Review Buku: Pegkung Alung

Penulis   : Riduan A Dullah
Penerbit : Buku Pojok
Tahun Terbit: 2018
Muka Surat: 124
Beli di: Karangkraf Mall

PENGENALAN

Pegkung Alung, sebuah travelog yang mengisarkan perjalanan hampir sebulan lamanya di bumi Borneo, merentasi deretan bandar serta kawasan pedalaman. Dan mungkin satu-satunya naskah yang melibatkan seorang OKU buta, seorang OKU pekak dan seorang bukan OKU dalam satu perjalanan yang cukup pelik dan mengujakan.

Pernah dikritik sebelum ini melalui travelog Goji Bundy yang dikatakan hanya bermotifkan emosi dalam sebuah perjalanan putus cinta dan patah hati, kali ini Riduan A. Dullah kembali dengan sebuah travelog yang jauh lebih kritis dan bermain dengan isu yang lebih berat.

Naskah yang penuh dengan pembantaian akal dan emosi dari mula hingga akhir, serta naskah yang menyingkap hakikat insan yang sebenarnya sama ada golongan OKU mahupun bukan OKU, dan perbezaan ‘kasta’ yang wujud antara golongan ini.

Penuh dengan sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran kau dan aku. Perjalanan kali ini adalah satu kesilapan.

REVIEW

Travelog pertama tulisan Riduan A Dullah yang saya baca ialah Goji Bundy. Setelah kecewa kerana pertunangannya putus, Riduan membawa diri ke Australia dan melalui adventure yang tersendiri. Cerita yang paling saya ingat tentulah kisah beliau bekerja sebagai pemetik buah. Jalan cerita kembara beliau bukan sesuatu yang seronok-seronok sahaja tetapi penuh cabaran.

Kali ini beliau menulis lagi dalam Pegkung Alung. Ya, saya rasa beliau gila sebab kembara seperti ini. Kembara beliau sendiri bukanlah kembara yang santai. Pilihan tempat-tempat juga bukanlah untuk berenak-enak atau seronok yang selesa, tetapi lebih kepada thrill pengembaraan itu sendiri.

Tempat-tempat yang dipilih juga bukan pilihan normal, seperti Maliau Basin, sebuah kawasan konservasi. Hendak masuk ke tempat ini, perlu mohon permit dulu. Demi penjimatan wang, kebanyakan masa dia memilih tidur dalam khemah. Kadang kala tenang, kadang kala diganggu babi.

Ada masa naik bas, naik 4×4, naik bot, naik keretapi dan ada masa, berjalan kaki sahajalah. Kenapa saya bilang ini kembara gila? sebab Riduan kembara bersama dengan golongan kelainan upaya. Dia membawa satu OKU pekak dan satu OKU buta. Hah! Bagaimana nak berjalan sendiri dengan dua orang ini? Macam mana nak  buat, bila berjalan dalam Gua Niah yang gelap, yang buta boleh dengar arahan tapi nampak ke dia untuk betul-betul jalan dalam gua  itu? Atau bila kawan kita yang pekak, macam mana kita mahu panggil dia?

Menarik bukan? Memberi arahan kepada orang pekak tidak sama seperti memberi arahan kepada orang biasa walaupun dia tahu apa yang kita katakan. Dia tidak tahu dengan nada apa kita bercakap, jadi tidak semestinya dia faham. Bagaimana pula nak pastikan kawan buta untuk tidak jatuh ke dalam sungai saat kita membantu dia untuk masuk ke dalam bot daripada jeti?

Membaca buku ini memberi kesedaran yang banyak kepada saya. Terlalu banyak khazanah dalam negara yang masih belum diterokai. Hanya kita mahu atau tidak mahu sahaja untuk explore. Malaysia masih jauh ketinggalan, fasiliti untuk golongan istimewa masih kurang. Setiap orang ada hak bukan untuk jelajah ke mana-mana? Terbantutlah niat mereka mahu mengembara jika kemudahan tidak disediakan bukan? Marilah sama-sama sedar yang dunia ini bukan diciptakan untuk orang yang sempurna sifat dan fizikal mereka sahaja. Dunia ini untuk semua.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.