Review Buku: Pengembaraan ke Kedah, Perlis dan Kelantan

Penulis   : Zainal Abidin Ahmad @ Pendeta Za’aba
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit : 2008
Muka Surat : 58
Beli di : Kafilah Buku
Tambahkan dalam senarai Goodreads anda.

PENGENALAN

Buku ini merupakan catatan kembara beliau ke Kedah, Perlis dan Kelantan. Jikalau sekarang, ianya lebih kurang seperti buku travelog yang lebih mudah kita dapati atau tulisan berkenaan travel dalam blog.

Catatan tersebut yang pada asalnya diterbitkan dalam Majalah Guru pada tahun 1928 hingga tahun 1929 merupakan pemerhatian Za’ba terhadap gambaran masyarakat di negeri-negeri tersebut terutamanya dari segi sosial, pendidikan dan ekonomi. Pemerhatian dan analisis beliau disertai dengan komen dan kritikan sosial, terutamanya berkaitan sikap dan tabiat masyarakat di negeri-negeri yang dilawatinya. (Sumber: Goodreads)

REVIEW

Tidaklah banyak perkara yang luar biasa pun sepanjang perjalanan Za’aba itu, mungkin seperti cerita kita juga apabila berjalan ke negeri lain untuk menemui orang yang kita kenali. Senario yang paling biasa, contohnya, dalam satu hari, kita merancang untuk berziarah ke rumah A and B dan kita sudah menetapkan masa yang sepatutnya, tetapi tuan rumah A menyediakan makanan seperti kenduri dan kita terpaksa berlama-lamaan di rumah A sehingga terlepas peluang untuk singgah di rumah B.

Za’aba menceritakan perkara-perkara yang dia lihat seperti bentuk bangunan, cara orang sekitar berpakaian, ciri-ciri rumah penduduk, makanan yang dijual, sikap orang yang dijumpai, cara-cara menaiki keretapi dari Padang Besar ke Kelantan, bentuk-bentuk keretapi dan membanding banyak perkara dengan Negeri Persekutuan (Malaysia masih belum terbentuk ketika itu). Beliau turut menyebut nama rakan-rakan yang beliau temui dan bercerita tentang orang itu.

Perkara yang membuat buku ini istimewa bukanlah situasi yang terjadi semasa pengembaraan Za’aba ini sendiri tetapi kerana latar masa buku ini ditulis iaitu dari tahun 1924 – 1939, iaitu ketika beliau bertugas di Kolej Perguruan Sultan Idris. Gaya bahasa beliau dikekalkan dalam buku ini untuk menunjukkan keaslian dan perkembangan Bahasa Melayu sendiri.

Buku travelog di Malaysia kini sudah semakin banyak, ramai pengembara mengambil inisiatif untuk merekod dan menerbitkan catatan perjalanan mereka, tetapi dengan adanya tulisan Pendeta Za’aba ini membuat kita sedar yang travelog ini bukanlah perkara baru dan beliau sangat mendahului zaman.

Bagi pembaca yang tidak kisah dengan gaya bahasa lama, saya cadangkan buku ini untuk anda dan tidak tebal pun, hanya 58 muka surat. Selamat membaca!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.