Ulasan Buku: Psikologi Si Kecil – 50 Pesan Psikologi Anak-anak untuk Ibu Bapa

“Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2019 mendapati 9.5% kanak-kanak berusia 5-15 tahun mengalami masalah berkait dengan kesihatan mental. Kajian yang sama pada 2017 pula mendapat 2 dripada 3 remaja melaporkan ibu bapa mereka tidak memahami mereka.

Mendidik anak-anak zaman ini tidak semudah seperti mengulang kitaran cara ibu bapa kita mendidik kita. Anak-anak generasi ini lebih mencabar dengan pelbagai isu yang rumit.

Oleh kerana itu, Ibu bapa hari ini perlu mempersiapkan diri dengan ilmu asas tentang psikologi anak-anak supaya pendekatan kita kepada mereka bukan lagi berdasarkan percubaan, tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman.”

Dalam perjalanan mendidik anak, saya teringat satu situasi. Ada tempoh masa yang anak saya sangat kemaruk bermain air. Jika dibawa ke bilik air untuk mandi atau menukar lampin, pastinya saya akan menghadapi masalah untuk memujuk anak saya keluar semula. Sebagai ibu yang tidak punyai banyak kesabaran, ada masanya saya akan menggunakan jeritan sebagai jalan penyelesaian, seperti mahu tunjukkan kuasa. Sekali dua mungkin berjaya, tapi lama kelamaan anak saya tidak lagi takut, tetapi dia tidak sukakannya. Jika saya menjerit, dia akan menunjukkan ketidaksenangan dengan menyembur air kepada saya, membalas kemarahan.

Akhirnya, saya mengambil jalan lain. Saya memberi anak peluang untuk bermain air dalam suatu tempoh dan meminta dia keluar apabila masa tamat (meskipun kebiasaanya pasti terlajak). Keinginan anak memang ingin bermain dan explore. Itu adalah perkara yang tidak boleh saya halang, tetapi boleh dikawal. Saya memberi dia besen untuk bermain air dan beberapa bekas plastik sebagai permainan. Saya pula perlu menunggu sehinggalah dia selesai. Perkara yang saya sedari, dengan pengucapan dan kata-kata yang baik atau nada rendah, anak saya lebih mudah bertoleransi dan mendengar cakap walaupun perlu bersabar menunggu.

Adakalanya dalam mendidik anak-anak, kita (saya) terlepas pandang hal berkaitan emosi atau psikologi. Saya menganggap anak perlu mendengar kata-kata saya tanpa mempedulikan perasaan atau keinginan mereka, walhal mereka adalah makhluk yang sedang membesar, yang perlu saya fahami sebab mereka lakukan sesuatu.

Pesan Psikologi adalah buku tulisan Dr Rozanizam Zakaria, seorang pakar psikiatri, pensyarah dan pendidik kesihatan mental. Beliau banyak berdepan dengan pesakit mental dalam kalangan kanak-kanak. Kebanyakan kajian kes yang disebut adalah kisah benar yang beliau jumpai di klinik sendiri.

Ini buku keibubapaan yang sangat bagus! Penulis memberi penerangan psikologi daripada segi sains dan agama dengan santai. Penerangan paling berharga yang saya rasakan adalah mengenai setiap perilaku anak-anak sebenarnya ada sebab tersendiri, bukan kerana mereka nakal atau degil atau tidak mendengar kata.

Contohnya, penerangan tentang egocentrism. Ia adalah komponen pada fasa mereka merasakan mereka adalah centre of the universe. Pandangan mereka terhad dan pandangan itu tidak boleh diubah suai mengikut pandangan orang lain. Ia tidak sama dengan sifat pentingkan diri. Dalam situasi anak suka menghalang orang lain menonton televisyen, pada anak itu, jika dia boleh nampak, tentu orang lain boleh nampak. Dia tidak tahu dia boleh menghalang pandangan orang lain.

“Beza melihat anak berbuat sesuatu kerana ‘nakal’ dan berbuat sesuatu kerana ‘sifat semula jadi kanak-kanak yang menjadi sebahagian daripada perkembangan mereka.”

Jadi, jika kita faham sebab anak berbuat sesuatu, tentulah tindak balas atau teguran kepada mereka akan jadi berbeza bukan? Tidak sesuka hati memikir yang bukan-bukan tentang anak.

Bagi saya sendiri, saya memang lebih sukakan buku yang bukan sekadar memberi tips atau perkongsian, tetapi juga sebab saintifik atau agama di sebalik sesuatu. Paling kurang, saya mahukan penulis buku yang saya baca punyai kredibiliti. Jika anda seperti saya, maka buku ini sangatlah sesuai.

Tetapi adakalanya bacaan menjadi perlahan juga kerana fakta adalah perkara yang mengambil masa untuk dihadam.

Penulis turut memberi cadangan aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak dan beberapa teknik seperti menghadapi perbalahan anak-anak dan bermacam-macam lagi. Ia sesuai untuk anak kecil sehingga yang sudah remaja.

Ada sedikit perkara yang kurang saya senangi, iaitu kesalahan tatabahasa yang jelas terutamanya penggunaan ‘dari’ atau ‘daripada’. Entah kenapa, saya rasa pada awalnya buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan sebelum terbit. Struktur ayatnya sedikit seperti dalam bahasa Inggeris. Ada juga kesalahan ejaan tapi saya kira itu memang biasa terjadi.

Kekurangan ini tidaklah terlalu mengganggu sehingga membantutkan pembacaan saya.

Semoga usaha kita menambah ilmu ini membantu mendidik anak menjadi lebih baik.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.