyak, politik, ekonomi dan sosial. Saya sangat menyarankan untuk anda mendapatkan buku ini. Bagi pembaca Malaysia, anda boleh dapatkan versi Bahasa Melayu daripada Jejak Tarbiah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.