Sesi temu bual bersama penulis! Wah wah, saya rasa sangat teruja dapat buat posting pertama saya untuk Temu Bual Penulis. Penulis yang bertuah kali ini ialah Maisarah Mohd Pauzi. Beliau merupakan penulis buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu yang lebih suka dipanggil dengan nama Mai. Review untuk buku ini ada saya tulis di sini. Kenapa Maisarah dipilih? Hmmm mungkin sebab saya masih tidak ‘move on’ dengan buku ini sebab tema buku ini yang mengangkat pejuang wanita.
Terima kasih Maisarah atas kesudian menjawab semua soalan ini.
Jom ikuti temu bual dengan Mai:
Bolehkah ceritakan serba sedikit tentang diri Maisarah?
Seperti yang semua pembaca sedia maklum, nama saya Maisarah Mohd Pauzi. Ya, saya guna nama penuh dan saya tak ada nama pena. Saya rasa nama pena lebih sesuai untuk penulis fiksyen… mungkin? Haha.
Saya dilahirkan di Pulau Pinang, dan merupakan anak ke-6 dari 7 orang adik beradik. Keluarga saya ramai lelaki, saya ada 4 orang abang dan selebihnya ialah kakak dan adik perempuan.
Buat masa sekarang, saya seorang mahasiswi di Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sains Komputer. Macam tak ada kaitan, kan? Belajar Sains Komputer tapi menulis tentang sejarah dan ulasan sastera. Haha. Tapi sebagai pelajar Sains Komputer, saya menulis juga. Menulis kod pengaturcaraan untuk membina laman web atau perisian komputer.
Selain Ustazah Zaman Dulu-Dulu, Maisarah turut menulis di aplikasi Wattpad. Apa yang menjadi inspirasi Maisarah untuk menulis?
Ya, saya ada menulis di wattpad. Kebanyakannya ialah cerpen lama yang saya tulis semasa berada di sekolah asrama dahulu. Sekarang saya kurang menulis fiksyen kerana daya imaginasi saya semakin pudar agaknya bila meningkat dewasa. Haha.
Selepas SPM, saya berhenti menulis. Saya pun tak pasti kenapa saya berhenti. Mungkin pada waktu itu saya hendak fokus pada suasana baru masuk universiti kot.
Tentang inspirasi menulis… Mungkin kerana dibesarkan dalam keluarga yang ramai lelaki dan lebih berpihak kepada anak lelaki, maka suara hati saya yang terpendam diluahkan melalui tulisan tentang gender saya, iaitu perempuan.
Apa perasaan selepas siap buku pertama dengan Jejak Tarbiah? Ceritakan sedikit mengenai buah tangan pertama Maisarah ini.
Perasaan? Tak terungkap rasanya! Saya rasa cita-cita yang pernah saya lupakan, tercapai juga akhirnya… Demi Allah saya tak pernah sangka akan tercapai! Ketika saya di sekolah menengah, saya sangatlah meminati subjek sejarah. Dan saya pernah bercadang hendak sambung tingkatan 6 selepas SPM kerana saya nak masuk bidang sejarah di Universiti.
Tapi, Tuhan takdirkan jalan yang lain. Saya tanya cikgu saya tentang pandangannya tentang cita-cita saya, tapi cikgu saya tak galakkan saya ke bidang sastera. Kata cikgu, saya patut sambung bidang sains kerana saya sudah ada asas dalam aliran sains.
Bila saya cakap tentang cita-cita saya pada salah seorang abang saya, dia pula cakap
‘nanti nak kerja apa?’
‘yang hang belajar sejarah itu pun banyak menipu ja~’
Begitulah serba sedikit pengaruh cakap-cakap orang yang buat saya lupakan minat saya terhadap sejarah. Tapi, saya masih terus membaca dan membaca. Kadangkala, membaca buku ibarat terapi buat diri saya dari segala kesesakan hidup dan kata-kata orang.
Alhamdulillah, ketika saya berniat menulis artikel-artikel tentang perempuan, saya tulis saja dan tidak berniat untuk menerbitkannya menjadi sebuah buku. Dalam dunia ini, bukan jodoh dan ajal maut saja yang datang tanpa diduga, tapi rezeki juga begitu.
Ketika saya sedang mengumpulkan bahan-bahan bacaan dalam tema tentang perempuan, dan menulis ulasan tentang buku-buku tersebut di laman sosial, salah seorang rakan Facebook saya bertanya, ‘tengah menulis buku, ke?’
