Penulis: Faisal Tehrani
Penerbit: Buku Fixi
Tahun Terbit: 2018
Muka surat: 370
Beli di: Gerak Budaya (versi BI)
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda
.
Suliza, seorang profesor yang feminis menyedari seksualitinya tidak normal ketika bersekolah di sebuah sekolah agama. Selepas tragedi buruk menimpa insan yang disayangi, Wan Ros, dia berpindah ke Amerika untuk meneruskan pengajian. Di sana dia mula mengkaji dan menyokong gerakan hak asasi manusia, sebuah perjalanan yang membawanya dari Cornell ke Geneva dan Stockholm.
Sekembalinya ke Malaysia, Suliza dan sahabat peguamnya Maria sering kali menjadi sasaran kumpulan konservatif kerana hak asasi yang mereka pertahankan serta seksualiti mereka. Suliza berkenalan dengan Hashimah, seorang tukang cuci di universiti dia mengajar. Suami Hashimah seorang ustaz yang merupakan seorang pengganas yang dikehendaki dan menyebabkan keadaan semakin berbahaya buat Suliza. Penahanan suami Hashimah menyebabkan kejadian pembunuhan tragis Suliza. Profesor tulisan Faisal Tehrani bukan sahaja memaparkan kisah cinta namun juga makna keadilan, seksualiti dan agama dalam masyarakat yang didominasi oleh golongan pelampau.
Sumber: Gerak Budaya
Sudah hampir seminggu saya mengkhatamkan buku ini, namun baru kini berkesempatan untuk membuat ulasan. Seperti biasa, seorang Aina menghabiskan buku yang sudah dibeli beberapa tahun lepas kemudian rasa menyesal tidak membaca lebih awal.
Selama tiga tahun ini, tak pernah pun saya nak ambil tahu atau cuba-cuba baca reviu tema apa yang dibawa dalam buku ini. Kalau lihat kulit buku pun, ia dijual sebanyak 1500 naskhah sahaja kerana kebimbangan ‘diban’. Sekarang masih ada namun versi Bahasa Inggeris yang diterjemah dan diterbitkan oleh Gerak Budaya.
Sewaktu beli dulu pun saya cuma berfikir, “ha ada 1500 sahaja buku ni dalam Malaysia, tak boleh terlepas, FT pula tu”. Nyata sekali buku ini membawa tema hak asasi manusia, namun ideanya pasti kurang menyenangkan pembaca di Malaysia terutamanya yang beragama Islam kerana kelompok yang diketengahkan ialah LGBTQ. Ia sarat dengan banyak fakta dan paling penting, sindiran kepada banyak pihak, terutamanya agamawan.
Banyak sekali petikan teks Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang diselitkan. Jujurnya memang sedikit membosankan buat saya, tapi kerana saya jenis pembaca yang tak akan langkau halaman, ku gagahkan jua membaca.
Profesor Suliza, Dalila, Wan Ros, Jebat, Ustaz Idrus, Dr Ali Taqi, Hashimah dan banyak lagi watak sangat menghidupkan kisah dalam cerita ini. Sesuatu perkara berlaku sememangnya berlaku dengan sebab. Suliza begitu lantang menentang agamawan dalam isu LQBTQ lantaran kekerasan yang diterimanya sewaktu zaman bersekolah. Ustaz Idrus dibunuh bukanlah kerana isterinya perempuan jahat, namun kerana kejahatan dan dirinya sendiri yang menyalahgunakan agama demi kepentingan sendiri.
Apabila diletakkan label Untuk Pembaca Matang di buku ini, maka ia memang terpakai untuk menentukan usia pembaca buku ini, kerana ada beberapa babak erotik…
Membaca buku ini juga umpama membawa saya mengelilingi dunia. Pada awalnya banyak babak berlangsung di Geneva, seterusnya India, Stockholm, Jerman, Paris, Jepun dan bermacam-macam lagi. Penulis juga banyak membuat cameo dalam bukunya sendiri.
Tidak semua idea yang diketengahkan saya persetujui, namun, perbincangan mesti terus berlaku. Bulat-bulat menerima pun tidak, bulat-bulat menolak pun jangan, pembacaan mesti terus dilakukan dan mesti terus berfikir.
Kesimpulannya, manusia perlulah dilayan seperti manusia, bukan haiwan. Kita tidak berhak menjadi Tuhan lalu menghukum manusia atas perkara yang tidak mampu kita halang/tukar.