Sudah 4 bulan saya dan Amir ‘terpenjara’ di Johor. Pada awalnya saya pulang ke kampung kerana adik ketiga saya melangsungkan perkahwinan. Saya merancang untuk duduk di kampung selama dua minggu, kemudian barulah mencari jalan untuk memujuk ‘abang polis’ beri kebenaran untuk kami pulang semula ke Kajang. Namun, PKP pun terjadi dan kes semakin lama semakin mencanak menyebabkan saya dan Asnawi mengambil keputusan supaya kami duduk berasingan dahulu sehingga kes reda. Keadaan rumah pangsapuri kami dirasakan berbahaya dan tidak sesuai untuk keselamatan kami terutamanya Amir. Keluar sahaja dari pintu rumah, sudah terdedah kepada bahaya yang tidak dapat dilihat.
Meski sedih kerana tidak tinggal bersama, tetapi di suatu sudut dalam hati saya, tentulah saya gembira dapat tinggal di kampung, menjaga ibu saya yang beberapa minggu tidak sihat dan melihat Amir mempunyai lebih banyak ruang untuk diterokai.
Ketika baru pulang, kebanyakan masa Amir hanya bercakap dua hingga tiga ayat. Sekarang, selepas berbulan-bulan tinggal bersama empat orang dewasa, tentulah kosa katanya bertambah, malah idea untuk cuba memperdayakan orang lain turut sama berkembang.
Situasi 1:
Adakalanya saya memang tegas dengan pemberian coklat untuk dimakan oleh Amir kerana ini boleh mempengaruhi tenaganya terutama pada waktu malam. Jika pukul 10 malam makan coklat, pukul berapa pula mahu tidur? Walau bagaimanapun, saya bukanlah ibu yang diktator :P. Sering kali suami saya bercakap tentang pentingnya win-win situation, apakah yang terbaik boleh diperoleh dua pihak saat berbincang? Jadi saya merancang untuk beri juga sebiji, kerana saya tahu dia bakal mengamuk jika saya katakan tidak.
Tapi anak ini memang bijak, dia minta dahulu kebenaran kepada ibu saudaranya. Alia yang tahu pendirian saya berkata, “Amir tanya mommy dulu ok?”
Lalu dia pun berjalan ke arah depan pintu bilik (saya sedang bekerja di dalamnya), sedikit menjauh. “Mommy, amir nak makan coklat boleh?”
Tanpa menunggu saya menjawab, dia terus berpusing meminta coklat seolah-olah saya sudah pun berikan kebenaran.
……….
Situasi 2:
Amir punyai banyak pensel warna hasil pemberian Mak Long, nenek dan mommy sendiri. Saya letakkan sahaja dalam balang untuk memudahkan penggunaannya sendiri. Lagi pula, dia sendiri suka mewarna dalam versinya yang tersendiri sekarang.
Adakalanya, bukan digunakan untuk mewarna pun, tetapi lebih suka dibuat permainan sahaja.
Apabila disuruh kemas…. “Nenek jom kemas sama-sama.”
Situasi 3:
Dapur kami ada dua meja makan. Satu adalah meja seperti meja makan lipat yang biasa dijumpai di mana-mana kedai makan. Satu lagi adalah meja pendek yang ketinggiannya tidak sampai pun semeter, sesuai dengan kerusi kayu berkusyen. Sudah tentulah meja ini dalam capaian Amir.
Terlalu banyak kejadian air teh dalam gelas abah saya menjadi tawar gara-gara anak ini entah bila menuang air masak ke dalamnya. Sehingga abah saya pun tidak lalu berkata apa-apa, senyum sahaja.
Baru sahaja kelmarin dia ulangi perbuatan ini tanpa sempat mak saya habis menjerit.
“Apa Amir buat dengan air atuk?”
Mendengar sahaja soalan saya ini, segera Amir baring dan berpura-pura tidur.
Aduhai, dari manalah idea secerdas ini datang?