Review Buku: Ibu Melayu Mengelilingi Dunia – Dari Rumah ke London

Penulis    :  Tan Sri (Dr) Hajah Aishah Ghani (Aishah Ghani)
Penerbit  :  ITBM
Tahun Terbit : 2012
Muka Surat : 182
Beli di : ITBM
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

PENGENALAN

Travelog ini merakamkan catatan peribadi Aishah Ghani semasa mengejar cinta pertamanya, iaitu melanjutkan pelajaran di London pada tahun 1955. Dari atas kapal Canton sehingga tiba di pelabuhan Tilbury, London, beliau menulis dengan ringkas, tetapi padat tentang setiap tempat dan peristiwa yang dilalui semasa belayar dan sepanjang beliau tinggal di sana sehingga tahun 1958. Dalam setiap tulisannya, ada suara berani dan bernas yang penuh semangat nasionalisme meskipun jauh di negara lain. Bukan itu sahaja, travelog ini mewakili pandangan seorang perempuan Melayu tahun 50-an yang tajam dan kritis.

REVIEW

Seingat saya, saya pernah membaca mengenai tokoh besar ini dalam buku tulisan Maisarah Mohd Pauzi iaitu “Ustazah Zaman Dulu-Dulu” (baca review di sini) yang saya beli di PBAKL tahun 2018 lalu. Jadi ketika pihak ITBM menghubungi saya dan mahu memberikan baucar RM200 atas penyertaan saya dalam Kritik Buku ITBM, saya segera memanfaatkan baucar itu untuk membeli buku ini di PBAKL 2019 lepas. Terima kasih Kak Husna Musa yang sudi menjadi Personal Shopper (saya terlepas peluang kali ini gara-gara berpantang). Walaubagaimanapun, lama buku ini berada di bahagian Akan Dibaca / To be Read Piles saya sebelum saya mengambil keputusan untuk mula membacanya sebelum hadir ke Bengkel Penulisan Travelog lepas.

Ketika membaca bab awal bab ini, segera membuat saya terkesima. Catatan pengembaraan amat sinonim dengan lelaki, tetapi Aishah Ghani sudah pun mendahului zaman beliau dengan tulisan ini. Bak kata Puan Nisah Haron yang menulis prakata untuk buku ini (Edisi Terbitan ITBM),

“Saya berani nobatkan buku ini sebagai travelog wanita Melayu pertama di dunia.”

Beliau menulis catatan ini bermula tahun 1955-1958. Melihat latar masa itu juga sudah membuat saya kagum. Saat tanah air masih lagi belum bebas, minda wanita cekal ini sudah terlebih dahulu bebas dan terbuka. Cuba perhatikan wanita-wanita dalam keluarga anda, ada yang sudah terpelajar dan terbuka mindanya begini ketika itu? Ibu saya yang mahu menyambung pelajarannya dalam sijil perguruan dari Johor ke Sabah ketika tahun 1981 juga masih dipersoal saudara mara.

“Buat apa bersusah payah mahu menyambung pelajaran?”

Mujurlah nenek saya memberi sokongan yang kuat. Kerana wanita tempatnya bukan sekadar di dapur sahaja.

Pada hemat saya, catatan ini bukanlah catatan biasa-biasa. Peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan, orang-orang yang dijumpai, gaya berpakaian, peribadi, budaya setempat, kesemuanya yang beliau perhatikan, ditumpahkan dalam catatan ini.

Sedikit keratan puisi yang ditulis buat suami beliau,

Tahukah kau oh sayang,
Sebelum kau dan aku berkenalan,
Aku telah mencintai sesuatu,
Ku anggap ia sebagai kekasihku pula,
Tapi keadaan tak mengizinkan kami bertemu,                                 

Kerana kekurangan syarat pada diriku.”

Cinta yang dimaksudkan beliau ialah ilmu. Kerana ilmulah, beliau cekalkan hati meninggalkan suami dan tiga anaknya (yang bongsu baru berumur setahun lapan bulan) untuk ke Tanah Ratu demi menimba ilmu.

Kecerdasan minda Aishah Ghani dapat dilihat melalui catatan-catatan beliau ini terutamanya ketika beliau berada di England. Banyak hal-hal sosiopolitik dan sosioekonomi dan juga bacaan tambahan mengenai England di zaman itu beliau perkatakan. Yang paling menarik perhatian saya ialah beliau sangat ambil berat akan hak-hak dan kemajuan wanita dalam sesebuah negara.

“Di Eropah, masih ada lagi negeri yang belum memberikan hak mengundi kepada kaum ibu seperti Switzerland dan begitu juga di bahagian sebelah Timur seperti Mesir, Afghanistan, Iraq, Ethipoia, Honduras dan lain-lain. Kaum ibu British telah menunjukkan bukti kepada dunia. Dalam sejarah kesusasteraan British, orang tiada akan melupakan nama Virginia Woolf seorang pujangga yang masyhur. Ovive Schrenier dan Ray Stracher akan tercatat juga namanya sebagai orang yang banyak berjasa terhadap kemajuan kaum ibu British. Tiada boleh pula dilupakan nama John Stewart Mill sebagai penyokong kemajuan kaum ibu.

            Catatan tahun 1951 telah menunjukkan bukti, 36300 orang doktor dan ahli bedah, 7200 orang daripadanya ialah perempuan. Kaum ibu telah maju dalam segala lapangan, pejabat-pejabat dan kilang-kilang telah dibanjiri oleh pekerja-pekerja perempuan dan tidak terkirakan pula banyaknya yang bekerja di lapangan kebajikan.”

Selain itu, kelebihan membaca catatan ini boleh memberi kita bayangan sedikit sebanyak situasi ketika zaman itu. Rupa-rupanya waktu tahun 1955, di England sudah pun ada mesin tiket automatik. Kita tak tahu juga bukan, jika tiada catatan seperti ini.

“Di tiap-tiap  stesen ada disediakan mesin penjual tiket sendiri. Kita
tekan sahaja tiket yang kita kehendaki dan pandai pula ia memulangkan
sekiranya wang kita berlebihan daripada harga tiket.”

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Ini juga intipati paling penting yang saya dapat daripada buku ini. Sewaktu sudah banyak ura-ura mahu meminta kemerdekaan daripada British, ramai lagi rakyat Tanah Melayu yang masih tidak suka dengan idea ini. Rakyat Tanah Melayu yang berpeluang ke England ketika itu, kebanyakannya menukar fikiran mereka dan sangat setuju Tanah Melayu mesti merdeka. Minda lebih terbuka apabila tidak terkongkong dalam kelompok yang sama sahaja.

Membaca tulisan Aishah Ghani ini sangat menginspirasikan, tidak mungkin cita-cita dan harapan tertunai, sekiranya tiada sokongan daripada keluarga terutamanya sang suami. Semoga lahir lebih ramai lagi Aishah Ghani dan suaminya.

Nota:

Buku terbitan yang pertama, hasil jualannya Aishah Ghani telah berniat untuk digunakan membiayai pelajar yang mahu belajar di luar negara.

Buku ini turut disimpan di British Library. Link rujukan di sini. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.