Penulis: Khairul Hakimin Muhammad
Genre: Travelog
Penerbit: Nubook
Ini adalah review yang saya tulis untuk Goodreads,
Saya mula tertarik mahu mendapatkan buku ini selepas membaca kisah ibu penulis yang berasal dari India yang saya rasakan ianya unik. Sungguhpun buku ini bergenre travelog, ianya tidaklah mempunyai perincian kos-kos perjalanan dan penginapan untuk panduan pembaca, kerana Tuan Khairul telah ditaja untuk pengembaraan beliau ke India selama sembilan hari ini.
Penulis telah pergi ke empat tempat utama iaitu Kochi, Kondungalor, Munnar dan Alleppey. Beliau yang juga seorang penggemar masakan telah mengambil kesempatan di Munnar untuk belajar memasak makanan India dengan Puan Nimi Sunilkumar yang merupakan pemenang tempat ketiga buku resepi terbaik dunia.
Di situlah beliau belajar memasak Mathanga Erissery kegemaran ibu beliau (ibu beliau tidak lagi dapat menikmati makanan ini selepas berkahwin pada umur 15 tahun). Kisah pengembaraan mereka dalam buku ini diselang-selikan dengan kisah hidup penulis dan ibu bapanya berserta resepi-resepi makanan yang didapati dari India.
Ketika membaca kisah pengembaraan rumah bot mereka dari Munnar ke Alleppey, saya rasa seperti pernah membaca kisah ini. Rupa-rupanya teman seperjalanan Tuan Khairul, iaitu Tuan Fazla sudah pun menulis kisah ini di dalam buku Antologi Travelog: Berjalan di Muka Bumi.
Gabungan kisah pengembaraan, kisah hidup dan resepi menarik untuk dibaca, terutamanya jika anda sedang dalam mood untuk bacaan ringan. Selamat membaca !