Minggu lalu, kumpulan IMPROF Membaca yang saya sertai mengadakan resensi buku keempat yang membawakan tema fiksyen. Pada awal cadangan untuk membawa tema ini, ada beberapa orang yang mengatakan fiksyen adalah sesuatu yang begitu jauh sudah mereka tinggalkan. Ada yang tidak biasa atau jarang membaca genre sebegini. Ada pula yang membaca fiksyen hanya pada zaman sekolah. Saya tersenyum sahaja membacanya, teringat polemik fiksyen lawan bukan fiksyen di Twitter yang beberapa kali berlaku. Pembaca bukan fiksyen mengutuk pembaca fiksyen dan sebaliknya. Saya pula adalah pembaca kedua-dua genre yang berasakan setiap genre ada kebaikan tersendiri.
Fiksyen adalah karya penulisan sastera yang hadir daripada imaginasi penulis. Naratif, watak, latar tempatnya adalah rekaan walaupun mungkin diinspirasikan daripada sesuatu kejadian atau sesetengah individu. Contoh paling mudah adalah Harry Potter. JK Rowling memberi kita peluang mengenali satu dunia magik ciptaannya yang terdiri daripada pelbagai perkara yang berada di luar imaginasi.
Ada fiksyen yang realistik, ada yang tidak realistik dan ada juga kisah benar yang dijadikan fiksyen. Saya senaraikan beberapa contoh cabang fiksyen yang ada di bawah:
- Fiksyen Sains
- Fiksyen Sejarah
- Fiksyen Fantasi
- Fiksyen Seram/Ngeri
- Fiksyen Misteri
- Fiksyen Romantis
Dalam usaha menulis entri kali ini, saya membaca beberapa artikel mengenai kelebihan membaca fiksyen. Kebanyakannya menyatakan perkara yang hampir sama, iaitu menambah kosa kata, melahirkan empati, mengembangkan imaginasi, membuat fikiran lebih terbuka, mengurangkan stress, dan memahami fakta dengan lebih santai.
Perihal menambah kosa kata ini sangat benar bagi saya. Saya masih ingat membaca buku cerita pendek tentang seorang lelaki yang memukul isterinya sehingga mati ketika berada dalam Darjah 2. Perkataan yang digunakan menggantikan marah ketika itu adalah ‘naik darah’. Mungkin ada beberapa kali saya menggunakannya dalam penulisan karangan selepas itu. Jika difikirkan kembali, orang di sekeliling saya tentulah lebih mudah menggunakan perkataan marah berbanding naik darah. Namun, dengan pembacaan, saya secara tidak langsung bertemu dengan perkataan baru begitu sahaja. Dalam salah satu novel tulisan Imaen pula, saya pertama kali menjumpai perkataan sepele yang mempunyai maksud serupa dengan remeh. Perkataan-perkataan unik adakalanya tidak ditulis dalam situasi biasa (atau saya sahaja yang tidak rajin membaca, hahaha), tetapi medan penulisan dalam fiksyenlah yang membenarkan pembaca lebih kaya kosa kata mereka.
Apabila berbicara mengenai empati, saya adalah orang yang lambat hadir empati dalam diri. Saya tidak faham sebab seseorang yang pemarah, tanpa mengambil kira latar belakangnya. Saya tidak faham sebab seseorang melakukan perbuatan yang ditakrifkan berdosa dan bermacam-macam lagi. Membaca fiksyen (dengan tambahan menonton filem) perlahan-lahan membuat saya lebih empati dan bersabar terhadap situasi di sekeliling saya. Saya tidak faham kenapa ada kawan saya yang bitter dengan semua perkara, rupa-rupanya ia berpunca daripada perpecahan keluarga. Begitulah bagaimana fiksyen mengubah pandangan saya untuk menjadi lebih terbuka, tidak menghakimi orang lain dan berusaha memahami situasi orang lain. A Samad Said tidak mengangkat seorang wanita bernama Salina saja-saja. Mengapa Salina mesti membuat kerja terkutuk demi mencari rezeki, mengapa masih menyayangi lelaki yang melayannya dengan buruk? Tidak lain tidak bukan kerana perang. Saya belajar untuk tidak mudah mengadili orang lain.
