Review Buku: Bumi Manusia (Pramoedya Ananta Toer)

Tulisan ini adalah salinan review yang saya letakkan di Facebook pada 10 April lepas.

Bumi Manusia seperti membawa kita merasa sendiri zaman penjajahan di Indonesia. Pribumi kehilangan hak di bumi mereka sendiri. Mereka sudah tentunya tidak dibenarkan berpakaian seperti orang Eropah (Belanda), malah apabila bertutur dalam bahasa Belanda mereka diherdik supaya bertutur semula dalam bahasa Indonesia bagi menunjukkan betapa tidak layaknya mereka berdiri sama tinggi dengan orang Eropah.

Perbicaraan kematian Tuan Mellema menunjukkan simbol golongan pribumi melawan penjajah, lebih-lebih lagi sewaktu Nyai Ontosoroh menyoal kembali hakim Belanda, mengapa tiada yang peduli ketika dia dipaksa menjadi gundik, namun berkobar-kobar cuba meletakkan kesalahan dibahunya apabila rakyat mereka dibunuh. Wanita diangkat setingginya dalam tulisan ini.

Peristiwa Annelies dirampas dari tangan Nyai terang-terangan menyerlahkan undang-undang kolonial yang langsung tidak memihak kepada pribumi. Langsung tidak logik apabila hidup seorang anak ditentukan oleh kerajaan Belanda kerana anaknya kerana anak itu campuran Belanda Indonesia, tetapi ibunya tiada hak langsung hanya kerana berstatus pribumi. Kisah ini mengingatkan saya kepada buku Natrah, yang mana kerajaan besar Eropah sanggup mengorbankan perasaan dan jiwa anak-anak demi mengekalkan keegoan mereka sebagai penjajah. Negara penjajah tidak boleh kalah dengan yang dijajah. Namun Nyai Ontosoroh bukanlah manusia yang mengalah tanpa melawan.

“Kita telah melawan, Nak, Nyo, sebaik-baiknya, sehormat-hormatnya.”

Nota:
Artikel review Bumi Manusia (dalam konteks Nyai Ontosoroh) yang saya tulis tersiar di laman Jejak Tarbiah. Boleh dibaca di sini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.