Buya Hamka yang mewakili Kementerian Agama Indonesia, memenuhi undangan lawatan daripada pemerintah Amerika Syarikat. Tulisan ini sebenarnya jawapan beliau kepada ramai individu yang bertanya pengalaman berada di negara Uncle Sam itu. Segala yang diperhatikan dari mula hingga akhir tercatat dalam buku ini.
Ada beberapa butiran catatan yang saya rasakan penting dalam buku ini.
Pertama, lawatan ke Muzium Nasional di Chicago. Ada satu sudut mengenai orang Indonesia dalam muzium itu, malah nama sudut itu masih belum ditukar kepada Indonesia daripada Netherlands Indie. Ada banyak alat tradisional yang sudah lama tidak digunakan orang Minangkabau, bahkan lebih lengkap daripada muzium di Minangkabau sendiri dan ramai pemuda dan pemudi ketika itu tidak mengenali barang yang dipamerkan. “Zaman telah berubah, dan tidaklah segala yang lama dapat dipertahankan lagi. Sudah banyak yang harus disimpan dalam muzium, untuk tengok-tengok dan tidak untuk diulang kembali.”
Kedua, Buya Hamka berpeluang menyaksikan sendiri pemilihan presiden ketika itu yang menyaksikan kemenangan Eisenhower. Tulis beliau, seperti ada undang-undang tidak bertulis bahawa seorang Presiden AS mestilah bermazhab Protestan.
Tempat yang paling banyak ditanya dan disuruh melawat, Hollywood. Dapat dirasakan bagaimana kagumnya penulis kepada teknologi perfileman, penulisan skrip yang dimiliki Hollywood, namun bak kata beliau sendiri, ia lebih indah untuk dipertontonkan di bioskop (pawagam) sahaja, tidak perlulah pergi sendiri untuk melihat Hollywood kerana mungkin khayalan indah kita akan hilang begitu sahaja. “Banyaklah filem-filem yang bermutu tinggi yang perlu kita lihat untuk dijadikan cermin dalam perjuangan kehidupan”.
Buya juga dapat berjumpa sendiri dengan Father Divine, orang yang mengaku dirinya Tuhan. Turut ditulis bagaimana perkembangan dan fungsi agama Kristian yang menjadi penyumbang besar kepada perkembangan ilmu dan terciptanya university besar di AS.
Terakhir sekali, yang diceritakan adalah pandangan beliau terhadap rasisme teruk di Amerika ketika itu. Beliau sempat berada dalam keadaan menaiki pengangkutan awam yang disediakan dua jenis tandas, satu untuk White People dan satu lagi untuk Coloured People, pergi ke restoran yang hanya membenarkan orang putih masuk ke dalamnya dan banyak lagi penindasan kepada orang berkulit hitam ketika itu.
Secara keseluruhan, tulisan sebagai orang yang ahli dalam agama ini pastinya sedap dibaca kerana ulasan dari sudut pandang Buya Hamka tidak terlalu jumud dan sangat terbuka, namun kelihatan masih mementingkan nilai Islam dan paling penting, pada saya tulisan beliau dalam ini kelakar. Seronok dibaca jika sedang mencari bacaan santai.
(Nota kaki: Tulisan ini saya catatkan di dinding Facebook pada 22 April 2021)