Review Buku: Hikayat Faridah Hanom

Penulis: Syed Sheikh al-Hadi
Penerbit: Nubook Press
Tahun Terbit : 2017
Muka Surat : 315
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

SINOPSIS

Hikayat Faridah Hanom merupakan novel pertama tulisan Syed Sheikh al-Hadi. Novel ini juga dikenali dengan nama “Setia Asyik dan Maksyuknya” dan “Shafik Afandi dan Faridah Hanom”. Ada beberapa pendapat mengatakan novel ini merupakan novel pertama yang wujud di Tanah Melayu dan ada pendapat yang menyangkal kerana watak utama novel ini berbangsa Turki dan menetap di Mesir. Syarikat pertama yang menerbitkan buku ini merupakan The Jelutong Press milik Syed Sheikh al-Hadi sendiri pada tahun 1925, diikuti oleh Penerbit Qalam (Singapura). Pada tahun 1964 sehingga 1985, buku ini pertama kali dirumikan dan diterbitkan oleh Pustaka Antara dan terbaru Nubook Press, sebuah label bawah Dubook Press mengemaskini dan menerbitkan semula buku ini pada tahun 2017.

Hikayat Faridah Hanom mengisahkan percintaan dua anak bangsawan iaitu Faridah Hanom dan Shafik Afandi. Selain dikagumi oleh orang ramai kerana rupa paras yang cantik dan tampan, keduanya merupakan orang yang sangat berilmu. Masing-masing dilengkapkan dengan pelbagai ilmu berkaitan agama dan juga ilmu Barat. Keduanya juga mampu bertutur dalam Bahasa Perancis. Perhubungan kekasih ini bermula apabila pertama kali Shafik Afandi melihat Faridah Hanom, hatinya telah tertawan dan sering dia pergi ke depan rumah Faridah Hanom untuk melihat Faridah. Mereka mula mengutus surat dan akhirnya sering bertemu secara rahsia sambil ditemani hamba masing-masing.

Konflik bermula apabila ayah Faridah, Kasim Bey hendak menjodohkan dia dengan sepupunya Badaruddin Afandi. Faridah tidak menyukai Badaruddin kerana Badaruddin seorang yang suka berseronok sahaja dan tidak bekerja. Bagaimana lelaki seperti ini hendak memimpin rumahtangga. Pinangan daripada Shafik telah ditolak kerana Kasim Bey sudah menerima peminangan daripada Badaruddin terlebih dahulu. Shafik yang kecewa mengambil keputusan untuk menyertai sekolah tentera yang telah lama dia idamkan. Ayahnya, Talak Bey yang sebelum ini tidak memberi kebenaran akhirnya melepaskan Shafik ke sekolah itu, kerana tidak mahu Shafik terus-terusan bersedih.

Selama tiga tahun lebih Shafik di sekolah tentera, Faridah jatuh sakit akibat terlalu sedih tidak dapat berjumpa dengan kekasihnya dan juga kerana terlampau membenci Badaruddin. Kasim Bey tidak peduli dengan keadaan anaknya dan merasakan sebagai ayah, dia berhak menikahkan anak perempuannya dengan siapa sahaja yang dimahukannya. Beberapa bulan sebelum Shafik kembali ke tanah airnya, Faridah telah menikah dengan Badaruddin. Takdir menentukan mereka terjumpa semula di Iskandariah. Perjumpaan semula dengan Shafik telah membuat Faridah kuat semangat untuk lari dari rumah Badaruddin dan balik ke rumah ayahnya. Faridah memberitahu bahawa pernikahannya dengan Badaruddin tidak sah kerana bersifat paksaan.

Melihat kesengsaraan yang dihadapi anak perempuannya, akhirnya Kasim Bey menyokong usaha supaya Faridah bercerai secara sah namun dirahsiakan kerana mahu menjaga nama baiknya sendiri. Faridah akhirnya menemui kebahagiaan apabila berkahwin dengan Shafik. Harta yang diberikan oleh ayahnya pula tidak diambil langsung tetapi digunakan untuk membuka sekolah untuk semua perempuan di Mesir. Dia mahu wanita di Mesir bangkit kerana mereka layak menerima ilmu sebagaimana yang diterima oleh lelaki.

