Naskhah kali ini begitu perlahan dan amat sukar untuk saya tamatkan. Entah kerana kerja atau kemalasan atau hanya alasan sendiri sahaja.
Dalam Jilid 1, kebanyakan tulisan berkisar catatan perjalanan, pengalaman, tempat dilawati dan sedikit refleksi perbandingan dengan negara kelahiran penulis. Jilid 2 saya rasakan lebih berat. Lebih separuh isinya berbentuk refleksi serius dan penting berkaitan pembangunan negara dan pembinaan jati diri dan etika rakyat. Tiada lagi bunyi jenaka seperti jilid sebelumnya semasa melawati Hollywood atau ketua agama sesat.
Ada beberapa isu/teguran daripada Buya Hamka yang suka untuk saya catatkan kembali:
Timur sudah banyak ketinggalan dengan Barat daripada segi ilmu pengetahuan dan teknologi waktu itu. Jika sebelum itu perjalanan ke Mekah untuk menunaikan ibadat Haji memakan masa berbulan-bulan, kini tidak lagi kerana kapal terbang sudah dibina. Adakah kerana dendam akibat dijajah akan menjarakkan lagi negara Timur dengan perkara baharu atau diabaikan sahaja perkara itu lalu menjalinkan hubungan dengan mereka demi kemajuan bersama?
Diceritakan pula perbandingan adab atau kebiasaan antara orang di negara Uncle Sam dan Indonesia. Penduduk di sana mungkin ramah di jalanan, menegur selamat pagi di sana sini, tetapi saat menaiki kenderaan awam, sudah tertanam sifat individualisme dalam diri mereka. Buatlah apa saja, mereka tidak peduli waima bercumbu pun. Kamu dengan hal kamu, kami dengan hal kami. Berlainan dengan di Indonesia, jika di jalanan mungkin canggung untuk tiba-tiba menegur satu sama lain. Namun, apabila menaiki kenderaan bersama, masing-masing akan mula berkenalan mencari persamaan sesama sendiri.
Terakhir sekali, tentang ilmu pengetahuan. Perkembangan tamadun Barat itu sebenarnya bergurukan tamadun Arab sendiri. Pada abad kesebelas, ada gerakan pesat menyalin dan menterjemah kitab-kitab ilmu pengetahuan Arab ke bahasa Latin membuktikan yang Islam sendiri pernah menjadi rujukan dalam pergerakan ilmu, tetapi musnah sama sekali saat jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyah.
Memandangkan penulis dihantar mewakili Indonesia, maka tulisan ini memang menunjukkan keprihatinan beliau kepada kemajuan dan pembangunan tanah airnya. Sudah ada radio, pelbagai buku di negaranya tetapi terlalu ramai yang masih buta huruf.
Walaupun tidak bersetuju dengan keseluruhan cara fikir Amerika yang bebas, penulis juga sedih mengenangkan masih banyak negeri yang mendewakan raja mereka sedangkan undang-undang masih tidak teratur dan menyebabkan lahirnya 3 penyakit; kebodohan, lalu membawa kepada kelaparan dan akhirnya penyakit.
Catatan ini mungkin sudah berdekad, tetapi nyata ia masih relevan hingga kini.