Penulis: Dr Spencer Johnson
Penerbit: PTS Publication
Tahun Terbit : 2013
Muka Surat : 80
Beli di: PTS
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.
Empat watak utama: Hem, Haw, Sniff dan Scurry.
Sniff – Menghidu perubahan dengan cepat
Scurry – Mengambil tindakan pantas
Hem – menafikan perubahan dan takut perubahan menyebabkan situasi menjadi lebih teruk
Haw – Menerima perubahan dan bersedia untuk berubah apabila perubahan boleh mendatangkan kebaikan.
SINOPSIS
Empat ekor tikus ini tinggal dalam sebuah Maze. Terdapat banyak Stesen Keju dalam Maze ini. Pada suatu hari, mereka semua tiba di Stesen Keju C yang penuh dengan keju. Setiap hari Hem dan Haw akan menikmati keju yang ada sementara Sniff and Scurry akan keluar mencari stesen keju baru. Hem dan Haw berasa bangga dapat menemui stesen keju yang penuh dengan keju ini dan berpendapat Sniff and Scurry hanya melakukan perkara yang sia-sia.
Suatu hari, Hem dan Haw mendapati keju mereka sudah habis. “Siapa ambil keju saya?” Berulang-ulang kali Hem menyoal. Mereka menyedari Sniff dan Scurry sudah tiada. Sniff dan Scurry telah lama menyedari bahawa stok keju yang ada semakin susut, kerana itu mereka keluar mencari tempat baru manakala Hem dan Haw terlalu selesa untuk menyedari keadaan mereka yang sebenar.
Haw mencadangkan kepada Hem untuk keluar dan mencari stesen keju yang baru, tetapi Hem menolak. Hem takut meninggalkan stesen keju itu akan menjadikan keadaan lebih teruk. Dia berharap ada orang yang akan memulangkan semula keju yang sudah habis itu. Setelah gagal memujuk Hem, Haw keluar dan mencari keju baru. Sepanjang perjalanannya, dia menulis banyak peringatan di dinding-dinding yang ada sebagai cerminan pengembaraannya. Akhirnya dia berjumpa dengan Sniff and Scurry di Stesen Keju N. Di situ terdapat pelbagai pilihan keju yang belum pernah dijumpainya. Menyedari kesilapannya sebelum ini, Haw tidak lagi berasa selesa di situ, tetapi sentiasa mengawasi stok keju yang ada dan keluar mencari stesen keju baru.
Dr Spencer Johnson mengambil masa Hempir 20 tahun untuk menyiapkan buku ini. Buku ini memang nipis tetapi kandungannya mampu mengubah persepsi manusia sama ada untuk organisasi, kekeluargaan, perhubungan atau peribadi. Buku ini telah terjual sebanyak 26 juta salinan dan diterjemahkan kepada 37 bahasa. Buku ini membawakan tema MENERIMA PERUBAHAN DAN MAHU BERUBAH. Sejauh mana kita mahu mulakan langkah baru apabila perubahan tiba? Adakah kita menjadi seperti Hem yang hanya akan merungut? Atau menjadi Haw yang bertindak apabila perubahan tiba? Atau Sniff dan Scurry yang sentiasa bersiap sedia untuk berubah pada bila-bila masa.
Keju ialah metafora kepada apa yang kita mahukan dalam hidup – pekerjaan yang baik, hubungan yang sihat, duit, kesihatan atau ketenangan minda. Maze pula ialah tempat di mana anda berada – syarikat anda bekerja atau komuniti yang anda tinggal.
Ada satu kisah dalam buku ini mengenai seorang lelaki. Keluarga lelaki ini memiliki sebuah kedai runcit di kawasan tempat tinggal mereka. Suatu hari, sebuah pasaraya besar dibina berdekatan kawasan itu. Pembinaan pasaraya itu tidak memberi kesan kepada mereka. Mereka tidak merasakan mereka perlu berbuat apa-apa kerana yakin pelanggan masih akan setia bersama mereka. Mereka hanya beroperasi seperti biasa, sehinggalah mereka sedar apabila mereka tidak berubah, orang lain yang akan berubah. Pelanggan tetap mereka tidak lagi datang ke kedai runcit mereka, tetapi memilih untuk pergi ke pasaraya. Mereka tidak mengambil peluang yang ada ketika masih ada masa untuk berubah. Adakah kita mahu jadi seperti keluarga lelaki ini atau mula berubah supaya dapat bersaing dengan pasaraya itu?