REVIEW

Penulis pada hayatnya merupakan seorang pengasas Kaum Muda di Tanah Melayu. Antara matlamat penubuhan Kaum Muda ialah untuk meningkatkan kemajuan orang Melayu beragama Islam dan juga emansipasi wanita. Tahun 1925 merupakan tahun orang Melayu masih tidak peduli kepentingan menuntut ilmu, tetapi beliau sudah pun membawa perjuangan hak pendidikan wanita. Beliau seperti maju 100 tahun berbanding kaumnya. Tanpa ilmu dan pendedahan daripada luar, tidak mungkin beliau mampu berfikiran seperti ini.

Penulis membangkitkan isu wanita yang tidak bebas bersuara lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan pernikahannya sendiri. Oleh kerana Faridah Hanom ini orang yang berilmu, maka dia dapat melepaskan diri daripada perkahwinan yang tidak disukainya. Apakah yang akan terjadi kepada wanita yang tidak berilmu di luar sana jika dipaksa berkahwin sebegini? Inilah yang dikatakan Faridah Hanom kepada bapanya.

Benarlah bagaimana perkataan ayahanda itu di dalam hukum kita Islam wali mujbir (bapa atau datuk) itu boleh menikahkan anak atau cucunya dengan laki-laki yang kupu dengan dia dengan mahar missal dengan tiada payah mengambil izin daripada anak atau cucunya itu.

            Tetapi selama bapa dan datuknya itu tidak mengetahui akan anak atau cucunya itu tidak suka atau tidak reda akan laki-laki itu, maka apabila diketahui oleh bapa atau datuk itu akan ketiadaan reda anak atau cucunya dengan tanda-tanda yang telah disebutkan oleh ulama’ fekah di dalam segala kitabnya hinggalah kekuasaannya boleh menikahkan dengan tiada mengambil izin itu. Dan jika dinikahkannya juga, maka nikah itu tidak sah sekali-kali.”

Undang-undang Islam itu tidak hanya berpihak kepada lelaki tetapi juga perempuan. Babak ini menunjukkan bahawa Islam sentiasa ada jalan keluar untuk perempuan yang terperangkap dalam pernikahan paksa dan tidak semestinya menerima dan redha sahaja dengan takdir. Ilmu jugalah yang diperlukan untuk penyelesaian masalah.

Ketika Faridah terserempak dengan Shafik di Iskandariah, hatinya meronta-ronta ingin bertemu dengan Shafik.

Ada sejurus berjalanlah ia masuk ke dalam biliknya sambil berfikir di dalam hatinya – jika aku pergi pun sekarang kepada Shafik boleh juga, tetapi kurang eloklah pada peraturan tabiat perangai anak baik-baik sebab aku ini telah menjadi isteri orang pergi berjumpa dengan seorang laki-laki yang lain.”

            Jika diikutkan hati, Faridah boleh sahaja pergi kepada Shafik memandangkan suaminya juga tiada di rumah, tetapi memandangkan rasa malu dan harga diri yang ada dalam dirinya, dia tidak berbuat demikian. Perempuan yang baik seharusnya sentiasa menjaga maruah diri.

Selain itu, penulis turut membangkitkan isu liberal dalam novel ini. Pada saat Kasim Bey hendak membahagikan hartanya kepada Faridah dan adik lelakinya Muhammad Afandi, berlaku pertelingkahan kecil. Muhammad Afandi meminta supaya dibahagikan sama rata harta ayahnya antara mereka berdua. Shafik Afandi pula menolak kerana bagi beliau, Faridah tidak memerlukan harta daripada ayahnya, kerana dia sendiri sudah mewarisi banyak harta. Hal itu tidak selesai dan Shafik Afandi pulang untuk meminta pendapat ayahnya.

Maka Talak Bey laki-isteri pun tertawa mendengar segala hal yang telah berlaku itu seraya berkata kepada Faridah Hanom, “Bagaimanakah fikiran tuan di dalam perkara ini, dan siapakah punya fikiran yang betul kepada tuan?”

