Belajar Mandarin di Kunkwan

Seingat saya, bermula sahaja Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia ini, berlumba-lumbalah platform dalam talian sedia ada dan yang selama ini tidak diketahui diperkenalkan. Sehingga kini, penggunaan yang sangat ketara adalah Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams.

Banyak juga organisasi/pihak yang mula menawarkan kursus secara dalam talian. Suami saya turut tiba-tiba mengeluarkan idea supaya kami menyertai kelas Bahasa Mandarin di bawah pusat bahasa Kunkwan. HQ fizikalnya terletak di Johor Bahru dan Sungai Besi. Kami pun mendaftar untuk kelas asas, Communication Intensive Class (CIC) dan dua tahap seterusnya iaitu Level A & B.

Sebenarnya, sebelum mendaftar kelas CIC, kita boleh hadir ke sesi kelas percubaan untuk lihat kesesuaian dan keselesaan. Jadi, tidaklah berlaku rasa kerugian di situ. Saya kini sudah berada dalam Level C.

Bagi kelas CIC, ia dijalankan selama 4 minggu (seminggu sekali). Semua pelajar dikumpulkan dalam whatsapp group mengikut sesi/hari yang mereka boleh hadiri. Nota PDF juga diberi dalam whatsapp group  sebelum kelas bermula. Jika terlepas atau tidak boleh hadiri salah satu sesi, pelajar boleh hubungi tim sokongan pelajar untuk masuk ke kelas ganti.

Jika serasi dengan kelas ini, maka pelajar bolehlah pilih untuk ke tahap seterusnya. Kebiasaannya jika mendaftar dua kelas sekali gus, kita berpeluang untuk dapatkan diskaun. Saya sendiri mendapat diskaun dan menerima baucar RM 100 untuk pendaftaran seterusnya (digunakan semasa pendaftaran Level C & D).

Setiap tahap kelas menyediakan pelajar untuk menghadapi Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK), ujian standard kecekapan berbahasa Cina Standard bagi negara China untuk penutur bukan asli seperti pelajar asing dan Cina luar negara. Sebagai contoh, Level A menyediakan pelajar untuk HSK 1. Sukatannya mengikut standard HSK 1 dan peperiksaan yang dijalankan pun sama seperti HSK 1. Yang berbeza adalah kami diberi tugasan tambahan oleh pihak Kunkwan. Untuk Level A, saya dikehendaki menyediakan video pengenalan dalam bahasa Mandarin dan rakaman suara whatsapp bersama penutur asli. Walaupun ada yang bersungut kerana umpama kembali ke zaman universiti, ia sebenarnya bagus kerana melatih sebutan. Kunkwan turut mengambil berat perihal kemahiran berkomunikasi, justeru menyediakan kami ke arah peperiksaan HSKK (HSK versi oral).

Video Pengenalan Diri dalam Bahasa Mandarin

Jika dibandingkan dengan pusat bahasa lain, saya boleh katakan yang yuran Kunkwan sebenarnya agak mahal. Saya sendiri merancang untuk berhenti selepas Level B dan mencari platform yang lebih murah atau pergi ke kelas fizikal (sebelum PKP diumum semula).

 Namun, ada beberapa faktor yang menyebabkan saya masih lagi setia dengan Kunkwan. Antaranya:

1. Masa yang Fleksibel

Walaupun saya mendaftar pada Ogos 2021, saya hanya dapat mulakan kelas pada Oktober, ketika saya sudah sedikit senang untuk sertai. Saya boleh dapatkan kadar bayaran istimewa dan mulakan kelas lebih lambat. Selepas habis Level A juga saya ambil masa hampir dua bulan untuk menyambung atas sebab kerja. Saya boleh belajar dalam pace sendiri tanpa terkejar-kejar. Kebiasaannya, kelas baru akan dibuka setiap sebulan atau dua bulan.

Untuk setiap level juga biasanya ada 2-3 kelas. Jika kita tidak boleh hadir ke sesi kita (contohnya Ahad, 11:00 pagi), kita boleh hadir ke kelas pada hari lain. Tetapi, harus diingat, semakin tinggi level kita, semakin kurang kelas yang ada. Berkemungkinan, hanya ada satu kelas yang tinggal, dan kita tidak berpeluang menggantikan pada minggu yang sama. Hanya boleh diganti bersama batch seterusnya.

Lazimnya, kelas hari biasa adalah pada waktu malam dan hari minggu adalah pada waktu siang kerana mengikut norma orang bekerja pada waktu pejabat.

2. Bayaran secara ansuran

Bayaran untuk kelas boleh dibuat menggunakan kad kredit secara ansuran 6 bulan atau 12 bulan tanpa sebarang kadar faedah.

3. Akses seumur hidup

Ya anda perlu bayar sekali sahaja, tetapi boleh ke kelas 10 kali jika anda mahu. Kebanyakan kelas bahasa menyediakan rakaman untuk dirujuk oleh pelajar sebagai ulang kaji selepas kelas. Berbeza dengan Kunkwan, mereka tidak sediakan video, tetapi pelajar boleh hadir ke kelas ulangan. Jika sudah pernah hadir CIC Januari 2021, anda boleh ke kelas ulangan pada Mei 2021, percuma! Begitu juga halnya untuk Level A dan seterusnya. Mereka memahami kebiasaannya orang dewasa ada pelbagai komitmen dan kekangan yang memungkinkan mereka tidak menghabiskan kelas. Jadi, anda tidak pernah rugi jika anda sudah membayar yuran.

