Langkawi, 4 – 7 Julai, percutian bersama keluarga: mak, abah, semua adik-beradik dan Amir (tanpa Asnawi)
Setiap kali waktu makan di kedai, saya akan pesan air kosong atau limau ais kosong. Jarang sekali saya memilih air manis. Kalau saya pesan hanya segelas, Amir (walaupun ada botol air sendiri) akan minum sama air saya, cepat pula habis dan tidak cukup untuk saya. Disebabkan itu, saya akan pesan satu untuk saya dan satu untuk Amir.
Masalah timbul apabila sudah ada air sendiri, Amir makan sikit sahaja (kecuali kalau terlalu lapar) sebab sibuk menghabiskan air. Minum air dari cawan sendiri dan menggunakan straw adalah perkara yang menyeronokkan buat anak ini.
Untuk selesaikan masalah ini, saya terfikirkan satu idea.
“Amir, Amir makan lima kali, baru boleh minum sekali.”
Budak akan mengamuk jika haknya dirampas, jadi, saya berikan kebenaran untuk makan bersulam minum, tetapi syarat sebelum minum air perlu dia patuhi. Amir setuju dengan syarat yang saya letakkan, meskipun kelihatan di wajahnya terpaksa.
Pada hari kedua kami di sana, sewaktu makan tengah hari sebelum masuk ke Wildlife Park, Amir masih begitu, sakan minum air dan enggan makan. Saya mula menyinga dan mengingatkan semula syarat yang saya tetapkan. Saya menyuruhnya makan nasi empat sudu sebelum minum.
Dia tidak membantah, seraya mengambil sudu dengan berat hati. Namun, kali ini teknik makannya berbeza. Dia makan empat sudu seperti yang saya arahkan, tetapi setiap suapan sangat sedikit. Nasi hanya diambil di hujung sudu.
Saya hanya mampu menggeleng.
Oh Amir!