Review Buku: Ustazah Zaman Dulu-Dulu

Penulis : Maisarah Mohd Pauzi
Penerbit : Jejak Tarbiah Publication
Tahun Terbit: 2018
Muka surat: 186
Beli di: Jejak Tarbiah
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

PENGENALAN

Buku ini saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang lepas. Sukar melepaskan buku ini setelah saya belek isinya yang saya kira begitu menarik. Pada asalnya naskhah ini diberi nama Wanita-Wanita Merdeka kerana fokus utama buku ini ialah wanita yang memperjuangkan kemerdekaan. Walaubagaimanapun, tajuknya ditukar kepada Ustazah Zaman Dulu-Dulu kerana  wanita yang diceritakan dalam naskhah ini kebanyakannya berlatar belakangkan pendidikan agama yang setara dengan ustazah zaman kini.

Terdapat lima bab utama dalam buku ini. Bab pertama memperkenalkan pembaca dengan tokoh kemerdekaan wanita. Jika sebelum ini kita hanya sering mendengar nama Shamsiah Fakeh, tapi kita akan mendapat lebih daripada Shamsiah Fakeh dalam bab ini. Kemudian, penulis membentangkan peristiwa kebangkitan wanita dalam perjuangan agama dan kemerdekaan dalam bab kedua. Seterusnya dalam bab ketiga, penulis mempersembahkan karya-karya sastera lama yang mengangkat emansipasi wanita Tanah Melayu. Bab keempat pula membentangkan karya seni dan sastera (filem) yang membawakan perihal wanita dan isu yang dihadapi mereka. Akhir sekali, dalam bab kelima, penulis berkongsi kepada pembaca wanita-wanita zaman silam serta perjuangan mereka.

REVIEW

Walaupun buku ini sarat dengan fakta, tetapi penulis sangat bijak mempersembahkan hasil kajian beliau ini dalam tulisan yang sangat mudah difahami menyebabkan tidak langsung terasa bosan atau berkeinginan untuk berhenti. Pemilihan tokoh serta perjuangan mereka turut menambahkan perisa supaya saya lebih melekat dengan buku ini. Kisah Aishah Ghani bagi saya adalah perjuangan feminis sejati. Beliau memperjuangkan hak wanita untuk mendapat hak pendidikan yang sama dengan lelaki, hak kesamarataan gaji dan antara menjadi antara suara besar dalam memperketatkan undang-undang berpoligami di negara ini. Memperketatkan undang-undang poligami tidak bermaksud menentang hak lelaki berpoligami tetapi undang-undang ini bertujuan membela hak wanita. Walaupun ditentang hebat, beliau pantang menyerah.

Setiap novel/cerpen yang dipetik dalam bab ketiga diulas dengan baik oleh penulis dan menyebabkan saya berasa teruja mahu mendapatkan setiap sumber yang penulis gunakan. Penulis yang baik tentulah yang boleh mempengaruhi pembaca mereka membaca lebih banyak buku. Selain itu, buku ini bukanlah bermaksud untuk memenangkan pihak wanita sahaja tetapi juga kritikan kepada wanita yang menyalahi fitrah mereka seperti dalam Bab Empat.

Mengakhiri tulisan ini, saya menghargai cerpen ini sebagai sebuah karya kreatif tetapi karya ini juga mempunyai sisi gelapnya kerana imaginasi penulis tentang wanita moden ialah hasil satira yang menyindir golongan wanita pada zamannya yang terpengaruh dengan gerakan pembebasan wanita yang dipandang serong.”

Kedua nenek saya belah ibu dan ayah dahulunya tidak mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang sama dengan adik beradik lelaki mereka kerana tiada kesedaran dalam masyarakat berkenaan perkara ini. Justeru, saya amat menghargai usaha serikandi-serikandi yang memperjuangkan dan membela hak wanita sehingga wanita zaman ini di Malaysia tidak lagi menerima nasib seperti mereka. Penulis telah melakukan perkara yang amat besar dengan memperkenal kita kepada wanita-wanita ini.

Kepada yang masih belum membaca buku ini, masih belum terlambat untuk anda dapatkannya segera. Anda pasti mendapat manfaat!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.