Saya sedang mengikuti rapat sebuah drama bersiri Korea di Netflix, Hospital Playlist 2. Saya betul-betul sukakan cerita ini. Menontonnya membuat jiwa yang dirasakan kacau kembali tenang, kepenatan yang ada beransur-ansur lenyap dan gembira hadir.
Beberapa minggu lepas, baru disiarkan episod keenam. (berhati-hati, *spoiler alert*)
Bulan Mac baru menjelang, bermulanya kemasukan intern (dipanggil House Officer di Malaysia) yang mendebarkan doktor lain. Ada yang gembira kerana ada tambahan ahli dalam jabatan mereka, ada juga yang melopong sahaja mengenangkan tiada yang mahu memasuki jabatan mereka dan sudah ada doktor (residen) yang mula geleng kepala kerana menanti gelagat para intern yang mungkin menyebabkan mereka dimarahi oleh profesor gara-gara tidak melatih anak buah mereka dengan baik.
Dalam musim lepas (HP 1), ada dua watak pelajar perubatan yang diperkenalkan, Jang Hong Do dan Jang Yun Bok, sepasang kembar. Tugas mereka hanya mengikuti ke mana sahaja yang diarahkan dan langsung tidak beri sebarang tanggungjawab selain memerhati.
Kini, mereka sudah bergelar intern dan diberi tugasan.
Situasi 1: Yun-Bok diarahkan untuk menggantikan tiub nasogaster (tiub panjang masuk ke hidung) pada seorang pesakit. Dia memang lakukan seperti yang diminta, tetapi lepas masukkan tiub baru ke lubang hidung kiri, tiub kanan tak dicabut. Dah macam mana pesakit nak bernafas?
Situasi 2: Hong-Do mendapat tugasan untuk pegang rektraktor Richardson, sejenis alat yang menahan perut ibu yang bersalin secara pembedahan. Malangnya, dia salah faham terhadap arahan ni. “Richardson, out.” Dia bukan saja keluarkan rektraktor tu, malah keluar (out) daripada bilik bedah, menyebabkan alat ni sudah tercemar.
Saya memang ketawa terbahak-bahak sebab babak ni kelakar. Pesakit yang tersumbat hidung itu, apabila doktor residen yang menyelia Yun-Bok minta maaf atas kesilapan anak buahnya, langsung tidak marah dan berkata, “Tak mengapa, anak sulung saya pun baru bekerja, masih buat banyak salah.”
Saya pun banyak alami situasi begitu saat baru sahaja masuk ke alam pekerjaan. Bergraduasi daripada universiti ternama memang memberi banyak tekanan kepada saya. Kebanyakan orang anggap saya tahu semuanya dan saya sendiri menjadi tertekan kerana tak tahu banyak perkara. Saya memang ada mindset mahu belajar tetapi terlalu cepat rasa down jika ada perkara yang saya tidak tahu. Rasa seperti loser dan malu kerana tak tahu. Saya cepat runsing memikirkan apa yang difikirkan orang lain.
Namun, sebenarnya, orang lain tidak begitu peduli kerana mereka sendiri sibuk dengan kerja masing-masing. Semakin lama bekerja, semakin saya sedar, terlalu banyak perkara yang saya tak tahu. Tidak perlu malu untuk akui. Tidak perlu rasa stress kerana orang lain juga begitu. Manusia belajar seiring dengan peredaran masa.
Jika diingati semula, saya betul-betul mampu grab konsep asas teori elektrik semasa tahun ketiga bekerja. Ya, saya bukanlah pelajar yang bijak, saya belajar dengan pengalaman dan hands on. Kata orang, hasil tidak pernah mengkhianati usaha. Benar sekali. Semasa menjadi jurutera reka bentuk, selepas dua tahun gigih belajar membuat rekaan, pembelajaran sendiri, dan tidak dinafikan doa-doa daripada insan sekeliling, saya sedar, walaupun masih banyak kekurangan, ada peningkatan dalam diri saya.
Jika bos/penyelia menyoal tentang reka bentuk yang dibuat, saya mampu menjawab dengan baik dan tidak takut jika saya salah, kerana saya sebenarnya sedang belajar. Tiada lagi ketakutan yang tidak tentu hala.
Dan sekarang, saya sudah pun beralih bidang. Daripada jurutera ke penterjemah, tentulah banyak bezanya. Saya juga tidak begitu serius menceburi bidang terjemahan sebelum itu atau membuatnya secara sambilan (hanya dua bulan pada tahun 2017), jadi memang saya umpama seorang fresh grad. Mindset mahu belajar dan tidak takut salah ini banyak membantu saya menghadapi pekerjaan saya sekarang. Saya tahu yang ‘saya tidak tahu’ dan mahu terus belajar. Saya sedar perjalanan ini masih panjang dan berasa tiada keperluan untuk stress kerana tidak sebaik penterjemah lain. Sudah tentulah hasil kerja orang yang baru setahun jagung tidak sama dengan individu yang sudah berbelas tahun bergelumang dalam bidang ini.
Berbalik pada Hospital Playlist, di beberapa babak akhir, apabila 5 sekawan watak utama kisah ini berkumpul, masing-masing bercerita tentang pengalaman sendiri ketika intern. Song-Hwa yang sangat dikagumi juga ada kisah ‘kebodohan’ sendiri, apatah lagi Ik-Jun, Jun-Wan dan Seok-Hyong. Oh mungkin Father Andrea bebas daripada situasi ini ;). Mereka sudah pun menjadi profesor dengan kepakaran masing-masing, tetapi sebelum tiba di titik itu, sudah tentulah pelbagai kesalahan dan kesilapan dilakukan, di samping ketekunan belajar.
Mungkin anda pernah mendengar teori Malcolm Gladwell tentang seseorang perlu melakukan sesuatu perkara selama 10,000 jam sebelum menjadi pakar. Meskipun ada bangkangan terhadap teknikalitinya tetapi ia memberi satu pengajaran, iaitu perkara baik, bagus, elok, mengambil masa.
Bersabarlah, waktu itu pasti tiba.
Sedang mengikutinya juga. Dan selalu juga menganggap student adalah ‘patient’ juga. Baru rasa tenang dan bersemangat
Ahah! Macam tak percaya aje, post terkini kak Aida juga melibatkan Hospital Playlist.
All the best teaching your ‘patient’.
pssttt jangan lupa subscribe 😛