Review Buku: A Street Cat Named Bob & The World According to Bob

Semuanya bermula apabila saya memutuskan untuk berjumpa my beloved sister Shafiqah Athirah. Kami memutuskan untuk bertukar-tukar buku demi penjimatan wang dan sengaja jadikan sebab untuk terpaksa berjumpa lagi (entah bila). Syarat perjumpaan seterusnya, selain keadaan pandemik yang semakin pulih, adalah kami sudah menghabiskan bacaan kami.

Disebabkan The World According to Bob bukanlah buku pertama dalam siri ini, terpaksalah seorang Nuraina Akmal buat pembelian prekuelnya “A Street Cat Named Bob” sebab tak mahu terlepas sebarang maklumat.

A Street Cat Named Bob:

Kisah bermula apabila James Bowen, seorang bekas penagih yang sedang menjalani program pemulihan bertemu dengan Bob, seekor kucing jalanan yang muncul di kawasan rumahnya dan seperti ada tarikan antara mereka. Mereka menjadi sahabat baik, Bob seperti penyebab untuk James meneruskan kehidupan dan James pula menyelamatkan Bob yang mengalami masalah kesihatan. Bob juga umpama penguat untuk James benar-benar bersih daripada dadah.

The World According to Bob:

Sambungan daripada buku pertama, kisah kehidupan James dan Bob dalam mencari wang meneruskan kehidupan. Jika sebelum ini James berbusking, namun gara-gara tempat yang digunakannya tidak sah, dia mendaftar menjadi penjual The Big Issue, syarikat penjual majalah yang membantu golongan ‘homeless’ untuk mendapatkan wang dengan cara yang betul. Beberapa kisah yang boleh disorot seperti kisah seorang wanita tua yang cuba menculik Bob dan James kehilangan tapak penjualan gara-gara ramai yang tidak berpuas hati kerana dia ada ramai pelanggan. Sudah tentu, Bob adalah sebab utama kenapa pelanggan membeli The Big Issue daripada James. Di sinilah juga pertemuan James dengan ejen yang memberi peluang untuk menulis kisahnya dengan Bob yang mengubah kehidupan James selama-lamanya.

Bertahun lamanya terlibat dengan dadah, pertemuan dengan Bob umpama memberi James peluang hidup yang kedua. Seorang bekas penagih yang berbusking, dia tidak pernah dipandang orang langsung. Namun, hadirnya Bob menyebabkan ramai orang mula melayan James seperti manusia semula. Perkara yang mengagumkan saya, dengan adanya Bob, James berasa dirinya perlu lebih bertanggungawab. Lebih kurang yang ditulis James dalam buku ini, “I have someone I have to take care off, I need to be more responsible”. Ketika membaca kisah ini juga, kita boleh merasakan kasih sayang antara Bob dan James. Terlalu banyak perubahan positif dalam diri James selepas bertemu Bob.

Kisah yang digarap amat jujur, bak kata James, “no sugar coating”. Dia langsung tidak berselindung dengan pengalaman mula terjebak dengan dadah sehinggalah fasa mengambil ubat terakhir untuk bersih daripada dadah. Amat menyakitkan dan memalukan. Itulah yang perlu pembaca tahu. Buku ini juga ringan dan tulisannya ringkas, jadi mudah sahaja dibaca. Selamat membaca.

Nota: Bob telah pun meninggalkan kita tahun lepas akibat langgar lari.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.