            Jawab Faridah Hanom,”Adapun fikiran anakanda kedua-dua orang ini salah belaka. Dan kedua-dua orang ini hendak memerangi akan Tuhannya Rabbul alamin dan memecahkan hikmatNya yang maha besar gunanya di dalam hukum agama Islam yang maha tinggi ni’”

            Islam sudah memberi garis panduan untuk pembahagian harta pusaka melalui ilmu Faraid, tetapi orang Islam sering kali mengabaikan perkara ini dan membahagikan harta mengikut cara sendiri. Perkara ini boleh mengakibatkan kezaliman kepada pewaris harta.

“Bahagian pusaka ini dilebihkan oleh Tuhan akan anak laki-laki daripada anak perempuan, ialah sebab laki-laki itu terlebih banyak dan terlebih berat pikulannya daripada perempuan.”

Penulis turut membuat teguran kepada lelaki yang sudah berkahwin yang hanya suka berseronok dengan isteri sendiri dan tidak mahu membuat pekerjaan lain. Hal ini dapat dilihat dalam babak Faridah Hanom dengan tegasnya menegur suaminya agar tidak terus terpedaya dengan nafsu.

Agaknya bukan kakanda tiada tahu akan segala perkara ini, tetapi kakanda sangat menurutkan nafsu laki-laki kakanda sahaja, lupalah kakanda akan pendapatan yang dibelakang hari. Tidakkah kakanda ketahui yang nafsu itu akan menerima jemu? Maka jikalau adinda turutkan sangat nafsu kakanda itu, duduk berseronok siang dan malam tidak bekerja dan tidak menjaga kewajipan adinda bagi kesenangan dan kesukaan kakanda di dalam rumah tangga sehingga biasa dan sedaplah adinda dengan tabiat pemalas itu ketika sampai masa kakanda telah rasa jemu kepada adinda lagi di dalam rumah ini jika tiada kakanda mendapat kesenangan dan kesukaan di dalamnya.”

            Shafik Afandi menyedari isterinya bukan sekadar tempat melepaskan nafsu semata-mata. Faridah seorang perempuan berjiwa besar dan tinggi sifat kemanusiaan. Harta daripada ayahnya tidak diambil walau secebis, sebaliknya digunakan untuk membina sekolah untuk perempuan di Mesir serta memberi bantuan kepada sekolah yang sedia ada. Dia boleh berbicara dengan Faridah tentang apa-apa pun termasuk hal pekerjaannya yang sukar.

Penulis memberi kesedaran kepada pembaca bahawa wanita itu tempatnya bukan sekadar memasak dan menyediakan pakaian untuk suaminya, tetapi lebih daripada itu. Keputusan dalam keluarga sepatutnya datang daripada perbincangan suami dan isteri, bukannya hak mutlak seorang lelaki. Buah fikiran wanita itu diperlukan dalam banyak perkara seperti pembangunan keluarga dan masyarakat.

Walaubagaimanapun, beberapa babak dalam novel ini seperti tidak kena dan mungkin menimbulkan kekeliruan dan pertanyaan kepada pembaca. Penulis dikenali sebagai orang agama, tetapi dalam babak pertemuan antara Faridah Hanom dan Shafik Afandi sebelum berkahwin banyak memaparkan yang mereka sering bersentuhan secara fizikal. Bukankah hal ini dilarang dalam agama Islam?

Tulisan Syed Sheikh al-Hadi ini menggunakan bahasa klasik dan mungkin perlu dibaca beberapa kali untuk lebih difahami. Beberapa babak juga diselang-selikan dengan puisi daripada penulis. Walaubagaimanapun, jalan cerita buku ini tidak kompleks dan mudah difahami kerana plotnya berbentuk kronologi. Maksud sesetengah perkataan dan terma juga diletakkan di bahagian bawah muka surat untuk rujukan pembaca.

Kesimpulannya, Hikayat Faridah Hanom sesuai untuk pembaca yang boleh menerima gaya bahasa klasik dan juga yang sukakan tema perjuangan wanita. Banyak isu wanita yang ditonjolkan oleh penulis yang boleh dikupas dan dibincangkan. Biarpun bahasanya klasik, novel ini masih mendepani zaman kerana isu yang dibincangkan masih relevan hingga kini.

Nota pendek: Ini merupakan tugasan untuk Bengkel Reviu yang saya hadiri bulan lepas.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.