Review Buku: Seteguh Gunung Fuji Berdiri

Peluang menjejakkan kaki ke negara matahari terbit bawah kursus professional JENESYS tajaan kerajaan Jepun tidak dilepaskan oleh Ustaz Hariri. Meski baru sahaja mengetahui tentangnya sehari sebelum ditutup, beliau tidak teragak-agak bersengkang mata mengisi permohonan serta memerah otak memastikan esei miliknya diterima. Tempoh dua minggu di sana dimanfaatkan sepenuhnya. Tumpuan diberikan kepada kursus dan objektif program, juga cuba mengenali negara yang melahirkan banyak produk automotif ini sepenuhnya. Kata penulis, buku ini ditulis daripada kaca mata pendakwah kecil.

Saat membaca bab pertama, saya sudah mula berasa vibe seperti tulisan Buya Hamka dalam 4 Bulan di Amerika. Dalam setiap bab, kita akan diperkenalkan dengan perkara baharu tentang negara dan penduduk Jepun. Kemudian, penulis pasti tidak lupa dengan refleksi atau kisah berkaitan yang ada di negara kita sendiri. Contohnya, ada bab yang menceritakan tentang animasi Jepun yang menghasilkan ramai otaku. Ada Dragon Ball, Ultraman, Doraemon dan bermacam-macam lagi. Meskipun begitu, penulis mengingatkan kita semula, kita sendiri ada animasi yang boleh dibanggakan iaitu Kisah Anak-Anak Sidek. Anak-Anak Sidek mungkin tidak menonjolkan kehebatan kuasa ajaib atau superpower, tetapi ia memaparkan kisah benar daripada orang Malaysia yang hebat sendiri. Kuasa ajaib pada mereka adalah usaha luar biasa pada mereka yang akhirnya membolehkan mereka memenangi piala Thomas untuk Malaysia.

Selain itu, refleksi yang saya rasa amat penting adalah mengenai pengamalan agama di negara Jepun. Selain daripada banyak agama yang dicipta oleh manusia sendiri, agama tidak dipandang begitu penting di Jepun. Di sana tiada institusi agama seperti di Malaysia. Cubaan mengetengahkan hal agama dalam pilihan raya di Jepun mungkin tidak mendatangkan sebarang hasil, namun jika di Malaysia, agama sering disebut dalam manifesto pelbagai parti politik memandangkan agama memang penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Meski tidak begitu mengamalkan agama, rakyat Jepun mengamalkan banyak nilai baik yang ada dalam agama sendiri. Contoh paling baik tentulah pematuhan masa dan kejujuran, nilai dalam Islam yang sukar diamalkan penganutnya sendiri.

Buku ini ditulis dalam bahasa mudah dan senang difahami. Perjalanan 14 hari ini menghasilkan satu tulisan dan refleksi yang sangat baik buat pembaca. Kembara tidak sepatutnya membuat kita pulang dengan tangan kosong kerana jauh perjalanan, luas pengalaman. Setiap yang penulis lihat di Jepun, dinukilkan dalam setiap bab dalam buku ini serta tidak lupa menyedarkan kita bahawa Malaysia turut kaya dalam cara yang tersendiri. Seteguh Gunung Fuji Berdiri, seteguh itu jati diri beliau sebagai anak Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.