Saya jawab komen beliau dengan menyatakan saya sekadar menulis sedikit-sedikit. Dan, rakan Facebook saya itulah yang menawarkan untuk menerbitkan buku ini. Beliau ialah pengasas Jejak Tarbiah, iaitu Kak Saadiah Ali.
Selamanya saya takkan lupa jasa Kak Saadiah terhadap tulisan-tulisan saya. Semoga Allah SWT murahkan rezeki buatnya dan Jejak Tarbiah.
Berapa lama kajian yang dibuat untuk siapkan Ustazah Zaman Dulu-Dulu?
Kalau secara tepatnya, saya tidak pasti. Saya banyak membaca bahan bacaan berkaitan perempuan sejak saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di USM. Di Perpustakaan Hamzah Sendut, USM memang begitu banyak buku-buku klasik dan langka. Saya rasa bertuah dapat ‘menyelam’ dalam lautan buku di perpustakaan ini. Kebanyakan sumber artikel yang saya tulis dalam buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu juga saya peroleh di perpustakaan universiti. Tentang tempoh kajian, saya rasa tempoh membaca saja mungkin lebih kurang 2 tahun kalau dikira dari awal saya masuk USM.
Saya menulis artikel pertama dalam buku Ustazah Zaman Dulu-Dulu pada Julai 2017. Dan saya siap menulis manuskrip awal pada September 2017. Seingat saya, tempoh saya menulis itu dalam tempoh cuti semester tahun kedua saya di USM.
Dan manuskrip keseluruhan siap pada awal Januari 2018, dengan tambahan artikel yang saya tidak masukkan dalam laman wattpad saya.
Maisarah akan hasilkan buku seterusnya?
InsyaAllah, mungkin buku seterusnya ialah lanjutan ebook yang saya tulis selepas menulis Ustazah Zaman Dulu-Dulu. Ebook tersebut bertajuk ‘Revolusi Perindustrian 4.0-Satu Pengenalan’ yang diterbitkan dan disebarkan secara percuma oleh Projek Anak Muda Islam (PAMI). Pengasas PAMI ada minta saya tulis buku bercetak, sambungan ebook ringkas tersebut. Tapi, sekarang saya masih dalam tempoh Latihan Industri. Jadi, saya menanti masa yang sesuai untuk menulis lagi.
Tentang penulisan bertema gender seperti Ustazah Zaman Dulu-Dulu, saya ada bercadang hendak kumpulkan ulasan filem-filem bertema gender. InsyaAllah.
Siapa penulis kegemaran Maisarah? Kenapa?
Ramai.
Kalau penulis kontemporari… Faisal Tehrani, Benz Ali, Regina Ibrahim, Shaz Johar dan Nadia Khan. Kalau penulis lama seperti Usman Awang, Zurinah Hassan dan HAMKA. Penulis antarabangsa pula saya suka Paulo Coelho, Mitch Albom dan Haruki Murakami.
Tapi yang paling memberi pengaruh terhadap tulisan saya ialah Faisal Tehrani dan Sasterawan Negara Zurinah Hassan. Mereka antara penulis yang menulis tentang isu wanita dengan lantang. Faisal Tehrani, dalam novel-novelnya yang terkini seperti Bagaimana Anyss Naik ke Langit dan Professor menulis tentang perempuan dari sudut Hak Asasi Manusia, yang mana ianya sangat jarang diketengahkan dalam fiksyen. SN Zurinah Hassan pula, beliau menulis tentang perempuan dari sudut kehidupan harian seorang perempuan. Membaca karya beliau buat saya rasa boleh kaitkan dengan diri sendiri. Haha.
Saya masih terkenang sebuah forum yang saya hadiri sebagai penonton. Salah seorang panelisnya ialah SN Zurinah Hassan. Beliau bercerita tentang bagaimana kehidupannya sejak kecil dan minatnya pada penulisan sering dipandang rendah oleh keluarganya sendiri. Ibunya lebih suka kalau anak perempuan buat kerja mengemas rumah daripada menulis. Walaubagaimanapun, saya kagum dengan semangat dan kesungguhan beliau. Katanya, kalau dapat sebaris ayat puisi dalam sehari pun jadilah…
Adakah Maisarah menulis setiap hari? Ada peruntukan masa?