Hal mengembangkan imaginasi ini saya tidak tahu cara untuk mengukurnya kerana ada kalanya sukar membayangkan perkara yang mahu disampaikan penulis, terutamanya novel fiksyen sejarah. Di situlah datangnya peranan adaptasi drama atau filem untuk membantu saya. Saya amat bersetuju berkenaan membaca fiksyen bokeh membantu mengurangkan stress. Fiksyen membawa saya ke dunia lain dan umpama eskapisme untuk saya lari sebentar daripada masalah. Fiksyen juga berupaya membantu saya mengatasi masalah reading slump.
Perkara paling penting yang saya rasakan didapati daripada fiksyen terutamanya sejarah adalah merasakan sendiri situasi yang dialami watak dalam cerita. Fakta memberi pengetahuan, tetapi fiksyen menghidupkan dan memberi gambaran terbaik mengenai fakta yang dihidangkan. Contohnya:
- Sungai Mengalir Lesu
Memaparkan kisah kesusahan rakyat menghadapi perang pada zaman pendudukan Jepun. Sudah tentu kita terbiasa dengan sukatan pelajaran di sekolah yang memaparkan fakta kekejaman askar Jepun ketika dahulu. Tulisan ini mungkin fiksyen tetapi ia membawa saya menyelami jiwa insan yang kebuluran sehingga terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri demi mencuri makanan di gudang yang dikawal oleh ‘perajurit’ bersenjata. Harga barang meningkat berkali ganda tetapi pendapatan sukar didapati. Sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi sesuap nasi. Setiap kali siren berbunyi perlu bersesak di dalam shelter. Kasihan anak kecil yang menjadi mangsa. Dengan bom yang jatuh setiap hari, masing-masing seperti menunggu sahaja giliran kematian. - Tenggelamnya Kapal Van der Wijck
Tragedi percintaan Zainuddin dan Hayati adalah tulisan Pak Hamka dalam kritikan sosialnya kepada kaum Minangkabau yang begitu mementingkan adat lalu mengutamakan darjat dan keturunan dalam banyak perkara. Disebabkan sang lelaki bukan daripada keturunan Minangkabau, malah harta pun tiada, sudah tentu pinangannya ditolak mentah-mentah tanpa perlu ditanya kepada tuan badan yang menerima pinangan. Pak Hamka turut merakamkan babak yang menunjukkan begitu malunya pemuda dan pemudi pada zaman itu yang hanya berani memandang sesama sendiri, mahu berbual semasa sendiri pun tidak elok dipandang orang. - Bumi Manusia
Bagi orang yang tidak rajin membaca buku sejarah bukan fiksyen seperti saya, tulisan Pak Pram ini membantu saya memahami situasi dan kesan penjajahan Belanda terhadap Indonesia. Tidak seperti Tanah Melayu yang penjajahnya (British) sedaya upaya mengambil hati orang Melayu meskipun sibuk menjarah hasil tanah air, Belanda bertindak lebih kejam. Mereka berlagak seolah-oleh tuan di tanah Indonesia. Pak Pram memberi gambaran keadaan sistem kasta yang ada di sana, bermula dengan Belanda tulen yang berada di tempat teratas, diikuti golongan kacukan (Belanda & Indonesia) dan yang paling bawah, Indonesia asli. Sebegitu sekali keji Belanda yang memandang hina penduduk sebenar negara yang mereka duduki sehingga mahu bercakap dalam bahasa Belanda yang mereka tidak layak. - To Kill a Mockingbird
Sekiranya ada orang meminta cadangan buku yang baik untuk dibaca, saya pasti akan tidak akan teragak-agak mengatakan buku ini. Kisah yang dilakarkan Harper Lee benar-benar membuka mata saya mengenai masalah perkauman di Amerika. Orang kulit hitam dianggap berada dalam kelas kedua kerana warna kulit mereka. Individu berkulit putih yang cuba berkawan dengan orang kulit hitam pasti dipandang serong. Hanya beberapa orang yang mempunyai fikiran terbuka.
Bagi saya, beberapa contoh daripada kisah yang saya senaraikan ini bukan sekadar kisah. Keupayaan penulis membawa elemen emosi itulah yang memberi pengajaran besar buat pembaca. Saya tidak berupaya menyelami fakta tanpa adanya elemen fiksyen yang baik. Oleh itu, membaca fiksyen adalah berbaloi buat saya. Terlalu banyak pengajaran yang diterima dan yang nyata, ia pengubat eskapisme terbaik.
Anda pula bagaimana? Sukakan fiksyen? Bukan fiksyen? atau kedua-duanya?