Tahun 2020 menyaksikan satu perubahan besar bukan sahaja buat negara Malaysia, tetapi seluruh dunia saat pandemik COVID-19 melanda. Tulisan ini saya mulakan pada tarikh 30 Jun, kira-kira setahun tiga bulan selepas bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya sendiri tak mampu ingat lagi berapa jumlah PKP, PKPB, PKPD dan bermacam-macam lagi yang sudah diumumkan. Sekarang sudah PKP 3.0, atau digelar Fasa 1.0 (entah bila mahu beralih fasa ini). Masih perlu memakai topeng muka saat mahu membeli barang, malah perlu memakai dua jenis topeng muka, memang menyesakkan. Pergerakan hanya berdua dalam kereta. Daerah lain masih tidak boleh direntas, negeri apatah lagi. Dan hanya kedai yang ‘penting’ yang boleh dibuka. Ahah! Sudah jadi seperti sesi luahan perasaan.
Pandemik ini sebenarnya membawa perubahan besar dalam kerjaya saya sendiri. Hampir setahun lepas iaitu pada penghujung Julai 2020, saya meninggalkan gelaran sebagai seorang jurutera dan memilih untuk bertukar bidang. Lima tahun memerah otak belajar dalam bidang kejuruteraan serta empat tahun bergelumang dalam dunia kejuruteraan elektrik, keputusan ini memang tidak mudah.
Saya memilih untuk tidak lagi bekerja di pejabat atau mempunyai majikan tetap, juga mempunyai jam bekerja yang tidak tetap. Sudah tentu pendapatan yang juga tidak menentu. Namun, saya rasa tidak layak berbicara soal pendapatan kerana saya mungkin ada sedikit ‘previlige’ kerana suami saya sudi menanggung keperluan saya sementara mengejar nilai pendapatan lama. Saya memilih untuk menjadi seorang penterjemah sepenuh masa.
Hampir setahun saya memikirkan berkenaan perkara ini sebelum keputusan dibuat. Adakah saya patut kekal menjadi jurutera sehingga berumur 40 tahun? Adakah menjadi jurutera adalah perkara yang saya mahu dalam hidup saya? Adakah saya patut bermula sebagai penterjemah selepas saya puas dengan pekerjaan sebagai jurutera? Adakah saya gembira dengan pilihan saya? Tidakkah rugi segala apa yang saya pelajari? Ini memang antara perkara yang sering saya fikirkan. Sejujurnya saya suka dengan tugasan pekerjaan saya sebagai jurutera (selain daripada perlu berurusan dengan difficult people). Namun, saya perlu memikirkan bukan sahaja keperluan kerjaya, tetapi juga kesihatan mental dan keperluan keluarga. Apa gunanya jika saya hadir ke pejabat dengan makian dan cacian di dalam dada. Sering kali saya mengabaikan keperluan anak saya demi memastikan tugasan di pejabat sempurna. Lalu, pandemik memberi pencerahan kepada semua persoalan ini.
Adakalanya saat melalui jalan raya dan saya ketemu dengan pelbagai pencawang, alat ubah dan substation, rindu datang menerpa. Terkenang saat saya sendiri mereka bentuk segala kemudahan ini. Namun, hidup adalah sebuah pilihan. Saya mengenali diri saya, saya memang tidak mampu multitasking. Saya tidak boleh memilih kedua-duanya, menjadi jurutera dan penterjemah.
Di sinilah saya sekarang, seorang penyampai makna. Saya tidak mampu meramal masa depan. Saya sendiri tidak tahu adakah pilihan yang dibuat salah atau benar. Namun, saya kekal tenang kerana semua keputusan tidak dibuat membuta tuli. Saya berdoa Tuhan pemudahkan jalan saya dan saya akan terus berusaha di bidang baru ini.