Saya mula cuba membaca buku bergenre usaha diri (self help) ketika berumur 20 tahun. Ketika itu, kebanyakan orang sekeliling saya menyebut tentang buku seperti 7 Habits of Highly Effective People, buku-buku Dale Carnegie terutamanya How to Win Friends & Influence People dan beberapa buku tentang memahami dan cara bekerja dengan jantina berlawanan seperti Mens are from Mars & Women are from Venus. Pandangan saya tentang orang yang membaca buku seperti ini adalah mereka sangat hebat kerana bagi saya buku self help adalah genre yang berat.
Jujurnya, ada yang habis dibaca dan ada yang tergantung sehingga kini, saya pun tidak tahu bila mahu tamatkannya. Majoriti buku yang saya baca adalah dalam bahasa Inggeris, ada juga versi terjemahan ke Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh PTS. Selepas beberapa tahun, saya sedar buku begini memang diperlukan dalam hidup, tetapi perlu dibuat saringan atau pilihan sebelum membaca kerana ada yang isinya hampir sama. Pada pendapat saya, lebih baik saya baca 12 buku self help dan mengamalkannya berbanding membaca empat kali ganda tetapi bacaan itu hanya berlalu pergi seperti angin. Lagi pula, saya memang lebih gemarkan fiksyen, jadi saya mahu luangkan lebih masa untuk buku sebegitu.
Seiring masa, saya turut lebih memilih untuk membaca buku self help yang ditulis oleh orang Malaysia sendiri, lebih-lebih lagi dalam bahasa ibunda. Perbincangan bersama pasangan membuahkan hasil fikiran yang lebih kurang sama iaitu kami bersetuju ada kelebihan dan kekurangannya sendiri. Membaca buku yang ditulis oleh rakan senegara membuatkan buku itu lebih berpijak pada bumi yang nyata. Bahasa dan contoh-contoh serta kajian kes lebih mudah difahami kerana ia memang perkara yang berlaku di sekeliling kita. Walau bagaimanapun, sesetengah perkataan lebih sesuai dikekalkan dalam BI supaya idea yang dibawa kekal kuat dan sampai kepada pembaca.
Salah satu buku self help berbahasa Melayu yang baru sahaja saya sudahkan bacaan adalah buku bertajuk Pendiam yang dibeli oleh suami. Ujar beliau, penulis Aiman Amri adalah sahabatnya sendiri. Saya pula sudah lama mengetahui tentang buku ini sejak hari pertama ia diterbitkan, tetapi memang berkira-kira sahaja untuk membeli kerana sudah terdedah kepada bacaan dan perkongsian mengenai personaliti introvert terlebih dahulu. Bagi saya, pembelian boleh ditangguhkan.
Buku ini memberi penjelasan mendalam mengenai personaliti introvert. Banyak salah faham yang sering dihadapi oleh orang introvert diterangkan berserta contoh kisah yang dihadapi mereka. Pembaca juga dihidangkan dengan cara berkomunikasi dengan introvert serta cara memikat hati mereka. Kita juga boleh memahami perkara yang akan terjadi kepada introvert sekiranya mereka melakukan perkara yang sinonim dengan ekstrovert. Penulis juga menjelaskan sedikit sebanyak tentang dua personaliti lain; ekstrovert dan ambivert supaya pembaca mendapat idea lebih besar mengenai perbezaan ketiga-tiganya.
Dalam dunia yang amat menghargai dan menyanjungi insan yang hebat berucap, orang introvert adakalanya dianggap bermasalah kerana terlalu menyimpan suara mereka. Saya sendiri banyak salah faham terhadap mereka. Hanya kerana seseorang tidak mahu bercakap, tidak bermakna mereka orang bermasalah.
Antara kisah yang saya boleh kongsikan adalah aduan seorang guru kepada ibu pelajar mengenai anaknya yang pendiam di sekolah. Setiap tahun aduan yang lebih kurang pasti diterima. Ini pastinya tidak menjadi masalah sekiranya guru faham mengapa pelajar itu pendiam dan tahu cara untuk mengatasinya supaya pelajar ini boleh bersuara apabila diminta. Saya pernah membaca blog seseorang yang menghabiskan masa beberapa tahun di universiti untuk blend in dalam dunia ekstrovert, malangnya, ia lebih banyak memburukkan keadaan kerana dia tidak menjadi dirinya yang sebenar. Kasihan beliau kerana menganggap personalitinya tidak okay.
Oleh itu, saya mencadangkan buku ini kepada semua orang yang masih belum tahu tentang dunia introvert terutamanya yang mempunyai orang terdekat yang mempunyai personaliti ini. Dan yang paling penting adalah pemilik personaliti introvert sendiri. Mereka perlu tahu bahawa menjadi introvert bukanlah satu kesulitan atau masalah. Ia adalah normal dan okay, tetapi dianggap pelik kerana introvert adalah golongan minoriti. Pembaca juga boleh tahu yang sebenarnya golongan pendiam ini juga berbakat dalam bidang yang sinonim dengan ekstrovert.
Selamat membaca dan menyelami dunia introvert.