Sewaktu menyelongkar almari kitab arwah datuk dengan harapan ketemu buku kisah 1001 malam beberapa bulan lepas, saya menjumpai buku yang sering kali disebut oleh pengajar kursus berkaitan perbukuan atau penterjemahan yang saya hadiri sebelum ini, iaitu Seorang Tua di Kaki Gunung. Ia milik ibu saudara saya yang digunakan sebagai sukatan pelajaran KOMSAS beliau dahulu.
Sedikit pengenalan mengenai buku ini, ia ditulis oleh Allahyarham Azizi Hj Abdullah dan memenangi tempat kedua Sayembara Hadiah Novel GAPENA – Yayasan Sabah II tahun 1981. Mengikut bacaan di internet, banyak rupanya buku yang dikarang oleh penulis ini. Jika masih hidup, mungkin beliau sudah berada di tahap calon sasterawan negara. Berbalik kepada kemenangan sayembara, agak unik catatannya kerana meskipun kisah ini begitu hebat, ia hanya memenangi tempat kedua dan tiada pemenang tempat pertama kerana tiada yang layak. Berapa ketatkah pemilihan ketika itu?
Seorang Tua di Kaki Gunung mengisahkan sepasang suami isteri, Tukya dan Besah yang tinggal di kaki Gunung Bongsu sementara anak mereka, Fikri yang sudah berkahwin dengan Fatimah tinggal di bandar bersama-sama dua anak mereka, Farid dan Lamin. Sebulan atau dua bulan sekali Fikri sekeluarga akan pulang ke kampung menziarahi ibu bapanya. Fikri tidak lagi menghargai tempat lahir dan membesarnya serta lebih menghargai kehidupan di kota. Begitu juga isterinya yang memang berasal dari bandar dan Farid yang gemar memperlekehkan rumah datuknya. Hanya Lamin yang suka tinggal di kampung dan mengikut aktiviti harian Tukya ke hutan dan huma.
Lamin seronok tinggal di kampung sewaktu cuti sekolah. Tukya amat bersemangat mengajar Lamin cara mendapatkan madu lebah. Baginya, Lamin mesti diajar cara hidup di luar bandar. Setiap isi alam mesti dihargai. Walau bagaimanapun, malang bagi Tukya apabila dia disengat sekumpulan lebah sehingga terpaksa ke hospital. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu berita kemalangan itu sampai ke anaknya kerana dia tidak mahu dilihat lemah. Pulangnya Fikri untuk mengambil semula Lamin dan memujuk ayahnya supaya tinggal bersama dia di bandar sangat mencabar semangat tua Tukya. Farid pula menambah luka di hati dengan mengejek-ngejek keadaan rumah Tukya. Katanya, rumah itu senget dan menanti masa untuk roboh.
Inilah yang membuat Tukya bertekad untuk membina rumah baru menggunakan kayu pokok cengal sebesar dua pemeluk setengah yang dijumpai di hutan. Pedulikan jika penat, pedulikan jika diketahui oleh pihak perhutanan. Orang kampung, Fikri, Farid perlu tahu yang Tukya juga boleh ada rumah baru. Biar mereka terpegun dan malu sendiri.
Namun, ia berakhir dengan tragedi yang tidak diduga. Dendam kuat ini merampas nyawa Tukya. Besah hilang suaminya, Fikri baru sedar yang kata-katanya selama ini diambil serius oleh si ayah, dan Farid, tiada guna lagi menyesal.
Terlalu banyak pengajaran yang boleh didapati melalui naskhah ini. Paling ketara, ia mengingatkan kepada sikap ayah saya sendiri. Jika beliau menziarahi saya di Kajang, ayah saya tidak betah bermalam lebih daripada sehari pun. Kehidupan di kota bukanlah kehidupan ayah. Maka, saya memahami sepenuhnya apa yang bermain di jiwa Tukya. Bagaimana mungkin orang yang sudah bertahun bebas di tepi gunung mampu bertahan dikurung di tengah kota?
Penulis Azizi Hj Abdullah seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama. Watak Tukya dalam kisah ini adalah seorang yang sangat menjaga solatnya. Jarang sekali ia meninggalkan solat berjemaah di surau sewaktu Maghrib dan Isyak. Jika terpaksa berlama-lamaan di hutan, pasti akan dicari jalan supaya solat tidak ditinggal.
Melalui buku ini juga barulah saya tahu wujudnya kitab-kitab panduan membina rumah. Tetapi saya tidak berani mengulasnya kerana tidak tahu adakah saya patut percaya atau tidak dan ia juga di luar pengetahuan.
Terakhir sekali, berhati-hatilah saat berbicara dengan ibu bapa kita. Didiklah anak supaya sama-sama menghormati dan menjaga kata-kata. Kita tidak tahu berkemungkinan perkara yang diucapkan menyakitkan hati mereka dan mengundang tindakan yang akhirnya membawa padah.