4. Pendaftaran HSK oleh Kunkwan

Kita tidak perlu mendaftar peperiksaan HSK sendiri, pihak Kunkwan yang akan lakukan. Hanya perlu buat bayaran dan berikan butiran kita. Peperiksaan akan dijalankan di pejabat HSK sendiri iaitu JB dan Sungai Besi. Walau bagaimanapun, bagi saya ia sesuai untuk pelajar yang tinggal berdekatan, jadi bagi pelajar yang jauh, lebih baik daftar peperiksaan di tempat yang berdekatan sahaja.

5. Sistematik & Sentiasa Tambah Baik

Pada awal kemasukan dulu, kami hanya gunakan Whatsapp untuk pendaftaran kelas dan sokongan pelajar. Kini, Kunkwan ada sistem mereka sendiri termasuklah nombor ID pelajar untuk pendaftaran kelas. Terasa seperti mendaftar di universiti. (Lihat laman web Kunkwan di sini)

Disebabkan suami saya menghadiri kelas lebih awal, maka dia juga menghadapi peperiksaan lebih awal. Ketika ujian HSK 1, mereka perlu menulis jawapan dalam kertas sendiri dan dihantar kepada laoshi apabila siap ujian. Namun, sewaktu saya menjalani ujian format peperiksaan ditukar kepada Google Form, hanya perlu tekan submit selepas selesai. Kunkwan sentiasa memperbaiki sistem mereka, malah mengambil serius maklum balas setiap pelajar. Selepas sesi kelas, kami wajib mengisi borang maklum balas untuk guru kami.

Itulah sedikit sebanyak yang dapat saya ceritaka tentang kelas Mandarin di Kunkwan. InsyaAllah saya akan bercerita lagi dalam tulisan seterusnya.

7 thoughts on “Belajar Mandarin di Kunkwan

  1. hai, saya pun student under kunkwan, joined dlm pertengahan july thn ni, ade bbrp perkara yg saya tak fhm, saya ni masih level A, mcm mane ye nk tau kita ni layak pergi ke level B? kene ambik exam ke? kan ade exam hsk lps tu kunkwan sendiri pun ade buat exam dri dorang punya, kalau lps exam layak tukr level, either 2 ni, exam mane satu yg boleh melayakkan kita untuk tukr level? exam hsk ke..exam dri kunkwan tu sendiri? lps tu kan, exam hsk tu dia memang kene jwb dkt cadangan dorg eh? yg sama ada dkt johor ataupun sungai besi tu? sorry bnyk soalan hehe

    1. Hai Ika!

      Tahniah sebab dah join Kunkwan. Untuk layak ke level B, kena jalani peperiksaan dengan Kunkwan sahaja.

      Tak wajib ambil HSK pun, cuma mereka sangat galakkan sebab ada kelebihan daripada segi pekerjaan dan tambah nilai. Lagipun, peperiksaan HSK tu Kunkwan boleh uruskan.

      Tak wajib juga ambil dengan Kunkwan, tapi, seperti di atas, senang sebab Kunkwan uruskan. Lagipun exam HSK dah mula dibuat online, jadi tak perlulah susah payah nak cari exam provider lain. Cuma kalau yang perlu hadir fizikal, kalau jauh, personally saya sendiri takkan pergi ke pusat Kunkwan. Mungkin akan cari yang berdekatan tempat tinggal sahaja/tanya cadangan mereka.

      Tak apa :), malu bertanya sesat jalan. Harap membantu.

  2. Hi Aina, Saya Rathy. Saya baru nak menghadiri kelas CIC pertama pada Sabtu, 23 Oct 2021 ini. Saya pun daftar July lalu tapi oleh sebab kerja dan hal-hal yang lain saya tidak dapat menghadiri kelas pada sebelum ini. Selepas empat kelas CIC ini boleh saya sambung dengan level A terus atau perlu mengambil ujian dan bagaimana dengan bayarannya. Harap Aina dapat kongsi maklumat. Terima kasih.

    1. Hi Rathy. Selepas CIC Rathy boleh terus naik ke Level A. Tak perlu ambil ujian. Ujian cuma ada di setiap Level A – D.

      Disebabkan saya ambil pakej terus masa CIC – Level B (lebih kurang RM 1700), saya kurang pasti harga setiap kelas. Maaf ya, berkenaan harga boleh tanya pada support service dan terus tanya pakej yang ada. Biasanya memang lebih murah jika ambil pakej. Untuk Level C&D, saya bayar RM 1399. Saya gunakan kupon RM100 dan minta diskaun pakej. Saya ambil ansuran kad kredit selama 6 bulan.

      Harap membantu.

  3. hai,saya nak tanya, mcm mne nak ulang semula kelas ye? saya baru habes kelas CIC, saya x tahu nak click di mana utk ulang semula. dan saya juga berminat nak sambung ke level seterusnya, cuma xtau nk ambil level A dulu punya or teros byr utk level b skali. saya masih student universiti tahun 3

    1. Hai Atiqah! Dalam CRM biasanya cuma untuk ongoing schedule sahaja. Perlu hubungi support service untuk dapatkan link whatsapp untuk kelas ulang kaji CIC.

      Macam mana dengan CIC? Rasa boleh komit? Dulu masa saya dah mula, memang saya tekad nak habiskan. Cuma saya tak ambil straight, ada masa saya ambil rehat sebulan dua sebelum mula kelas baru. Ini bergantung kepada cikpuan sendiri. Jika bajet ada, saya suka sarankan bayar untuk kedua-dua level sebab biasanya dapat diskaun. Apa-apa bergantung kepada situasi sendiri ya. Jika sibuk, tak ada masalah untuk take a break sebentar.

      Semoga membantu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.