Semalam adalah pertama kali saya menyertai Twitter Space secara serius dan pengalaman sulung juga cuba menjadi speaker. Not bad. Selesa mungkin kerana tidak perlu menatap pandangan orang lain dan kurang debaran. Kami bercerita mengenai filem atau drama berkaitan buku yang pernah ditonton dan perkara menarik mengenainya.
Sebenarnya semasa melihat poster ini, saya terus merasakan wajib menyertainya kerana ada sesuatu yang terbuku selama ini perlu diluahkan. Ahahaha, begitulah hidup seorang penggemar buku yang tak begitu bergeng dan tidak pandai berinteraksi di media sosial. Saya bercerita tentang sesuatu yang saya tuliskan setahun lepas tentang sebuah drama Korea.
Tulisan di bawah ini adalah catatan tersebut, tentang drama Romance is a Bonus Book (Mei 2020).
__________________________________
Saya bukanlah peminat atau pengikut trend K-Pop atau drama Korea seperti kebanyakan orang di sekeliling saya, tetapi saya faham sebab ia disukai ramai dan langsung tiada masalah dengan kefanatikan seseorang. Saya jarang cuba menonton drama kerana kekurangan masa atau kerana sebaik sahaja saya mula, kebiasaannya terus ketagih hendak menghabiskan keseluruhan drama dan keutamaan saya sangat terganggu.
Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula, saya membaca beberapa review positif mengenai sebuah review drama korea; Romance is a Bonus Book. Ia adalah kisah mengenai sebuah syarikat penerbitan buku yang saya rasa dekat dengan diri kerana kecintaan pada buku. Saya baru sahaja menyudahkan Episod 10.
Ada satu babak yang memaparkan Eun Ho meluahkan perasaan kepada Dan-I selepas mereka bersahabat lebih 20 tahun. Malam itu, Dan-I pulang ke rumah (Eun Ho dan Dan-I tinggal bersama), tetapi apabila ternampak Hae-Rin di depan, dia memilih untuk keluar bersama Seo Jin sementara menunggu Hae-Rin beredar.
Luahan perasaan daripada Eun Ho amat mengganggu Dan-I sehingga ke tahap Seo Jin mengesan sesuatu yang tidak kena ketika mereka makan.
Seo-Jin:
“Ada sesuatu yang mengganggu awak.”
“Beritahulah saya. Saya seorang pendengar yang baik.”
“Mungkin dengan bercerita awak boleh ringankan beban yang ada?”
Dan-I:
“Saya ada sebuah buku. Buku yang sangat lama.”
Dalam mindanya Dan-I memikirkan, ‘Tajuk buku itu adalah Cha Eun Ho’.
“Memandangkan ia buku yang baik, saat saya berasa penat, gembira atau kosong, saya pasti akan keluarkan dan baca semula. Saya sudah hafal baris-baris dalam buku itu kerana sudah membacanya berulang kali. Tetapi, kebelakangan ini, saya rasakan buku itu pelik.”
Seo Jin:
“Tiba-tiba sahaja?”
Dan-I:
“Ya. Secara tiba-tiba. Walaupun saya membaca baris-baris yang pernah saya serlahkan (highlight) dulu, saya jadi tak tahu kenapa saya serlahkannya dulu. Walhal, ia adalah buku yang sering ulang berulang kali. Namun, saya sering lihat baris baru yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Sekarang, saya sedar, terlalu banyak baris yang saya terlepas. Saya rasa seperti membaca buku baru.”
Dan-I sedang bercakap tentang Cha Eun Ho. Dia mengenalinya selama bertahun-tahun tetapi tidak mempunyai sebarang perasaan tetapi sekarang, apabila Eun Ho meluahkan perasaan, tiba-tiba dia berasa lain.
Saya suka jawapan Seo Jin.
Seo Jin:
“Mungkinkah ia sebenarnya sebab awak sendiri, pembaca buku itu yang sudah berubah? Macam itulah buku yang baik. Jika awak mengulang baca buku yang pernah dibaca ketika berumur sepuluh tahun, kita akan rasa sangat berbeza sebab kita sudah berubah.”
“Buku awak tak pernah berubah.”
Saya teringat ketika pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 bersama pasangan, kami singgah di sebuah reruai buku bernama Blink Book. Suami saya mengenali individu yang menjaga booth itu. Penulis Blink Book itu, Puan Ain Maisarah pernah menjadi penulis di PTS, sebuah penerbit yang mula menjadi terkenal ketika saya bersekolah. Beliau menulis novel untuk remaja.
Kami berbual dengan individu itu tentang buku Ain Maisarah dan beberapa novelis yang saya kenali seperti Farihah Iskandar dan Aizam Aiman. Keberadaan saya di situ menggamit semua memori semasa zaman remaja. Buku yang saya mula baca dahulu termasuk dalam kategori ringan dan kebanyakannya melibatkan perihal cinta remaja. Namun, apabila saya mula menjadi dewasa, saya melalui fasa berbeza dalam hidup, saya berjumpa dengan pelbagai jenis manusia dan suasana sekeliling saya berubah.
15 tahun lalu, buku itu sangat bermakna buat saya, tetapi, kini ia bukannya tidak bagus, tetapi saya bukan orang yang dahulu lagi. Saya sudah tinggalkan Aina 13 tahun lalu. Sama seperti yang Seo Jin katakan, kita memilih bahan bacaan berbeza kerana kita adalah orang berbeza sekarang, begitu juga cara kita berfikir.
Terima kasih buat Farihah Iskandar dan Aizam Aiman yang memperkenalkan saya kepada Jihan, Hazman, Suria, Khairi dan Adilah. Tidak lupa juga penulis kegemaranku Hlovate (bilalah akan ada buku baru… ? teehee) kerana memberi saya peluang untuk berkenalan dengan Addin Shah, Kucai, Benz Alif, Ed Sassin, Ashraf Omar, Najwa, Abang Shah, Johana, Along dan ramai lagi. Semoga Allah memberkati kalian kerana menjadikan zaman remaja saya amat bermakna.
Amiiin.