Sejujurnya, saya menulis pada waktu lapang sahaja. Sebelum bekerja secara sepenuh masa seperti sekarang (latihan industri), saya menulis sekurang-kurangnya seminggu sekali. Semasa musim cuti semester, boleh dikatakan selang sehari saya akan menulis.
Sayangnya, apabila bekerja 6 hari seminggu seperti sekarang, masa yang ada sangat terhad. InsyaAllah, selepas tamat latihan industri nanti saya akan kembali ke rutin yang saya cintai, iaitu membaca dan menulis. Doakan saya dapat siapkan buku seterusnya, ya?
Kebiasaannya Maisarah akan buat draft kasar dahulu atau terus menulis?
Ya, saya akan buat pecahan isi dan struktur idea tentang apa yang hendak ditulis. Untuk sebuah buku, saya suka untuk bahagikan beberapa bab dalam sebuah bahagian. Seperti Ustazah Zaman Dulu-Dulu, idea utamanya ialah tentang Perempuan di Nusantara. Tapi skopnya sangat luas, maka, saya kecilkan kepada beberapa bahagian seperti Tokoh, Peristiwa dan Karya Seni & Sastera tentang perempuan nusantara.
Saya teringat ada sebuah buku bertajuk ‘Menulis Mengatur Diri Berfikir’. Saya tak pernah baca buku tersebut, tapi dengan membaca tajuknya cukup untuk memberi motivasi kepada saya supaya lebih banyak menulis dengan teratur.
Dalam minda kita, kita akan selalu dapat idea. Ada kalanya, ilham datang melimpah ruah. Tapi, dengan menulislah, kita susun aturkan idea-idea tersebut dan sampaikan kepada pembaca secara tersusun.
Saya percaya, menulis tentang sesuatu fakta perlukan disiplin dalam susun atur. Berlainan dengan bukan fiksyen, tersusun atau tidak, ianya bergantung kepada kreativiti penulis.
Mahu menjadi penulis tetap atau sambilan?
Saya tidak pasti lagi. Tapi bagi saya, untuk mula menulis secara tetap perlu lakukan secara sambilan dulu. Setakat pengalaman saya yang masih baru ini, menulis secara sambilan akan lebih mencabar sekiranya kita ada komitmen pada pekerjaan yang tetap (seperti rutin kerja yang masuk pejabat pukul 9 dan balik kerja pukul 5).
Kalau menulis secara tetap, saya teringin nak jadi penulis dalam kolum majalah. Haha. InsyaAllah. Kalau itu rezeki saya selepas ini.
Buku apa yang sering dibaca ketika zaman kanak-kanak?
Zaman kanak-kanak saya suka baca komik Detektif Conan, majalah Asuh, majalah Kawan, Siri Penyiasatan Salma dan siri novel remaja Hardy Boys. Kebanyakannya buku-buku milik abang dan kakak saya. Tapi Detektif Conan antara komik yang saya selalu beli.
Saya berhenti beli selepas masuk asrama kerana penat pula nak tunggu pengakhiran komik ini tak habis-habis. Haha.
Siapa yang menjadi penyokong dalam usaha Maisarah menulis?
Kawan-kawan saya.
Di asrama dulu, kawan-kawan saya tetap membaca cerpen-cerpen saya walaupun ‘cliche’ dan bosan. Haha.
Dan saya sangat berterima kasih kepada kawan saya yang kembalikan semangat saya untuk mula menulis selepas lama berhenti. Tidak lupa juga pada rakan-rakan di laman sosial, walaupun kita tak pernah bersua muka, tapi kalian sentiasa menyokong saya.
Saya paling terharu dengan seorang lagi rakan Facebook saya, kak Nurul Suhadah, pengasas gerakan Suri Membaca. Beliau menyokong penulisan Ustazah Zaman Dulu-Dulu dari peringkat awal sebelum menjadi manuskrip sampailah diterbitkan oleh Jejak Tarbiah. Saya takkan lupa sokongan Kak Suhadah. Cuma saya tak pernah bersua muka lagi dengan beliau. Semoga Tuhan pertemukan saya dengan beliau satu hari nanti.
Jikalau hidup anda adalah sebuah novel, berikan tajuknya.
‘Perempuan Nan Melawan’
Haha. Dah macam tajuk novel Faisal Tehrani pula.
Terima kasih sudi temuramah saya. Kalau ada terlanjur perkataan atau terkasar bahasa, maafkan saya, ya? Yang baik itu dari Allah dan yang kurang itu dari diri saya sendiri.